Posted in Famili, MyDiary

Bapa Borek Anak Rintik

Isi Kandungan 31 Kisah Nabi

Bismillah.

BTS (Bedtime story) malam kelmarin kisah Bapa Borek Anak Rintik.

Alhamdulillah, saya membacakan kisah-kisah nabi dari buku 31 Kisah Nabi sebagai Bedtime Story.  Asalnya saya membacakan untuk Aesya yang berusia 7 tahun atas permintaannya.  Setelah beberapa kali bercerita padanya, Aziz yang berusia 9 tahun turut tertarik untuk mendengar sama.  Melihat minat Aziz dan kemampuannya memahami ibrah-ibrah (pengajaran) yang diberikan, saya membuat keputusan supaya semua anak-anak mendengar sama, Abbas yang berusia 13 tahun dan Azzam yang berusia 12 tahun.  Yang kecil, Aqil dan Aleeya saya biarkan mereka berada di ruang yang sama.  Insya Allah, akan ada kesan untuk mereka walaupun mereka bermain-main sahaja.  Doa seorang ibu itu yang penting.

Tanpa niat mahu memanjangkan mukaddimah, saya kongsikan di sini ibrah yang diberikan dari Kisah 28, Bapa Borek Anak Rintik.

@@@@@@@@@@@@@@

” Kita dapat lihat bagaimana Nabi Zakariyya berfikiran jauh dalam merancang pemimpin yang akan menggantikannya. Setelah dibuat pemerhatian yang lama dan mendalam, dia dapati tiada yang benar-benar layak mengambil alih tugasnya sebagai da’ie seterusnya memimpin umatnya ke jalan yang benar.

Di kalangan yang menerima seruannya, tidak ditemui yang benar-benar ikhlas. Dalam resah dan gundahnya memikirkan nasib umatnya, Nabi Zakariyya diberi ilham melalui peristiwa Maryam yang mendapat makanan secara langsung dari Tuhan.Melihat Maryam diberi layanan sebaik itu oleh Allah, semangat Nabi Zakariyya pulih kembali untuk tetap berdoa tanpa putus asa kepada Allah. Lalu dia memohon anak yang dapat menggantikan tempatnya walaupun dia sudah melangkaui usia emas.Beliau meminta anak sebagai misi mencapai visi yang suci… bukan sekadar sebagai tempat bermanja dan bermain-main bagi menghabiskan sisa waktu.

Allah perkenan doa hamba yang soleh dan tidak berputus asa itu dengan kurniaan anak berpangkat nabi juga. ”

*********************
~ Pentingnya pemimpin yang bertaqwa dan berkaliber merancang dan melatih pengganti.
~ Jangan putus asa dari rahmat Allah.
~ Saya memilih ibrah yang sesuai dengan usia anak-anak.  Jika ibrah itu sesuai untuk anak berusia 13 dan 12 tahun, maka saya beri perhatian lebih kepada mereka berdua.  Begitulah seterusnya.
Wassalam.
Ummu Abbas
7.18am
26 Syawal 1433H/13 Sept 12
Melbourne