Posted in MyDiary

Travelog Fiqh Perubatan di Jordan & Mesir

Bismillah

Alhamdulillah, hari ini hari ke 4 berada di tanah air selepas pulang dari Kaherah pada 15 November lepas.   Masih demam-demam dek perubahan cuaca agaknya.  Apa pun alhamdulillah ‘ala kullihaal.  Itu tanda Allah swt beri perhatian pada kita.  Sakit sedikit memberi peluang mengasah sifat sabar.  Sihat pula menguji sifat syukur kepada Allah swt.

Catatan 1

Alhamdulillah, pihak HEWI MPMMJ di  julung-julung kalinya telah mengadakan konvensyen untuk kaum wanita Melayu di Jordan.  Saya sendiri mengetahuinya pada saat-saat akhir melalui PAPISMA (Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia) yang disertai suami.

Info ringkas dari web MPMMJ berbunyi,

“Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ) dengan kerjasama erat Education Malaysia Jordan (EMJ) dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dengan sukacitanya membawakan kepada anda, Konvensyen HEWI MPMMJ 2014 (I-KON 2014)!

I-KON 2014 adalah acara sulung gilang gemilang yang bakal menghimpunkan mahasiswi Malaysia seluruh universiti di Jordan yang bertujuan untuk mengeratkan tali silaturrahim sesama mahasiswi dan para wanita Malaysia di Jordan. Konvensyen ini juga mengetengahkan serta mendedahkan hal ehwal wanita dan isu semasa wanita dari pelbagai dimensi dan sudut. Selain itu, Konvensyen HEWI bakal menampilkan figura wanita dari Malaysia yang terkenal dengan perkongsian kisah-kisah serikandi Islam.

Berikut maklumat ringkas Konvensyen HEWI MPMMJ 2014 :
Tempat : Dewan Al-Kindi, Universiti Yarmouk,Jordan
Tarikh : 7 & 8 November 2014 “

Semasa dihubungi Cikpuan Pengarah program, saya merasa kagum dengan penganjuran program ilmiah seperti ini oleh pihak HEWI.  Ia benar-benar satu usaha yang baik dan sesuai bagi para pelajar kampus.  Juga merupakan program ilmiah pertama diadakan oleh pihak HEWI di Jordan kepada pelajar umum selepas kira-kira 26 tahun pelajar Malaysia mula menerokai dunia akademik di bumi anbiya’ (para nabi) itu.  Di zaman saya belajar dahulu, telah wujud suasana keilmuan seperti ini namun dibuat secara kecil-kecilan seperti para pelajar ada membuat diskusi ilmiah, pembentangan kertas kerja dan diskusi buku.  Maksud kecil-kecilan di sini disebabkan waktu itu belum ada persatuan pelajar Malaysia secara rasmi di Jordan dek pelajarnya masih sedikit dan kedutaan pun belum ada.  Kami mengusahakan atas kehendak sendiri mahu membudayakan ilmu dan latihan ‘public speaking’ di kalangan pelajar selain menghadiri kelas-kelas di universiti.   Faedahnya adalah sebagai bekal ilmu dan kemahiran berinteraksi dengan masyarakat umum sekembalinya ke tanah air yang berbeza bangsa, budaya dan bahasa dari masyarakat di Jordan.

 

Saya sendiri mula diasah membuat kertas kerja sendiri ketika belajar di Universiti of Jordan kira-kira 18 tahun yang lalu.  Pada waktu itu belum pun habis belajar di peringkat ijazah pertama.  Saya sendiri bentangkan kertas kerja tersebut.  Ia satu latihan ‘public speaking’ yang praktikal.  Latihan demi latihan membuatkan kita bertambah yakin untuk bercakap di hadapan ramai, mengikis rasa gemuruh dan apabila emosi dapat dikawal, idea lebih mudah datang untuk syarahan.

Alhamdulillah, semuanya aturan Allah swt, rasa rindu membuak kepada Bumi Jordan yang telah ditinggalkan 17 tahun yang lampau telah mendorong saya menerima jemputan memberi ceramah Fikah Perubatan yang diselitkan sebagai salah satu slot di konvensyen tersebut.  Syukur kepada Allah swt atas perancanganNya memberi amanah kepada saya, mantan pelajar muslimah University of Jordan menjadi salah seorang ‘speaker’ di majlis untuk siswi yang julung kali diadakan ini.

Jazakumullahu khoyraljaza’ kepada pihak PAPISMA dan juga HEWI MPMMJ yang telah memberi peluang yang baik ini sehingga dapat saya melepaskan rindu ke kampung halaman permusafiran ilmu di peringkat ijazah pertama dahulu.

10669228_978744965475064_1493102018160212958_o 10703912_978881068794787_4016343422145837587_o

*** Warna tema konvensyen menarik perhatian saya sebab itu warna kegemaran :).

Ummu Abbas

26 Muharram 1435H

19 November 2014

Negeri Cik Siti Wan Kembang

14.17pm