Batas Aurat Dengan Sepupu Lelaki

Salam Kak.

Saya ada sepupu lelaki (sebelah bapa) yang sememangnya rapat dengan saya. Saya ingin bertanya,

– Adakah sepupu lelaki saya itu muhrim saya?

– Apakah batas aurat saya dengan sepupu saya?

– Adakah sepupu saya itu boleh menjadi wali saya?

Harapan saya, Kak Nur boleh membantu.

Salaam.

Calin

   

Assalamu’alaykum,

Adik Calin yang dikasihi Allah, 

Terima kasih kerana sudi berkongsi masalah di sini.  Keinginan mengetahui hukum-hakam di dalam Islam merupakan hidayah Allah.  Moga jawapan yang diberikan di bawah dapat dimanfaatkan bersama.  

1.  Sepupu lelaki tidak termasuk mahram.   

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan  janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.  

Surah al-Nur (24), ayat 31   

 2.  Oleh kerana sepupu tidak termasuk mahram, maka batas aurat adalah semua anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.  Menurut Ibnu Abbas, pakar tafsir al-Quran, hadis berikut menafsirkan ayat 31 dari Surah al-Nur yang berbunyi ‘kecuali yang zahir daripadanya’  

Aisyah melaporkan bahawa Asma’ binti Abu Bakr  masuk menemui Rasulullah S.A.W sedangkan dia berpakaian nipis.  Lalu Baginda berpaling sambil berkata; “ Wahai Asma’!  Sesungguhnya seseorang perempuan apabila sudah datang haid, tidak boleh lagi dia dilihat kecuali ini dan ini”- sambil Baginda menunjukkan wajahnya dan dua tapak tangannya.” 

Direkodkan oleh Abu Dawud.  

3.  Iya, sepupu lelaki sebelah bapa boleh menjadi wali kepada perempuan setelah wali-wali berikut sudah tiada atau tidak mencukupi syarat asas;

·         Anak lelaki, cucu lelaki dan seterusnya

·         Bapa kandung

·         Datuk lelaki sebelah bapa kandung (sebahagian ulama meletakkan datuk di turutan ke empat iaitu selepas adik beradik lelaki seibu sebapa atau sebapa sahaja)

·         Adik beradik lelaki seibu sebapa kemudian adik beradik lelaki sebelah bapa kandung

·         Anak saudara lelaki sebelah adik beradik lelaki seibu sebapa kemudian anak saudara lelaki sebelah adik beradik lelaki sebapa

·         Bapa saudara sebelah bapa kandung 

Berikut adalah syarat wali yang disepakati pakar fikah (ulama’ atau fuqaha’);

·         Sempurna keahlian;  yakni baligh, berakal dan merdeka.

·         Agama wali sama dengan agama perempuan yang akan diwalikan iaitu Islam.    

Kak Nur cuba menjawab persoalan secara ringkas dan hal yang disepakati ulama sahaja.  Sekiranya masih terdapat kekeliruan, harap dapat dipanjangkan lagi persoalan. 

Di sini, Kak Nur ingin mengambil peluang menyentuh batas pergaulan perempuan dengan sepupu lelaki.  Lumrahnya di kalangan orang Melayu, sepupu dianggap seperti adik-beradik.  Apatah lagi mereka seringkali bersama sejak kecil berikutan ibu atau bapa mereka berhubung rapat sebagai adik-beradik.   Hakikatnya, kita perlu membataskan pergaulan dengan sepupu lelaki sama seperti lelaki ajnabi (bukan mahram) yang lain juga.   Situasi ini bergantung kepada didikan ibubapa masing-masing.   

 Moga kita diberikan kekuatan oleh Allah untuk melaksanakan kebaikan serta menjauhi kemungkaran.  

