Siapa Gadis Intelek?

Dengan Nama Allah Yang Maha Penyayang Lagi Amat Mengasihani

Risalah Ringkas Hijab Wanita

 رسالة رغكس حجاب وانيتا

 

 

DEDIKASI

 

Duhai Puteriku,
 Ku titipkan bingkisan ini buatmu…
Yang bernama gadis, perempuan dan wanita,
Atas nama Allah SWT…
Yang Menyintai dan Amat Mengasihaniku serta
Menyintai dan Amat Mengasihanimu
sepanjang hayat…
 
Jika … wahai puteriku,
 
Engkau dambakan sebuah cinta  ;
 yang mampu memenuhi kekosongan jiwamu,
yang mampu mengubati rasa rindumu,
yang mampu meresapkan ketenangan ke segenap aliran darah dan urat sarafmu,
yang mampu mengawal kewarasan akalmu,
yang mampu memadam semarak azab neraka,
Maka…
Engkau HANYA akan menemuinya pada
CINTA ALLAH SWT

 

Dariku; Nur al-’Ayn

10.04 am, 22rejab1425H/ 7sept04

 

*****************

Pengenalan

 

Hijab adalah salah satu tanda kemuliaan wanita.  Ia diiktiraf tamadun sebelum kedatangan Muhammad SAW dan selari dengan fitrah suci manusia.  Hanya nafsu yang jahat dan akal yang dangkal mengatakan Hijab membelenggu kaum wanita dan tidak sesuai dengan dunia moden.

 

 Kenapa Wanita Perlu Berhijab?

(iaitu perempuan yang telah mukallaf)

 

♦ Kerana percaya pada Allah serta menurut perintah -Nya (al-Ahzab 33: 36).

♦   Wanita dianugerahkan Allah SWT kecantikan jasmani semulajadi yang menjadi daya tarikan seks kepada kaum lelaki.  Daya tarikan tersebut hanya halal didedahkan kepada golongan lelaki tertentu menurut kadar tertentu (al-Nur 24:31).  Justeru ia haram dipertontonkan kepada lelaki ajnabi demi menjaga keselamatan wanita dari pandangan buas nafsu lelaki asing seterusnya menjadi mangsa seks. Inilah janji Allah SWT kepada wanita di penghujung ayat perintah supaya berhijab  (al-Ahzab 33: 59).

 

 Gadis Intelek Menyahut Seruan Berhijab? 

Iya!!!

 

🙂 Gadis Intelek tidak akan menilai kecantikannya hanya melalui keindahan jasmani semata seterusnya membiarkan orang menilai dirinya menurut kacamata nafsu.  Kecantikan lahir akan pudar bersama pudarnya usia.  Gadis Intelek akan mengutamakan usaha mencantikkan aqidah, menyolek akhlak dan budi serta memakai pakaian ilmu yang bermanfaat bagi mencapai kemuliaan dan ketinggian hidup.  Seterusnya menunaikan tuntutan syariat agar senantiasa diredai dan dicintai Allah SWT.  Kesannya di kalangan manusia, muslimah solehah dihormati kaum lelaki.  Lelaki tidak mudah memperdayakannya, apatah lagi mencabul maruahnya. 

 

🙂  Gadis Intelek memburu CINTA HAKIKI, yang tidak ada kepentingan diri serta tidak disulami belaian nafsu jahat:  Itulah CINTA ALLAH Yang Maha Sempurna dan Maha Mencukupi – Justeru Gadis Intelek akan berusaha memakai hijab / menutup aurat dengan sempurna demi mencapai cinta tersebut.  Bukankah setiap kekasih sanggup berkorban apa sahaja bagi memenuhi hajat kekasihnya?  Berkorbanlah pada yang HAQ; kelak pengorbanan tidak sia-sia.

 

🙂  Gadis Intelek sekali-kali tidak akan menggunakan kecantikan lahiriah untuk menggoda lelaki; kelak yang tergoda hanya NAFSU berahi lelaki tersebut- bukan hati dan kemanusiaan yang ada dalam dirinya :- sedangkan yang didambakan oleh setiap wanita adalah kasih sayang serta penghormatan dari lelaki terutama yang bakal menjadi pasangan hidupnya.  Justeru bermula usia baligh: Gadis Intelek memakai Hijab serta istiqamah dengannya: Demi memuliakan dirinya sendiri:- kelak dia akan dimuliakan lelaki serta dicintai dari hati dan fikiran yang suci.

 

🙂  Wawasan Gadis Intelek jauh ke akhirat.  Justeru Gadis Intelek mengutamakan tindakan yang menguntungkannya dunia dan akhirat.

 

 Apakah Hijab Sekadar Menutup Aurat?

 

Hijab bukan sekadar menutup aurat, bahkan menjaga batas pergaulan antara lelaki dan wanita menurut kehendak syarak. 

Juga menjaga kesopanan apabila mempunyai keperluan keluar dari rumah.  Justeru Gadis Intelek akan:

 

 ♥  Tidak berhubungan dengan lelaki ajnabi kecuali ada keperluan yang diharuskan syarak.

♥  Tidak memanjangkan percakapan pada perkara yang tidak penting apabila ada keperluan.

♥  Tidak memanjakan suara bila bercakap dengan lelaki ajnabi (al-Ahzab 33: 32).

