Seronoknya Memandu di Australia

BISMILLAH

Nota:  Di bawah ini adalah artikel lama penulis yang disiarkan di dalam Majalah Era Muslimah dengan sedikit editing.

********************************

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Memandu di Australia adalah antara aktiviti yang menyeronokkan. Pemandu di sini lebih berdisiplin dan beretika berbanding di Malaysia. Memandu di Sydney lebih tenang berbanding di Melbourne. Antara bandar-bandar besar di Australia, masyarakat setempat mempunyai sedikit perbezaan dari aspek budaya dan perwatakan mereka. Ia sama seperti di Malaysia yang mana budaya dan sikap semulajadi penduduk antara negeri-negeri adalah berbeza. Menurut seorang kawan yang bernikah dengan warga Australia, penduduk di Melbourne lebih peramah dan mesra berbanding penduduk Sydney. Sydney merupakan kota terbesar di Australia, diikuti bandar Melbourne, Brisbane, Perth, Adelaide, Canberra, Hobart dan Darwin.

 

Meskipun setiap negeri, penduduknya mempunyai sedikit perbezaan sikap dan perwatakan namun secara umumnya, mereka patuh dengan undang-undang yang ada. Menurut pemerhatian, pendidikan sejak di tadika berkenaan undang-undang jalanraya membantu generasi mereka memahami dan membentuk diri untuk berdisiplin. Selain itu, ketegasan pihak berkuasa mengambil tindakan kepada pemandu yang melakukan kesalahan turut memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat untuk tetap berdisiplin. Masyarakat yang berdisiplin dapat menjamin keselamatan umum.

Bakal pemandu -pemandu berhemah, insyaa Allah.
Bakal pemandu -pemandu berhemah, insyaa Allah.

Baru-baru ini penulis menemani anak ke lima yang berusia 5 tahun hadir ke Essendon Traffic School. Sekolah trafik ini menyediakan set jalan-jalan mini dilengkapi dengan lampu isyarat, penanda jalan dan loceng keretapi. Salah seorang ibubapa diwajibkan hadir untuk bersama anak-anak kecil ini memahami sistem jalan raya. Bermula latihan bagaimana melintas jalan raya bersama orang tua, anak-anak ini dibimbing mengenal tanda-tanda di jalan raya serta cara mematuhinya dengan menaiki basikal. Anak-anak ini kelihatan begitu seronok menjalani sesi pembelajaran ini.

 

 

Essendon Traffic School
Essendon Traffic School

 

Simpang-simpang Pelik dan Denda

Kalau di Malaysia, kita biasa temui simpang empat atau simpang tiga sahaja. Di sini, terdapat simpang yang pelik-pelik bentuk aliran jalannya. Bukan itu sahaja, bagi mereka yang baru sampai ke Melbourne dan mahu memandu di sini, perlu buat pemerhatian lebih pada setiap papan tanda jalan raya dan juga papan tanda ‘parking’. Ada kawan yang perlu membayar denda beratus-ratus dolar dek salah ‘parking’ beberapa kali. Ada kawan yang lain dikenakan denda AUD400 untuk dua kesalahan memandu lebih sedikit dari had laju dibenarkan. Yang lain pula dikenakan denda semata-mata kerana anak-anak tidak memasang tali pinggang keledar dengan kemas. Ada cara untuk membelok ke kanan, kenderaan mesti berada di sebelah kiri jalan. Ada banyak simpang empat yang kita tidak boleh membelok ke kanan atau ke kiri.

 

Mereka yang bercadang datang bermastautin di Australia dan memiliki anak pelbagai peringkat usia harus melatih anak-anak duduk di tempat masing-masing dengan memakai tali pinggang keledar. Anak kecil berusia 2 tahun ke bawah diwajibkan menggunakan ‘baby car seat’ atau ‘baby capsule’ untuk bayi berusia 0 – 6 bulan. Kanak-kanak berusia bawah 7 tahun diwajibkan menggunakan kerusi ‘booster’. Anak ke enam penulis yang dilahirkan di Melbourne duduk di atas kapsul bayinya sendiri dan memakai tali pinggang keledar pada hari pertama dia dilahirkan. Di sini penguatkuasaan undang-undang jalanrayanya amat tegas. Jika saman tidak dibayar dalam tempoh dua minggu, polis akan ‘bertamu’ ke rumah.

Antara simpang pelik di Reservoir, Victoria.
Antara simpang pelik di Reservoir, Victoria.

 

Lebuhraya

Mujurnya, lebuhraya bertol di Melbourne ada dua sahaja iaitu CityLink dan EastLink. Had laju maksimum ialah 100km/jam. Jarang-jarang sekali ditemui kadar had laju 110km/jam. Apa yang menarik tentang lebuhraya di Melbourne ini? Jika di dalam bandar, anda akan dapat lihat pelbagai rekabentuk moden menghiasi lebuhraya kota. Rasanya tidak banyak yang menarik pada lebuhraya itu sendiri selain menikmati pemandangan indah di kiri kanan jalan sebaik sahaja keluar dari kawasan kota. Ada papan tanda menandakan kawasan kangaroo dan beruang koala melintas. Jarang-jarang sekali, dapat dilihat kangaroo mati di tepi-tepi jalan akibat dilanggar kenderaan.

