Ratu Akhlak di Saudi (Raja Akhlak?….)

Pencarian Gadis Melayu musim ke 2 akan berlangsung lagi. Bila mendengar perkataan Melayu- ia tidak dapat dipisahkan dengan Islam sebagai agama anutan bangsa Melayu sejak turun-temurun.

Atas dasar itu, saya turut mengikuti perkembangan Gadis Melayu musim pertama dahulu. Kadang-kadang ‘miss’ juga daripada menontonnya.

Neraca pandangan saya sudah semestinya berpandukan al-Quran dan Sunnah. Apabila disebut al-Quran dan Sunnah, ia adalah melibatkan reda Allah sebagai empunya syariat itu sendiri.

Banyak perkara yang diajar kepada peserta dan banyak juga kriteria yang harus dipenuhi bagi melayakkan diri sebagai Gadis Melayu.

Ada perkara yang bertepatan dengan kehendak Allah. Banyak juga yang tidak.

Sebagai contoh; Dalam segmen lamaran TV9 kepada 10 calon Gadis Melayu, ada peserta yang bertudung tanpa segan silu menyalami lelaki dan mencium tangan ajnabi tersebut. Terperanjat saya melihatnya. Apakah ini nilai kesopanan Gadis Melayu beragama Islam dalam menghormati kaum lelaki? Meskipun dia lelaki tua!

Itu baru sahaja segmen dilamar. Belum lagi melangkah masuk ke program realiti TV.

Saya tidak mahu menyinggung banyak perkara berkenaan program berkenaan. Saya hanya mahu menyebut sebagai contoh sahaja.

Terdapat komen pembaca blog semasa pertandingan sedang berlangsung mengatakan bahawa Gadis Melayu adalah gadis pemalu yang tidak akan menonjolkan diri sendiri di khalayak ramai.

Dalam sejarah Islam sendiri, gadis muslimah solehah lebih dikenali kerana akhlaknya dan penampilan yang menepati hukum syarak. Serikandi muslimah juga tidak di’highlight’kan kerana berparas cantik tetapi mereka terkenal kerana daya intelektual, bercakap kerana benar, memperjuangkan nilai-nilai murni dalam masyarakat dan khidmat mereka untuk Islam secara amnya.

gadis muslimahImej dari nurauni.blogspot.com/2008_10_01_archive.html

Saya kira dalam hal ini, tanpa hipokrit dan tanpa perlu diprogram-realitikan, Nik Nur Madihah berjaya menawan ramai hati rakyat Malaysia. Remaja 18 tahun yang mendapat 20A dalam SPM2008.

Sejak hari pertama cerita Madihah disiarkan dalam blog ini, setiap hari nama carian ‘Nik Nur Madihah’ muncul dalam blog saya. Saya sendiri naik hairan. Begitu kuat aura adik Maahad Muhammadi Perempuan yang seorang ini.

Saya kira daya tarikan yang kuat pada adik Nik Nur Madihah ialah sifat taqwa yang ada padanya. Sifat taqwa itu tadi membentuk banyak sikap positif pada dirinya.

Doakanlah buat adik Madihah agar dia istiqamah di atas jalan Allah dan sunnah RasulNya.

Daripada kisah Madihah dan program Gadis Melayu TV9, jelas dapat dilihat kriteria yang mempunyai aura yang kuat dalam masyarakat. Madihah dengan penampilan sederhana, tanpa perlu menari di pentas, apa lagi menggayakan fesyen-fesyen yang mengundang murka Allah- berjaya menawan hati rakyat Malaysia dengan daya intelek dan akhlaknya.

Ya Allah, peliharalah hati Madihah dan ibubapanya untukMu dan untuk menjadi pejuang fisabilillah!

Sekarang Madihah masih lagi di Tanah Haram bersama kedua ibubapanya. Hijjaz Travel telah menepati janji mereka.

Sinonim sekali Madihah yang berada di Tanah Haram dengan berita yang disiarkan akhbar Berita Sinar Harian bertajuk;

200 wanita bertanding Ratu Akhlak di Saudi

Niqabi

RIYADH – Satu acara pemilihan ratu cantik diperkenalkan di Arab Saudi dengan menilai aspek-aspek selain daripada kecantikan dan perkara utama yang diberi keutamaan ialah faktor akhlak dan moral.

Pertandingan yang dikenali sebagai ‘Ratu Akhlak’ ini akan melihatkan semua peserta menunjukkan sikap hormat pada ibu bapa dan tahap keimanan tinggi.

“Idea asas pertandingan ini ialah mahu melihat komitmen sebenar seorang wanita Islam terhadap agamanya,” kata pengasas pertandingan itu, Khadra al-Mubarak.

Beliau juga menegaskan, pemenang untuk pertandingan itu tidak semestinya cantik di segi fizikal.

Khadra berkata apa yang lebih menjadi keutamaan ialah kesucian jiwa dan moral peserta.

Menurut beliau, pertandingan itu menerima 200 penyertaan dan mereka akan meluangkan waktu selama 10 minggu untuk menghadiri kelas berkaitan kesucian jiwa dan membentuk peribadi keibuan yang baik.

Mereka juga akan dinilai tentang cara berhubung dengan ibu masing-masing manakala faktor kelembutan serta kesopanan akan diambil kira.

http://www.sinarharian.com.my/com/content/story2738846.asp

Saya berharap akhlak Islam semakin mengambil tempat di hati ummah di akhir zaman ini. Gejala materialistik dan memandang rupa semata-mata harus ditolak ke belakang kerana terbukti ia banyak merosakkan manusia dan tamaddun mereka.

PS: Sempena politik tempoyak (meminjam istilah Pak Sayuti) di Perak yang masih kucar-kacir, saya mahu lihat apakah Zambry akan merebut gelaran ‘Raja Akhlak’.

Orang kata, harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama.

Apakah Zambry suka mati meninggalkan nama yang dicemuh rakyat sehingga hari kiamat?

Wallahua’alam.

Ummu Abbas
11.05am
20 Jamadil Awwal 1430H

Advertisements