Lagi Penjelasan Nik Nur Madihah

Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu menjadi tempat dia berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.” -Utusan Online

Ummu Abbas: Rumah Nik Nur Madihah mempunyai 2 bilik tidur. Bilik kecil yang dilindungi almari adalah bilik ketiga yang diwujudkan untuk adik-adik lelaki Madihah. Madihah sendiri tidur dalam bilik sedia ada.

Gambar dari Harakahdaily
Gambar dari Harakahdaily

Perhatikan gambar di atas. Berapa orang yang kelihatan dalam gambar? Gambar tersebut di ambil di ruang tamu. Sebelah kerusi Tok Guru duduk (3 tempat duduk), ada lagi kerusi satu tempat duduk. Di belakang almari yang kelihatan itulah bilik kecil yang diwujudkan.

Agaknya inilah kesan dari PPSMI bila wartawan Utusan (akhbar kerajaan sendiri) gagal mengira dengan betul!

Pada pandangan saya, rumah Madihah memang sangat daif jika dibandingkan dengan rumah kebanyakan orang-orang kaya (juga kaya pinjaman rumah) di Malaysia ini. Namun jika dibandingkan dengan rumah Rasulullah s.a.w, ia boleh dikatakan sudah melebihi apa yang Rasulullah s.a.w ada.

Ada kerusi set (yang diduduki oleh Tok Guru) dan juga sebuah peti televisyen lama di ruang tamu. Sama ada mereka beli sendiri atau diberi orang, itu saya tidak tanya.

Walaubagaimanapun, menurut uruf dan zuruf setempat, adalah wajar sekali Kerajaan Negeri menghadiahkan sebuah rumah yang selesa. Apatah lagi, rumah Madihah hanya disewa dan belum memiliki rumah sendiri.

******

“Nur, mari sini tengok gambar rumah Madihah,” panggil suami saya.

“Hmm, kerajaan patut bagi peruntukan rumah rakyat miskin (kalau tidak silap saya RM40k untuk satu keluarga dengan syarat-syarat tertentu),” saya memberi respon sebaik sahaja melihat gambar itu.

Keesokannya.

“Ha… Tok Guru hadiah rumah pada Madihah bernilai RM130k dan lot rumah,” beritahu suami saya yang sedang membaca Harakahdaily.

“Alhamdulillah, lagi baik,” sahut saya (maksud saya apa yang Kerajaan Negeri beri lebih baik dari cadangan saya semalam.) Gembira sekali saya mendengarnya.

Saya sekadar memberi cadangan berasaskan pada amalan biasa Kerajaan Negeri terhadap rakyat miskin. Jika Kerajaan mampu menghadiahkannya terus, tentu ia lebih baik. Memandangkan kerjaya sebagai nelayan kecil tidak menjamin pendapatan yang memuaskan.

Kerajaan Negeri memang berusaha agar setiap rakyatnya memiliki rumah sendiri. Program itu masih berterusan sehingga hari ini dan insya Allah selagi Kelantan ditadbir dengan cara Islam.

**********
Pagi semalam, saya telefon Madihah untuk memastikan 2 perkara. Pertama mengenai bilik yang dikatakan dihuni Madihah dan kedua mengenai bantuan zakat. Namun saya tidak sempat update khabar terbaru kerana hadir majlis Maulidur Rasul di rumah ibubapa saya di kampung.

Setahu saya, tiada pemohon yang layak tidak diberi zakat di Kelantan ini.

Sebagaimana biasa, saya selalu menyelidik latar belakang orang susah yang pernah singgah di rumah saya. Salah seorang dari mereka yang asalnya balu (usianya lebih muda dari saya. Saya panggil dia Na) telah berkahwin dengan duda kematian isteri. Selepas berkahwin, dia datang lagi ke rumah. Oleh kerana kehidupannya masih susah, saya mengesyorkan padanya agar bertemu wakil rakyat kawasan melalui pejabat DUN atau memohon zakat. Secara umumnya, saya yakin dan percaya penuh pada sifat amanah wakil-wakil rakyat dari PAS.

Na menurut cadangan saya. Selepas itu dia masih lagi datang ke rumah kerana saya memintanya membantu saya semasa saya dalam pantang anak kelima. Jadi saya dapat follow up perkembangan dia.

Na tinggal di kawasan YB Ustaz Nik Amar. Suatu hari dia bercerita dengan rasa seronok sekali,

“Ustaz Nik Amar datang sendiri rumah Na. Ustaz jemput Na sekeluarga ke rumahnya untuk diberi zakat.”

Saya kagum dan gembira dengan khabar tersebut.

“Ustaz Nik Amar sendiri datang rumah Na? Bukan dia hantar wakil?” tanya saya untuk memastikan.

“Iya, Ustaz Nik Amar sendirilah yang datang,” Na menegaskan.

Alhamdulillah. Saya gembira melihat riak riang di wajah Na, salah seorang rakyat daif yang menerima jemputan dari wakil rakyatnya sendiri. Semoga Allah meneguhkan kedudukan Ustaz Nik Amar dengan maaruf yang dilakukan.

Na bukan sahaja mendapat bantuan zakat dari Tok Wakil, tetapi juga mendapat zakat dari MAIK (Majlis Agama Islam Kelantan), bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, zakat yang diberi oleh guru-guru sekolah anaknya dan bantuan persendirian yang tahu keadaannya.

Berbalik pada Nik Nur Madihah, sekali lagi hati saya diulit rasa kagum bila Madihah memberitahu melalui telefon,

“Macam yang saya cakap hari tulah. Kami lebih suka berusaha dengan tulang empat kerat kami. Kami masih gagah dan mampu ikhtiar sendiri. Lainlah kalau sakit atau tidak berupaya. Kami memang tidak mengadu pada sesiapa (di kalangan manusia)

Berkenaan zakat, kami tidak mohon sebab kami fikir ada lagi orang lain yang lebih susah. Kalau kami mohon, mungkin orang yang lebih susah akan terlepas bahagiannya.”

“Itulah sifat taqwa,” saya mencelah.

“Iya Kak Nur, tolong jelaskan apa yang sebenarnya berlaku. Kasihan Kerajaan Negeri.” Madihah mengakhiri kalamnya.

Fikir-fikirkan…

Renung-renunglah… dengan hati yang mencari Tuhan!

Ummu Abbas
22 Rabiul Awwal 1430H
Update: 24 Rabiul Awwal 1430H

Advertisements