Ratu Akhlak di Saudi (Raja Akhlak?….)

Pencarian Gadis Melayu musim ke 2 akan berlangsung lagi. Bila mendengar perkataan Melayu- ia tidak dapat dipisahkan dengan Islam sebagai agama anutan bangsa Melayu sejak turun-temurun.

Atas dasar itu, saya turut mengikuti perkembangan Gadis Melayu musim pertama dahulu. Kadang-kadang ‘miss’ juga daripada menontonnya.

Neraca pandangan saya sudah semestinya berpandukan al-Quran dan Sunnah. Apabila disebut al-Quran dan Sunnah, ia adalah melibatkan reda Allah sebagai empunya syariat itu sendiri.

Banyak perkara yang diajar kepada peserta dan banyak juga kriteria yang harus dipenuhi bagi melayakkan diri sebagai Gadis Melayu.

Ada perkara yang bertepatan dengan kehendak Allah. Banyak juga yang tidak.

Sebagai contoh; Dalam segmen lamaran TV9 kepada 10 calon Gadis Melayu, ada peserta yang bertudung tanpa segan silu menyalami lelaki dan mencium tangan ajnabi tersebut. Terperanjat saya melihatnya. Apakah ini nilai kesopanan Gadis Melayu beragama Islam dalam menghormati kaum lelaki? Meskipun dia lelaki tua!

Itu baru sahaja segmen dilamar. Belum lagi melangkah masuk ke program realiti TV.

Saya tidak mahu menyinggung banyak perkara berkenaan program berkenaan. Saya hanya mahu menyebut sebagai contoh sahaja.

Terdapat komen pembaca blog semasa pertandingan sedang berlangsung mengatakan bahawa Gadis Melayu adalah gadis pemalu yang tidak akan menonjolkan diri sendiri di khalayak ramai.

Dalam sejarah Islam sendiri, gadis muslimah solehah lebih dikenali kerana akhlaknya dan penampilan yang menepati hukum syarak. Serikandi muslimah juga tidak di’highlight’kan kerana berparas cantik tetapi mereka terkenal kerana daya intelektual, bercakap kerana benar, memperjuangkan nilai-nilai murni dalam masyarakat dan khidmat mereka untuk Islam secara amnya.

gadis muslimahImej dari nurauni.blogspot.com/2008_10_01_archive.html

Saya kira dalam hal ini, tanpa hipokrit dan tanpa perlu diprogram-realitikan, Nik Nur Madihah berjaya menawan ramai hati rakyat Malaysia. Remaja 18 tahun yang mendapat 20A dalam SPM2008.

Sejak hari pertama cerita Madihah disiarkan dalam blog ini, setiap hari nama carian ‘Nik Nur Madihah’ muncul dalam blog saya. Saya sendiri naik hairan. Begitu kuat aura adik Maahad Muhammadi Perempuan yang seorang ini.

Saya kira daya tarikan yang kuat pada adik Nik Nur Madihah ialah sifat taqwa yang ada padanya. Sifat taqwa itu tadi membentuk banyak sikap positif pada dirinya.

Doakanlah buat adik Madihah agar dia istiqamah di atas jalan Allah dan sunnah RasulNya.

Daripada kisah Madihah dan program Gadis Melayu TV9, jelas dapat dilihat kriteria yang mempunyai aura yang kuat dalam masyarakat. Madihah dengan penampilan sederhana, tanpa perlu menari di pentas, apa lagi menggayakan fesyen-fesyen yang mengundang murka Allah- berjaya menawan hati rakyat Malaysia dengan daya intelek dan akhlaknya.

Ya Allah, peliharalah hati Madihah dan ibubapanya untukMu dan untuk menjadi pejuang fisabilillah!

Sekarang Madihah masih lagi di Tanah Haram bersama kedua ibubapanya. Hijjaz Travel telah menepati janji mereka.

