Suami berzina: Apa yang perlu isteri buat?

Submitted on 2009/05/26 at 5:52am

assalamualaikum…

saya ada masaalah berkaitan rumahtangga… sebelum ini rumahtangga saya aman bahagia,. untuk pengetahuan kak, baru 4 tahun saya berumahtangga dan anak masuk 2 orang. Sekarang saya mengandung 8 bulan.. baru-baru ini suami saya berterus terang bahawa dia telah terlanjur dengan bekas teman wanitanya di universiti dulu.. dan dia ingin mengambilnya sebagai isteri.. saya sedih yang teramat sangat. sukar menerima kenyataan.. setiap kali solat saya pohon allah beri petunjuk apa yang harus saya lakukan, perlukah saya menberi izin sedangkan saya terlalu sedih dengan keputusan ini. kini saya redha dan memberi izin suami berkahwin lagi. bagaimana saya ingin mengubat hati ini. sebenarnya saya takut suami akan mengabaikan saya dan anak2. saya pohon kak berikan saya nasihat berkaitan poligami.

***************
Wa’alaykumussalam warahmatullahi wabarakatuh,

Mai yang dikasihi Allah,

Pertama kali, akak mohon maaf kerana lambat memberi respon pada persoalan Mai. Keadaan akak yang agak sibuk dan kurang sihat menyebabkan ia tertangguh.

Mai yang dihormati,

Sebagai perempuan, akak faham perasaan Mai yang berhadapan dengan masalah suami sekarang. Sebelum akak memberi pandangan lanjut, akak mahu Mai fahami terlebih dahulu bahawa semua takdir Ilahi sama ada baik atau buruk adalah kerana Allah mahu kita kembali kepadaNya. Kembali dengan ertikata kita mengabdikan diri kepada Allah sepenuh jiwa raga.

Mai,

Kalau kita sedih dan cemburu bila suami memberi perhatian pada perempuan lain, Allah lebih cemburu bila para hambaNya memberi perhatian kepada urusan duniawi lebih dari urusan mencari redaNya. Ini kerana Allah telah menetapkan objektif Dia mencipta kita melalui surah al-Zaariyaat, ayat 56,

Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk menyembahKu”

Allah akan sentiasa menguji kita sehingga kita benar-benar bertaubat. Allah tidak mencipta kita kecuali untuk menjadi hambaNya.

Mai,

Berhubung persoalan Mai, apakah jalan terbaik untuk berhadapan situasi suami yang ingin berkahwin lagi. Sementelah pula suami sudah terlanjur berzina dengan bekas teman wanitanya.

Untuk pengetahuan Mai, menurut peruntukan hudud, seseorang yang telah dan pernah berkahwin apabila sabit melakukan zina, maka pesalah harus direjam sampai mati. Dalam kes ini, suami Mai sendiri mengaku dia telah berzina. Pengakuan yang kita sebut ikrar dalam prinsip pembuktian Islam adalah salah satu kaedah yang diterima pakai untuk mensabitkan kesalahan. Justeru itu, nyawa suami Mai dalam konteks ini sudah menjadi halal untuk dibunuh dengan cara direjam dengan batu.

Hukuman rejaman dengan batu sehingga mati ini tidak didatangkan melalui nas al-Quran. Sebaliknya datang melalui sunnah Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w berkata,

Tidak halal darah seseorang muslim kecuali dengan salah satu 3 perkara: Kufur setelah beriman (yakni murtad), berzina setelah berkahwin dan membunuh seseorang bukan kerana balas bunuh”.

Rasulullah s.a.w telah melaksanakan hukuman bunuh kepada penzina yang sudah berkahwin dengan merejam menggunakan batu sampai mati. Amalan ini terus ditunaikan oleh para sahabat selepasnya.

Jika kita menurut tentang konsep kehakiman Islam di atas, pada pandangan akak, adalah lebih baik Mai membuat tuntutan fasakh sahaja di Mahkamah Syariah. Ia bukan lagi menyentuh isu mengizinkan suami kahwin lagi atau tidak. Itulah jalan yang ada dalam keadaan Negara tidak melaksanakan hukum hudud. Perlu difahami juga, menjadi tanggungjawab pemerintah atau pihak berkuasa melaksanakan hukum hudud. Individu tidak boleh mengambil tanggungjawab tersebut.