 

Pada tahun 2007, penulis sekeluarga pernah melakukan perjalanan Sydney-Adelaide-Melbourne-Sydney selama seminggu. Kami berkelana bersama sebuah famili lagi. Kereta sewa biasanya kereta baru dan kosnya pula rendah dibandingkan sewa kereta di Malaysia. Lesen memandu Malaysia diterima asalkan diterjemahkan. Boleh terjemah di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau mendapatkan salinan terjemahannya di pejabat konsulat di sini. Pemanduan adalah di sebelah kanan, sama seperti di Malaysia. Terbaru bermula tahun ini (2014) dikatakan JPJ keluarkan lesen dalam dua bahasa terus iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Ladang Canola
Ladang Canola

Itu kali pertama kami memandu di sini. Perjalanan Sydney –Adelaide berkereta memakan masa kira-kira 22 jam dicampur masa berhenti rehat. Jarak Sydney- Adelaide ialah 1427km. Dalam keadaan sarat hamil 7 atau 8 bulan pada masa itu, saya masih mampu menikmati keseronokan melakukan perjalanan jauh. Ini adalah kerana keadaan jalannya yang selesa dan dapat menikmati pemandangan sekeliling yang masya Allah! Subhanallah! Indah sungguh bumi kangaroo dihiasi ladang-ladang tanaman dan penternakan. Suami kelihatan tenang memandu seorang diri. Biasanya di Malaysia, perjalanan Kuala Lumpur-Kota Bharu yang tidak sampai 350km itu pun kami bergilir memandu.

 

 

Pemanduan Ke Syurga

Seronoknya memandu melalui lebuhraya kerana jalannya luas dan lurus. Itulah yang saya rasakan. Oleh sebab itu, ramai orang memilih menggunakan lebuhraya kerana mahu cepat sampai ke destinasi. Jarang orang mahu menggunakan jalan kampung yang sempit, banyak simpang dan bengkang bengkok. Seringkali bila berada di atas lebuhraya, terfikir tentang lebuhraya akhirat. Lebuhraya akhirat atau jalan hidup yang lurus itu hanya ada pada syariat Islam yang mudah difahami, praktikal dan selari dengan naluri. Manualnya adalah Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. ‘Pemandangan indah’ sepanjang ‘lebuhraya akhirat’ ini ialah aqidah tulen penganutnya, ibadah yang sahih dan akhlak mulia. Sehingga tatkala semua itu berpadu di dalam jiwa umatnya, akan terserlah ketenangan dan kebahagiaan pada individu dan menjamin keselamatan pada ummah.

 

‘Jalan kampung’ yang banyak persimpangan, bengkang bengkok dan sempit menuju akhirat pula ialah pelbagai cara hidup selain Islam. Ia sukar difahami, mengelirukan, merosakkan dan bercanggah dengan fitrah semulajadi insan. Persimpangan hidup yang pelik boleh muncul dari istilah-istilah Islam yang digembar-gemburkan sebagai cara hidup Islam masakini seperti Islam Hadhari, Islam Wasatiyyah, Islam Liberal dan lain-lain lagi. Walhal ia adalah ‘Islam’tempelan yang telah diubah suai menurut kepentingan diri atau golongan tertentu. Ramai manusia mampu patuh dan taat kepada undang-undang jalan raya kerana mahu dirinya selamat. Juga kerana takut kepada denda demi denda. Begitu jua Islam, jika ramai taat pada syariat, nescaya selamatlah diri dan masyarakat, bukan sekadar di dunia, bahkan di negeri abadi iaitu akhirat. Murka Ilahi dan denda-denda dari Allah berupa dosa, bala di dunia dan azab di akhirat lebih wajar ditakuti berbanding denda-denda ciptaan manusia.

 

Jika mahu sampai ke destinasi akhirat dengan selamat, hanya lebuhraya Islam berpandukan GPS al-Quran dan sunnah sahaja jawapannya. Sambil menikmati keselesaan memandu di lebuhraya, Allah mahu mengingatkan kita tentang ini juga . Allah berfirman di dalam surah Al-An’am ayat 153,

All An'am 6_153

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya. Janganlah kamu menurut pelbagai jalan (yang lain dari Islam) kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

 

Ummu Abbas

6 Zulhijjah 1435H

Negeri Cik Siti Wan Kembang

Advertisements

UMNO Untung Ada PAS

Aqil semasa sihat.  Semua benda mahu dipegangnya.
Aqil semasa sihat. Semua benda mahu dipegangnya.

Huaa…huaa..huaa

Aqil asyik menangis sejak 4 hari ini.

Saya mahu solat pun terpaksa biarkan dia menangis. Kasihan dia.