Sinonim sekali Madihah yang berada di Tanah Haram dengan berita yang disiarkan akhbar Berita Sinar Harian bertajuk;

200 wanita bertanding Ratu Akhlak di Saudi

Niqabi

RIYADH – Satu acara pemilihan ratu cantik diperkenalkan di Arab Saudi dengan menilai aspek-aspek selain daripada kecantikan dan perkara utama yang diberi keutamaan ialah faktor akhlak dan moral.

Pertandingan yang dikenali sebagai ‘Ratu Akhlak’ ini akan melihatkan semua peserta menunjukkan sikap hormat pada ibu bapa dan tahap keimanan tinggi.

“Idea asas pertandingan ini ialah mahu melihat komitmen sebenar seorang wanita Islam terhadap agamanya,” kata pengasas pertandingan itu, Khadra al-Mubarak.

Beliau juga menegaskan, pemenang untuk pertandingan itu tidak semestinya cantik di segi fizikal.

Khadra berkata apa yang lebih menjadi keutamaan ialah kesucian jiwa dan moral peserta.

Menurut beliau, pertandingan itu menerima 200 penyertaan dan mereka akan meluangkan waktu selama 10 minggu untuk menghadiri kelas berkaitan kesucian jiwa dan membentuk peribadi keibuan yang baik.

Mereka juga akan dinilai tentang cara berhubung dengan ibu masing-masing manakala faktor kelembutan serta kesopanan akan diambil kira.

http://www.sinarharian.com.my/com/content/story2738846.asp

Saya berharap akhlak Islam semakin mengambil tempat di hati ummah di akhir zaman ini. Gejala materialistik dan memandang rupa semata-mata harus ditolak ke belakang kerana terbukti ia banyak merosakkan manusia dan tamaddun mereka.

PS: Sempena politik tempoyak (meminjam istilah Pak Sayuti) di Perak yang masih kucar-kacir, saya mahu lihat apakah Zambry akan merebut gelaran ‘Raja Akhlak’.

Orang kata, harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama.

Apakah Zambry suka mati meninggalkan nama yang dicemuh rakyat sehingga hari kiamat?

Wallahua’alam.

Ummu Abbas
11.05am
20 Jamadil Awwal 1430H

Advertisements

Hari-hari ‘Hari Ibu’

Kek Coklat sempena Hari Ibu 10 Mei 2009
Kek Coklat sempena Hari Ibu 10 Mei 2009

Selepas anak-anak pulang tengahari kelmarin. Saya turun ke dapur. Saya melihat ada sebiji Kek Coklat bersaiz kecil di atas meja.

” Kek siapa ni?,” saya bertanya. Anak-anak saya suka Kek Coklat. Saya suka Kek Keladi.

“Kek untuk Umi. Abi bagi,” Aziz menyahut.

“Kek untuk Umi? Untuk apa?” saya tidak faham. Lagi pun kek itu tidak bertulis apa-apa.

“Kek Hari Ibu!”

“Ooo…begitu. Betulkah Abi yang beli untuk Umi? Atau ada sesiapa yang mahu makan kek ini,” saya mahu kepastian. Biasanya suami saya tidak ingat tarikh-tarikh penting bagi isteri. Dia kata banyak lagi perkara lain yang perlu diingat dan difikirkan, sebaik saya menyuarakan hal demikian.

Tarikh lahir saya dia tidak pernah ingat.

Ulangtahun perkahwinan tidak pernah sebut.

Saya pun malas ambil hati. Kebaikan dia lebih banyak dari kelemahan dia. Itu yang saya fikirkan. Saya pun banyak kelemahan juga.

Seketika kemudian, Abbas yang sudah bersalin pakaian turun ke dapur sambil tersenyum.

“Abbas beli kek ini. Lepas itu Abi suruh buang tanda harga sebab kek murah.”

Bukankah betul telahan dan keraguan saya tadi. Anak saya sebenarnya yang ingat tentang Hari Ibu. Suami saya menumpang idea anak saya sahaja. Apa pun, saya menghargai pemberian dan ingatan mereka.