Kak Nur

8 Muharram 1429H/ Jan 17 

Hakcipta Terpelihara Kerana Cinta’s Weblog 2008

Alahan Yang Menginsafkan

Aku mengalami alahan yang agak lama setiap kali hamil.  Ini kehamilan yang kelima.  Sudah masuk minggu ke 15.  Sebelum ini, orang selalu cakap, biasanya 3 bulan pertama ibu alami alahan yang teruk, kemudian ia akan reda setelah usia kandungan meningkat.  Itu pengalaman kebanyakan ibu-ibu.  Ada juga yang bernasib baik, tidak mengalami alahan langsung.  Namun bagi aku, sehingga 7 bulan alahan dialami.  Ia sangat menganggu kerja-kerja harian.  Terutama dalam menguruskan anak-anak sedia ada.  Ia sungguh menyiksakan.  Kalau kita luka di satu-satu tempat, kesakitan itu tertumpu di bahagian yang sakit itu sahaja.  Namun alahan mengandung menganggu keseluruhan badan.  Mual.  Loya.  Pening.  Tiada selera makan.  Tidak boleh bau itu.  Tidak boleh bau ini.  Yang paling teruk, bau badan suami pun begitu meloyakan iaitu pengalaman semasa hamil anak sulung.  Tekanan angin dalam badan bercampur aduk.  Ya Allah, benarlah kenyataanMu dalam surah Luqman ayat 14; 

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).  

Patutlah Engkau perintahkan, anak-anak taat pada ibunya selagi tidak menderhakaiMu. 

Patutlah NabiMu pesan sahut panggilan ibumu dahulu 3 kali, yang ke empat baru panggilan ayahmu. 

Patutlah Engkau menitahkan para suami memperelokkan pergaulan dengan isteri serta mendidik mereka dengan cara yang patut.     

 Dalam usaha mahu mententeramkan diri, aku teringat pada Allah dan rasa takut untuk merungut-rungut terhadap kesakitan ini.  Lantas aku berdoa; 

‘ Ya Allah!  Nikmat Mu terlalu banyak yang tidak kusyukuri.  Berapa peratus sangat  kesakitan ini dibandingkan dengan lautan nikmatMu.  Apatah lagi, kesakitan ini merupakan kifarat dosa percuma untukku.  Juga pamitan kasih dariMu agar senantiasa mengingatiMu serta berdoa penuh harapan padaMu.  Aku sentiasa lalai.  Sering alpa.  Jarang benar hatiku berdoa penuh khusyu’ (tumpuan) dan khudu’ (merendah diri) terhadapMu sedangkan setiap saat Engkau amat merindui doa dan aduan dari para hambaMu.  Engkau Maha Gagah Perkasa.  Maha Kaya.  Maha Mengasihani.  Maha Pengampun.  Namun keluasan rahmatMu itu jarang dimanfaatkan oleh hambaMu.   Terngiang-ngiang kalimah ‘qalilammaatasskurun’ di lubuk sanubariku (ertinya sedikit sekali dari kalangan kamu yang berterima kasih).

Allah memberi pelbagai kemampuan kepada kita supaya kita bersyukur sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat 10 surah al-A’raaf, 

Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu berterima kasih                                                                                                                                                                                                                  

Allah jua yang mengurniakan pendengaran dan penglihatan kepada kita.  Sudahnya ke mana kita gunakan nikmat yang amat hebat tersebut?  Kebanyakan dari kita menggunakan untuk melawan Dia balik.  Kita dengar perkara yang melalaikan dari mengingati Allah.  Kita melihat perkara yang memuaskan nafsu syahwat semata.  Hati kita serahkan kepada makhluk yang buta tentang hakikat cinta.  Telitilah pesanan Allah lewat wahyunya dalam surah al-Mu’minun ayat 78,

Dan Dialah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur; tetapi) amatlah sedikit kamu berterima kasih                                                                                                                                                              

Belum lagi hati kita mahu tersentuh dengan ingatan di atas?  Allah tidak pernah jemu mengingatkan kita sekalipun kita jemu untuk mengingatiNya.  Itu tanda cinta Yang Maha Agung,  Zat yang mahukan keselamatan, kebahagiaan dan ketenangan buat kita hambaNya.  Mari kita susuli lagi ‘Surat Cinta’ di bawah yang tercatat di lembaran surah As-Sajdah, ayat 9, 

Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: Roh ciptaanNya. Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu berterima kasih                                                                                                                                                                   

Bagaimana pula dengan bait cinta di lembaran al-Mulk, ayat 23, 

Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu berterima kasih                                                                                                                                                                        

Ya Allah, moga limpahan air jernih yang mula bergenang di bibir mataku ini bisa memadamkan kemurkaanMu.  Moga, hati yang bergetar kerana mengenangkanMu ini menambah suhu iman di dada.  Moga…  ruh yang banyak dosa ini disucikanMu hingga layak menatap wajahMu di akhirat kelak.  Jambatan kematian itu menjadi kerinduanku kerna ia penghubung ruh yang fana dengan zat yang kekal abadi.  Namun, biarlah segala tanggungjawab dan kewajiban kuselesaikan dahulu.  Terutama hutang jika ada, kerna ia bisa menggantung ruh walau syahid dari mengadapMu.’ 

Ummu Abbas ©

12.30pm. 16 safar 1428H/ 6 Mac 2007

Hakcipta Terpelihara Kerana Cinta’s Weblog 2008

Apakah Ketenangan Ini Akan Dirampas?

Aku baru selesai solat Zohor berjemaah dengan puteri tunggal berusia 2 tahun 8 bulan.  Semasa aku berada di tahiyyat akhir, jemari halusnya diletakkan di atas telekungku.  Aku biarkan saja sehingga salam kulafazkan, “ Assalamu’alaykum warahmatullah”.  Ku palingkan wajah ke kanan.  Assalamu’alaykum warahmatullah”.  Ku palingkan wajah ke kiri pula.  Lalu ku tatap wajah si kecil yang menunggu.  Rupa-rupanya dia tidak sabar menyalami kedua tanganku lalu menciumnya.  Ku balas dengan ciuman mesra penuh kasih seorang ibu ke pipi gebunya.  Kemudian dia menadah tangan mahu berdoa seraya menoleh kepadaku.  Hmm… rupanya dia mahu mendengar doa-doaku.  Salam dulu baru berdoa?  Tak mengapa… dia masih kecil.  Aku berdoa ringkas dan dia mengaminkan dengan meraup kedua tangan ke wajahnya.                                   

Kemudian, dia menaiki basikal kecilnya.  Sekadar duduk tanpa mengayuh.   Dia memandang aku sambil berkata,” Soyat doh…” (Dengan pelat dia.  Maksudnya sudah solat).  Entah kenapa, aku terasa ingin berbual dengannya.  Mahu menguji kebolehannya.  Aku mengiyakan dulu maklumannya,  

“ Widaad dah solat ye.  Widaad bagus.” 

Widaad mengulangi: “Hmm…Widaad bagus.”   

Kemudian aku menyambung,” Allah tu baik.” 

Widaad:  Allah tu baik (Dengan pelat dia) 

Aku:  Allah tu bijak. 

Widaad:  Allah tu bijak. 

Aku:  Allah tu cantik. 

Widaad:  Allah tu cantik.   

Bersungguh-sungguh dia cuba membetulkan sebutannya.  Lembut saja nada dan suaranya menuruti apa yang kucakapkan.  Aku sengaja tidak menyebut ‘maha’ kerana mahu meringkaskan ayat sesuai dengan usianya.  Nampaknya dia boleh ikut dengan baik patah perkataan yang kututurkan. 

Sebaik saja selesai menyebut 3 sifat Allah itu, hati ku tiba-tiba sebak.  Iya aku menyebutnya tanpa dirancang.  Aku sekadar mahu tahu, adakah anak seusia Widaad mahu dan mampu melafazkan kalimah-kalimah suci tersebut.  Kebelakangan ini, ku sering mengajarnya  2, 3 baris ayat dari surah al-Fatihah.  Dia suka mengikutnya walau agak sukar baginya menutur dengan betul. 

