Travelog ke Wakaf Sementara

Assalamu’alaykum saudara-saudariku dalam Islam.  Artikel ini merupakan sambungan artikel berjudul, “Al-Fatihah untuk Datukku Wan Ahmad@Muhammad”.  Pengunjung disyorkan membaca artikel ini sambil mengklik youtube, “Halwa Telinga:  Menanti di Barzakh” di bawah ini.-p

 

Travelog ke Wakaf Sementara

(Perjalanan menuju alam barzakh)

 

Saat Wan berhadapan sakaratul maut, Abah tidak henti-henti mentalqinkan kalimah syahadah ke telinga Wan.  Perbuatan ini sebenarnya diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.  Imam Muslim merekodkan hadis yang berbunyi,

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقِّنُوا مَوْتَاكُمْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

 Maksudnya;

Rasulullah s.a.w berkata,”Talqinkanlah orang yang akan meninggal dengan kalimah La Ilaha Illallah (Tiada tuhan melainkan Allah)”.

 

Nabi Muhammad s.a.w juga menganjurkan hadirin yang ada berdekatan orang sakit atau orang mati agar mengucapkan kata-kata yang baik.  Imam Muslim merekodkan kata-kata Nabi s.a.w yang berbunyi, 

 إِذَا حَضَرْتُمْ الْمَرِيضَ أَوْ الْمَيِّتَ فَقُولُوا خَيْرًا فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ

 Maksudnya;

Jika kalian menziarahi orang sakit atau jenazah, maka ucapkanlah kata-kata yang baik kerana sesungguhnya para malaikat mengaminkan apa yang kalian perkatakan.

 

 Abah beritahu Wan meninggal jam 11.05am.  Ma pula cerita bagaimana mudahnya saat jasad Wan melepaskan ruhnya,  Alhamdulillah. 

 

Jejari kaki yang mula sejuk dan membiru.  Diikuti bahagian badan yang lain. Sampai ke satu saat, telinga Wan kelihatan jatuh, sejuk dan membiru.  Kemudian, Ma sempat membetulkan kedudukan Wan yang miring.  Seusai badan Wan terlentang dengan betul, saat itulah Wan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

 

 Pemergian Wan diiringi oleh Abah, Ma, Mak Ngah Sah (anak saudara Wan), Mak Su Minah (adik bongsu Wan dan satu-satunya adik beradik Wan yang masih ada) dan Mak Long Peah (anak saudara Wan).

 

Terdapat beberapa orang anak saudara dan cicit Wan membaca al-Quran setelah Wan meninggal.  Inilah adat masyarakat kita bila berlaku kematian.  Sebenarnya tiada satu pun hadis sahih yang mengajar membaca al-Quran seperti surah Yaasin di samping orang meninggal dunia. 

 Kalau kita ingin membaca al-Quran, boleh niatkan untuk mengisi masa terluang dan sedekah untuk si mati.  Namun sekali-kali tidak boleh beriktikad bahawa ia adalah sunnah Nabi Muhammad s.a.w.  

Lebih kurang jam 4.15pm, jenazah Wan dimandikan.  Kemudian dipakai baju putih tanpa jahitan di atas keranda.  Sesetengah mayat dikapankan di atas lantai dahulu kemudian baru diangkat ke atas keranda.

 

Seusai dikapankan, semua keluarga dijemput untuk bertemu Wan buat kali terakhir.  Saya mempelawa anak-anak untuk mengucup moyang mereka.  Azzam tidak mahu mengucup Wan.  Dia kata takut mengigau.  Aqil pula belum pandai dan faham lagi tentang kematian.

 

Saya mengucup dahi dan pipi Wan kiri dan kanan.  Wajah Wan sudah dingin dan berbau wangi disapu atar.  Akhirnya wajah Wan ditutup dengan pakaian terakhir berwarna putih itu.

Kemudian jenazah diletakkan di arah kiblat untuk disolatkan.

 

Kira-kira 70 orang memenuhi ruang tamu rumah Wan untuk solat jenazah.

