Penjelasan Keadaan Nik Nur Madihah

Assalamualaikum,

Seorang blogger menyatakan seperti berikut;

Seharusnya kejayaan dan ketabahan Nik Nurmadiah harus diteladani oleh kita semua.
Mengenangkan kepada pelajar ini dan melihat keadaan rumahnya menyebabkan Murai menjadi emosi lagi. Apakah kehidupan keluarga ayahnya Nik Mohd Kamal Hussein tidak diepdulikan sesiapa? Murai percaya kalau bukan kerana kejayaan anaknya itu dunia tidak mengenali Mohd Kamal. Dan Mohd Kamal akan kekal hidup dalam keadaanya itu mungkin selama-lamanya.

Ummu Abbas: Pertama kali membaca komen ini, saya berhipotesis bahawa ibu bapa Nik Nur Madihah tentunya insan yang tabah dan tidak suka meminta-minta atau mengadu kepayahannya kepada orang lain. Justeru anaknya terikut-ikut sikap tersebut sehingga terdapat gurunya sendiri tidak mengetahui kehidupan daif Madihah. Saya mengesan perkara ini lewat laporan Utusan,

“ Katanya (ibu Madihah-p), biar susah bagaimana sekali pun, anak sulung daripada empat beradik itu tidak pernah merungut.

Malah Nik Nur Madihah, menurutnya, melalui semua kepayahan itu dengan tabah dan menerimanya sebagai cabaran untuk berusaha dengan lebih keras.”

Hasil kunjungan saya ke rumah Nik Nur Madihah pagi tadi membuktikan perkara tersebut. Madihah mengiyakan bahawa ayahnya tidak suka mengadu kesusahannya kepada orang lain. Mereka lebih suka berusaha sendiri serta qanaah dengan apa yang Allah rezekikan buat mereka sekeluarga.

Pergantungan mereka hanya kepada Allah Yang Maha Memberi Rezeki. Seorang nelayan dan isteri yang tidak berpelajaran tinggi tahu membawa diri berpandukan agama Islam yang mereka cintai. Bandingkan dengan mereka yang ber’sijil’ tinggi, berjawatan seperti wakil rakyat atau exco yang gajinya beribu-ribu sebulan namun masih tamakkan harta yang Allah haramkan buat mereka seperti rasuah, riba, rompak harta rakyat dan lain-lain. Mereka tidak takutkan Allah, akibatnya hidup mereka dihina serta maruah mereka diinjak-injak.

Seorang nelayan yang takutkan Allah hari ini dikenali seluruh negara dan mendapat ‘durian runtuh’ yang halal apabila mendapat hadiah rumah dari Kerajaan Negeri Kelantan, wang beribu-ribu ringgit, tajaan biasiswa dari pelbagai pihak untuk anaknya. Bukankan Allah itu tidak memungkiri janji-janjiNya? Hamba yang menahan diri dari rezeki yang haram dan daripada meminta-minta sesama manusia sekian lama telah terbuka pintu rezeki yang Allah janjikan tanpa disangka-sangka.

Saya sempat menyebut ayat 2 dan 3 surah al-Talaq semasa berbual dengan mereka yang bermaksud,

“ Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan menunjukkan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah). Sesiapa berserah diri sepenuhnya kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”

Ayat ini juga dikenali dengan ayat 1000 dinar.

Saya sempat memerhati dua orang pegawai dari sebuah agensi kerajaan yang berpakaian segak bercakap dengan nada hormat dengan ayah Madihah dan Madihah sendiri. Mereka datang menyampaikan surat jemputan berceramah tip-tip belajar ke satu program anjuran agensi. Berbeza benar dengan layanan yang diterima oleh ADUN-ADUN lompat di Perak dan yang sewaktu dengannya dari rakyat marhaen.

Saya dimaklumkan, Madihah dan kedua ibubapanya juga mendapat tawaran menunaikan umrah oleh Hijaz Travel. Mereka dijangka berangkat pada 16 April 2009 selama 12 hari. Masya Allah, Allah bukan sahaja mengurniakan mereka nama baik, rumah dan wang, bahkan Allah juga telah sudi menjemput mereka menjadi tetamuNya di Baitullah. Moga Allah melipat gandakan lagi rezeki Hijaz Travel. Tiadalah sesuatu yang disedekahkan oleh hambaNya kecuali Allah lipat gandakan lagi rezekinya. ( Jangan lupa derma untuk pilihanraya kecil nanti ye…)

Apa yang tambah menyedihkan Murai ianya berlaku di negeri Murai sendiri, negeri Kelantan. Negeri tempat Murai bermanja dan berkasih! Negeri berkenaan diperintah oleh parti islam. Yang merujakan, keadaan semacam kontras dengan apa yang diucapkan. Kerajaan Kelantan adalah kerajaan berkebajikan. Blogger