♥ Menundukkan pandangan semasa bermuamalah (al-Nur 24:31). 

♥ Sekiranya persekitaran kediaman atau perjalanan tidak selamat:  wanita keluar ditemani mahram yang amanah.

♥  Menjauhi tabarruj walaupun pakaian pada lahirnya kelihatan menutup aurat.  Ia termasuk memakai barang kemas yang berbunyi (seperti gelang kaki yang mempunyai loceng) (al-Ahzab 33: 33).                                                                      

 

Motivasi Pelaksanaan Hijab Gadis Intelek

 

☺   AKU  PERCAYA    bahawa Allah SWT menyuruh atau melarang hambaNya melakukan sesuatu kerana KASIH SAYANGnya pada hambaNya.

 

Kasih ALLAH pada hambaNya lebih agung dari

Kasih ibu kepada anaknya

 

SayangNya pada hambaNya mengatasi

Sayang suami pada isterinya.

 

CintaNya pada hambaNya lebih mendalam dari

 Cinta Nabi SAW pada ummatnya

  

☺   AKU  PERCAYA   bahawa ALLAH SWT tidak mempunyai kepentingan diri walau sebesar zarah dalam mengaturkan sesuatu peraturan terhadap hambaNya kerana Dia Maha Sempurna dan Maha Pemberi Rezeki.       (al-Zaariyaat 51:57,58)

       

☺   AKU  PERCAYA   bahawa nasihat-nasihat Allah SWT boleh dipercayai 100% untuk diikuti demi kebaikan diriku dunia dan akhirat.

 

☺   AKU  PERCAYA   bahawa hanya Cinta dan Reda ALLAH SWT yang layak diburu, direbut dan disemaikan ke dalam jiwaku kerana apa yang aku hajatkan dari manusia khususnya dari seorang kekasih bernama lelaki hakikatnya semua ada pada ALLAH.  Dia Maha Cantik, Maha Kaya, Maha Perkasa, Maha Melindungi, Maha Mendengar,  Maha Memahami dan segala kesempurnaan HANYA milikNya.  Justeru aku hanya berkasih-sayang sesama manusia menurut kadar dan tatacara yang diredaiNya.  Natijahnya aku tidak pernah merasa kecewa dan dipermainkan dalam hidupku kerana telah meletakkan cintaku pada YANG BERHAK.

  

Tiada Tuhan Melainkan ALLAH

MUHAMMAD SAW Pesuruh ALLAH

 

Disediakan oleh;

Ummu Abbas

 

 **********************

 BATASAN AURAT WANITA SECARA UMUM

* Seluruh tubuh KECUALI muka & tapak tangan

 

Gambar contoh menutup aurat yang sempurna

 

 » Tudung sepatutnya menutupi bahagian/bentuk dada sama ada dari bahagian hadapan atau tepi.  Juga tebal agar bentuk leher /rambut tidak kelihatan.

»  Bahagian leher tudung MESTI bertutup rapat & kemas supaya tidak mudah terbuka hingga menampakkan leher & dada

ilustrator:  ummuabbas

» Pakaian tidak nipis & ketat sehingga menampakkan bentuk badan; pinggang, punggung, peha, betis dll

 » Pergelangan tangan baju seharusnya kemas agar aurat tidak mudah terdedah

 

Secara keseluruhan, setelah syarat-syarat am di atas dipenuhi; pakaian MESTIlah tidak berfesyen / berwarna /berhias bertujuan menarik perhatian lelaki ajnabi.  Juga bukan untuk bermegah-megah.

Baja Mawaddah dan Rahmah

Bila saya ditanya mengenai tip cinta selepas lama berkahwin, saya terpaksa berfikir panjang dan muhasabah diri sendiri. Saya bukanlah pakar rumahtangga seperti Dr Fadzilah Khamsah atau Dato’ Siti Nurbahyah yang terkenal itu.

Usia perkahwinan saya yang baru masuk 11 tahun ini masih mentah saya rasakan dibandingkan dengan dua orang tokoh di atas. Saya sendiri sedang belajar dan berusaha menambah kasih sayang dengan suami. Saya syorkan para pembaca belajar dari mereka atau dari ibubapa sendiri.

Walau apapun, untuk tidak menghampakan pertanyaan, saya kongsi juga secebis ilmu yang tidak seberapa. Pada mulanya saya letak tajuk entri ini, “Tip Menyubur Cinta Dalam Perkahwinan” namun saya dapati tajuk di atas lebih ringkas dan tepat.

Perkahwinan mengandungi erti saling memberi dan menerima. Justeru, suami isteri seharusnya berusaha memperbaiki hubungan dan menambah resepi cinta antara satu sama lain. Jika hanya sebelah pihak yang berusaha, ia tidak akan berkesan. Namun sesiapa yang memulakan dahulu, dialah yang terbaik di sisi Allah, insya Allah.

Oleh kerana yang bertanya adalah pihak suami, maka saya fokuskan pada mereka dulu. Terima kasih kepada yang bertanya. Moga keprihatinan saudara mendapat limpahan kasih sayang Allah.

Apa-apa yang saya nyatakan di bawah ini merupakan hasil saya belajar dari kesilapan saya sendiri, juga melalui pembacaan untuk mengenal diri sendiri sebagai wanita.

