Posted in Famili

Menonton Bersama Anak (1)

Bismillah

Saya:  Brother Shah, apa pandangan Brother berkenaan pengaruh TV kepada anak-anak?

[Kurang ingat bagaimana saya bertanya dahulu.  Fokusnya ialah bagaimana menguruskan pengaruh televisyen.]

Waktu itu Brother Shah Kirit berkunjung ke rumah kami di Kota Bharu lebih 7 tahun yang lalu.

Brother Shah:  Pada saya, kita harus menonton bersama anak-anak di rumah.  [Semasa anak masih kecil] Pada masa yang sama, kita jelaskan kepada mereka mana yang baik dan mana yang buruk.  Jadi anak-anak ada persediaan minda apabila keluar rumah dan melihat realiti masyarakat.  Jika tidak, mereka akan menerima kejutan budaya.

Jika di dalam rumah, mereka berada dalam biah (suasana) yang baik, kemudian kita hadkan pula rancangan-rancangan TV, dibimbangi anak-anak tidak mampu berdepan dengan suasana-suasana yang tidak baik di hadapan mereka.

Waktu itu juga anak sulung baru bersekolah di tadika atau kurang dari itu.

Saya melihat ada benarnya pandangan tersebut.  Apatah lagi pernah berdepan dengan para pelajar yang menerima kejutan budaya di sekolah dahulu.  Lalu terus cuba amalkan.  Sementelah kami melanggan Astro, jadi siri kartun ada 24 jam.

Kadang-kadang ada yang bangun ‘tahajjud’ dengan menonton kartun sampai Subuh.  Aduh… gawat hati dibuatnya.

Pada siangnya, sambil menguruskan rutin rumahtangga, saya perhatikan apa yang ditonton anak-anak.  Kadang-kadang duduk bersama mereka menonton rancangan yang mereka sukai.  Kadang-kadang yang lain, suami turut serta.

“Tidak baik bergurau seperti itu.  Kasihan pada orang yang terkena,” ujar saya bila melihat rancangan hos berbuat sesuatu untuk mengenakan orang lain.

“Perbuatan itu tidak bagus”, saya menerangkan kepada anak-anak tatkala melihat adegan bercium pada watak animasi.

“Pakai macam itu pun tidak bagus.  Orang perempuan kena tutup aurat”, jelas saya bila ada watak-watak tidak menutup aurat.

“Wanita yang tidak menutup aurat hakikatnya iblis,”  jelas saya lagi di waktu yang lain.  Saya teringat Tuan Guru Nik Aziz pernah menyebutnya begitu dalam salah satu kuliah tafsirnya.  Maksud iblis bukanlah jasad perempuan itu tetapi perbuatannya yang tidak menutup aurat itu yang bersifat iblis.  Bila dia tutup aurat, hilanglah sifat iblis tersebut.  Kenapa dikatakan mendedahkan aurat itu bersifat iblis?  Iya, kerana ia disukai iblis dan iblis menggunakan wanita-wanita begini untuk melemparkan panah beracun kepada lelaki-lelaki ajnabi di luar sana.  Tidak sedikit fitnah-fitnah yang ditinggalkan oleh wanita yang mendedahkan auratnya kepada ummah.

Anak-anak ramai lelaki dan saya sedar bahaya paling besar bagi lelaki adalah wanita.  Jadi saya memang bermaksud memberi gambaran jijik pada perbuatan mendedahkan aurat dari wanita.  Biar mereka tidak merasa nikmat tatkala melihat perbuatan mendedahkan aurat tersebut.  Apatah lagi, sekitar 90% (anggaran) rancangan di TV mempergunakan wanita sebagai bahan pelaris sama ada untuk iklan, hos rancangan termasuk yang bernama ustazah-ustazah.  Ustazah yang mahu keluar TV pun disuruh make-up bagai artis.  Jarang sekali muslimah yang berjaya mempertahankan haknya untuk tampil biasa dan natural di kaca TV.

Saya lebih banyak menjelaskan nilai-nilai buruk yang dipaparkan TV  kerana nilai-nilai baik itu sudah diusahakan secara realiti di hadapan mereka, bahkan mengajak mereka praktik bersama.  Jadi tidak perlu lagi menjelaskan bahawa solat itu wajib, puasa itu wajib dan lain-lain.

Tom and Jerry Wallpaper - tom-and-jerry Wallpaper
Sumber: fanpop.com

Bila menonton bersama, saya sedar banyak racun-racun Yahudi diterapkan secara halus di dalam siri-siri kartun tersebut seperti Mickey Mouse, Donald Duck, Tom & Jerry dan lain-lain.  Bahkan ada yang sampai ke tahap merosakkan akidah kerana menggambarkan Nabi Nuh dalam bentuk kartun.  Selain isu dedah aurat, bercium, siri kartun juga banyak ‘mendidik’ nilai moral yang tidak baik seperti unsur keganasan, bercakap kasar, meremehkan orang lain dan lain-lain.

