Posted in Islamika

Pilihanraya dan Kebebasan Media di Australia

Bismillah

Suatu hari, saya menemani suami yang akan menjalani ‘keyhole surgery’ di Royal Melbourne Hospital.  Di ruang menunggu itu, tertarik dengan paparan di kaca televisyen yang sedang menyiarkan wakil parti pembangkang berucap mengemukakan ideanya.  Seronok melihat semua wakil-wakil parti diberi peluang berkempen di media elektronik milik kerajaan.  Semua rakyat adalah pembayar cukai sama ada mereka di pihak parti yang mentadbir negara atau parti pembangkang. Dari hasil cukai, kerajaan membelanjakannya semula untuk kepentingan umum pembayar cukai.  Jadi wajar benar semua mereka dilayan sama rata.

Kerajaan merupakan hak dan amanah rakyat.  Bukan milik parti yang menang dalam pilihanraya sahaja.  Pegawai kerajaan pula ialah mereka yang berkhidmat untuk maslahah rakyat awam, bukan bekerja dengan parti yang mentadbir. Jadi wujud perbezaan ketara antara ‘pegawai kerajaan’ dan ‘petugas/aktivis parti’.  Secara umumnya, rakyat Australia di layan dengan baik dan adil tanpa mengira latar belakang parti, kaum dan agama.  Australia merupakan sebuah negara yang mengguna sistem tradisi demokrasi liberal yang mana ia menitik beratkan toleransi beragama dan kebebasan mengeluarkan pendapat serta berparti.

6823_murdoch-newscorp-newspapers-l-140711-aap

Dalam usia menghampiri separuh abad ini, seingat saya tidak pernah lagi menyaksikan kebebasan dalam menggunakan media oleh parti-parti politik yang bertanding di Malaysia.  Yang layak keluar televisyen hanya parti yang memerintah, parti yang memerintah dan parti yang memerintah.  Impaknya rakyat yang hanya bergantung kepada media kerajaan sering teracun dengan momokan dan fitnah parti pemerintah terhadap lawan mereka.  Berbeza dengan rakyat yang suka membaca atau merisik khabar dari pelbagai sumber, mereka lebih adil dalam menilai serta lebih terpandu dalam membuat pilihan dan keputusan.  Paling penting, mereka tidak mudah ditipu.  Ucapan wakil parti lain akan disiarkan setelah ianya diedit untuk kepentingan pihak penguasa.  Petikan ucapan yang sudah dipotong di sana sini itu akan mengelirukan penonton dan memberi fitnah yang besar.

Adab Menerima Berita

 

Dalam hal menerima berita, Allah sudah memberi panduan kepada umat manusia melalui surah al-Hujuraat ayat 6 yang berbunyi,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksud ayat, “Wahai orang-orang yang beriman!  Jika datang kepadamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Ayat ini menerangkan cara menerima sesuatu berita iaitu dengan menyelidiki kebenarannya terlebih dahulu. Saya kira semua insan yang dilibatkan dalam satu-satu pemberitaan khususnya yang bersifat negatif mahu menjelaskan hal sebenar bagi pihaknya. Jadi sewajarnya kita bertanya empunya diri secara langsung.  Biasa berlaku empunya diri tidak ditanya, kemudian terus dijatuhkan ‘hukuman’ dengan ulasan-kesimpulan yang menjejaskan maruahnya.  Seseorang yang pernah mengalami situasi begini sudah tentu dapat merasai pahitnya dituduh begitu dan begini tanpa dirinya diadili atau diselidiki sewajarnya.  Apabila kita suka orang lain cermat dalam meneliti dan menilai diri kita secara adil dengan mendengar penjelasan semua pihak, maka begitu juga yang wajib dilakukan terhadap orang lain.

Disiplin menyelidiki kebenaran sesuatu perkhabaran ini merangkumi semua perkara sama ada melibatkan individu, topik-topik tertentu atau selainnya seperti badan-badan, pertubuhan dan parti politik. Dalam konteks pilihanraya di Australia ini, apabila kerajaan yang amanah memberi kebebasan media kepada semua pihak, secara tidak langsung kerajaan mendidik rakyatnya berfikiran terbuka untuk mendengar, meneliti dan menilai pelbagai pandangan.  Kerajaan begini menghargai dan memberi kepercayaan kepada rakyatnya yang cukup usia dan berakal untuk berfikir sendiri.  Kerajaan yang menyekat kebebasan media pula merupakan sebuah kerajaan yang tidak yakin pada diri sendiri disebabkan beberapa faktor.  Antaranya tidak amanah, mengamalkan rasuah, pilih kasih, menipu, menekan rakyat dan lain-lain.