 

Rasulullah s.a.w berkata,

 مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلًا لَا يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلَّا شَفَّعَهُمْ اللَّهُ فِيهِ

 Maksudnya;

Tiada seorang muslim yang meninggal dunia lalu jenazahnya disolatkan oleh 40 orang lelaki, yang mana mereka tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun, melainkan Allah akan mengabulkan doa syafa’at mereka untuknya (yakni bagi jenazah).

Hadis direkodkan oleh Imam Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan Ahmad.

 

 Cepatnya Wan menuju kubur

 

Jenazah Wan diusung dengan berjalan kaki. 

 

Rasulullah s.a.w mengkhabarkan keadaan jenazah di atas usungan, 

    إِذَا وُضِعَتْ الْجِنَازَةُ فَاحْتَمَلَهَا الرِّجَالُ عَلَى أَعْنَاقِهِمْ فَإِنْ كَانَتْ صَالِحَةً قَالَتْ قَدِّمُونِي قَدِّمُونِي وَإِنْ كَانَتْ غَيْرَ صَالِحَةٍ قَالَتْ يَا وَيْلَهَا أَيْنَ يَذْهَبُونَ بِهَا يَسْمَعُ صَوْتَهَا كُلُّ شَيْءٍ إِلَّا الْإِنْسَانَ وَلَوْ سَمِعَهَا الْإِنْسَانُ لَصَعِقَ

 Maksudnya;

Saat jenazah diletakkan (di atas pengusung)  dan telah diusung di atas pundak lelaki, sekiranya jenazah itu soleh, dia akan berkata, “Percepatkanlah diriku”.  Jika jenazah tidak soleh, dia akan berkata, “Celaka aku, ke mana akan mereka membawaku?”.  Suara itu bisa didengar oleh setiap benda kecuali manusia.  Sekiranya dia mendengarnya, pasti dia pengsan.

Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari

 

Saya membiarkan dahulu mereka pergi untuk menyapa Mak (ibu mertua) dan ipar duai yang datang melawat.  Selepas itu saya menuruti Wan ke kubur dengan membonceng motosikal bersama suami. 

 

Nabi s.a.w berpesan,

 Orang yang menaiki kenderaan menurut di belakang jenazah.

 Hadis direkodkan oleh Abu Dawud.

 

Maksud hadis ini ialah agar orang yang menaiki kenderaan hendaklah mengikut dibelakang jenazah yang diusung dengan berjalan kaki. 

 Setibanya di kubur, saya lihat Wan sudah berada di liang lahad dan Abah sudah mula menimbus tanah.  Cepatnya mereka sampai ke kubur sedangkan jarak tanah perkuburan dengan rumah Wan agak jauh juga.

Inilah rumah baru kita nanti.  Cantik tak?
Inilah rumah baru kita nanti. Cantik tak?

 

Saya temui satu hadis yang relevan dengan hal ini.  Rasulullah s.a.w berkata,  

 أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ لَعَلَّهُ قَالَ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ  

 Maksudnya;

Percepatkanlah kalian dalam membawa jenazah kerana jika jenazah itu soleh, maka ia adalah kebaikan yang kalian segerakan untuknya.  Jika jenazah itu tidak demikian, maka ia merupakan perkara buruk yang kalian lepaskan dari pundak kalian.

Hadis direkodkan oleh Imam Muslim.

 

 Orang-orang tua cakap, jenazah yang baik memang begitu.  Cepat saja menuju ke kuburnya.  Kita di dunia menangisinya, sedangkan dia sudah tidak sabar menerima nikmat di alam barzakh.

Moga-moga benarlah anggapan demikian.   Amin.

 

 Bolehkah golongan wanita ke kubur?

 

 Saya naik ke atas wakaf di sisi kubur.  Dapatlah saya melihat dengan lebih jelas  keranda Wan ditimbus.    Seorang abang saya merakam video dengan handphonenya.  Saya pun turut mengambil gambar.  Boleh tunjuk pada 3 lagi adik beradik yang tidak sempat pulang , anak-anak saudara di Johor dan dua orang anak saudara yang memanjat Gunung Tebu.  Kasihan Cikbah dan Aman, 8 jam juga mereka memanjat ke puncak.  Manalah sempat turun semula.

 

Sebelum turun dari rumah tadi, ibu saudara (anak Wan) saya bertanya, “Bolehkah Mak Yah ikut ke kubur?”

