Petunjuk Untuk Pemimpin

Jika engkau ingin mengikuti petunjuk para imam (pemimpin);
maka kuatkanlah dirimu untuk menerima musibah-musibah dengan jiwa yang tabah
di waktu menghadapi tiap kepahitan;
dan dengan hati yang sabar walaupun dadamu bergoncang.
Lisanmu dikunci, matamu dikendalikan,
rahsiamu disembunyikan untuk hanya diketahui oleh Tuhanmu saja.
Namamu biar tidak terkenal, pintu rumahmu tertutup,
mulutmu tersenyum, perutmu lapar,
hatimu luka, pasarmu tiada sambutan,
pangkatmu dipendam dan keaibanmu ditonjolkan.
Saban harimu menelan perasaan pahit daripada pengaruh zaman dan teman,
sedangkan hatimu menurut dalam kesedaran.
Siangmu sibuk mengislahkan manusia tanpa berkira-kira.
Malammu tenggelam dalam keasyikan pada Tuhan.
Ambillah kesempatan pada malam hari,
jadikanlah ia jalan dan persiapan untuk hari kiamat yang padanya sulit sekali untuk mencari jalan.

– Imam Al-Ghazali rm. Dipetik dari Kitab Minhajul Abidin.-

Puasa Sunat ‘Asyuraa’

Assalamu’alaykum,

Kak Nur,

Adakah sunat berpuasa pada hari ‘Asyura’? Ada orang kata kena puasa 3 hari berturut-turut iaitu pada 9, 10 dan 11 Muharram. Adakah ia benar?

Pelajar USM, Kubang Kerian
9 Muharram 1429H/ 18 Januari 2008

Wa’alaykum salam warahmatullah,

Hari ‘Asyuraa’ bermaksud hari ke 10 dari bulan Muharram. Benar disunatkan berpuasa pada hari 10 Muharram berdasarkan hadis yang dilaporkan oleh Ibnu Abbas, ‘ Jika aku masih hidup sampai tahun yang akan datang, nescaya aku akan berpuasa pada hari ke sembilan dan ke sepuluh’.

Para ahli fikah berbeza pendapat berhubung jumlah hari yang disunatkan. Sebahagian berpendapat sebaik-baiknya berpuasa pada hari ke 9 dan ke 10 Muharram. Bagi mereka yang ketinggalan berpuasa pada hari ke 9, maka disunatkan berpuasa hari ke 11 Muharram. Boleh juga berpuasa 3 hari iaitu hari ke 9, 10 dan 11 Muharram atau berpuasa pada hari ke 10 Muharram secara tunggal.

Wallahua’lam.

Kak Nur
10 Muharram 1429H/ 19 Januari 2008

Hakcipta Terpelihara Kerana Cinta’s Weblog