Pandangan di atas adalah berdasarkan zahir maklumat dan persoalan yang dikemukakan. Selain daripada pandangan di atas, di sana ada beberapa perkara lagi yang harus difikirkan yakni,

1) Adakah suami Mai benar-benar terlanjur dengan bekas kekasihnya itu atau ia hanya satu helah untuk mendapat restu mudah bagi berkahwin lagi?
2) Mai juga harus mengoreksi diri adakah Mai pernah mengabaikan hak suami untuk melakukan hubungan intim. Sekiranya ada, anggaplah ujian ini sebagai penghapus dosa tersebut. Namun demikian, bagi pihak suami, ia bukan alasan untuk berzina dengan orang lain. Masih ada ikhtiar selain berzina yakni memberi didikan pada Mai menurut landasan Islam, berpuasa dan berkahwin dulu dengan calon yang sesuai.
3) Mai juga harus muhasabah diri adakah Mai pernah melayani lelaki selain suami sama ada layanan dalam pergaulan biasa atau lebih dari itu. Jika pernah, maka apa yang Mai lalui sekarang adalah satu teguran dari Allah agar Mai memperbaiki diri untuk berakhlak dengan akhlak muslimah sejati. Jika Mai bukan begitu, maka lebih baik Mai solat hajat dan solat istikharah untuk membuat keputusan. Jika Mai mendapat petunjuk fasakh itu sebagai jalan keluar, bertawakkallah kepada Allah bahawa Allah akan memberi kehidupan yang lebih harmoni seperti menggantikan pasangan yang lebih baik buat Mai dan anak-anak.

Mai yang dikasihi,

Akak berpandangan Mai perlu mengambil keputusan tegas dalam hal ini. Ia melibatkan hukum Allah dan masa depan pendidikan anak-anak. Mai hanya boleh berlembut sekiranya suami Mai bertaubat dengan taubat nasuha serta memperbaiki amalannya dengan sungguh-sungguh. Itu pun Mai masih berhadapan dengan risiko seperti mendapat penyakit kelamin dan kesan pada hubungan intim yang akan dilakukan bersama suami kelak.

Dalam kes penyakit kelamin, Mai perlu minta dari suami agar melakukan pemeriksaan kesihatan. Jika suami masih sihat, bolehlah Mai bertolak ansur dan memberi dorongan agar suami bertaubat dan berubah. Jika sebaliknya dan Mai pula belum dijangkiti sebarang jangkitan, maka menurut pandangan Islam, kita sepatutnya tidak membiarkan diri terjun ke lembah yang memusnahkan diri kita.

Kaedah Islam menyatakan,

Tidak boleh memudaratkan (orang lain) dan tidak boleh dimudaratkan (oleh orang lain).”

Mai,

Jika Mai mahu menyintai Allah dan dicintai Allah, lakukan sesuatu keranaNya semata. Mai harus berani dan yakin pada janji-janji Allah.

Indahnya hidup kita bila kita mengabdikan diri sepenuhnya di bawah kekuasaan Allah.

Taat dan patuh kita pada manusia patuh bersyarat dan bukannya patuh mutlak. Apabila manusia berani mencabar hukum Allah, maka berpalinglah dari mereka dan hadapkan wajah untuk Allah semata.

Inilah akidah kita dan inilah janji kita sejak sebelum kita dilahirkan oleh kedua ibubapa kita.

Allah berpesan kepada kita melalui ayat 28 surah al-Kahf,

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”

Mai,

Akak mohon maaf jika jawapan di atas kurang memuaskan hati Mai. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Allah tidak membebankan seseorang kecuali menurut tahap kemampuannya.

Teruskan bersabar Mai dan mintalah pertolongan dari Allah. Akak nasihatkan Mai merujuk juga masalah ini ke pejabat syariah berdekatan. Apa yang penting ialah kita mahu penyelesaian yang diredai Allah. Apabila Allah reda, hati akan tenang meskipun pahit menghadapi kenyataan.

