Posted in Islamika

Selamat Berhimpun untuk Peserta Himpunan RUU355

Bismillah

 

In syaa Allah, beberapa jam dari sekarang, umat Islam yang cintakan syariat Islam ditinggikan di Malaysia tercinta ini akan mula memenuhi Padang Merbok, Kuala Lumpur.

 

Ia satu usaha yang baik untuk menzahirkan hasrat umat Islam Malaysia bersatu merentasi bangsa, bahasa dan parti politik demi kepentingan Islam di Malaysia.

 

Saya kira ia wajar disokong oleh bukan sahaja umat Islam, tetapi oleh rakyat bukan Islam kerana setiap undang-undang Islam bertujuan mendidik umatnya menjadi insan berdisiplin dan berakhlak mulia.  Bila umat Islam dibiarkan bebas mengamalkan ajarannya dengan baik, impak positif turut akan dirasai oleh semua kaum kerana umat Islam takut untuk mencuri, merompak, merogol, membunuh dan segala macam jenis jenayah yang lain.  Apa pun, RUU 355 ini belum lagi melibatkan jenis hukuman berbentuk bunuh dan potong tangan yang mana bidang kuasa bagi kes jenayah tertentu seperti mencuri dan membunuh tersebut masih di bawah mahkamah sivil.

 

Untuk umat Islam, bagi mereka yang beriman kepada Allah swt, RasulNya dan hari akhirat, pasti menyokong usaha mengangkat taraf bidang kuasa mahkamah syariah ini tanpa banyak alasan walaupun mungkin diri sendiri tidak mampu hadir Himpunan RUU355 ini.

himpunan-355-640x320

Saya yang tidak mampu hadir himpunan hari ini berdoa kepada Allah swt,

“Ya Allah, gantilah diriku dengan 100 orang atau lebih yang lebih baik untuk hadir perhimpunan hari ini.  Aamiin ya Rabb”

 

Kepada semua yang hadir, saya ucapkan,

سيروا على بَركة الله

 

Pergilah dengan iringan barakah dari Allah swt.

 

Ya Allah, lindungi semua yang hadir dengan kasih sayang dan rahmatMu…

 

Ya Allah, jadikan setiap keringat yang menitis  hari ini menjadi air yang menyamankan melindungi mereka dari kepanasan padang Mahsyar kelak…

 

Ya Allah, anugerahkan penawar lelah perjalanan yang dilalui oleh mereka  dengan lintasan kilat di titian sirat di akhirat kelak…

 

Ya Allah, gantikanlah perbelanjaan yang dikeluarkan untuk hadir perhimpunan ini dengan rezeki berganda di dunia dan pahala yang tiada putus di akhirat kelak…

 

Ya Allah, saksikanlah bahawa walau jasadku tidak mampu bersama mereka namun hatiku tetap hadir bersama mereka.

 

 

Saya yakin 100% Allah swt bersama dengan para umat Islam yang ikhlas berhimpun pada hari ini, in syaa Allah.

 

Wassalam.

 

 

Ummu Abbas

18 February 2017

8 Jamadil Akhir 1438H

11 a.m

Negeri Tadahan Wahyu