Ummu Abbas

29 Rabi’ul Akhir 1434H

11 Mac 2013

Advertisements
Posted in Islamika

Mimpi Tawaf Menaiki Bas

Bismillah

Kaabah

Ia berlaku semasa di Tahun 3 pengajian di Jordan. Tanpa memahami maksudnya, saya biarkan mimpi tersebut berlalu begitu sahaja. Tidak lama kemudian, satu kumpulan pelajar senior mengiklankan tawaran menunaikan haji untuk siswa dan siswi. Ini kali pertama penyertaan dibuka kepada siswi. Sebelumnya hanya siswa yang menunaikan haji. Siswi berpeluang menunaikan haji jika mempunyai mahram sendiri seperti suami atau adik beradik lelaki.

Penyertaan terhad kepada 10 orang muslimah. Dua daripadanya dari kalangan yang sudah bernikah. Jadi hanya 8 tempat untuk diisi oleh siswi. Sebagai pelajar yang mempunyai belanja ‘cukup-cukup makan’ untuk hidup dan belajar di negara orang, saya memandang sahaja seorang demi seorang kawan-kawan mendaftarkan diri. Kos menunaikan haji dengan perjalanan menaiki kapalterbang itu ialah USD900 (Lebih kurang RM2250 waktu itu). Jika pergi melalui jalan darat, ia lebih murah. Namun waktu tidak mengizinkan untuk menggunakan jalan darat kerana Kerajaan Arab Saudi menutup pintu sempadannya lebih awal untuk musim haji.

Saya tumpang gembira melihat kegembiraan kawan-kawan yang mendaftar haji. Usia mereka juga masih muda iaitu antara 21 tahun hingga 24 tahun. Dipendekkan cerita, pada hari akhir tempoh mendaftar, saya mendapat rezeki yang tidak disangka berupa perbelanjaan menunaikan haji berserta keizinan ibubapa. Ironinya saya mendaftar sebagai peserta ke 10 pada malam akhir hari mendaftar. Keesokannya seorang kawan yang memang mempunyai simpanan wang mahu turut serta mendaftar namun penyertaannya sudah ditutup kerana penganjur bertegas mahu membawa 10 orang peserta muslimah sahaja. Lantas teringat kepada mimpi tawaf di Baitullah menaiki bas. Subhanallah! Inilah antara maksud mimpi tersebut. Mendapat ‘jemputan’ menunaikan haji pada tahun dianiaya merupakan nikmat besar dan juga hiburan dari Allah.

Lavender. Foto hiasan.   Kredit:  lavenderexperiment.blogspot.com
Lavender. Foto hiasan. Kredit: lavenderexperiment.blogspot.com

Benarlah janji Allah bahawa sesiapa pun tidak dapat menahan rezeki seseorang bila Allah telah tentukan demikian. Menurut lojik akal, kawan-kawan yang mempunyai simpanan itu lebih layak mendaftar haji tetapi kuota itu Allah simpan untuk saya hingga ke saat akhir tanpa sesiapa pun dapat mengusiknya. Subhanallah! Walhamdulillah! Allahuakbar!

Perbelanjaan Wajib

Bagi seorang anak gadis seperti saya waktu itu, kehidupan adalah serba ringkas. Jadi bila berpeluang, boleh terus menunaikannya tanpa perlu berfikir soal tanggungan lain. Yang penting perjalanan itu nanti mendapat izin dari kedua ibubapa. Membuat keputusan mendaftar haji waktu itu juga bererti saya tiada perbelanjaan lain untuk hidup dan membayar yuran pengajian bagi semesta akan datang. Saya fikir apabila Allah mewajibkan haji dengan syarat mampu, maka pada waktu itu saya telah memenuhi syarat tersebut pada saat-saat akhir. Allah jua yang memberikan kemampuan tersebut. Nekad menunaikan kewajipan tersebut kerana meyakini jika masih hidup selepas menunaikan haji, akan ada rezeki untuk saya. Andai ditakdirkan mati, maka berpuashati kerana mengembalikan rezeki tersebut kepada yang berhak yakni menunaikan kewajiban kepada Allah.

