[Q&A PRU] Calon Non Muslim atau Calon Muslim?

Assalamualaikum 

:)

Di tempat saya mengundi diletakkan calon bukan Islam dan Islam.  Namun calon bukan Islam ini bertanding atas tiket parti yang saya pilih. Boleh  terangkan bagaimana membuat pilihan dalam keadaan ini?  Ada yang kata perlu dahulukan pemimpin Islam walaupun pimpinan partinya tidak bagus.  Tapi ada yang kata boleh pilih pemimpin bukan Islam untuk memenangkan parti yang pimpinannya bagus.

Wassalam 

:)

****************

Wa’alaikumsalam warahmatullah Alin 🙂

Semoga Allah menambah kasih sayang dan barakahNya dalam kehidupan Alin sekeluarga.

Saya suka melihat sikap terbuka dan positif yang ada pada Alin dalam menilai dan membuat keputusan.  Sifat bertanya dahulu dalam hal yang tidak diketahui dan difahami boleh memandu diri menilai dengan adil, seterusnya membuat keputusan yang tepat berdasarkan kefahaman.  Akhirnya kita terselamat dari menjadi mangsa kepada pihak berkepentingan selain kerana Allah swt.

Berhubung pertanyaan, ada dua entiti penting yang berbeza fungsi dan sifatnya wujud di dalam satu-satu perkumpulan;

1.  Parti atau kumpulan tertentu.

2.  Individu.

Dalam konteks parti-parti  politik di Malaysia, dasar-dasar parti akan menentu dan menghadkan segala tindakan pimpinan dan ahli supaya selari dengannya.

Parti yang menolak Quran dan Sunnah dari menjadi dasar atau dengan kata lain mengambil dasar selain Islam akan mempengaruhi segala perlaksanaan dan tindakan ahli.  Oleh sebab itu  sekiranya mana-mana ahli yang berniat menerapkan nilai-nilai Islam di dalam parti tersebut biasanya akan terbuang juga akhirnya.

Umpama seseorang yang mahu membersihkan tong sampah.  Walaupun pada asalnya dia seorang yang bersih, jika dia memilih kaedah membersihkan dengan memasuki tong sampah tersebut, akhirnya tong sampah tetap tidak bersih,   sebaliknya dirinya yang bersih akan turut terpalit sampah-sampah yang memenuhi tong.

Orang yang baik dan beriman akan berpegang teguh kepada prinsip untuk tidak bersama dengan mereka yang melakukan kezaliman.   Seandainya dia merelakan dirinya dicalonkan oleh parti yang menolak Islam sebagai dasar, sama ada dia jahil tentang parti tersebut, jahil berkenaan selok belok dan waqie’  politik Islam atau dia mempunyai kepentingan diri terhadap pencalonan itu.  Maka dari sudut mana pun, dia tetap mempunyai kelemahan yang menjejaskan integritinya sebagai calon wakil rakyat.

Apabila Allah melarang manusia melakukan kezaliman, dalam masa yang sama Allah juga mengancam sesiapa juga cenderung kepada kezaliman.

Allah berkata di dalam surah Hud ayat 113 ,

 

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

 

Jika cenderung sahaja mendapat kecaman keras dari Allah swt, apatah lagi menolong kezaliman tersebut sama ada dengan cara mengampu, mendiamkan diri tanda setuju, membiarkan diri dicalonkan, berkempen bahkan mengundi kumpulan mereka.

Allah melaknat pelaku zalim melalui surah Hud ayat 18., Allah menyatakan benciNya kepada kaum yang zalim melalui  ayat 57 surah Ali ‘Imran,  Allah tidak memberi hidayah kepada puak zalim melalui wahyu Al- Ma’idah ayat 51, ancaman mendapat azab yang pedih al Furqan 25;19 dan banyak lagi ayat-ayat lain yang mengancam perbuatan zalim.

Gambaran bagaimana kedudukan individu di dalam sesebuah parti.  Parti/kumpulan/jemaah mempengaruhi individu, dan bukannya individu mempengaruhi parti.

Gambaran bagaimana kedudukan individu di dalam sesebuah parti. Parti/kumpulan/jemaah mempengaruhi individu, dan bukannya individu mempengaruhi parti.

 

Justeru itu, parti yang meletakkan dasar menolak Islam sebagai cara hidup mesti ditolak oleh semua orang Islam yang beriman kepada Allah dan hari akhirat meskipun calonnya adalah tuan guru pondok.