kebebasan-media

Memandu Kebebasan

Layang-layang bebas menari-nari di awangan di tiup angin.  Layang-layang itu kekal selamat selagi tali di bawah ada penerajunya.  Layang-layang yang terlepas bebas kerana terputus talinya akan berpusing-pusing tanpa arah.  Akhirnya tersangkut di mana-mana menyebabkan ia terkoyak atau rosak.  Begitulah perumpamaan manusia dan kebebasan yang dianugerah kepadanya.  Kebebasan itu terikat pada peneraju yang menyebabkan ia selamat.

Asasnya kebebasan manusia adalah terbatas dan tertakluk di bawah peraturan semulajadi yang sesuai dengan naluri.  Sebagai contoh; Naluri manusia ialah berkahwin dengan pasangan berlainan jenis, naluri manusia malu untuk berbogel di depan umum, naluri manusia tidak suka kepada cerita-berita bohong dan lain-lain.  Maka dalam menggaris-pakai apa jua undang-undang, manusia terikat dengan norma-norma fitrah ini supaya kehidupan mereka kekal selamat dan bahagia.  Begitu jua apabila sesebuah kerajaan memberi kebebasan media kepada rakyatnya, maka kerajaan terikat untuk tidak meluluskan sebarang paparan bersifat pornografi, ucapan berbau rasis yang boleh menggugat perpaduan rakyat, berita-berita fitnah dan lain-lain.

Layang2
Layang-layang yang ada peneraju pasti selamat, in syaa Allah.

 

Kelemahan kebebasan media di Australia ini khususnya dan di negara-negara barat amnya ialah kebebasan itu tiada peneraju yang layak menyebabkan ia bebas menyiarkan bahan-bahan pornografi.  Sesetengah negara barat begitu lantang mengkritik agama lain khususnya Islam.  Situasi ini boleh menimbulkan ketegangan masyarakat dunia.  Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi boleh menjadi model dalam isu kebebasan media berpandukan garis-garis berikut;

  1. Semua parti politik yang berdaftar dan bertanding berhak menggunakan mana-mana siaran televisyen dan radio untuk menyatakan idealogi mereka dengan kadar masa yang sama rata.
  2. Liputan berita merangkumi semua aktiviti parti politik secara adil tanpa pengubah-suaian.
  3. Setiap parti politik dibenarkan mempunyai stesen radio sendiri.
  4. Mengawal berita supaya menjauhi unsur-unsur fitnah, mencerca peribadi, memperlekeh mana-mana agama dan meniup api perkauman.
  5. Menghadkan hiburan kepada hiburan yang mendidik. Bererti menyekat kemasukan hiburan yang melalaikan serta menyubur budaya hedonisme.
  6. Mengharamkan secara mutlak paparan dan bahan pornografi sama ada di media elektronik, bercetak dan laman maya (internet).
  7. Memperbanyakkan slot diskusi, forum, perbincangan dan pembentangan-pembentangan secara ilmiah.
  8. Membenarkan semua parti politik menerbit akhbar harian sendiri tanpa perlu memohon permit sebagaimana saranan penulis Harakah, Encik Subki Latif. Juga hak mengedar dan menjualnya kepada rakyat umum tanpa dihadkan kepada ahli sahaja.
Bebas Media
Bagaimana dengan kebebasan media elektronik seperti radio dan tv di Malaysia?

Saya berkeyakinan penuh jika kerajaan Malaysia mampu melaksanakan dan menguatkuasa saranan di atas, Malaysia akan jauh berada di hadapan dari aspek kebebasan media berbanding negara-negara maju terutama di barat.  Kebebasan yang dipandu itu bakal melahirkan generasi yang bukan sahaja pandai, malah cerdik, berfikiran terbuka, memiliki banyak maklumat dan berakhlak mulia.  Pihak kerajaan yang ada sekarang perlu melihat hasil dari PRU 13 yang mana ‘gelodak rasa’ rakyat terhadap informasi yang benar dan telus tidak dapat dibendung-bendung lagi.  Ia umpama empangan yang pecah lalu airnya menerobos laju menuruni bukit menghanyutkan semua yang menjadi penghalang.  Ini antara fitrah manusia yang tidak mampu dibendung dengan ugutan, tohmahan, penjara dan wang ringgit.

Ummu Abbas

Jamadil Akhir 1434H/30 April 2013

  • Catatan lama semasa bermastautin di Melbourne 2013.