Apa sahaja kurniaan Allah merupakan pinjaman dan amanah. Apabila Allah mewajibkan zakat pada sebahagian harta tatkala cukup nisab dan haulnya, bererti ada hak orang lain yang Allah letakkan dalam harta tersebut. Bila konsep ini difahami, sesiapa pun tidak akan berfikir panjang untuk mengeluarkan bahagian yang bukan haknya itu. Samalah konsepnya bila tabungan kita cukup bagi menunaikan haji, maksudnya jumlah yang cukup untuk menunaikan haji itu tadi adalah ‘hak Allah’ yang wajib dikeluarkan semula bagi tujuan mengabdikan diri kepadaNya. Bila segala sesuatu yang ada ditangan dirasakan adalah milik mutlak kita, itulah faktor yang menahan diri dari mengeluarkan sesuatu yang realitinya adalah hak orang lain. “Sayangnya…” Perkataan ini mungkin terdetik tatkala melihat jumlah dalam bank RM12k atau lebih. Untuk mengumpulkan sebanyak itu, bukan mudah juga. Ujian sungguh ya…

Kenangan semasa berusia 10 tahun menerjah minda. Air mata mengalir tatkala mendengar Ibu mencurahkan pengalamannya menunaikan haji. Hari itu hari pertama kedua ibubapa tiba di rumah dan bersama kami semula, 8 orang anaknya (waktu itu). Kisah Ibu membuatkan saya teringin menunaikan haji. Keinginan tersebut berlalu begitu sahaja bersama zaman kanak-kanak yang penuh ceria dan asyik bermain. Secara tidak disedari, Ibu telah membentuk minda positif pada anaknya ini supaya mahu segera menunaikan kewajiban haji sebaik sahaja berpeluang tanpa menangguhkannya.

www.ju.edu.jo
Pintu masuk utama University of Jordan (Babu Ra’iisiy )  Kredit: http://www.ju.edu.jo

 

 

Solat istikharah yang memberi petunjuk supaya melanjutkan pengajian di Jordan rupa-rupanya menjadi pintu menunaikan ibadah haji dalam usia muda. Alhamdulillah, terasa lega yang amat seusai menunaikan permusafiran wajib. Selepas itu, hati bertambah tenang jika mahu melancong ke mana-mana negara selain dua Tanah Haram termasuklah ketika suami membuat keputusan untuk bermastautin di Melbourne buat sementara waktu. Kerinduan untuk menziarahi lagi Rumah Allah dan maqam Rasulullah s.a.w tetap ada namun peluangnya entahkan ada, entahkan tiada lagi sepanjang baki hayat ini. Hanya Allah yang maha mengetahui.

“Adik-adik, bila sudah kerja nanti, elok dibuat tabungan khusus untuk ibadah haji dan berusaha melaksanakannya sebaik cukup perbelanjaannya. Jika berkesempatan menunaikannya sebelum nikah, itu lebih baik. Seorang sahabat Kak Nur menjadi guru sebaik tamat belajar. Kak Nur kagum dengan dia sebab dia hanya menggunakan motor untuk ke mana-mana. Rumahnya yang berhampiran sekolah melayakkan dia berulang dengan berjalan kaki sahaja ke tempat kerja. Bila pulang ke kampung, dia banyak berada di rumah menolong kedua ibubapanya. Sahabat Kak Nur ini bukan kaki ‘tawaf kedai’. Belum sampai dua tahun dia mengajar, dia sudah mampu menunaikan haji bersama keluarganya. Waktu itu juga takdir Allah dia bertunang sebelum musim haji tiba. Namun dia nekad meneruskan niat melangsaikan kewajiban kepada Allah dan bernikah selepas pulang dari mengerjakan haji.”

Selepas merasai sendiri pengalaman menunaikan ibadah haji di usia muda, itulah yang saya kongsikan bersama adik-adik usrah ketika mereka berada di tahun-tahun akhir pengajian. Mengerjakan haji di usia muda tentulah tidak sama setelah usia menginjak tua. Ia seperti ahli sukan yang bersukan sebelum berusia 25 tahun dengan mereka yang bersukan selepas usia 30 tahun. Haji memerlukan kekuatan stamina dan kecergasan badan. Saya dapati sebahagian siswazah suka berbelanja banyak pada perkara yang kurang penting sebaik bekerja sedangkan mereka mendapat tarbiyah Islam. Seorang makcik yang saya temui di Mekah bercerita, dia mengumpul wang hasil menanam sayur selama berpuluh tahun. Makcik itu sudah sangat tua. Kalau tidak silap berusia 70 atau 80 tahun ke atas. Tempat bertanam sayur pula perlu menyeberangi sungai. Dia berasal dari Pahang. Selesai berkenalan dan bersembang, dia sempat hulurkan note RM50 kepada kami tatkala diketahui kami adalah pelajar dari Jordan. Pemurahnya makcik.

Allah berkata melalui Surah Ali Imran ayat 97 yang bermaksud,

3:97

“Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari seluruh makhluk.”

 

Ummu Abbas

25 Rabi’ul Akhir 1434H/ 7 Mac