Mai,

Jika terdapat lagi kemusykilan, bolehlah bertanya lagi.

Apa yang baik itu dari Allah, dan apa yang kurang dari kelemahan akak sendiri.

Sekian, wassalam.

Yang benar,
Ummu Abbas
2.53pm
8 Jun 2009

Advertisements

Ratu Cantik Islamik

Saya pernah paparkan berita mengenai pertandingan Ratu Cantik Akhlak di Saudi sebelum ini. Saya baru terbaca berita keputusan pertandingan itu di Harian Metro. Teringat pula pada satu program yang diadakan semasa saya di Tahun Pertama di Jordan yakni bagi Sesi 1992/93. Program itu dianjurkan oleh kakak-kakak senior. Kalau tidak silap, programnya selama tiga hari yang mana rehlah ke Aqabah adalah sebahagian daripada program tersebut.

Saya hanya menurut bersama rakan-rakan yang lain dan memberi sepenuh komitmen kepada program yang diadakan. Jika pertandingan Ratu Akhlak memberi penekanan pada aspek komunikasi dengan ibu, program yang saya ikuti di Tahun 1 itu pula memberi penekanan pada aspek komunikasi dan interaksi sesama rakan sebaya. Aspek lain yang diperhatikan antaranya ialah daya fokus pada program, kerjasama dan menepati masa. Antara pengisiannya ialah diskusi kepada kertas kerja yang dibentangkan, memasak beramai-ramai, membentangkan resolusi, kuiz minda, berlakon pantomim, persembahan nasyid dan lain-lain. Kreatif juga kakak-kakak ini dalam merangka modul pengisian.

Kami tidak diberitahu akan ada satu anugerah keseluruhan bagi program tersebut yakni anugerah Tokoh Muslimah. Pemenang Tokoh Muslimah itu diumumkan di bawah rendangan pepohon pain di pinggir hutan di Jordan. Pada masa itu, kami dalam perjalanan pulang dari Pantai Aqabah menuju Amman. Kami singgah di situ bagi menjalani pengisian terakhir program.

Para ‘syabab’ (pemuda) ada programnya sendiri. Jadi suasana kami ‘akhawat’ tidak bercampur dengan ‘syabab’. Kami para peserta agak terperanjat dengan adanya anugerah tersebut. Paling mengujakan ialah apabila nama saya diumumkan sebagai penerima anugerah. Alhamdulillah.

Apa perasaan saya setelah nama saya diumumkan? Terperanjatlah juga namun saya bangun dengan tenang untuk mengambil hadiah yang disediakan. Foto saya menerima hadiah tersebut masih saya simpan.

Anugerah-anugerah ini hal duniawi sahaja. Tiada apa yang mahu dibanggakan. Apa yang penting amalan kita diterima Allah.

Kita juga belum tahu bagaimana akhirnya penamat hidup kita. Dalam imankah atau sebaliknya? Na’uzubillah.

Di akhir zaman seperti sekarang, bukan mudah mempertahankan iman dan taqwa. Ada masa naik dan turun.

Sudah ramai manusia yang permulaan hidupnya baik namun buruk kesudahannya. Begitu jua sebaliknya. Ia menunjukkan Allah mahu kita sentiasa merendah diri memohon keampunan dan pertolonganNya.

Baik kita kerana Allah izinkan kita berbuat demikian. Bukannya atas usaha kita sendiri secara mutlak.

Semoga kita semua dilindungi Allah dan dibimbingNya hingga ke saat nafas terakhir. Amin.

Selamat membaca khabar penyejuk hati di bawah ini.

Rujukan: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Ekstra/20090511083728/Article/index_html

Ratu cantik Islamik

SUkaina

SUKAINA al-Zayer tidak mungkin berpeluang menang sebarang pertandingan ratu cantik kerana dia memakai purdah dan abaya yang tidak membolehkan orang menilai kecantikan wajahnya.

Dia juga mengaku bertubuh gempal.

