Purdah: Satu Pengalaman

Suatu hari di tahun 1998, Wafa keluar bersama 3 orang anak murid perempuan yang baru memasuki alam remaja. Semua mereka memakai purdah kerana pihak sekolah yang mendisiplinkan demikian. Sekolah tersebut merupakan sebuah sekolah tahfiz swasta. Belum pun setahun Wafa berada di Malaysia waktu itu setelah berkelana lebih kurang 5 tahun di Bumi Anbiya’. Wafa sendiri mula memakainya sejak 6 tahun yang lalu.

Mereka pergi ke sebuah pasar raya area Kuala Lumpur. Pasar raya kepunyaan bangsa Cina tentunya. Dalam pasar raya, mereka berselisih dengan pemuda Cina. Pemuda Cina itu lalu menegur sambil berkata, ‘Wah! Bagus…bagus… Pakai macam ni la bagus.’

Mereka berlalu tanpa menghiraukan teguran tersebut. Terkedu juga Wafa mendengar teguran demikian. Dalam ramai-ramai orang Islam sendiri tidak kira lelaki atau wanita, tua dan muda prejudis dengan pemakaian purdah, ada juga lelaki Cina yang kelihatan seperti non muslim yang menyukainya.

Wafa berfikir, ‘Apakah kaum muslimin yang prejudis itu menapis pandangannya dengan IMAN dan taqwa? Dan lelaki Cina itu tadi menyukainya semata-mata kerana ia sesuai dengan naluri?’.

Hanya Allah yang maha mengetahui.