Dilema dilamar dan Impian Memakai Tudung

Saya belum berkahwin. Hati belum terbuka sepenuhnya untuk berkahwin. Saya baru berusia 24 tahun dan seorang lelaki yang rapat dengan saya ada mengajak saya berkahwin tapi saya belum betul2 bersedia kerana perkahwinan alaf moden ini penuh dengan cabaran. Tapi saya berharap agar Allah s.w.t akan membantu saya dan membuka hati saya untuk menerima lamaran lelaki tersebut. Saya juga mempunyai impian untuk memakai tudung dan ingin menjadi seorang isteri dan ibu yang solehah seperti Puan. Doakan saya 🙂

Zati

****************************************

Bismillah.

Pertamanya, terima kasih kerana menulis dengan ejaan penuh. Ramai juga yang menulis dengan ejaan ringkas dan tatabahasa yang agak cacamarba bila bertanya.

Keduanya, alhamdulillah dan tahniah kerana sudah dilamar serta diberi inayah oleh Allah menuju kebaikan. Impian untuk mentaati perintah Allah serta menjadi isteri dan ibu solehah itu moga diperkenankanNya.

Mengenai lamaran tersebut, pada pandangan akak, adalah baik jika;

1. Merisik dulu melalui orang lain berkenaan peribadi pemuda tersebut.
2. Berbincang dengan keluarga.
3. Solat istikharah.

Buat keputusan selepas merisik, berbincang dengan keluarga dan istikharah. Jika petunjuknya berat ke arah menerima, maka terimalah pernikahan tersebut seadanya. Insya Allah ada kebaikan di sebaliknya. Jika petunjuk sebaliknya, sebaiknya jauhi pemuda tersebut dan beri kata putus agar dia tidak lagi tertunggu serta boleh mencari yang lain.

Lazimnya, usia seperti Zati sudah sesuai menjadi ‘permaisuri hidup’ seseorang :). Jadi akak kira ia bukan alasan kukuh untuk menolak lamaran seseorang atau menangguhkan pernikahan. Dari aspek biologi dan kesihatan, pada usia begini sangat sesuai untuk melahirkan, mengasuh serta mendidik anak-anak.

Perlu juga difikirkan, jika kita menolak lamaran seseorang yang baik agama dan akhlaknya, dibimbangi selepas itu tiada lagi pemuda soleh yang akan melamar.  Rasulullah s.a.w pernah berpesan,

إِذَا خَطَبَ إِلَيْكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلَّا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

“Apabila datang kepadamu seseorang (untuk meminang) yang engkau reda pada agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata.”

Hadis direkod oleh At-Tirmidzi dan Ahmad

Cubalah pandang sekeliling dan perhatikan peristiwa yang berlaku pada keluarga, kawan-kawan dan masyarakat. Zati akan dapati ramai juga mereka yang pernah menolak lamaran pemuda yang baik tanpa alasan syarak menyesal di kemudian hari.

Kak Nur punya sahabat-sahabat yang menerima lamaran pemuda soleh semata-mata menurut sunnah yang Rasulullah s.a.w telah tunjukkan, meskipun pada awalnya mereka kurang menyenangi dengan rupa paras serta penampilan pemuda itu. Kak Nur perhatikan kehidupan mereka di kemudian hari begitu bahagia serta dilimpahi rezeki yang diberkati.

Untuk mendapatkan jodoh yang baik, kita perlu berusaha menjadi solehah terlebih dahulu.

Akan ku perolehi suami seperti Muhammad,
Jika ku berusaha menjadi seperti Khadijah.

 Akan ku dinikahi pemuda seperti Ali,
Jika ku menyulami akhlak Fatimah.

Berkenaan tudung bagi wanita, sukalah akak bawa contoh berikut;

“Bibik, selepas masak, bibik tolong cuci tandas. Kemudian buang sampah-sampah di dapur ke dalam tong besar”.

“Datin, nantilah dulu. Bila saya rasa sudah sampai masanya untuk saya lakukan, saya akan lakukan. Datin jangan risau”, jelas bibik selamba sambil tangannya menekan-nekan butang laptop di depan.  Bibik ini baru pandai ber’facebook’ gara-gara diajar oleh anak majikannya.  Laptop itu pula kepunyaan ‘big boss’, suami kepada Datin Maheran.

Apa pandangan Zati terhadap bibik di atas?

Jika bibik itu sedar akan tanggungjawabnya sebagai pekerja di rumah majikannya, sudah tentu dia tidak akan bersikap demikian. Sebaliknya, dia akan terus laksanakan arahan tuannya.

Begitulah hakikat diri kita Zati, yang mana Allah telah jelaskan di dalam Surah Al-Zaariyaat, ayat 56,

وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka memperhambakan diri kepadaKu.

Realitinya, sebaik usia sudah baligh, tanggungjawab kita ialah mengenakan hijab sepenuhnya tanpa bertangguh kerana hukumnya wajib.  Ia tanda kita percaya kepada kebaikan Allah pada hambaNya yang perempuan. Ia juga tanda kita menyedari hakikat diri dicipta hanya untuk menjadi hambaNya. Bila disebut hamba, apa saja disuruh tuan, akan dibuat dan apa saja dilarang, akan ditinggalkan. Tidak wajar seorang hamba menyatakan,”Tuan, tunggu saya sudah rasa mahu buat, baru saya buat”.

Kebaikan dari menutup aurat ini bukan sahaja sebagai pelindung diri kita dari kemurkaan Allah dan dari kejahatan manusia, bahkan membantu memelihara pandangan lelaki ajnabi dari melakukan dosa terhadap Allah. Bukankah kita suka jika ramai lelaki di luar sana menjadi soleh? Bila lelaki sekeliling kita menjadi soleh, kita serta bakal zuriat kita yang akan untung di dunia dan akhirat.

Insya Allah, bila syariat lahir dibuat kerana patuh pada Allah, kemanisan iman itu akan meresap ke dalam hati. Selagi tidak buat, tidakkan dapat kelazatan iman itu. Selepas merasai kemanisan iman itu, akan mendorong hati utk menambah kebaikan-kebaikan lain yang mana kebaikan-kebaikan itu akan mengangkat darjat kita menjadi solehah.

Isy Zati ini… kalau pun mahu jadi solehah, ambillah isteri-isteri Rasulullah s.a.w sebagai contoh. Akak ini banyak sangat kekurangannya. Cuma segala kekurangan itu, tidak bolehlah cerita lebih-lebih di blog ini.. Iya tak? Sikap yang kurang baik bukan boleh diikut pun… :).

Ok ye Zati, buat permulaannya, usahakan perbaiki solat 5 waktu dengan memahami makna bacaan dalam solat. Kemudian berdoa selepas solat sepenuh hati agar Allah beri kekuatan untuk mendekatkan diri kepadaNya. Insya Allah, Zati akan diberi kemampuan mentaatiNya dan menjauhi laranganNya.

Juga tambahlah ilmu didada yakni ilmu yang membawa kita mengenal Allah serta mendekatkan diri kepadaNya.

Salam sayang dari akak.

Wassalam.

Ummu Abbas
11.17am
14 Rejab 1431H/16 Jun 2011
Melbourne.