Tetapi dalam satu-satunya pertandingan ratu cantik di Arab Saudi, hakim tidak mempedulikan bentuk tubuh atau kecantikan wajah. Apa yang mereka cari dalam pertandingan itu ialah ‘Ratu Cantik Akhlak’ di kalangan peserta yang berjaya menunjukkan kasih sayang dan rasa hormat terhadap ibu bapa masing-masing.

“Matlamat peraduan itu ialah untuk mengukur komitmen peserta terhadap moral seperti yang dikehendaki Islam. Ia alternatif kepada ratu cantik lain yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hanya mengambil kira bentuk tubuh dan wajah wanita,” kata pengasas peraduan itu, Khadra al-Mubarak.

“Yang menang tidak semestinya cantik. Bagi kami, yang penting ialah kemurnian hati dan moral,” katanya.

Selepas pertandingan itu dirasmikan Sabtu lalu, hampir 200 peserta akan menghabiskan masa 10 minggu menghadiri kelas dan diuji dengan tema termasuk ‘Menyedari kekuatan dalaman anda,’ ‘Pembentukan menjadi pemimpin’ dan ‘Ibu, syurga di bawah tapak kakimu.’

Tema terakhir itu berdasarkan hadis Rasulullah SAW bagi menggariskan peri pentingnya rasa hormat kepada ibu bapa, antara tunggak utama dalam ajaran Islam.

Peserta juga akan menghabiskan masa sehari di sebuah rumah di luar bandar bersama ibu masing-masing. Di sana mereka akan diawasi oleh hakim wanita dan diberi markah mengenai cara mereka berinteraksi dengan ibu mereka,” kata Khadra.

Memandangkan pertandingan itu tidak akan disiarkan menerusi televisyen dan tidak membabitkan lelaki, peserta boleh menanggalkan purdah dan abaya mereka.

Ratu Cantik Akhlak itu adalah contoh terbaru yang diubah suai oleh masyarakat Islam daripada format gaya barat yang bertujuan menyebarkan mesej dalam menangani pengaruh budaya kuning yang semakin merebak di rantau itu menerusi Internet dan televisyen satelit.

Satu rangkaian muzik Islam diwujudkan oleh seorang peniaga Mesir baru-baru ini bagi menyiarkan pertandingan ala ‘American Idol’ untuk penyanyi yang menyanyikan lagu berkonsepkan agama. Beberapa pendakwah juga sudah menjadi selebriti rancangan sembang ala rancangan yang dikendalikan Oprah, bertentangan dengan tradisi selama ini.

Kini, pada tahun keduanya, peserta pertandingan Ratu Cantik Akhlak itu meningkat tiga kali ganda daripada 75 wanita yang menyertainya pada 2008.

Pertandingan itu dibuka kepada wanita berusia antara 15 dan 25 tahun dan pemenangnya akan diumumkan Julai depan. Juara akan menerima hadiah RM10,000 sementara tempat kedua dan ketiga RM5,000 setiap seorang.

Pemenang tahun lalu, Zahra al-Shurafa berkata, pertandingan itu mendorong wanita muda dan remaja meningkatkan rasa hormat mereka kepada ibu bapa.

“Saya memberitahu mereka, menang bukan menjadi keutamaan. Apa yang penting ialah menghormati ibu bapa anda,” kata Zahra, pelajar universiti yang mengambil jurusan Bahasa Inggeris.

Pertandingan ratu cantik memang diadakan di beberapa negara Arab dengan yang paling terbuka ialah di Lubnan, negara paling liberal di rantau itu dengan peserta muncul di televisyen berpakaian bikini, gaun malam yang glamor dan menjawab soalan yang menguji keyakinan serta pengetahuan am mereka.

Di Arab Saudi, pertandingan seumpama itu tidak wujud, malah diharamkan. Sebelum dimulakan Ratu Cantik Akhlak tahun lalu, pertandingan ratu cantik yang diadakan di negara itu hanyalah untuk kambing, biri-biri, unta dan haiwan lain, bertujuan menggalakan ternakan binatang di kalangan rakyat negara itu.

Acara tahun ini dimulakan Sabtu lepas di bandar Safwa yang majoriti penduduknya berfahaman Syiah. Sebahagian besar peserta juga berfahaman Syiah.

