Andai Setiap Bulu Haiwan Itu Bertukar Emas

Bismillah.

 

Belum terlewat lagi rasanya untuk mengucapkan Selamat Menyambut Eidul Adha Mubaarak kepada semua.

[* Comel-comel pula haiwan yang sanggup berkorban ini.  Sayangla pula nak korbankan]

 

 

Alhamdulillah, tahun ini, Tuan Suami melatih anak sulung kami yang berusia 13 tahun untuk berkorban.  Jadi Abinya mengajar Abbas untuk berniat.

 

Andai Setiap Bulu Haiwan Korban Itu Bertukar Emas

 

Jika ditanyakan pada setiap orang, “Mahukah anda kepada kambing ini jika setiap bulunya dari yang halus sehingga yang paling kasar bertukar menjadi emas?”

 

Saya yakin semuanya tidak akan menolak.

 

Apa yang bakal dituai oleh empunya korban di akhirat kelak lebih bernilai dari emas.

 

Aisyah r.a melaporkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah berkata, Tiada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Qurban, yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan qurban. Sesungguhnya haiwan qurban itu pada hari kiamat kelak akan datang berserta dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah qurban itu menyentuh tanah, ia (pahalanya) telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) qurban itu.”   

Hadis direkodkan oleh Imam al-Tarmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim.

 

Saya teringat Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah menyarankan untuk berkoban walau dengan seekor ayam bagi mereka yang tidak berkemampuan.  Ia menunjukkan betapa besar nilai ibadah qurban sepanjang hari raya Adha ini.

 

Zaid bin Arqam berkata, “Mereka telah bertanya, Wahai Rasullullah, apakah Udhhiyah (Qurban) itu? Nabi Muhammad s.a.w. menjawab, “Ia sunnah bagi bapa kamu Nabi Ibrahim.” Mereka bertanya lagi, Apakah ia untuk kita? Rasulullah s.a.w. menjawab, “Dengan tiap-tiap helai bulu satu kebaikan.” Mereka bertanya, “Bagaimana bulu yang halus pula? Rasullullah s.a.w berkata, “Dengan tiap-tiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan.”   

 

Hadis direkodkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Majah.

 

Insya Allah, selepas ini, sedikit laporan sambutan Eidul Adha di sini menyusul.

 

Mohon maaf Zahir Batin dari semua.

 

 

Wassalam.

 

Ummu Abbas

12 Zulhijjah 1433H/28 Oktober 2012

Melbourne, 6.51pm

 

Advertisements