Saya teringat setiap tahun, akan ada sesuatu yang dibuat seperti kad ucapan dan hadiah kecil dibawa pulang anak-anak sempena Hari Ibu. Cikgu mereka yang mengajarnya di sekolah.

************

Semalam semasa Hari Ibu menjelma, saya sendiri teringatkan ibu saya. Terlupa diri sendiri juga adalah ibu.

Saya dapat rasakan betapa murninya kasih seorang ibu yang tidak mengharapkan apa-apa balasan dari anaknya.

Cukuplah kalau anak-anak mengingatinya dan mencurahkan kasih sayang di hari tuanya. Bukan belaian dan kasih bibik yang diharapkan sebagaimana yang dilakukan kebanyakan anak-anak zaman sekarang.

Islam itu indah- mengajarkan anak-anak agar menghormati ibu bapa setiap detik dan ketika.

Allah berpesan dalam surah al-Isra’, ayat 23 dan 24,

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-matadan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “uh” serta dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

[24] Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Limpahkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.

Jika sambutan Hari Ibu bertujuan membesarkan dan menghormati ibu setahun sekali, maka ia tersasar jauh dari konsep moral insan yang diajar oleh Islam.

Meskipun ibubapa berjauhan bahkan sudah meninggal sekalipun, Islam mendidik ummatnya agar mendokan ibubapa setiap kali selepas solat.

Paling kurang 5 kali sehari anak-anak memanjatkan doa qudus buat ibubapa mereka seusai solat 5 waktu.

Bagi ummat Islam, wajarlah menjadikan Hari Ibu sebagai hari menambah kasih sayang, menginsafi kekhilafan diri selama ini terhadap ibu serta memperbaiki hubungan silaturrahim.

Kerajaan Islam Kelantan sejak sekian lama menjadikan hari Jumaat sebagai Hari Ilmu dan hari Sabtu sebagai hari bersama keluarga dan mengeratkan silaturrahim.

Ke mana masa yang kita habiskan setiap hujung minggu?

Jika kita tinggal berjauhan dari orang tua, haruslah kita menelefon mereka bertanya khabar.

Jika tinggal berdekatan, kunjungi mereka setiap minggu.

Jika tinggal serumah tiada masalah.

Percayalah, silaturrahim yang kita jaga dengan ibubapa akan menambah barakah dalam hidup meskipun kita miskin harta.

Saya gembira melihat riak riang di wajah ma, abah dan mak setiap kali menziarahi mereka. Saya dapat rasakan mereka merasa dihargai apabila kita menjenguk wajah ke rumah mereka.

Yang paling penting, mereka yakin dengan kasih sayang kita pada mereka yang telah tua. Tua usia yang banyak dihabiskan kerana membesarkan kita agar kita menjadi ‘manusia’ sempurna.
Kasar tangan mereka dan kedut seribu wajah mereka ditelan masa semata-mata mahu lihat anak-anak berjaya di dunia dan di akhirat.

Kek Coklat 2

Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Hari Ibu buat Ma (ibu kandung), Mak (ibu mertua) dan semua pengunjung blog yang bergelar ibu khusus buat penjenguk setia blog ini seperti Ummu Hakim, Chik (ibu ummah, insya Allah), Milla dan lain-lain yang tidak saya kenali.

Jemput makan kek itu!….

Ummu Abbas
12.28pm
17 Jamadil Awwal 1430H

Mutiara Hati Jumaat: Mana yang Lebih Baik?

” Dosa yang menerbitkan rasa hina dan bersalah di hadapan Allah lebih Dia sukai daripada ketaatan yang membawa kepada perasaan ujub di hadapanNya.

Kiranya kamu tidur sepanjang malam dan bangun dengan rasa penuh menyesal adalah lebih baik daripada kamu qiyam di malam hari dan bangun dengan rasa takjub pada diri sendiri.