Baja 1 dan Baja 2 merupakan petua umum untuk suami atau isteri. Baja 3 dan seterusnya adalah khusus untuk para suami.

Baja 1

Recharge IMAN (Perbaharui IMAN)

Saudara percaya kepada Allah sebagai Ilah (Tuhan) yang menciptakan diri saudara dan menjodohkan saudara dengan isteri saudara? Allah itulah yang menjanjikan limpahan Mawaddah dan Rahmah bagi pasangan suami isteri. Allah berkata melalui surah Ar Rum, ayat 21,

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Ayat ini banyak dicetak di kad jemputan kahwin sekarang. Saya berharap mereka yang memilih ayat ini dapat memahami apa yang tersurat dan tersirat dalam ayat tersebut.

Lampu dapat dinyalakan kerana adanya arus elektrik. Arus elektrik itu datangnya dari kabel yang dibekalkan menurut kawasan. Kabel itu pula mendapat bekalan dari stesen jana kuasa hidroelektrik. Jika mana-mana wayar atau kabel yang berkesinambungan dengan stesen jana kuasa tadi terputus atau rosak, maka bekalan elektrik akan terputus.

Mawaddah itu datangnya dari Allah yang bersifat al-Wadud (Yang Maha Menyintai). Bila kita sentiasa ‘online’ dengan Allah, maka bekalan Mawaddah itu akan berterusan menyinari pasangan suami isteri. Bila cahaya Mawaddah semakin malap, apa yang kita perlu cek ialah wayar atau kabel yang menghubungkan kita dengan Allah. Hanya satu kabel yang wujud dalam diri kita, itulah hati.

Lampu elektrik akan bercahaya tatkala menerima arus elektrik. Begitulah hati yang akan bersinar dengan kasih sayang apabila menerima kasih sayang Allah. Kasih sayang Allah hanya dapat diperolehi dengan menunaikan yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang. Baja 1 ini adalah prinsip umum dalam konteks komunikasi dengan manusia. Hubungan suami isteri adalah sebahagian daripadanya.

Allah hanya dapat dirasa oleh hati, bukan dengan akal. Oleh sebab itu Allah menyebut bahawa dia tidak melihat rupa dan harta kita tetapi Dia melihat hati-hati kita. Allah juga tidak menyebut bahawa Dia melihat akal kita. Sebaliknya akal banyak disebut agar manusia menggunakannya untuk berfikir. Hasil fikiran itu adalah untuk ‘recharge’ IMAN dan TAQWA di hati.

Baja 2.

Mengambil Vitamin Z.

Vitamin Z ialah Zikrullah. Apa beza dengan Baja 1 di atas? Baja 1 adalah tahap kita perlu bertafakkur dan mengoreksi diri di manakah tahap hubungan kita dengan Allah selama ini. Apakah solat kita khusyuk? Apakah puasa kita ok? Apakah kita yakin bahawa Allah al-Wadudlah berkuasa memberi atau menarik balik Mawaddah dan Rahmah di hati suami atau isteri? Setelah memastikannya, kita tidak perlu berlengah-lengah lagi untuk mengambil Vitamin Z. Vitamin Z penting bagi memastikan kita sentiasa ‘online’ dengan Allah.

IMAN itu boleh bertambah dan berkurang berdasarkan amalan seseorang.

Amalan pertama yang mesti dijaga ialah solat dan kualitinya. Solat merupakan kaedah komunikasi WAJIB dengan Allah.

Solat sudah beres?

Amalkan zikir tetap seperti bacaan al-Mathurat sama ada Mathurat kecil atau besar. Juga wirid-wirid lain bersumberkan amalan Rasulullah s.a.w.

Salah seorang anak Tuan Guru Nik Abdul Aziz (Tok Guru) yang berusrah bersama saya berkongsi petua Tok Guru dengan kami. Katanya, ayah berpesan agar amalkan mana-mana bacaan dari al-Mathurat walau sedikit. Bacaan itu dijadikan rutin harian.

Saya ada pengalaman meninggalkan bacaan al-Mathurat selepas kahwin. Sedangkan saya mengamalkannya sejak remaja. Saya tidak sedar kekurangan itu sehinggalah seorang sahabat menegur saya.

Beberapa tahun yang lalu, suatu hari, saya bertemu dengan sahabat itu. Dia lebih muda dari saya namun menempuh alam perkahwinan lebih awal. Biasalah dalam usia perkahwinan yang masih baru, kita belum benar-benar mengenali pasangan. Jadi saya minta nasihat dia. Daripada cerita saya, dia ‘detect’ saya berkenaan al-Mathurat. Saya tidak sentuh pun hal al-Mathurat tapi itulah nasihatnya pada saya. Seolah-olah dia dapat membaca bahawa saya dalam keadaan meninggalkan amalan tersebut. Justeru itulah saya merasa berat dengan apa yang berlaku di sekeliling walaupun mungkin pada hal-hal kecil sahaja.

Masalah yang kita rasa masalah belum tentu ia hakikat kepada masalah yang sedang dihadapi. Masalah sebenar saya ialah saya lalai dari Allah, maka Allah menguji saya agar saya kembali kepadaNya.