Aqil anak yang baik dan tidak banyak kerenah. Sekarang usianya 1 tahun 6 bulan.

Semalam, dia tidak dapat tidur. Saya pun terpaksa berjaga.

“Kenapa ni sayang…” Saya memujuk.

Sesekali saya lagukan kalimah La Ilaha Illallah di telinganya.

Aqil terus merengek dan menangis.

Ada dua persoalan dari pengunjung blog yang belum sempat saya layan. Maaf ye…kepada yang bertanya. Saya akan beri respon segera bila keadaan mengizinkan.

Sejak Sabtu 7 Februari 09, Aqil demam. Saya ingat dia mendapat virus demam dari saya yang demam seminggu sebelum itu. Hari ini baru kelihatan bintik-bintik merah di muka, tangan, badan dan kaki. Patutlah dia tidak dapat tidur semalam. Rupa-rupanya dia dapat measles atau kita panggil campak.

Kalau saya sakit, saya ingat saya yang akan mati… bila anak sakit, saya ingatkan diri saya anak itu boleh diambil bila-bila masa oleh Allah. Sejak 2 minggu ini, Allah mahu ingatan saya kuat kepada mati.

Saya insan biasa yang tidak maksum. Ada masa terleka dan hati kembali mahu merasa seronok dengan dunia dan isinya. Nampaknya, Allah sayangkan saya. Semalam, sepupu suami saya meninggal. Penyakit yang dideritai sejak 5 bulan lalu 1 kes dalam sejuta. HUSM akan menjadikannya sebagai bahan kajian.

Sempat juga mengalirkan air mata kerana mengingatkan diri yang entah bagaimana saat akhir hayatnya.

Melihat perkembangan di Perak pula, saya sangat-sangat kasihankan UMNO yang mana ahlinya beragama Islam sama seperti saya. Lupakah mereka kepada Allah? Lupakah mereka kepada MATI? Hingga tergamak mereka memperturutkan hawa nafsu sedemikian rupa.

Tahukah mereka, pintu taubat masih terbuka luas untuk mereka selagi ruh belum sampai di kerongkong. Saya sedih melihat mereka memburu fatamorgana yang mereka tidak akan menuai hasilnya di akhirat kecuali AZAB…AZAB…dan AZAB!

Tahukah mereka, ahli PAS dan para pemimpinnya hanya mahu menyedarkan mereka tentang tipudaya iblis dan helah musuh yang nyata seperti zionis yang mahu menambah keahlian di neraka?

Tergamak mereka menepis tangan-tangan yang mahu menarik keluar mereka dari lembah api neraka. Mereka cuba menutup rapat pintu hati mereka dari menerima cahaya Allah. Sedangkan para pendakwah berusaha membukanya sehabis daya…moga-moga mereka mampu melihat dengan bantuan cahaya hidayah…

Hanya di dunia ini, kami dapat menolong kamu! Sama ada secara lemah lembut atau secara keras bergantung pada situasi dan tahap. Beruntunglah kamu sebenarnya kerana punya teman seagama seperti kami.

Kamu bersemangat menyebut derhaka kepada sultan. Tahukah kamu bahawa kamu sedang menderhaka kepada Sultan segala sultan yakni Allah!

Tidaklah Allah peduli kamu derhaka walau kepada ibubapa kamu selagi kamu mentaatiNya. Di sisi Allah, bukan derhaka namanya apabila kamu menyanggah manusia pada perkara taat dan patuh kepada Allah.

Kembalilah kepada fitrahmu yang mahu mengabdikan diri kepada Allah.

PAS kasih dan bencikan kamu UMNO kerana Allah semata. Pangkat, harta dan pengaruh yang kamu prejudis itu tidak akan mengikis walau sebesar zarah pandangan Allah terhadap usaha-usaha kami. Hanya Allah yang layak menilai.

Sebelum hamba mengundur diri, sama-samalah kita renungi lambaian cinta Ilahi ini yang dinukilkan dalan surah al-Hadid, ayat 16,

اَلَمْ يَاْنِ لِلَّذِيْنَ اٰمَنُوْۤا اَنْ تَخْشَعَ قُلُوْبُهُمْ لِذِكْرِ اللّٰهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَـقِّۙ وَلَا يَكُوْنُوْا كَالَّذِيْنَ اُوْتُوْا الْكِتٰبَ مِنْ قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْاَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوْبُهُمْ‌ؕ وَكَثِيْرٌ مِّنْهُمْ فٰسِقُوْنَ

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasiq (derhaka). Al-Hadid: 16

Aqil mendapat measles.  Sudah 4 hari tidak aktif dan tidak ceria.
Aqil mendapat measles. Sudah 4 hari tidak aktif dan tidak ceria.

Aqil baru tidur. Saya mencuri masa itu untuk mengisi blog ini.

Al Faqiirah ila Rabbiha,
Ummu Abbas
3.11
15 Safar 1430H/11 Februari 2009