Nur Madihah dalam Akhbar Jordan

Wartawan Jordan, Abdullah al-Sawalihah telah menemubual Nik Nur Madihah melalui email mengenai hasratnya menyambung pelajaran di Jordan University of Science and Technology (JUST- http://www.just.edu.jo/index/default.aspx )

Berita mengenainya disiarkan akhbar Fact International (Lihat http://www.factjo.com/fullnews.aspx?id=8181) pada 30 April 2009.

Wartawan tersebut telah menemubual 4 orang siswazah dari universiti-universiti Jordan yang sudah berkerja di tanah air mengenai pengalaman mereka belajar di sana. Nur Madihah pula merupakan individu kelima ditanya kenapa beliau memilih Jordan.

Madihah menjelaskan bahawa dia mendapat khabar positif mengenai suasana belajar di Jordan. Bapanya dan beberapa orang guru turut menasihati agar beliau menyambung pelajaran di Jordan memandangkan suasana masyarakat di sana lebih terkawal.

Madihah menambah lagi, dia mendapat banyak tawaran untuk menyambung pelajaran di negara-negara di Eropah namun dia menolaknya. Rasional yang diberikan ialah Jordan lebih baik dari aspek masyarakatnya yang muslim dan Arab yang mana dia boleh mendalami lagi Bahasa Arab dan menguasainya. Madihah turut menyatakan, “Apa yang pernah saya belajar di Malaysia belum memadai untuk menjadikan saya seorang gadis muslimah mukminah sebagaimana yang dituntut.”

Madihah menerima biasiswa daripada Bank Negara Malaysia bagi menyambung pelajarannya selama 4 tahun dalam bidang Fizik di Jordan University of Science and Technology.

Ummu Abbas
3.59pm
8 Jamadil Awwal 1430H

Advertisements