Pada asasnya, suami saya seorang yang baik, lemah lembut, bertanggungjawab dan penuh kasih sayang. Keadaan itu menyebabkan saya terleka tanpa disedari. Manusia itu diciptakan lemah dan mudah hanyut dalam nikmat. Saya masih menjaga ibadah yang wajib namun amalan sunat yang biasa dilakukan, sedikit demi sedikit saya mengabaikannya. Tiada yang lebih baik kecuali Allah.

Alhamdulillah, sejak hari itu saya mengamalkan semula al-Mathurat. Saya perasan suami juga istiqamah membaca al-Mathurat. Hubungan kami terasa bertambah baik. Saya juga memohon kepada Allah agar dijadikan saya dari kalangan hambaNya yang bersyukur ketika senang dan sabar ketika susah.

Kembalikan hati kita kepada Allah, Allah kembalikan hati-hati yang ikhlas kepada kita.

Baja 3

Memahami psikologi wanita yang suka berkomunikasi.

Wanita dikenali dengan sikap suka bercakap dan berbual. Mereka suka melahirkan perasaan mereka secara lisan. Jadi lakukan perkara yang sama terhadap isteri.

Ucapkanlah apa yang ada di hati seperti sayang, rindu dan lain-lain pada isteri.

Sebenarnya Islam memang menunjuk cara demikian. Bila kita tidak menzahirkan apa yang ada di hati, isteri tidak akan tahu dan yakin bahawa suaminya menyayangi dirinya.

Ini menyebabkan isteri terasa jauh hati, sepi dan rindu meskipun suaminya menunaikan tanggungjawab dengan baik.

Persepsi wanita terhadap kasih sayang ialah yang sering diucapkan. Ia adalah fitrah kejadian wanita dari sudut emosi yang Allah ciptakan. Justeru suami perlu memahami keadaan ini dan berusaha mengisi emosi isteri.

Pada pandangan saya, ia adalah sebahagian nafkah batin yang perlu dilunasi.

Nafkah batin bukan sekadar ‘hal atas katil’ yang bersifat fizikal tetapi juga ‘hal komunikasi intim’ yang mampu menerbit rasa bahagia.

(Seksa tau perasaan isteri bila bertahun-tahun kahwin, sepatah ucapan sayang atau rindu tidak didengari dari suami. Itulah sebabnya suami-suami yang sudah memberi nafkah zahir dan nafkah ‘atas katil’ bingung melihat isteri masih murung. Tiada seri diwajah. Isteri pula malu mahu minta ucapan-ucapan demikian dari suami. Dia mahu suami belajar dan memahami sendiri apa yang dia mahukan. Paling penting ia lahir dari hati suami yang tulus. Bukannya dibuat-buat sekadar mengambil hati.)

Menurut pemerhatian saya, ramai suami yang berjaya berpoligami kerana pandai bermain dengan kata-kata meskipun mereka kurang bertanggungjawab dari sudut nafkah dan sebagainya. Wanita mudah percaya dengan apa yang dilihat dan didengar sebab itu kesaksian mereka agak kurang sikit dibandingkan dengan lelaki. (Tajuk tesis Sarjana saya ialah Konsep Kesaksian Wanita Menurut Undang-undang Keterangan Islam)

Kelebihan yang Allah kurniakan pada sebahagian lelaki itu telah disalahgunakan. Mereka
pandai menawan emosi (baca: hati) wanita agar berkahwin dengannya namun tanggungjawab dipandang enteng.

Sebahagian ‘buaya’ pula mengeksploitasi wanita dengan kata-kata manisnya. Malangnya nasib ummah hari ini bila lelaki mempergunakan wanita, bukannya melindungi mereka.

Yang haram dipujuk rayu, yang halal (isteri) di jerkah herdik.

Apa yang diterangkan di atas merupakan manifestasi komunikasi yang begitu penting dalam konteks menyubur mawaddah dengan isteri.

….Bersambung.

Ummu Abbas
18 Rabiul Awwal 1430
2.05am

Poligami: Romantiknya Rasulullah

Malam kian larut. Seorang isteri menunggu-nunggu suaminya pulang. Mereka ini pasangan baru berkahwin. Suaminya aktivis dalam masyarakat. Siang berkerja, malam berceramah.

Tidak larat lagi menongkat mata, si isteri masuk ke bilik dan merebahkan badannya ke katil. Dia baring mengiring. Kemudian dia terlelap.

Si isteri tersedar tatkala mendengar derap kaki melangkah masuk ke bilik. Dia terus berpura-pura tidur. Buat seketika, si isteri membiarkan suaminya bersalin pakaian terlebih dahulu.

Perlahan-lahan si suami merebahkan badan di samping isteri. Sedikit pun dia tidak mengusik isterinya yang sedang tidur.

Si isteri yang sebenarnya sudah tersedar itu menunggu-nunggu lagi.

“Peluklah sayang, abang.” Bisik hatinya.

Puas menunggu, tiada apa-apa reaksi dari suaminya. Malam terus berlalu. Si isteri sedikit kecewa.

Esoknya, isteri bertanya, “Kenapa abang tak peluk sayang semalam.”

“Abang sangka sayang sudah tidur. Abang tidak mahu menganggu sayang sebenarnya. Mungkin sayang letih. Lagi pun sayang sedang alami alahan hamil, bukan?”