Seorang yang ujub tidak diterima sebarang amalan.

Dan andainya kamu ketawa sambil mengaku kesalahanmu, adalah lebih baik daripada kamu menangis sambil mendakwa kebaikan dirimu.

Rintihan orang yang berdosa itu lebih disukai Allah daripada bunyi-bunyi orang bertasbih sambil memuji diri.

Barangkali melalui dosa itulah Allah berikan ubat yang dapat menghapuskan penyakit yang parah dalam dirimu yang langsung kamu tidak sedari.”

-Ibnu al-Qayyim, Tahzib Madaarij al-Salikin.

*****************

Perenggan pertama mutiara kata di atas pernah diucapkan oleh seorang sahabat saya di Amman, Jordan dulu. Namun pada masa itu, saya terlepas pandang dari bertanyakan rujukannya.
Sahabat saya itu sekarang mengajar di Sabah. Saya tidak dapat menghubunginya kerana tidak mempunyai nombor telefon.

Kata-kata itu terus bergema dan mengingatkan diri saya agar berada di kedudukan yang betul di sisi Allah- yakni kita hanya hamba.

Akhir-akhir ini, saya sering teringat kata-kata di atas dan mahu mencari sumbernya. Saya kurang pasti adakah ia hadis Nabi s.a.w atau athar sahabat atau kata-kata ulama’ dan hukama‘.

Suatu hari, jam 6.38pm bertarikh 15 April 2009 handphone saya berdering menandakan sms masuk.

Saya membukanya dan mendapat mutiara kata di atas secara panjang lebar berserta rujukannya sekali dari seorang sahabat yang berada hampir dengan saya di Kota Bharu.

Alhamdulillah… subhanallah. Maha Kasihnya Allah. Maha Memahaminya Allah. Meskipun saya tidak pernah memohon agar diberi petunjuk sumber asal kata-kata itu…namun Dia mengetahui bisikan hati saya dan saya berkeluh kesah kerananya.

Jazakillah Yu (nama panggilan sahabat saya itu) dan segala puji bagiMu ya Allah. NikmatMu senantiasa melebihi dari apa yang kupinta namun sedikit sekali aku bersyukur padaMu.. Ya Allah.

Saya memang mempunyai niat berkongsi penawar jiwa di atas dengan pembaca blog saya. Namun selagi saya tidak menemui sumber asalnya, saya terpaksa menahan diri terlebih dahulu.

Untuk apa saya ceritakan latar penulisan entry ini?

Moga saudara pembaca yang mendapat manfaat dari perkongsian ini membanyakkan syukur kepada Allah.

Maha Baiknya Allah yang sentiasa mengingatkan kita dan memberi penawar kalbu agar diri kita bertambah bersih.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

La hawla wa la quwwata illa billah al-‘aliyyul azhim.

Ummu Abbas
11.28am
13 Jamadil Awwal 1430H

Bidadari dari TIMUR

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمـٰنِ الرَّحِيمِ

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

وَنَفْسٍ وَّمَا سَوَّاٮهَا
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);

فَاَلْهَمَهَا فُجُوْرَهَا وَتَقْوٰٮهَا
Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa;

Surah al-Syams: 7 & 8

************

Setelah Allah melengkapkan kejadian manusia dengan pelbagai anggota badan, Allah mencipta dua lorong kehidupan buat mereka. Lorong-lorong yang dipenuhi maksiat dan dosa serta lorong-lorong yang dipenuhi taat dan pahala.

Potensi manusia untuk berlaku taat dan derhaka sama tahap. Di antara dua tahap kemampuan manusia itu, Allah menyebut naluri manusia yang cenderung melakukan perkara jahat sebelum memilih amalan baik.

