Fikah Wanita: Perempuan Lebih Utama Mengajar

Jumaat lepas tanggal 21 Mac 2008 bersamaan 13 Rabiul Awwal, bertempat di Dewan Johor, penulis dijemput membentangkan tajuk Fikah Wanita. Pihak penganjur iaitu Jawatankuasa Induk Hari Terbuka 2008, Akademi Pengajian Islam Nilam Puri telah mengkhususkan kepada beberapa tajuk berikut;

1. Haid & Istihadah.
2. Mazi, Mani & Wadi.
3. Tabarruj.
4. Merubah Sifat Asal Kejadian.

Ustazah Anisah, pensyarah di APIUM Lembah Pantai sebagai panel 1 telah membentangkan tajuk 1 dan 2. Manakala penulis membentangkan tajuk 3 dan 4.

Alhamdulillah, segala puji dan kesyukuran kepada Allah melihat biah solehah (suasana yang baik) adik-adik pendengar. Ceramah waktu itu khusus untuk pelajar perempuan sahaja yang mereka namakan Daurah Muslimah. Justeru tiada suasana pergaulan bebas lelaki perempuan yang teramat biasa kelihatan di mana-mana sahaja sekarang ini. Hanya beberapa pelajar lelaki yang mundar-mandir di dalam dewan berurusan dengan jawatankuasa pelajar perempuan sebelum ceramah dimulakan. Setelah urusan selesai, mereka keluar. Tinggallah kami para perempuan sahaja di dalam dewan.

Melihatkan tajuk di atas, ia sangat relevan dengan situasi yang diwujudkan. Orang perempuan secara fitrahnya terkenal dengan sifat malu. Apatah lagi mahu bertanya hal-hal sulit berkenaan diri masing-masing di hadapan lelaki ajnabi (lelaki asing yakni bukan mahram).

Pengalaman penulis mengajar di masjid USMKK sejak tahun 2001 berkenaan Fikah Wanita juga amat menyenangi suasana ini. Kuliah Fikah Wanita itu hanya untuk pelajar perempuan. Sudahlah mereka terpaksa menurut sahaja sistem pembelajaran yang mencampurkan pelajar lelaki dan perempuan baik di dalam kelas-kelas maupun di dalam kumpulan diskusi, di sini mereka mendapat sedikit ketenangan belajar Fikah Wanita sesama mereka sahaja.

Mereka juga aktif bertanya tanpa segan silu. Lebih-lebih lagi yang mengajar pun perempuan juga.

Penulis masih ingat semasa belajar di MMP (Maahad Muhammadi Perempuan), semasa di tingkatan Dua, antara subjek awal yang kami belajar ialah fikah ibadat. Fikah Ibadat ialah berkenaan cara bersuci, solat, puasa dan sebagainya terdiri dari ilmu fardu Ain.

Seorang ustaz yang terkenal di kalangan pelajar sebagai ustaz yang ‘galak’ telah mengajar subjek tersebut. Desas-desus mengatakan ustaz tersebut memang mahu mengajar fikah tingkatan Dua dek sifat ‘galak’nya tadi menjadi kenyataan. Apa lagi, kami merasa kurang senang untuk belajar dengannya. Sudahnya tiada pelajar yang suka bertanya permasalahan mereka di dalam kelas. Bila sampai ‘part-part’ seperti perkara yang membatalkan wuduk antaranya tentang hubungan intim suami isteri, lagi naik ‘miang’ si ustaz ini.

Pelajaran fikah ini sangat terbuka dalam membincangkan apa permasalahan sekalipun. Contohnya bagi pelajar yang baru baligh seperti kami, istilah ‘hubungan intim antara suami isteri’ perlu dijelaskan secara terus terang. Kami terpaksa mendengar sambil menahan perasaan malu.

Sebenarnya kalau pun ustaz yang mengajar tetapi mengajar dengan etika yang betul, tiada masalah. Namun dalam konteks sekarang yang mana ramai perempuan berilmu tinggi terutama dalam bab Fikah Wanita, maka menjadi keutamaan perempuan mengajar sesama mereka.

P- Adik-adikku, kekalkan sifat malumu. Malu yang bertempat. Insya Allah, Allah senantiasa menyintaimu.

Salam Sayang.

Ummu Abbas © Kerana Cinta’s Weblog 2008
17 Rabiul Awwal 1429H/ 25 Mac 2008
10.16am