Bagaimanapun, ia terbuka kepada sesiapa dan tahun ini, 15 wanita berfahaman Sunni menyertainya, kata Khadra.

Sukaina, 24, pelajar Pengurusan Antarabangsa, berkata, dia menyertai pertandingan itu kerana kasih sayangnya terhadap ibunya.

“Saya berbangga kerana menghormati ibu bapa saya,” katanya.

Mengenai ratu cantik seperti yang diadakan di Lubnan?

“Ia masalah perbezaan budaya. Pertandingan yang diadakan di Arab Saudi diterima oleh Islam,” katanya.

Seorang lagi peserta, Awsaf al-Mislim,berkata, jika tidak menang pertandingan itu, dia tetap yakin mencapai sesuatu yang lebih penting.

“Saya berbangga untuk menunjukkan kepada umum bahawa saya bersaing dengan peserta lain kerana kasih sayang kepada ibu bapa saya,” kata peserta berusia 24 tahun itu.

***********

Ummu Abbas
14 Jamadil Akhir 1430H
6.47pm

Isu Manohara: Rebut Sahaja Gadis/Wanita Solehah

Manohara menantu Sultan Kelantan itu mengambil tempat lagi di media cetak dan media maya. Para blogger pun ada yang berminat menyiarkan berita-berita mengenainya. Saya kira ia hanya membazir masa dan ruang ‘bertumah’ (bertungkus – lumus) mengenainya. Ia adalah isu rumahtangga seseorang. Biarlah mereka selesaikan sendiri masalah mereka menurut lunas undang-undang yang ada. Nabi s.a.w memberi panduan kepada kita,

Salah satu tanda kebaikan seseorang itu ialah meninggalkan perkara yang tidak berfaedah baginya

Berita Harian dan Utusan juga telah melaporkan bahawa pihak istana Kelantan telah memutuskan isu ‘Manohara’ adalah isu peribadi suami isteri berkenaan. Berikut merupakan petikan dari Utusan Malaysia Online,

Kes Manohara perlu ikut perundangan

KOTA BHARU 3 Jun – Istana Kelantan hari ini menegaskan isu ‘Manohara’ merupakan urusan peribadi suami isteri yang perlu diselesaikan mengikut lunas undang-undang.

Ini merupakan kenyataan pertama pihak istana yang diedarkan kepada media oleh Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad sejak isu itu tercetus April lalu.


Akhir kata, buat renungan semula, Rasulullah s.a.w. pernah berpesan mengenai kriteria isteri pilihan:

Dinikahi wanita itu kerana 4 perkara ini; kerana kekayaannya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka REBUTlah kerana agamanya. Justeru itu akan beruntunglah kedua2 tanganmu.”

Hadis dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim.

Perkataan REBUT yang saya HURUF BESARkan di dalam hadis di atas biasanya diterjemahkan dengan perkataan PILIH. Namun kalimah yang lebih tepat dengan lafaz ‘Fazfar’ (dalam Bahasa Arab) ialah REBUT. Nabi s.a.w bukan suruh pilih-pilih sama ada mahu cantik dulu atau kaya dulu atau berkedudukan tinggi dulu, bahkan Nabi s.a.w menganjurkan agar berebut jika terdapat mana-mana gadis/wanita yang beragama. Jika kebetulan wanita solehah itu memiliki salah satu atau mana-mana ciri dari 3 sifat duniawi itu, maka ia mungkin bonus atau mungkin juga menjadi ujian. Bergantung sejauh mana ia menambah iman dan taqwa di hati suami.

Untuk memiliki isteri solehah, lelaki perlu berusaha menjadi soleh terlebih dahulu. Begitu jualah sebaliknya. Ini janji Allah yang pernah mengatakan dalam surah al-Nur, ayat 26,

(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat. (sebaliknya) Perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan kurniaan yang mulia.

Wallahua’lam.


Ummu Abbas
4.55pm
10 Jamadil Akhir 1430H

Di Bilik Pembedahan: Baju Lengan Pendek Pula!