**************

Secebis kisah di atas merupakan perkara biasa berlaku di kalangan suami isteri. Sebenarnya baik isteri mahupun suami sukakan belaian dari pasangannya.

Bagi isteri, sentuhan, belaian dan ciuman mesra suami yang didambakan tidak semestinya melibatkan hubungan intim. Ia sudah cukup memenuhi keperluan emosinya yang mahukan perhatian dari suaminya. Hubungan intim pula hanyalah seperti fitrah makan dan minum. Bila lapar dan dahaga, baru kita akan makan dan minum.

Manakala sentuhan-sentuhan ringan, pelukan mesra dan ciuman seboleh-bolehnya dilakukan setiap hari. Banyak sedikit bergantung pada keadaan. Iya lah..siang-siang, masing-masing sibuk dengan tanggungjawab mencari nafkah dan mengurus keluarga.

**************

Apa yang dinukilkan di atas merupakan salah satu sunnah Nabi Muhammad s.a.w. yang jarang diberi perhatian oleh para suami hari ini. Kebanyakan suami, bila dia mahu ‘sesuatu’ dari isterinya barulah dia mahu menyentuh isterinya. Justeru, tidaklah pelik jika isteri merasakan dia bagai ‘alat memuaskan nafsu’ sahaja. Fitrahnya mahu bermanja tidak terpenuhi.

Aisyah r.a menceritakan,
“Rasulullah suka mencium sebahagian isteri-isterinya sedangkan dia berpuasa. Kemudian isteri-isterinya akan ketawa.”

Lihatlah, isteri-isteri Rasulullah yang bertaraf Ummahatul Mukminin itu pun suka dicumbu mesra. Mereka ketawa bila Rasulullah melakukannya kerana merasa gembira.

Rasulullah s.a.w juga pernah mandi bersama isterinya sedangkan dia berpuasa.

Dalam satu kisah lain, Aisyah r.a bercerita, “ Nabi s.a.w suka mencium dan bersenda gurau atau bersentuhan kulit dengan isterinya, padahal waktu itu dia sedang berpuasa.”

Zainab anak perempuan Ummu Salamah mendapat cerita dari ibunya, “Pada satu ketika, aku bersama Rasulullah s.a.w dalam satu selimut kain tenun. Tiba-tiba aku didatangi haid lalu aku keluar perlahan-lahan. Setelah itu aku mengambil kain untuk dipakai menahan haid.

Kemudian Rasulullah berkata, ‘Ada apa dengan kamu? Adakah kamu haid?’

Aku menjawab, ‘Ya.’ Kemudian aku masuk lagi ke dalam selimut bersama Rasulullah.”

Semua hadis di atas direkodkan oleh Imam Bukhari.

Kita dapat lihat betapa Rasulullah merupakan seorang suami yang sungguh romantik. Keadaan berpuasa dan isterinya yang sedang haid tidak menghalang dia bermesra dengan isteri-isterinya. Keadaan ini memang digemari kaum wanita. Mereka tetap suka pada sentuhan mesra pada bila-bila masa.

Rasulullah berpoligami setelah usianya 50-an ke atas. Kebanyakan isterinya pula merupakan wanita berumur lanjut, janda dan balu. Apa yang dapat kita fahami dari hadis-hadis ini ialah romantiknya Rasulullah berkekalan pada usia senja. Isteri-isterinya kecuali Aisyah juga sudah senja usia mereka waktu itu.

Kita dapat lihat pasangan Mat Salleh masih berpimpinan tangan berjalan sedangkan wajah mereka kedut seribu. Berpimpin tangan itu adalah bentuk sentuhan dan belaian yang sesuai bila berjalan di tempat awam.

Kalau kita bagaimana pula? Isteri yang semakin senja itu adakah masih dibelai mesra seperti muda-muda dahulu? Atau kita fikir hanya yang muda layak menerima sentuhan kasih seorang suami?

Meow...! Eh...sayang pun tahu sunnah Nabi ye...meow...romantiknye... sukalah kalau selalu camni.
Meow...! Eh...sayang pun tahu sunnah Nabi ye...meow...romantiknye... sukalah kalau selalu camni.

********

Buat para suami yang berhasrat menambah cawangan, cubalah tanya diri sendiri, adakah sunnah ini sudah dilakukan dengan seorang isteri? Jika belum, mulailah secara amali dengan isteri sedia ada terlebih dahulu. Jika isteri yang ada pun merasa sepi walau suami di sisi, bagaimana pula suami yang begini akan mampu memenuhi emosi isteri kedua, ketiga dan keempat nanti?

Sebagai wanita yang telah bersuami, saya faham pada keluhan sebahagian isteri yang berpendapat suaminya belum mampu untuk berpoligami. Namun ramai suami yang tidak faham apa sebenarnya yang isteri impikan berpendapat isterinya saja-saja tidak reda dengan ketentuan Allah yang mengharuskan poligami. Tuduhan seperti itu menambah luka di hati isteri yang sedia sepi dan rindu. Rindu pada yang ada di hadapan mata namun terasa jauh. Terasa jauh dek jauhnya pengertian suami tentang keperluan emosi isterinya

Beberapa sahabat saya yang bersuamikan individu yang memahami kebutuhan wanita mampu hidup bahagia dengan madunya. Dengan kata lain, suami begini bukan hebat menyebut sunnah pada kuantiti isteri tetapi hebat pada amalan menurut sunnah Nabi dari segenap segi. Hati yang bertaut cinta pada Allah. Lidah yang sentiasa basah dengan zikrullah. Teguh imannya sehingga melihat amanah dan tanggungjawab sebagai beban yang harus dielakkan. Bukannya yang perlu diusahakan supaya datang. Bila datang amanah tanpa dipinta, janji Allah untuk membantu melunasi tanggungjawab pasti terlaksana.