Dalam sebak aku merasa ketenangan.   Akhir-akhir ini, aku lebih menikmati ketenangan berada di rumah.  Bersama anak-anak.  Walau kerja rumah tidak pernah habis dari pagi sampai malam.  Ia bermula semenjak aku meningkatkan ingatanku kepada jambatan menemui Ilahi iaitu mati.   Hmm… dalam sebak, aku sebak lagi bila memikirkan saat indah usaha mencorakkan ‘kain putih nan suci bersih.’  Aku bimbang sekiranya suatu hari nanti ketenangan ini dikoyak dan dirampas oleh kerakusan dan himpitan material yang menggila di luar sana. Ia meracuni dan menyucuk hati sesiapa sahaja.  Baik yang faham Islam, lebih-lebih lagi yang hantu duniawi.  Aku pasrah pada ketentuanNya.   

1.44PM

26 Syawal 1428H/ 7 November 2007

 Ummu Abbas 

Apa Dia Segmen ‘Kongsi Masalah’

Assalamu’alaykum.  Segmen Kongsi Masalah ini Kak Nur wujudkan untuk menjawab apa jua kemusykilan adik-adik sedaya yang Kak Nur mampu.  Khususnya berkenaan bidang yang Kak Nur belajar iaitu Fikah Wanita.  Juga persoalan cinta remaja konsekuen dengan tema blog… Kerana Cinta 

 Insya Allah, buat permulaan Kak Nur akan cuba berkongsi masalah yang pernah dihantar melalui sms (Sistem pesanan ringkas).  Oleh kerana blog ini baru bertunas, maka Kak Nur akan mengemaskini sedikit demi sedikit persoalan yang pernah diterima.  Harap dapat bersabar ye… 

Segmen ini juga bertujuan berkongsi ilmu pengetahuan sesama pengunjung.  Pengunjung boleh berikan pandangan kepada permasalahan yang dikemukakan di sini.  

Apa yang baik, datangnya dari Allah.  Apa yang kurang, dari kelemahan Kak Nur jua.

Hamba Allah, 

Kak Nur

4 Muharram 1429H

13 Januari 2008M 

Petua Agar Dicemburui Bidadari

Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash r.a melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w berkata: “ Dunia ini adalah perhiasan – yakni tempat berseronok- dan sebaik-baik perhiasan ialah perempuan yang baik”. 

Direkodkan oleh Muslim dan al-Nasa’i 

Interpretasi Ringkas : 

 a Fitrah manusia sukakan perhiasan.  Lebih sinonim lagi dengan insan bergelar wanita. 

a Perhiasan paling indah menawan, bergaya lagi anggun adalah permata wanita solehah’ (perempuan yang baik).  

Motivasi: 

Sama-sama kita berusaha menjadi perempuan yang baik menurut kacamata Allah dan Nabi Muhammad kerana ianya dicemburui oleh bidadari di syurga kelak.

Setitis Embun…

Pemandangan Australia

Alhamdulillah.  Puji dan terima kasih untukMu Tuhan.  Salam dan selawat buat kekasihMu, Muhammad, para ahli keluarga, sahabat dan para pengikut setiamu. 

Saya memilih 1 Muharram 1429H bagi melahirkan blog pertama saya ini.  Selain mudah diingat, ia sangat signifikan buat saya memulakan langkah secara sendirian berhad di alam penulisan.  

Pengalaman saya menghantar karya kepada media cetak sangat kurang.  Apatah lagi mengharapkan hasil diterbitkan.  Manakan tidak, banyak tajuk yang ditulis namun sedikit sahaja yang siap.  Selebihnya, artikel tergantung tidak bertali. 

