Teknik yang betul ‘Mengutuk’ Datuk Hasan Ali

Bismillah.

Fitrah wanita tidak meminati politik.  Kalau ada yang menceburkan diri ke dalamnya, ia lebih kepada memenuhi tuntutan dakwah semasa.  Itu pun tidak ramai dibandingkan lelaki.  Saya pun begitu.  Kalau saya baca isu politik kerana merasa bertanggungjawab terhadap kepimpinan negara sekarang dan akan datang.  Tanggungjawab yang datang kerana politik memberi kesan langsung kepada pendidikan anak-anak- untuk maslahah dunia dan akhirat mereka.

Cuma dalam menjadi pemerhati itu, bila timbul isu-isu hangat lagi panas, seringkali terbaca bahasa cacian, makian, kutukan dan kejian yang melampau terhadap pelaku kesalahan.  Baik dari blogger atau pengkomen-pengkomen.  Sama ada ia ditujukan kepada pendokong Barisan Nasional, DAP, PKR dan PAS sendiri.  Bila terasa panas, saya biasanya segera ‘cabut’ dari blog-blog begitu dan untuk melawatnya sekali lagi, terpaksa fikir banyak kali.

Sedari kecil, saya tidak pernah mendengar Ma atau Abah menggunakan bahasa cacian, kutukan dan makian walau pada individu yang menganiaya mereka sekalipun.  Memadai bersabar, berdoa kepada Allah dan jika mampu, menasihati dengan cara yang baik.

Kes terbaru yang melibatkan Datuk Hassan Ali mengundang banyak kutukan pada beliau.  Begitu juga dengan bekas Pelajar Terbaik SPM 2004,  Nur Amalina Che Bakri.  Cukuplah saya membawa dua contoh mutakhir ini.

Islam begitu kaya dengan akhlak mulia dalam menghadapi apa jua situasi.  Jadi bagaimana adab kita dalam berhadapan dengan kes seperti kes Datuk Hassan Ali dan juga Nur Amalina?  Mari kita sama-sama selusuri kajian hadis di bawah:

AHAD, 25 DISEMBER 2011

Nabi Muhammad Tidak Mengizinkan Pedosa Berat Dikutuk

[Klik pada tajuk untuk lihat sumber-Kajian Psikologi Hadis]
Dari satu segi, jenis-jenis kesalahan dapat dibahagikan ke dalam 2 kategori.
1. Kesalahan yang ada hukumannya di dunia, oleh itu kesalahan itu dibawa ke hadapan hakim. Contoh kesalahan dalam kategori ini adalah kesalahan meminum arak.
2. Kesalahan yang tiada hukumannya di dunia, oleh itu kesalahan tersebut tidak dibawa ke hadapan hakim.

Dalam rekod sejarah, terdapat catatan yang menunjukkan Nabi Muhammad tidak membenarkan orang yang sudah terbukti melakukan kesalahan berat minum arak sekalipun daripada dikritik dan dikutuk.

Kes 1: Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah ‘Himar’ (keldai), seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad ketawa. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman rotan kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. Pada suatu hari, sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun merotan dia lagi. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” — Hadith No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari.

Kes 2: Abu Hurairah melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki peminum arak dibawah ke hadapan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata, “Pukul dia.” Abu Hurairah melaporkan lagi, sebahagian orang yang ada di situ memukul lelaki itu dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar, ada yang memukul dengan baju. Apabila selesai, ada seseorang berkata, “Moga-moga Allah merendahkan kamu!” Mendengar kata-kata itu Nabi Muhammad berkata, “Jangan kata begitu, kerana saudara menolong syaitan menguasai dirinya.” — Hadith No. 2159 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad melarang perbuatan mengutuk pedosa berat sekalipun, apatah lagi pedosa yang lebih ringan. Alasan yang diberikan oleh Nabi Muhammad adalah, apabila kita mengutuk seseorang sebenarnya kita menolong syaitan menguasai orang itu.

Apakah yang dapat kita fahami tentang kata-kata Nabi Muhammad “…kita menolong syaitan mengusai orang itu.”? Antara tafsiran yang dapat kita beri adalah orang itu akan membenci orang yang mengutuk, sedangkan si pengutuk itu adalah orang baik dan niatnya baik. Malah dia akan membenci orang-orang lain yang satu kelompok dengan si pengutuk. Sebagai contoh jika si pengutuk itu seorang ustaz, dia akan membenci semua golongan ustaz. Lebih serius lagi, dia mungkin bukan hanya membenci semua ustaz, malah dia mungkin membenci agama Islam. Dalam keadaan begitu, dengan mengutuk dia kita telah memberi kemenangan kepada syaitan.

Saya kira tidak perlu mengulas panjang tentang hadis di atas.  Penerangannya sudah cukup jelas.

Kenang Dosa Sendiri Adalah Lebih Baik

Apabila kita melihat kekurangan pada orang lain, selain kita diminta menasihati dengan baik menurut prosedur yang betul, kita perlu mengambil iktibar yang lebih untuk diri sendiri.  Kemudian berdoa agar Allah selamatkan kita dari melakukan kesalahan yang sama.  Mungkin dosa-dosa yang kita kumpulkan lebih besar dari kesalahan orang lain yang diperbesarkan.

Daripada kita menambah dosa yang tiada dengan mengutuk pelaku kesalahan, lebih baik kita mengaut berbilion pahala secara mudah.  Rasulullah s.a.w berkata,

 ‘Ubaadah melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang memohon ampun bagi orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, Allah akan menulis baginya kebaikan bagi setiap lelaki beriman dan wanita yang beriman.”  [Direkod oleh Tabrani]

Berdasarkan hadis di atas, teknik yang betul ‘mengutuk’ Datuk Hasan Ali ialah dengan mendoakan hidayah kepadanya dan memohon keampunan untuknya.  Datuk Hasan Ali masih lagi Islam.  Begitu juga Nur Amalina.  Lembutkan hati-hati mereka dengan siraman doa yang tidak mereka ketahui.  Boleh rujuk hadis dalam entry “Perkembangan Mengenai Nik Nur Madihah”.

Kita memang tidak suka dan marah pada tindakan mereka namun ia bukanlah lesen menghalalkan kutukan melampau dengan pelbagai label.   Sesiapa yang mampu menyampaikan teguran terus kepada mereka, sampaikan.  Jika tidak mampu, tinggalkan komen-komen yang memotivasikan mereka menjadi lebih baik- tanpa mengutuk dan tanpa mencaci.   Dalam melihat keburukan mereka, ingat juga pada kebaikan yang pernah mereka lakukan yang mungkin lebih banyak.  Saya kira peringatan dari Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat kepada Datuk Hasan Ali adalah contoh yang baik.

Berusaha menutupi pintu-pintu syaitan menguasai manusia kerana syaitanlah musuh utama yang kafir sampai hari kiamat.

Akhirnya, kita perlu beringat juga dengan pesanan Nabi s.a.w di bawah ini,

“Sesiapa yang menghina seseorang kerana dosa yang pernah dilakukannya, maka ia tidak akan mati sebelum melakukan dosa tersebut.” (Hadis direkod oleh Tirmizi)

Ujian untuk orang lain adalah ujian untuk kita juga –  siapakah yang paling baik amalannya?  Surah al-Mulk: Ayat 2.

Wassalam.

Ummu Abbas

16 Safar 1433H.

12.08pm.

Melbourne.