Namun bagi menegah manusia menurut nafsu yang cenderung kepada kejahatan, Allah memintas dengan motivasi melalui ayat 9 surah al-Syams,

قَدْ اَفْلَحَ مَنْ زَكّٰٮهَا

Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan dirinya yang sedia bersih (dengan iman dan amal kebajikan)

Fitrah manusia suka berjaya dan berjaya dalam setiap perkara yang dilakukan. Justeru Allah menyebut balasan kejayaan itu adalah bagi mereka yang berusaha menyucikan dirinya. Menyucikan diri manusia mestilah bermula dari membersihkan hati dari mazmumah serta mengisinya dengan mahmudah. Apabila hati bersih dan terpandu dengan hidayah Allah, barulah ia menggerakkan anggota badan untuk beramal soleh.

Perkara sebaliknya akan berlaku apabila manusia mengotorkan hatinya. Binasa, kecewa, hampa dan putus asa dalam hidup adalah ganjaran yang sepatutnya bagi jiwa yang tidak bersih. Meskipun pada zahirnya ia dikurniakan pelbagai nikmat hidup duniawi seperti kaya, cantik/kacak dan berpangkat tinggi.

Allah menegaskan dalam ayat seterusnya dari surah al-Syams, ayat 10,

وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسّٰٮهَاؕ

Dan sesungguhnya binasalah orang yang mengotorkan dirinya yang sedia bersih itu (dengan maksiat).

Allah memberi manusia membuat pilihan secara bebas menentukan arah hidup mereka. Syurga atau neraka. Tiada tempat berkecuali atau tiada pilihan ketiga, keempat dan seterusnya.

Allah juga hanya akan mengubah halatuju dan taraf hidup kita setelah kita sendiri mahu mengubah dan berusaha mengubahnya. Allah menyebut dalam surah al-Ra’du, ayat 11,

إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri

**********

Saya salah seorang dari manusia yang Allah sebutkan di atas. Tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan surirumah bukanlah kecil dan remeh. Berapa ramai isteri mendorong suami menjadi tokoh pejuang di muka bumi.. berapa ramai pula ibu-ibu melahir serta membentuk para ulama’, intelektual Islam dan saintis Islam.

Benarlah kata pepatah, “Tangan yang menghayun buaian itu bakal menggoncangkan dunia”

Para-para ibu terkemuka telah menggoncang dunia melalui Khalifah Umar Abdul Aziz, Sultan Solahuddin al-Ayyubi, Sultan al-Fateh, Tok Guru Nik Abdul Aziz dan lain-lain. Para isteri meneruskan kesinambungan tugas seorang ibu dengan kelembutan sikap dan kehalusan kasih sayang nan tulus buat suaminya.

Apabila saya kagum dengan mana-mana tokoh, saya cuba menelusuri tulang belakang mereka. Saya percaya dan yakin, kehebatan dan ketokohan mereka dihasilkan dari kelembutan seorang wanita. Disebalik kelembutan dan kasih sayang wanita itulah menyerlah kehebatan kasih sayang dan Maha Lemah Lembutnya Allah. Kita nampakkah semua itu?

Begitulah cara Allah mendidik kita. Penuh lemah-lembut dan kasih sayang. Namun, dalam meniti hari sebagai seorang isteri, ibu dan surirumah…saya merasa sungguh lemah dan jahil dalam banyak perkara. Saya sering melakukan kesilapan kerana saya punya nafsu yang cenderung bertuhankan keinginan sendiri. Namun Allah menegur dan sering mengingatkan saya agar berusaha membersihkan diri serta menambah ilmu.

Saya berusaha menambah ilmu mendidik anak-anak melalui buku-buku, suami, ibu kandung, ibu mertua, kawan-kawan yang senior dan usrah. Saya baru belajar Khalifah Method secara borong dalam Usrah Mothers.

Saya ingin jadi ibu yang baik dan diredai Allah. Antara perkara yang mampu mendorong saya untuk memperbaiki diri ialah membaca pengalaman orang lain. Antara buku terbaru yang saya beli di PBAKL09 ialah buku Bidadari dari Timur. Saya habiskan sehari untuk membaca buku ini, alhamdulillah.

bidadari-dari-timur

Teknik bercerita yang dipersembahkan memudahkan saya membacanya dengan cepat.