Minat menulis sejak usia 13 tahun.  Menulis betul-betul masa pegang jawatankuasa penerbitan, Persatuan Dakwah sekolah.  Kita tulis, kita terbitkan sendiri dalam buletin persatuan.  Pada masa itu, masih guna mesin taip.  Menggunakan kemudahan mesin taip abah di rumah, saya menaip di atas stensil.  Abah saya mantan penulis soalan ujian dan peperiksaan untuk anak-anak muridnya di sekolah rendah.  Kemudian bawa ke sekolah dan bagi pada peon untuk digelek.  Selepas itu baru diwujudkan Kelab Komputer untuk sekolah-sekolah.

Saya jadi Naib Presiden Kelab Komputer sekolah.  Juga diamanahkan oleh Presiden Kelab untuk kendalikan bahagian penerbitan. 

Selalu juga cari motivasi menulis melalui artikel atau buku berkenaan penulisan, sudahnya saya tetap tenggelam dalam kesibukan sebagai ratu rumahtangga.  Ratu yang dikelilingi 4 putera dan seorang puteri.  Masing-masing berusia 9 tahun, 8 tahun, 5 tahun, 3 tahun dan 5 bulan.  Ratu tanpa inang (Baca: Bibik). 

Hampir setiap hari pula saya menghadiri kuliah Sifu PTS di UNIKA PTS.  Namun saya terfikir ‘ Sampai bila harus begini?  Menimba ilmu tapi tidak diamalkan!  Ada input tiada output!‘   Anak saudara yang masih belajar di UIA pun ada blog sendiri.  Saya pula bila lagi?

 Saranan Sifu PTS dijadikan panduan.  Momentum paling besar buat saya mewujudkan blog sendiri lebih kepada menunaikan tanggungjawab berkongsi ilmu dengan kaum sejenis terutamanya.  Bagi yang lelaki, terserah kepada mereka.  Kalau ada manfaat, kutiplah.  Kalau sebaliknya, abaikan sahaja.

Motivasi menulis perlu sentiasa dihangatkan.  Selain Ramadan 1428H bulan penuh barakah memicu produktiviti,  saya dapati ubat ‘mengingati mati’ menjadi penawar mujarab membuang penyakit melengahkan masa dan kerja.  Bukan itu sahaja, ubat ‘ingat mati’ membuatkan saya menghitung usia yang semakin pendek!  Justeru saya tidak perlu bertangguh untuk beramal di bidang penulisan. 

Petunjuk untuk melakukan amal baik, hakikatnya dari Allah.  Kekuatan dan kemampuan mengetuk papan kunci laptop ini pun pinjaman dari Allah.  Nikmat sihat dan waktu juga akan dihitung oleh Allah.  Justeru, tiada apa yang menjadi milik kita kecuali pinjaman dari Allah.  

Moga-moga kita berusaha mengembalikan pinjaman Allah ini dalam keadaan baik dan direstuiNya. 

Ya Allah, Peliharalah kami di halaman redaMu!

2.44am

1 Muharram 1429H/ 10 Januari 2008M 

Salam sejahtera buat semua!

Bacalah Sayang… 

Kerana KasihNya.. Kita Diciptakan. 

Kerana SayangNya.. Kita Diwahyukan Surat Cinta..

Kerana RinduNya.. Kita Diuji..

Bacalah Dengan Nama Tuhanmu… 

Dari tiada kepada ada…

Dari ada dikembalikan tiada…

Yang kekal hanyalah Dia… 

Dua lorong dibentangkan di hadapanmu…

Tiada tiga… tiada lima… tiada semuanya…

Pilihlah Dia…

Atau musuhNya…

Tiadalah Dia rugi apa-apa… 

Hidup hanya berkelana…

Sekejap sahaja… 

Nafsu itu menyeronokkan…              

               Menyesak dada…

Iman itu perjuangan…            

              Menenangkan jiwa… 

Dariku wanita…

Untukmu wanita…

Kerana…

Hanya wanita yang memahami wanita

Dan Allah lebih memahami hambaNya 

Ummu Abbas

Hakcipta Terpelihara Kerana Cinta’s Weblog 2008