NOTA: Artikel ini merupakan kesinambungan artikel ‘Mimpi Tawaf Menaiki Bas‘.
Jihad Wanita
Suatu hari Aisyah r.a berkata,“Ya Rasulullah! Kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut berjihad?”
Benar, wanita yang baik dan teguh imannya punya impian yang sama seperti kaum lelaki. Mereka mahu berlumba-lumba dalam mengumpulkan ganjaran atau pahala di bank akhirat. Juga memperolehi taqwa kelas pertama di sisi Allah swt.
“Bagi kamu semua (kaum wanita), jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur”. Pantas sekali Rasulullah s.a.w menjelaskan tanda memahami keinginan mereka. Hadis ini direkodkan Imam Bukhari.
Seringkali Rasulullah s.a.w melayani segala pertanyaan dengan baik dari kaum wanita sama ada ia perkara yang tampak kecil atau besar. Sedangkan waktu itu, umat Arab Quraisy sangat menghina kaum wanita. Tidaklah sama kita memahami sesuatu perkara secara teori dengan pengalaman merasainya sendiri. Semasa mengetahui hadis ini buat kali pertama, terfikir, “Begitu mudah amalan kaum wanita untuk mendapatkan pahala jihad. Tidak perlu bersusah payah menggalas senjata dan tidak perlu berdepan dengan risiko kematian.”
Alhamdulillah, penulis menerima jemputan haji seusai belajar bab haji berdasarkan 4 mazhab. Jadi ada panduan yang jelas yang masih ‘fresh’ semasa menunaikannya. Ilmu yang baru dipelajari lebih mudah diingati bila terus diamalkan. Ini salah satu kemudahan dan rahmat Allah yang wajib disyukuri. Ia berlaku tanpa dirancang. Saya tidak tahu akan mendapat rezeki menunaikan haji selepas mengambil subjek Fiqh Ibadah 2 itu. Setiap amalan yang dibuat berdasarkan ilmu menambah keyakinan diri. Antara keyakinan yang diperolehi ialah menunaikan haji tanpa mahram lelaki.
Syarat ditemani mahram lelaki bagi wanita adalah perkara biasa yang diketahui umum bagi menunaikan haji. Ia memang benar berdasarkan pendapat 4 mazhab. Namun terdapat pendapat dalam mazhab Syafie yang mengharuskan wanita bermusafir haji sesama wanita yang thiqah (boleh dipercayai) dan amanah (adil). Jadi inilah pegangan kami yang tidak mempunyai mahram waktu itu. Tiada syarat yang mengharuskan ‘menumpang mahram orang lain’ seperti menumpang kawan yang akan pergi bersama suaminya atau kawan yang ada mahram lain seperti adik-beradik lelaki, bapa saudara, bapa dan lain-lain. Jadi dua orang muslimah yang sudah berkahwin yang bersama anggota rombongan waktu itu bertindak selaku ‘orang tua’ sahaja kepada kami dalam memelihara kebajikan dan keperluan kami. Ia juga salah satu mekanisme memelihara pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi. Selepas taklimat umum diberikan kepada semua, apa-apa hal yang berbangkit, penganjur akan berhubung dengan muslimah berstatus isteri-isteri itu untuk disampaikan kepada kami.

Musim haji tahun 1995 jatuh semasa kami dalam fasa menghadapi peperiksaan akhir untuk semesta kedua. Berlakulah sesuatu yang menarik di lapangan terbang tatkala kastam memeriksa barang-barang kami. Kami tergelak melihat kastam yang kehairanan melihat beg-beg kumpulan kami yang setiap kali diselongkar, apa yang keluar ialah pakaian, buku dan nota-nota. Sedangkan beg-beg anggota rombongan lain yang terdiri dari pakcik makcik dipenuhi pakaian dan barangan makanan kering. Semua barangan diperiksa teliti sebab itu ia memakan masa yang lama. Setelah melalui fasa pemeriksaan yang memenatkan, baru kami bertolak ke Mekkah menaiki bas.
Kami tiba pada 8 Zulhijjah, justeru itu hanya sempat menunaikan sekali umrah, kemudian terus berniat haji. Haji ini dinamakan Haji Tamattuk kerana menunaikan umrah semasa musim haji dengan niat berasingan untuk umrah dan haji. Ia dikenakan denda membayar dam seekor kambing. 2 orang daripada kami menunaikan Haji Ifrad iaitu berniat haji sahaja. Menurut mazhab Syafie, Haji Ifrad lebih utama kerana berada di dalam ihram lebih lama. Manakala mazhab Hanafi berpendapat Haji Tamattuk lebih utama disebabkan membayar dam itu, ia membantu orang miskin.