“ Saya tidak pernah mendapat biasiswa dari mana-mana agensi cuma sumbangan yang diberikan oleh guru-guru melalui Cikgu Razali sebanyak RM200 sebulan. – Petikan berita Utusan (www.utusan.com.my ) “

Ummu Abbas: Sebenarnya Madihah beritahu wartawan, di samping bantuan guru-guru tersebut, dia juga mendapat bantuan YAKIN yang disalurkan melalui sekolah. Kerajaan Negeri Kelantan menyalurkan bantuan pelajaran melalui YAKIN (Yayasan Kelantan Darul Naim) kepada anak-anak Kelantan yang memerlukan. (Boleh lawati http://yakin.kelantan.gov.my/ )

PS: Saya update perenggan akhir entri ini memandangkan ada pembaca yang tidak membaca habis komen-komen dan penjelasan yang dibuat oleh penulis di ruangan komen. Dibina atas kefahaman yang tidak jelas, komentor memberi nasihat secara tidak berasas. Saya hargai kunjungan beliau dan berharap dia belajar untuk menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab dengan menyertakan email atau kalau tiada email, tolong sertakan nama penuh dan nombor telefon. 30 Rabiul Awwal 1430H/27 Mac 2009

Harap maklum.
Fikir-fikir!

Renung-renung!

Ummu Abbas
21 Rabiul Awwal 1430H
7.24pm.

Ziarah Pelajar Terbaik SPM 2008

Penulis bersama Nik Nur Madihah
Penulis bersama Nik Nur Madihah

Alhamdulillah, saya baru pulang dari menziarahi adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal pagi tadi. Seawal jam 8.30, saya bersama seorang sahabat yang mengajar di Maahad Muhammadi (P), Ustazah Maziah Seman, adik bongsu (Su Pah), si kecil Aqil dan anak saudara, Kasyfi telah berada di rumah keluarga Nik Nur Madihah (Selepas ini disebut Madihah).

Pada mulanya kami merancang untuk berziarah jam 10 pagi, namun bapa Madihah mempelawa kami agar mengunjungi lebih awal disebabkan mereka akan berangkat ke Kuala Lumpur menaiki penerbangan jam 11 pagi. Mereka dijemput oleh Bank Negara untuk satu majlis bersama pihak bank.

Rasa seronok bersama Madihah dan keluarganya masih terasa hingga ke saat saya menulis entri ini. Sesuatu yang saya cari-cari benar-benar di temui pada keluarga ini.

Sebenarnya saya kurang berpuas hati dengan beberapa laporan pihak akhbar perdana seperti Utusan dan Berita Harian, jadi saya berhasrat menemui Madihah sendiri dan keluarganya sejak 2, 3 hari lepas. Memang sah ada berita yang digelapkan oleh akhbar arus perdana. Bilalah mereka mahu taubat kepada Allah? Tidakkah mereka yakin bahawa Allah itu ada dan sentiasa menilai amal perbuatan setiap hambaNya? Balasan di akhirat itu lebih penting untuk difikirkan dibandingkan habuan dunia yang secebis cuma.

Saya menunggu adik bongsu habis kursus guru di Yayasan Islam Kelantan kelmarin untuk sama-sama melawat. Adik saya juga akan dapat manfaat untuk dikongsi bersama para pelajarnya.

Antara rancangan awal saya juga ialah mahu membawa semua anak-anak agar melihat sendiri kehidupan yang serba kurang berjaya melahirkan pelajar cemerlang. Namun saya terpaksa menangguhkan hasrat tersebut disebabkan bertolak awal pagi. Anak-anak ada yang masih tidur. Saya amanahkan pada anak sulung yang berusia 10 tahun untuk menjaga 3 orang adik.

Saya meminta izin dari Madihah sekeluarga untuk melawat lagi dan membawa anak-anak yang lain.

Banyak perkara yang kami bualkan. Insya Allah, saya akan masukkan sedikit demi sedikit dalam blog ini menurut topik yang sesuai.

Ia mengandungi kisah-kisah yang sesuai sebagai panduan ibubapa, para pelajar, masyarakat dan kerajaan.

Sehingga berjumpa lagi di lain coretan.

PS: Saya mohon maaf terhadap mereka yang bertanya tetapi belum mendapat balasan daripada saya. Insya Allah saya sedang berusaha memberi respon menurut kesesuaian masa dan keutamaan tajuk. Terima kasih atas kunjungan.

Ummu Abbas
21 Rabiul Awwal 1430H
12.50pm