 

“Boleh.  Orang perempuan harus ikut ke kubur.  Yang dilarang ialah meratapi mayat”.

 

Saya tidak ke kubur semasa datuk dan nenek sebelah Ma, nenek tiri dan moyang tiri meninggal.  Namun dengan Wan, bukan saya sahaja, bahkan semua adik-beradik yang ada, cucu dan cicit lelaki perempuan turut ke kubur.  Ikatan kasih kuat terasa.  Kami mahu menghantar Wan hingga ke akhir pandangan yang mampu kami lakukan.  Saya pernah mengiringi jenazah bapa mertua pada tahun 1999 namun saya tidak pergi rapat ke kubur.  Hanya melihat dari jauh.

 

Terdapat hadis Nabi s.a.w menegah kaum wanita mengiringi jenazah ke kubur namun larangan tersebut bukan berbentuk larangan mutlak.  Apa yang saya fahami, jika kaum wanita mahu mengiringi jenazah ke kubur maka elakkan dari membuka aurat serta tabarruj, pergaulan bebas dan menangis dengan suara yang kuat.  Dalam masyarakat kita hari ini, sering juga kita lihat kaum wanita pergi ke kubur dalam keadaan tidak berhijab sepenuhnya serta bertabarruj. 

Antara hikmah menziarahi kubur ialah untuk mengambil iktibar, mengingati mati yang akan menemui kita dan membuat persediaan untuk mati.  Jika kematian itu tidak dapat mengetuk pintu hati agar benar-benar mematuhi syariat Allah, maka perbuatan menziarahi kubur hanya sia-sia.  Bahkan akan memberi fitnah pula kepada kaum lelaki yang turut hadir ke kubur.  Jadi bagi wanita yang tidak dapat menjaga dirinya dari menimpakan fitnah kepada kaum lelaki, lebih baik mereka mengurung diri mereka di dalam rumah sahaja.  Ia adalah untuk kebaikan wanita itu sendiri di dunia dan di akhirat.

 

Keharusan kaum wanita menziarahi kubur ditegaskan lagi oleh Nabi s.a.w melalui pesannya kepada A’isyah r.a selepas menegahnya di peringkat awal.   Hadis tersebut direkodkan oleh Al-Hakim.  Justeru itu tegahan awal tersebut difahami bukan tegahan yang mengharamkan. 

Dari kiri; Abah, Pakcik Jeng, Paksu Aziz dan Pakcik Nor di atas tebing.
Dari kiri; Abah, Pakcik Jeng, Paksu Aziz dan Pakcik Nor di atas tebing.

 

Abah, Pakcik Jeng dan Paksu Aziz menimbus dari dalam liang lahad.  Sementara Pakcik Nor berada di tebing kubur menolak tanah dari atas.   Mereka semua empat beradik.  Manakala anak saudara dan cucu Wan bergilir-gilir menimbus tanah dari atas kubur.   Cucu cicit lelaki dan perempuan yang lain membaca al-Quran.

 

 Al-Quran 30 jilid yang dijilidkan  1 juz/jilid itu dibahagi-bahagi kepada pengunjung yang melawat kubur tetapi tidak terlibat dengan urusan pengebumian.

 

Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin Albani di dalam bukunya Ahkam al-Jana’iz (Hukum Jenazah), Rasulullah s.a.w mengisyaratkan bahawa kubur bukan tempat untuk membaca al-Quran walau sekadar membaca al-Fatihah.  Rasulullah s.a.w hanya memberi salam dan mendoakan ahli kubur ketika menziarahi kubur.  

 

Pada pendapat saya, amalan membaca al-Quran itu sekadar mengisi masa sambil menunggu urusan pengebumian selesai.  Selagi tiada iktikad bahawa ia memang perlu dilakukan untuk maslahah si mati, maka ia tidak menjadi bid’ah.  Bukan semua yang hadir membaca al-Quran.  Ada juga yang melihat-lihat sahaja.

 

Meninggalkan Wan di Rumah Barunya

 

Saya asyik sekali memerhati keranda di liang lahad.  Papan keranda semakin hilang dari pandangan. 