Justeru, suami-suami yang mahu berpoligami tetapi mendapat reaksi kurang menyenangkan dari isterinya, muhasabahlah diri sendiri dahulu sebelum menuding jari kepada pihak isteri.

Ummu Abbas.
11.55pm
4 Rabiul Awwal 1430H/ 1 Mac 2009

Tip Menyisih Cinta Tidak Diundang

Cinta antarabangsa
Cinta antarabangsa

Seringkali juga saya dikemukakan persoalan cinta di tengah jalan dakwah. Sudah beberapa generasi adik-adik yang berusrah dengan saya bertanyakan soal hati. Lazimnya mereka ini menjaga batas pergaulan seberapa yang boleh.

Namun, semasa tempoh berurusan itulah, tiba-tiba hati berdetup-detap pada seseorang. Hati itu sensitif pada individu tertentu sahaja dan bukan pada semua orang yang berurusan dengannya. Kalau dengan semua orang atau lebih seorang, hati mahu dup-dap…dup-dap… ini kes tidak normal pula. Harus jumpa doktor kalau begitu. Lelaki tidak mengapalah sebab dia ada kuota sampai empat.

Jika individu yang dilamun ‘jatuh hati’ ini berlatar belakang pendidikan agama dan keluarga juga menitik beratkan amalan agama. Dia ada ‘imunisasi’ jugalah sedikit sebanyak. Dilawannya ‘cinta’ itu dengan istighfar dan zikrullah. Namun… aduh… teringat-ingat juga pada si dia. Susahnya mahu dilawan perasaan halus yang datang.

Tidaklah salah jika kita meminati seseorang kerana agamanya. Ini untuk gadis yang belum kahwin. Dalam masa yang sama kita punya hasrat serius mahu menikahinya. Bagi kes ini; solat hajat, solat istikharah dan bincang dengan ibubapa adalah ikhtiarnya.

Biasanya, perasaan yang benar itu tidaklah pula membuatkan empunya diri angau dan lagha dari Allah. Suka, suka juga namun rasional masih ada.

Cinta itu pula tidaklah boleh ditafsir sesuka hati berdasarkan amalan orang awam. Cinta itu sudah disebut oleh Allah dalam al-Quran dengan segala konsep dan amalannya yang indah dan murni.

Tip yang dilakarkan di bawah ini adalah untuk kes ‘lamunan hati’, ‘jatuh hati’ dan ‘cinta’ buatan iblis. Cinta karya iblis inilah yang dinamakan ‘cinta itu buta’. Buta dari melihat reda dan murka Allah. Buta dari melihat panduan-panduan Islam sebagai pedoman. Sasaran utama virus ‘cinta buta’ ialah remaja yang tidak faham Islam, individu yang membelakangkan Quran dan Sunnah walau dia faham Islam. Justeru timbullah kisah jijik dan sampah antara isteri A dengan suami B, lelaki dan lelaki, cinta dengan ipar dan pelbagai spesis lagi.

Mereka yang sedar sedang dihinggapi virus ‘cinta buta’ ini bolehlah cuba-cuba vaksin berikut:

Tip menyisih cinta yang tidak diundang.

1. Yakin pada Allah Yang Maha Memahami.

Kasihan adikku yang sedar akan gangguan hati yang datang. Ketahuilah adikku… Allah memahami perasaanmu. Allah Yang Maha Mendengar tahu engkau bersungguh-sungguh datang kepadaNya… mengabdikan dirimu padaNya seluruh jiwa raga… namun apakan daya… engkau hanya insan lemah.

2. Tipu daya syaitan sangat lemah sebenarnya.

Allah memberitahu kita bahawa syaitan dan tipudayanya itu lebih lemah selagi engkau berterusan menyeru namaNya. Allah berkata dalam surah al-Nisa’, ayat 76,

اِنَّ كَيْدَ الشَّيْطٰنِ كَانَ ضَعِيْفًا
Sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah.

Justeru jangan berhenti dari mujahadah. Meskipun engkau sering keletihan melawan perasaan.

3. Menjauhkan diri dari si dia yang menjadi wasilah iblis untuk melalaikan hatimu.

Jauhkan diri dari bertemu si dia selagi boleh. Kalau terpaksa bertemu kerana ada urusan, maka berusahalah meringkas- padatkan perbualan pada perkara-perkara penting sahaja. Usah dituruti nafsu remajamu yang sedang mekar dipermainkan nafsu dan iblis. Niatkan kerana Allah, Allah pasti membantu.

Allah menukilkan ejekan syaitan kepada manusia dalam surah Ibrahim, ayat 22,

Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.

Apa yang kita fikirkan setelah meneliti ayat ini? Syaitan menyatakan bahawa kuasanya hanya dapat mengajak kita sahaja. Dia langsung tiada kuasa memaksa kita melakukan menurut kehendaknya. Kita sendirilah yang berkuasa menentukan apa yang kita mahu.