Jabir melaporkan daripada Rasulullah s.a.w yang telah berkata Ka’ab bin ‘Ujrah, “ Semoga kamu dilindungi oleh Allah daripada pemerintahan orang-orang yang bodoh wahai Ka’ab.”

Ka’ab berkata, “Apakah pemerintahan orang yang bodoh itu?”

Rasulullah s.a.w berkata,

“Para pemimpin selepasku yang tidak mengambil petunjuk dan tidak mengamalkan  sunnahku.  Sesiapa yang membenarkan pendustaan mereka, menolong kezaliman mereka, mereka bukanlah dari golonganku dan aku juga bukan dari golongan mereka.  Mereka tidak dapat minum dari kolamku (pada hari kiamat).  Sesiapa yang tidak membenarkan kedustaan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, mereka itulah dari golonganku dan aku dari golongan mereka.  Mereka akan dapat minum di kolamku.”

Hadis direkodkan oleh Ahmad dan al Bazzar.

Parti yang mengambil Islam  bersumberkan al-Quran dan Sunnah sebagai dasar pula akan mempengaruhi segala perlaksanaan dan tindakan ahli supaya selari dengan dua sumber tersebut.  Sementelah pula, ‘bidang kuasa’ utama  diletakkan di bawah sistem syura ulama.   Maka ahli majlis syura ulama  inilah yang akan menjaga parti supaya tetap teguh di atas panduan al Quran dan Sunnah.  Tiada kuasa mutlak diberikan kepada individu pemimpin parti untuk menentukan hala tuju parti.

Keputusan berdasarkan syura lebih dekat kepada kebenaran dan lebih mendapat reda Allah swt berdasarkan hadis riwayat ‘Umar al-Faruq bahawa Rasulullah s.a.w berkata,

فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنَ الإِثْنَيْنِ أَبْعَدُ

“Maka sesungguhnya syaitan bersama seorang (sendirian) dan dia dari dua orang, dengan lebih jauh.”

Apatah lagi jika ahli  syura terdiri daripada pakar-pakar agama (ulama) yang beriman, bertaqwa dan berakhlak mulia.

Sifat orang alim yang bertaqwa ialah akan sentiasa memastikan jalan hidup yang direntasinya bersesuaian dengan kehendak Allah swt dan menepati sunnah RasulNya.  Kelemahan diri yang tidak maksum dilengkapi atau dapat diatasi dengan  menggabungkan diri dalam jemaah dan berbincang dalam isu-isu ijtihadiyyah (yang tiada nas mutlak mengenainya).

Jika seorang individu yang alim dan bertaqwa sahaja sudah memelihara dirinya dari melakukan perkara yang dimurkai Allah walau dalam hal-hal makruh, maka apabila mereka berkumpul beramai-ramai, lebih mustahil para ulama ini akan bersetuju atau bersepakat dalam hal yang tidak diredai Allah swt sedangkan mereka mempunyai ilmu mengenainya.

Majlis syura ini bertindak menapis  segala cadangan/saranan ahli yang diangkat.  Mana-mana yang bertepatan dengan panduan wahyu akan disahkan seterusnya dilepaskan untuk dilaksanakan.  Mana-mana yang bercanggah dengan nas wahyu, ia tidak akan digazet untuk direalisasikan oleh ahli.

Ini termasuklah membenarkan calon non muslim bertanding atas tiket parti Islam ATAU membenarkan ahli/rakyat yang muslim mengundi calon non muslim dari parti yang mengadakan perjanjian persefahaman politik (tahalluf siyasi) dengan parti Islam.  Persetujuan mengadakan perjanjian persefahaman dibuat atas perkara ma’ruf yang diiktiraf Islam tanpa menggadaikan prinsip-prinsip Islam itu sendiri.  Semua itu sudah diteliti secara mendalam berdasarkan panduan wahyu  sama ada al Quran atau Sunnah RasulNya.

Allah swt berkata mengenai hamba-hamba yang takut kepadaNya di dalam surah Fatir ayat 28,

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.

Justeru itu dalam konteks ini, pengundi muslim yang mengundi calon-calon  non muslim  dalam kategori yang disebutkan di atas  hakikatnya memberi kepercayaan kepada keputusan barisan ulama yang berijtihad secara kolektif, bukannya memberi thiqah dan wala’  kepada batang tubuh calon-calon non muslim itu sendiri.

Wassalam.

Ummu Abbas

15 J/Akhir 1434H

Melbourne

Advertisements