Nota: Entry ini merupakan lanjutan entry bertajuk,”Jangan Buka Tudung Semasa X-Ray”

Di Bilik Pembedahan: Baju Lengan Pendek Pula!

Saya dibawa oleh seorang staf wanita masuk ke kawasan bilik pembedahan untuk rawatan gigi. Saya diminta menukar pakaian terlebih dahulu. Saya tidak keberatan menurutinya.

Di bilik persalinan, staf itu memberikan pakaian yang disediakan. Pakaian itu ialah kain sarung, baju berlengan tiga suku, skaf yang sangat jarang dan tudung yang sangat jarang.

“Ada baju lengan panjang?” saya bertanya.

“Tiada. Ini sahaja baju yang ada,” beritahu staf tersebut.

Melihat saya berjubah, bertudung labuh dan berpurdah, staf itu kelihatan serba salah juga kerana tidak dapat memberikan pakaian sesuai penampilan saya.

Saya tidaklah mahu menyusahkan dia. Apatah lagi untuk meminta yang bukan-bukan. Namun hukum tetap hukum. Ia berkait dengan hak-hak Allah ke atas para hambaNya.

“Kalau semua yang bertugas perempuan, tidak mengapalah,” saya menjelaskan.

“Tidak mengapa, staf perempuan yang ramai bertugas,” beritahu staf itu pula.

“Tiada seorang pun lelaki?”. Saya inginkan kepastian. Sebenarnya saya disambut oleh seorang staf lelaki di muka pintu kawasan bilik pembedahan itu. Jadi saya mengagak dia salah seorang pembantu di bilik pembedahan nanti.

“Ya…ramai staf perempuan. Err…ada seorang sahaja lelaki iaitu attendant,” teragak-agak dia menjawabnya.

“Hmm… ada jugalah lelaki,” gumam saya.

“Tudung ini jarang sangatlah. Ada tudung yang macam ini? Saya boleh jadikan alas (dalam tudung yang disediakan),” sambil tangan saya memegang sehelai tudung bawal berwarna putih yang ada di situ.

“Itu tudung staf di sini. Mereka pun kena tukar pakaian bila mahu ke bilik pembedahan. Tudung macam tu tiada. Macam nilah, saya beri sehelai lagi tudung.” Staf itu segera mengambil sehelai lagi tudung.

Tudung yang mereka sediakan ialah jenis pakai buang. Material yang digunakan ialah non-woven polypropylene. Material itu sama seperti material mask yang digunakan untuk menutup mulut para perawat. Skaf juga dibuat dari material yang sama. Material jenis ini banyak digunakan untuk membuat beg sekarang.

Jenis beg  Non Woven Polypropylene yang banyak digunakan sekarang.
Jenis beg Non Woven Polypropylene yang banyak digunakan sekarang.

Baguslah mereka boleh sediakan tudung untuk mereka yang berhijab namun apa gunanya jika ia bagai melepas batuk ditangga. Ia tidak dapat dijadikan alternatif untuk menutup aurat sebagaimana dituntut Islam. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang boleh sediakan tudung, biar tudung itu melengkapi syarat hijab.

Kalau sekadar mahu ia dipanggil tudung, memang sahlah ia dinamakan tudung. Dalam konsep hijab, bukan sekadar nama yang dinilai. Bahkan tudung itu harus (wajib) memenuhi konsep hijab yakni menutup rambut, leher dan pangkal leher. Lebih baik (lebih cun) lagi bila tudung dapat menutupi bentuk dada wanita.

“Hmm…kat bahagian ini, ada tudung disediakan. Kat bilik X-Ray tidak boleh pula sediakan tudung,” getus saya dalam hati.

Skaf ini saya pakai bawah tudung.  Doktor pakai atas tudung.  Lebih kemas lagi.
Skaf ini saya pakai bawah tudung. Doktor pakai atas tudung. Lebih kemas lagi.

Oleh kerana saya belum berpuas hati dengan tudung yang sudah 2 helai diberikan termasuk 1 skaf, saya merayu lagi,

“Macam nilah, biar saya pakai tudung saya ini. Saya sanggup ia kotor (kerana proses pembedahan). Balik nanti saya boleh basuh.”

