Nik Nur Madihah Dalam MHI 16 April

P E N G U M U M A N

Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, pelajar cemerlang SPM 2008 dijadualkan keluar dalam siaran Malaysia Hari Ini pada 16 April 2009.

Advertisements

Catatan: Buku Tentang Nik Nur Madihah

Alhamdulillah, semalam saya berkesempatan menemui Nik Nur Madihah lagi di rumahnya. Kemudian kami bertolak ke rumah Senator Mumtaz Nawi.

Banyak perkara yang dibincangkan. Saya sendiri menyatakan hasrat menulis buku mengenainya.

“Sudah ada dua orang yang mahu tulis mengenai saya, kak,” jelas Madihah.

Penulis Ummu Sakinah memberi judul “Nik Nur Madihah: Permata Parang Puting.” Sebuah lagi buku yang akan diterbitkan oleh Hijaz berjudul “Catatan Hati Nik Nur Madihah.”

“Kak Maznah juga mahu tulis mengenai Madihah,” Kak Taz menyampuk.

“Hmm…sudah jadi 3 pula,” fikir saya. Saya sudah ada tajuk cadangan yang berbeza dari 2 tajuk di atas. Namun saya tangguhkan dulu beritahu Madihah. Mungkin isi yang saya mahu tulis saling tak tumpah dengan 2 penulisan yang sedang berjalan…rugilah masa saya!

“Beginilah Madihah, akak akan baca dulu apa yang mereka tulis mengenai Madihah. Jika ada perkara yang akak mahu sentuh, mereka belum masukkan, baru akak akan tulis,” beritahu saya.

Madihah mengangguk setuju.

SEDIH BILA ADA YANG MENDAHULUI

Kali pertama membaca laporan ringkas akhbar Siasah berkenaan kisah Madihah akan dibukukan, saya rasa sedih juga sedikit. Namun pengalaman saya menyelidik untuk siapkan tesis sarjana dahulu sedikit sebanyak mengubati rasa sedih.

Satu topik boleh diulas dari banyak persepsi.

Saya juga berpegang kepada konsep fardu kifayah, yang mana bila sudah ada yang menunaikan sesuatu perkara, maka kita tidak perlu berebut melaksanakan perkara yang sama.

Sesuatu kewajipan itu akan terangkat daripada ummah bila sudah ada yang menunaikannya. Namun, kadang-kadang kuota menunaikan fardu kifayah itu belum terpenuhi. Dalam keadaan begini, menjadi tanggungjawab individu yang mahir dalam bidang tersebut mengisi kefarduan itu. Jika tiada tenaga mahir, maka sesiapa yang mempunyai minat harus belajar sehingga pandai bagi mengisi ruang yang masih kosong.

Sesungguhnya ruang amal Islami masih banyak yang lompong. Kitalah yang perlu pandai mencari, menyelidik dan mengisinya.

Lakukan segalanya kerana Allah dan mendapat redaNya, insya Allah diberkati segala usaha.

Kalau kita lakukan sesuatu kerana berebut pasaran, bimbang mesej tidak sampai ke hati meskipun kita dapat meraih keuntungan darinya.

Apa gunanya dapat mengeluarkan duit dari kocek pembeli, namun jiwa mereka tidak dapat dipaut kepada Allah- pencipta kita dan mereka.

Setiap daie mesti jelas matlamatnya- menuju hati-hati manusia.

Ganjaran duniawi yang datang mengiring hanyalah imbuhan sementara dari Allah. Guna memenuhi keperluan untuk hidup. Bukannya hidup untuk imbuhan dunia.

Daie seharusnya sentiasa memuhasabah diri tentang hal ini. Bimbang nikmat syurga yang didambakan, ‘haba an manthura’ yang dituai.

(Haba an manthura: Debu-debu berterbangan. Maksud ayat. Rujuk artikel ‘Bila Ulama Cintakan Dunia’)

Sekadar tazkirah untuk diri saya.

PS: Apa pandangan pembaca mengenai hasrat saya menulis buku mengenai Nik Nur Madihah? Isu besar yang akan diketengahkan antaranya ialah mengenai pendidikan berasaskan ilmu akhirat (agama), peribadi muslim untuk mencapai al-Falah (kejayaan) dan lain-lain.

Terima kasih atas perkongsian pendapat.

Ummu Abbas
18 Rabiul Akhir 1430H
12.30pm