Perjalanan haji bermula. Orang memang terlalu ramai. Semua jalan penuh sesak tatkala jemaah mula bergerak ke Padang ‘Arafah untuk berwukuf. Dikatakan mereka yang berjalan kaki dari Mekah lebih dahulu sampai dari mereka yang berkenderaan. Bas memang bergerak lambat. Tiada ruang dan peluang untuk bergerak laju. Semua orang tertumpu pada tempat yang sama. “Pernah berlaku jemaah haji Malaysia yang berwukuf di luar sempadan Arafah kerana memilih tempat yang selesa. Jadi kita perlu berhati-hati supaya haji kita sah. Paling penting sentiasa menurut arahan ketua rombongan,” jelas ustaz yang membimbing rombongan kami.
Rombongan memilih tempat berwukuf yang hampir dengan kemudahan bilik air. Pada masa itu, pokok-pokok yang ditanam tingginya lebih kurang 1 meter – 2 meter sahaja. Dedaunnya juga tidak lebat. Kami tiada khemah sebagaimana jemaah haji Malaysia yang lain. Sedikit atap dibuat dari selimut yang diikat pada dahan-dahan pokok bagi meredakan kehangatan mentari. Disekeliling kami, ada jemaah yang tidur di bawah bas, tidak beratap langsung dan pelbagai gaya lagi. Hanya zikrullah yang dapat menyabarkan hati-hati kami untuk bertahan di situ. Kalau berjemur, berkumpul dan berasak-asak dengan orang ramai di dunia ini sudah perit rasanya, apa lagilah di Padang Mahsyar di akhirat kelak.
Pada masa wukuf ini jugalah, terfikir, “Cukuplah sekali menunaikan haji seumur hidup. Tidak sanggup mengulanginya lagi”. Rombongan memilih berada di sana pada waktu yang afdal. Tengah malamnya, baru kami bertolak ke Muzdalifah. Semua pergerakan haji seterusnya seperti melontar di jamrah, bermalam di Mina, tawaf dan sa’ie dilakukan dalam keadaan berasak-asak dengan orang ramai. Situasi ini membuatkan kita memerlukan lebih tenaga untuk menunaikan semua amalan tersebut dengan baik. Orang-orang tua atau perempuan hamil yang uzur diharuskan mewakilkan orang lain untuk melontar. “Kita akan membuat Nafar Thani kerana ia afdal dan juga orang sudah mula berkurangan bagi menunaikan ibadah seterusnya di Mekah nanti,” begitulah antara pesanan ketua rombongan kami. Alhamdulillah, dipandu oleh para ustaz yang faqih dan berpengalaman, rombongan kami sentiasa memilih melakukan ibadah yang paling afdal walaupun ia mungkin memakan masa yang lebih lama untuk menyelesaikannya.
Setelah melalui pengalaman melontar yang sungguh mencabar dan bermalam di Mina, kami pulang ke Mekah. Sebaik sahaja tiba di Mekah, baru terasa keindahan menunaikan haji. Perasaan ‘cukuplah sekali’ semasa wukuf bertukar kepada, “Ya Allah, aku ingin datang lagi”. Benarlah sabda Nabi s.a.w… benarlah semua kata-kata Baginda s.a.w bahawa jihad bagi wanita ialah haji. Amalan-amalan haji sahaja sudah cukup mencabar kudrat lemah seorang wanita. Apatah lagi realiti jihad dalam peperangan fisabilillah. Penulis amat bersyukur kepada Allah dengan nikmat menunaikan haji di usia muda ini. Kefahaman terhadap maksud hadis bahawa jihad wanita adalah haji dapat dihayati sepenuhnya.
Allah yang bersifat maha pengasih dan maha penyayang begitu ber’murah hati’ mengurniakan ganjaran jihad buat kaum wanita dengan ibadah haji. Semua itu adalah selari dengan keupayaan kaum wanita yang secara fitrah, fizikalnya lebih lemah dari lelaki.
Ummu Abbas
21 Rejab 1435H/ 20 Mei 2014.
Tanah Serendah Sekebun Bunga
Tinggalkan Jawapan