“Tidak boleh. Ini prosedur yang ada di sini,” staf itu bertegas dengan saya dan terus keluar. Nampaknya dia tidak sanggup lagi melayani kehendak saya.

Di Bilik Persalinan

Seusai dia keluar, saya menyalin juga pakaian saya. Nasib baik saya sering memakai sepasang pakaian biasa di dalam jubah. Jadi saya sarungkan sahaja kain sarung yang diberikan dan baju lengan pendek itu di atas pakaian yang sedia ada. Blause lengan pendek dan skirt labuh yang saya pakai tidak kelihatan. Sekurang-kurangnya mereka tidak tahu saya tidak bersalin semua pakaian asal saya. Pakaian itu bersih dan saya bertawakkal kepada Allah. Saya tahu tujuan diminta menukar pakaian. Ia untuk menjaga kebersihan dan memastikan tiada kuman dibawa masuk. Almaklumlah, kuman-kuman suka sangat tinggal dalam darah manusia.

Saya tidak selesa dengan baju lengan pendek yang sudah dikenakan. Saya cuba menarik-narik hujung lengan baju. Hmm…mana boleh.

Saya cuba pula memakai skaf dan sehelai tudung di hadapan cermin. Hmm…memang jarang. Kelihatan rambut dan warna rambut. Saya cuba sehelai lagi. Ok lah. Boleh tahan.

Tudung itu hampir sama seperti dalam foto ini tapi ia lebih besar hingga ke paras bahu.  Dari segi jarangnya sama seperti dalam foto ini.
Tudung itu hampir sama seperti dalam foto ini tapi ia lebih besar hingga ke paras bahu. Dari segi jarangnya sama seperti dalam foto ini.

Hal tudung sudah selesai. Saya membelek baju berlengan pendek itu. Tidak tergamak saya untuk keluar begitu. Saya rasa sungguh berat hati. Saya menutup aurat sejak berusia 12 tahun. Hampir suku abad saya mengabdikan diri sebagai muslimah yang konsisten dengan hijab. Pakaian itu tiada kena mengena dengan rawatan yang saya akan jalani. Tiada darurah langsung untuk saya membuka bahagian lengan saya.

Saya berfikir-fikir sementara staf di luar sedang menunggu.

Saya perasan seorang staf yang sudah memakai pakaian khas untuk masuk ke bilik pembedahan memakai sarung lengan untuk menutup lengannya. Kalau saya bawa sarung lengan itu pun, ia belum memenuhi syarat kerana sarung lengan itu ketat serta membentuk lengan. Hanya warna kulit sahaja yang dilindungi.

Dari mula masuk ke bilik persalinan itu, saya terlihat sehelai non-woven surgical gown tersangkut di belakang pintu. Baju itu berlengan panjang lengkap bercekak di pergelangan tangan. Tapi baju itu khusus untuk staf.

Saya akan berusaha lagi. Saya tidak mahu mengambil mudah dalam mentaati perintahNya. Itu ikrar saya setiap kali dalam solat, “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, pendidik sekelian alam”.

Saya membuka pintu dan menghulur kepala keluar. Ada 3 orang staf perempuan di kaunter. Salah seorang dari mereka tidak memakai seragam. Hanya berbaju kurung sepasang dan bertudung. Dia baru tiba barangkali.

“Ada baju lengan panjang tak?” saya bertanya dari balik pintu.

“Oh…ya…aa nanti kita reka biar jadi baju lengan panjang,” seorang staf menyahut.

Sambil menjawab, saya lihat dia seperti terfikir-fikir untuk menyediakan alternatif.

“Baju yang seperti di belakang pintu ini pun ok,” saya mencadangkan.

“Ha…pergilah ambil baju yang baru,” arah seorang staf yang lebih senior.

“Baju itu pun boleh pakai. Masih baru dikeluarkan,” staf yang lebih muda itu memberitahu.

Baju beginilah yang saya minta untuk dipakai.  Ia disediakan untuk staf sebenarnya.
Baju beginilah yang saya minta untuk dipakai. Ia disediakan untuk staf sebenarnya.