Saya kagum dengan seorang isteri dan ibu seperti Cik Yah (panggilan mesra di kalangan kami) yang tiada pendidikan formal namun mampu menjadi sayap kiri Tok Guru Nik Aziz, tokoh ulama dan pemimpin terbilang saat ini. Bacalah kisah hati dan jiwanya yang penuh tawaduk. Walaupun ia tidak ditulis secara sorohah (terus terang), namun saya dapat mengesannya lewat dirinya yang mudah menerima ilmu dari suaminya sendiri. Beliau juga seorang isteri yang qanaah dengan rezeki suaminya.

Pembacaan saya jadi lebih menarik kerana saya terbayang-bayangkan wajah Cik Yah yang murah dengan senyuman ikhlas. Cik Yah dan 5 orang anak perempuannya pernah bermalam di rumah saya di Sweileh, Amman, Jordan. Mereka transit di Jordan dalam perjalanan pulang dari Saudi.

Pada masa itu, mereka mengikuti rombongan Tok Guru ke Cordova, Sepanyol.

Saya mahu meneladani Ummahatul Mukminin, isteri para ulama dan ibu-ibu orang beriman, insyaAllah. Namun satu perkara yang harus kita awasi, ialah IKHLASkan hati kerana Allah semata.

Siapa pun suami dan anak-anak kita, yang penting mereka mampu menjadi manusia berjiwa hamba kepada Allah.

Iya, insan berjiwa hamba itulah status tertinggi di sisi Allah.

Mampukah kita menjadi BIDADARI dunia buat suami dan anak-anak kita?

La hawla wala quwwataillah billah.

Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan izinNya jua.

Ummu Abbas
10.49am
11 Jamadil Awwal 1430H

Nur Madihah dalam Akhbar Jordan

Wartawan Jordan, Abdullah al-Sawalihah telah menemubual Nik Nur Madihah melalui email mengenai hasratnya menyambung pelajaran di Jordan University of Science and Technology (JUST- http://www.just.edu.jo/index/default.aspx )

Berita mengenainya disiarkan akhbar Fact International (Lihat http://www.factjo.com/fullnews.aspx?id=8181) pada 30 April 2009.

Wartawan tersebut telah menemubual 4 orang siswazah dari universiti-universiti Jordan yang sudah berkerja di tanah air mengenai pengalaman mereka belajar di sana. Nur Madihah pula merupakan individu kelima ditanya kenapa beliau memilih Jordan.

Madihah menjelaskan bahawa dia mendapat khabar positif mengenai suasana belajar di Jordan. Bapanya dan beberapa orang guru turut menasihati agar beliau menyambung pelajaran di Jordan memandangkan suasana masyarakat di sana lebih terkawal.

Madihah menambah lagi, dia mendapat banyak tawaran untuk menyambung pelajaran di negara-negara di Eropah namun dia menolaknya. Rasional yang diberikan ialah Jordan lebih baik dari aspek masyarakatnya yang muslim dan Arab yang mana dia boleh mendalami lagi Bahasa Arab dan menguasainya. Madihah turut menyatakan, “Apa yang pernah saya belajar di Malaysia belum memadai untuk menjadikan saya seorang gadis muslimah mukminah sebagaimana yang dituntut.”

Madihah menerima biasiswa daripada Bank Negara Malaysia bagi menyambung pelajarannya selama 4 tahun dalam bidang Fizik di Jordan University of Science and Technology.