Jika kita memilih ‘mahu’ menurut kehendak dan reda Allah, maka mohonlah kekuatan kepadaNya.
Sempitkan jalan nafsu dengan berpuasa sunat. Sibukkan diri dengan kerja-kerja kita yang lebih banyak dari waktu yang ada. Insya Allah, apabila kita fokus pada sesuatu perkara, kita akan dapat melupakan perkara lain. Insya Allah.

Allah berkata dalam surah Al Ahzaab, ayat 4,

Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya.

Maksudnya kita tidak mampu menumpukan dua perkara dalam satu masa. Bila hati sedang khusyuk ingat Allah, mustahil hati boleh pula ingat perkara-perkara lain.

Lidah yang berzikir belum tentu hatinya turut berzikir. Tapi hati yang berzikir akan membuatkan lidahnya turut berzikir. Jadi beri tumpuan pada hati.

4. Maafkan diri sendiri atas perkara yang tidak disengajakan. Sedangkan Allah tidak mengambil kira perbuatan yang tersalah.

وَ لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيْمَاۤ اَخْطَاْتُمْ بِهٖۙ وَلٰكِنْ مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوْبُكُمْ‌ؕ وَكَانَ اللّٰهُ غَفُوْرًا رَّحِيْمًا‏
Kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Al-Ahzaab, 5

5. Usah jemu bermujahadah.

Ingatlah adikku, setiap mujahadahmu diberi perhatian oleh Allah. Ganjaran pahala sedia menanti. Justeru untuk apa engkau merasa jemu?

Allah berkata dalam surah Al-Naazi’aat, ayat 40 dan 41,
Sesiapa yang takut akan kedudukan Tuhannya dan menahan diri dari menuruti hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempatnya.

Iya adikku, kalau kita lakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu kerana takutkan Allah maka Allah menjanjikan syurga buat kita. Menangislah syaitan dan iblis apabila kita terus bersemangat bermujahadah agar mendapat jiwa yang tenang.

6. Bertaubat dari kesalahan yang kita sendiri usahakan dengan sengaja.

Jika terdapat unsur-unsur derhaka kepada Allah sehingga kita ditimpa ‘bala perasaan’ itu seperti tidak menjaga batas pergaulan, maka pahitnya mujahadah itu adalah sebagai kaffarah dosa-dosamu. Teruslah menuju Tuhanmu. Jangan berputus asa. Allah Maha Mendengar rayuan dan keluhanmu.

Tatkala dosamu diampunkan Tuhan, insya Allah, Allah lapangkan dadamu dan melepaskan dirimu dari belenggu perasaan yang menyiksa.

7. Beri tempoh untuk diri sendiri.

Berilah juga masa untuk perasaan itu hilang dari dirimu. Usah dilayan dan juga usah dipaksa pergi.

Perasaan adalah suatu hal yang sungguh halus dan bergantunglah kejap-kejap pada Yang Maha Memahami. Allah pasti membantu.

Ingatlah janji Allah yang dinukilkan dalam Surah Al-Ankabut, ayat 69,

وَالَّذِيْنَ جَاهَدُوْا فِيْنَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ‌ؕ وَاِنَّ اللّٰهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِيْنَ

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, pasti Kami akan pimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

Sebenarnya masih banyak konsep atau prinsip asas dalam Islam yang boleh membantu kita bermujahadah. Memadailah saya menggariskan perkara-perkara yang paling penting sebagai panduan beramal.

Beginikah cinta?
Beginikah cinta?

Buat gadisku, simpanlah ‘mawaddah dan rahmah’ itu hanya untuk suamimu yang sah. Indahnya ‘mawaddah dan rahmah’ itu sudah pun kunikmati bersama suami yang Allah ciptakan dan janjikan untukku. Kusimpan ia sejak usiaku mengenal baligh. Indahnya ajaran Islam. Usah diraikan Valentine Day. Ia bukan budaya Islam. Tahniah buat anda yang punya pengalaman seperti saya. Segala puji hanya untukMu Tuhan yang memilih kami meniti jalanMu.

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Ummu Abbas
12.52am
21 Safar 1430H/ 17 Februari 2009M

Dhab Yang Putus Cinta

Sayang...jangan tinggal daku...abang akan ikut jejak langkahmu...
Sayang...jangan tinggal daku...abang akan ikut jejak langkahmu...

Biawak Dhab itu bergurau senda dengan pasangannya. Mereka kelihatan sungguh bahagia. Mereka berkejar-kejaran antara satu sama lain. Namun tempat mereka bermain itu bukan di padang pasir sebagaimana lazimnya. Mereka berlari-lari di atas konkrit rata nun di puncak apartmen.

Seorang pemuda Melayu warga Malaysia asyik sekali memerhati tingkah laku mereka. Di celah-celah kesibukan menghadiri kuliah, pemuda ini bersantai dengan sepasang Dhab peliharaannya. Pemuda itu melepaskan mereka di atas sutuh ‘sha’ah’ (syuqqah/ apartmen) di tengah-tengah Kota Metropolis Kaherah. Dia sendiri tinggal di salah satu unit apartmen di bawah sutuh tersebut.