Baju itu bukan sahaja berlengan panjang, bahkan besar dan labuh sehingga bawah paras lutut.

Saya menyarungnya ke atas baju berlengan pendek dan singkat itu. Alhamdulillah. Ini baru kena dengan tuntutan syariat. Tudung yang agak singkat itu pun terlindung dek baju gaun yang agak besar itu.

Saya melangkah keluar dari bilik persalinan dengan rasa selesa. Tiba di meja kaunter, staf berbaju kurung itu bangun dan menolong mengikat tali di bahagian belakang. Saya tidak pun meminta dia berbuat demikian.

“Mari saya tolong ikatkan, ” begitulah katanya.

Daripada panggilan staf lain, baru saya tahu dialah doktor yang akan merawat saya. Laa…doktor rupanya.

Saya duduk di kerusi sementara doktor itu pergi menyalin pakaiannya pula. Sebaik dia keluar, saya lihat dia memakai skaf di atas tudung sama seperti yang saya pakai. Semua staf yang akan masuk ke bilik pembedahan memakai seragam yang sama.

Di Bilik Pembedahan

Saya sempat perhatikan dua orang misi yang berada di luar tadi masuk bersama doktor ke bilik pembedahan. Mereka berdua masih kekal dengan tudung yang asal.

“Boleh pula mereka tidak menukar tudung”, fikir saya. Kemudian saya mengagak mungkin kerana mereka tidak akan menyentuh saya secara langsung.

Bilik itu luas dan selesa.

Saya berbaring di atas katil yang disediakan. Saya diselimutkan hingga ke paras leher. Kemudian kepala saya dibungkus pula dengan kain yang agak tebal dan mata saya ditutup. Ia untuk melindungi mata saya dari silau dek lampu yang dihalakan ke wajah saya.

“Kalau macam inilah prosedurnya, boleh juga kita minta masuk dahulu ke dalam bilik pembedahan. Selepas selesai diselimut, bolehlah staf lelaki itu pula yang masuk,” fikir saya lagi. Ia adalah satu lagi alternatif untuk menjaga aurat dalam keadaan pakaian yang disediakan tidak memenuhi syarat.

Malam Selepas Pembedahan

Saya bercerita pada suami apa yang berlaku. Saya memang langsung tidak tahu saya perlu menukar pakaian untuk menjalani MOS. Saya sangka ia seperti rawatan gigi yang biasa sahaja.

Saya mahu mengesyorkan pakaian alternatif untuk pesakit perempuan. Kita sudah dilimpahi nikmat yang banyak oleh Allah swt. Justeru itu, saya tidak nampak kita mempunyai alasan untuk membelakangkan atau memandang kecil tentang hukum Allah dalam soal hijab ini.

Allah berikan nikmat kain dan pakaian. Allah pinjamkan ilmuNya tentang teknologi membuat pakaian sehingga kita bukan lagi seperti Adam dan Hawa yang mencantas dedaun untuk menutup aurat mereka.

Bukankah kita patut menjadi hambaNya yang bersyukur?

Tanda syukur kita bukan sekadar melafazkan alhamdulillah di lidah tidak bertulang, namun perlu disertai dengan anggota badan lain yang tunduk patuh kepadaNya. Bukankah seluruh anggota badan dan sel-sel yang ada pada kita mempunyai hak-hak untuk mengabdikan diri kepada Allah?

Alasan apakah lagi yang mahu kita kemukakan kepada Rabb pencipta kita untuk tidak patuh kepadaNya dalam soal menutup aurat? Tiada kain? Tidak cukup wang? Atau apa?

Mampukah kita mereka-reka alasan tersebut di Padang Masyhar kelak?

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhanmu yang hendak kamu dustakan?”

[Ayat 13, 16, 18,21, 23, 25,28, 30, 32, 34, 36, 38, 40,42, 45, 47,49, 51, 53, 55, 57,59,61, 63, 65, 67, 69, 71, 73, 75 dan 77 dari Surah al-Rahman (Yang Maha Penyayang)]


Ummu Abbas
4.00pm
9 Jamadil Akhir 1430H