Ummu Abbas
3.59pm
8 Jamadil Awwal 1430H

Manisnya Solat

Bintu Ahmad

Dengan nama Allah yg Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani…

selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW…
dan Assalamu’alaikum dan salam mahabbah buat kak Nur sekeluarga…

kak Nur diri ini ingin mencari suatu yg hilang..hilang disebalik ke kelaman ilmu..blum sempt untk mencari jawapanya..tapi untuk permulaannya diharap kak Nur sudi memberi kata petunjuknya dahulu..

soalan saya..bagaimana untk mencari kemanisan solat yg sebenarnya..agr dri ini sentiasa rindu utk bertemu dgnNya..

Wallahu’alam..

Allah matlamat kami..

p/s:jazakillah kak Nur..ats jwpn yg diberikn..

**********

solat-1

Wa’alaykum salam wbh Bintu Ahmad,

Kak Nur bukanlah orang yang layak memberi jawapannya namun untuk tidak menghampakan, Kak Nur usahakan juga memberi pandangan. Secara ringkasnya persoalan ini telah dijelaskan dalam entri bertajuk Tip Khusyuk Dalam Solat.

Sebagai tambahan kepada entri itu, Kak Nur ingin berikan 1 tip secara umum.

Setiap daripada tindakan yang kita lakukan tidak dapat lari daripada terlibat dalam 5 hukum Islam: Wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

Para wali Allah yang dapat merasa manisnya solat dan sentiasa rindu untuk bertemu Allah akan berusaha memastikan segala tindakannya berada dalam lingkaran hukum sunat dan wajib.

Mereka juga menjaga hubungan hati dengan Allah dan menjaga hubungan sesama manusia.

Perkara ini hanya akan didapati apabila kita bermujahadah bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu.

Hawa nafsu yang berjaya ditundukkan akan memberi kesan khusyuk dan manisnya solat.

Banyak atau sedikit kita dapat rasakan lazatnya atau manisnya solat bergantung pada banyak atau sedikit kita menurut hawa nafsu. Kalau kita banyak menurut hawa nafsu, maka kemanisan solat akan berkurangan.

Menurut hawa nafsu bukan sahaja pada perkara yang haram atau makruh. Bahkan boleh berlaku dalam perkara harus. Contoh: Tatkala kita mahu makan. Kita perlu bertanya pada diri sendiri, “Adakah perut kita lapar?”

Jika perut kita belum lapar, kemudian kita makan juga semata-mata hidangan di depan mata kelihatan sedap, maka ketika ini kita dikatakan menurut hawa nafsu. Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w mengajar kita makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.

Contoh lain:
Apabila kita berbual atau menulis perkara baik, kita bertanya dahulu diri kita,”Untuk siapakah kata-kata/penulisan yang akan diluahkan? Untuk kepentingan dirikah atau untuk mendapat reda Allah?”

Apabila kita pasti mahu mendapat pandangan Allah semata, maka teruskanlah kata-kata atau tulisan kita. Namun jika kita berkata-kata atau menulis kerana riya’, lebih baik kita diam sahaja.

Banyak atau sedikit rasa rindu bertemu Allah juga bergantung banyak sedikit kita mematuhi perintah Allah dibandingkan perintah nafsu.

Begitulah seterusnya dalam segala tindakan kita, kita wajib memastikan ia dilakukan dengan ikhlas dan menepati sunnah. Disiplin yang sama bila kita dapat lakukan dalam seluruh amalan kita, insya Allah akan menghasilkan solat yang manis dan menambah suhu rindu kepada Allah.

Adikku, sesungguhnya mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis.

Berbahagialah para hamba yang berjaya menundukkan hawa nafsunya menurut kehendak Allah semata.

Memadai setakat ini dahulu jawapan Kak Nur pada persoalan yang dikemukakan. Sesuai dengan permohonan adik sendiri yang mahu petunjuk awal terlebih dahulu.

Berbahagialah mereka yang memenangkan Allah dalam diri mereka.

Moga Allah membantu kita melawan hawa nafsu.

Moga Allah anugerahkan solat yang manis.

Amin. Ya Rabbal Alamin.

Ummu Abbas
11.48pm
7 Jamadil Awwal 1430H