 

Itulah rumahku nanti.  Luasnya semuat tubuhku yang kecil.  Dindingnya tanah.  Lantainya tanah dan atapnya tanah. ‘

 

‘Tiada apa yang akan kubawa melainkan amalan semasa aku hidup.  Semua keluarga, sahabat handai dan harta benda ditinggalkan.’

 

Saya meninggalkan tanah perkuburan sebaik melihat tanah ditimbus sampai ke atas.  Kasihan juga pada anak-anak yang menjadi mangsa nyamuk-nyamuk yang lapar.  Sempat juga saya snap foto Imam yang baru bersila di atas tikar yang dibentangnya sendiri.  Imam Ustaz Din itu kerabat kami juga.

 

Imam siap bersila untuk membaca talqin
Imam siap bersila untuk membaca talqin

Rasulullah s.a.w yang telah lama meninggalkan kita berkisah hal jenazah yang siap mendiami rumah barunya (liang lahad),

 العبد إذا وضع في قبره وتولي وذهب أصحابه حتى إنه ليسمع قرع نعالهم أتاه ملكان فأقعداه فيقولان له ما كنت تقول في هذا الرجل محمد صلى الله عليه وسلم فيقول أشهد أنه عبد الله ورسوله فيقال انظر إلى مقعدك من النار أبدلك الله به مقعدا من الجنة قال النبي صلى الله عليه وسلم فيراهما جميعا وأما الكافر أو المنافق فيقول لا أدري كنت أقول ما يقول الناس فيقال لا دريت ولا تليت ثم يضرب بمطرقة من حديد ضربة بين أذنيه فيصيح صيحة يسمعها من يليه إلا الثقلين

 

Maksudnya;

Seseorang hamba itu tatkala diletakkan di dalam kuburnya, kemudian kawan-kawannya berpaling dan pergi (meninggalkan kubur) sehingga dia sendiri dapat mendengar suara selipar atau kasut kawan-kawannya tadi.  Kemudian datanglah dua malaikat lalu mereka berdua mendudukkan dia (si mati), lantas kedua malaikat itu berkata, “Apakah yang kamu dapat katakan berkenaan lelaki ini yang bernama Muhammad s.a.w?”

 

Maka si mati yang sudah berada di alam barzakh berkata, “Aku bersaksi bahawa dia adalah hamba dan utusan Allah”.

 

Kemudian dikatakan, “Lihatlah kediaman anda di neraka yang telah Allah gantikan dengan kediaman syurga”.

 

Nabi s.a.w berkata, “Orang itu lalu dapat melihat kedua-dua tempat itu semuanya”.

 

Adapun orang kafir atau munafik, maka dia berkata (selepas ditanya malaikat), “Aku tidak tahu.  Aku mengatakan apa yang dikatakan orang ramai”.

 

Maka dikatakan kepadanya, “Jadi kamu tidak tahu dan tidak pula membaca al-Quran”.

 

Orang tersebut kemudian dipukul dengan tukul dari besi dengan pukulan yang keras di tempat antara kedua telinganya.  Orang itu lalu berteriak dengan sekeras-kerasnya.  Teriakan itu dapat didengari oleh makhluk berhampiran kecuali dua makhluk (yakni jin dan manusia).

 Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari.

 

Menurut Abah dan Abang Zul (abang sulung saya), usia Wan tidak kurang 90 tahun.   4 orang anak saudara saya turut mencatat peristiwa Tokwe mereka meninggal dunia di blog masing-masing.  Boleh baca catatan versi mereka di ruang Link Famili di sebelah entry ini.  Mungkin terdapat sedikit perbezaan fakta kerana masing-masing menulis menurut pengetahuan sendiri seperti fakta usia dan waktu Wan (orang Kelantan sebut ‘We’) melepaskan ruhnya.  Moga Allah ampunkan kami.

Khidmat terakhir anak-anak untuk bapa tercinta.
Khidmat terakhir anak-anak untuk bapa tercinta.

 

Apa yang baik itu dari Allah.   Apa yang kurang itu dari kelemahan diri saya sendiri.

 

Cukuplah kematian itu sebagai pengingat. 

 

Sekian.

 

 Ummu Abbas

14 Rejab 1430H/ 7 Julai 2009

6.24pm

PS:  Esok ulangtahun kelahiran saya.  Berkurangan lagi usiaku.

Edit: 9 Julai 2009

Advertisements