Beruntung sekali Dhab yang sepasang ini. Mereka tidak perlu bersusah payah mencari sesuap ‘nasi’ di tengah teriknya mentari di lautan pasir gersang. Bagai Adam dan Hawa di syurga layaknya. Memadu kasih dan bercanda tanpa penat dan lelah mencari rezeki.

Panas yang disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Suatu hari, Dhab betina itu kelihatan lain macam. Dia tidak sihat rupa-rupanya. Kesihatan yang sudah terjejas itu tidak dapat diselamatkan oleh mana-mana doktor. Justeru ia memang tidak dibawa berjumpa doktor. Maut tidak mengenal pasangan yang asyik masyuk bercinta. Akhirnya, Dhab betina itu kembali kepada Penciptanya.

Sayang, abang sedih mengenangkanmu! Nak makan pun tiada selera...
Sayang, abang sedih mengenangkanmu! Nak makan pun tiada selera...

Dhab jantan sangat terkejut dengan pemergian yang tidak disangka-sangka itu. Lalu bersedihlah ia mengenangkan kekasih yang sudah tiada. Makan tak lalu, mandi tak basah dan tidurnya tak lena. Ketara sekali dia tidak seceria dulu. Tiada lagi teman bergurau senda. Tiada lagi teman bermain kejar-kejar. Pemuda itu kasihan melihat Dhab jantannya gundah sedemikian rupa.

Selang beberapa hari selepas Dhab betina dijemput mati, suatu hari pemuda itu melihat Dhab jantan itu berdiri (baca ‘merangkak’) di birai sutuh sambil melihat ke bawah. Tidaklah pemuda itu faham apa yang Dhab itu mahukan. Akhirnya, Dhab itu terjun ke bawah. Maka matilah Dhab itu kerana terjun dari apartmen tinggi. Pemuda itu mengagak bahawa Dhab itu telah membunuh dirinya.

Kisah di atas yang diolah semula merupakan kisah benar dari Allahyarham Ustaz Jamnul Azmin Mulkan (selepas ini disebut Ustaz), adik kepada penceramah Sains dan Islam, Dr Jamnul Azhar Mulkan. Dia bercerita langsung kepada saya semasa melawat Kelantan Semester Musim Panas 2005 sesi pengajian di Jordan. Isterinya, Kak Fadilah Osman merupakan sahabat baik saya. Kami sama-sama balik bercuti di Malaysia pada tahun tersebut. Sementelah kami (saya, Kak Fadilah dan suami) pada masa itu berkerja di unit yang sama aktiviti persatuan pelajar Malaysia di sana. Sebelum Ustaz ke Jordan, Ustaz pernah belajar sekejap di Mesir. Pemuda yang memelihara Dhab itu ialah Ustaz sendiri.

Demikianlah secebis kisah Dhab yang putus cinta. Dhab itu adalah haiwan yang tidak berakal. Tidak perlu kepada agama. Bagaimana dengan kita, insan yang berakal? Layakkah kita menurut jejak haiwan yang tidak berakal dalam menangani masalah kita? Kalau kita tahu kita punya rasa cinta, Allah lebih tahu apa itu cinta. Bahkan Allah memiliki sepenuh cinta dari mana-mana cinta yang ada di dunia ini. Allah jua yang mengurniakan rasa cinta ke dalam diri setiap makhluknya sama ada manusia atau haiwan.

Namun, berapa keratkah dari kita hamba-hambaNya yang mahu mengembalikan cinta kepada empunya cinta? Atau mencari cinta dari Yang Maha Menyintai? Pernahkah kita fikir bahawa cinta itu anugerah tinggi dari Allah sebagai bekalan mengenal dan menyintaiNya? Wajarkah nikmat agung cinta yang Allah kurniakan, kita halakan kepada perkara yang dimurkaiNya? Bahkan menjauhkan kita dari cinta hakiki dan sejati. Cinta pada manusia yang membawa kepada liarnya pandangan mata pada perkara yang diharamkan, ‘dating’, ‘sms’, chit-chat hingga ke lembah zina. Wajarkah? Tidak beriman seseorang hamba saat dia sedang berzina, pesan Nabi kita, Muhammad SAW.

Rugi sekali bagi setiap manusia yang punya rasa cinta tidak pernah mahu mencari cinta Ilahi. Rugi… sungguh rugi… sungguh-sungguh rugi…

Sepanjang hidup saya lebih dari suku abad ini, tidak pernah saya dapati bahawa Allah itu mengecewakan saya walau sesaat pun. Bahkan saya dapati tiada kasih yang setanding kasihNya… ‘La ummu wa la zawj… wa la aulad’ (Tidak kasih ibu kandung…tidak kasih suami… tidak kasih anak-anak…). Yang sering mengecewakan kita ialah diri kita sendiri. Kita menganiaya diri sendiri dengan tidak mahu mengenalNya. ‘Tak kenal maka tak cinta!’. Tidak mengenal Allah, samalah tidak mengenal diri sendiri. Tidak kenal diri sendiri, tidak mampu mengasihi diri sendiri. Orang yang tidak mampu menyayangi diri dengan ikhlas, bagaimana mampu menyintai orang lain setulusnya?

Sekasih ibu pada anaknya,
Kasih lagi Muhammad pada ummatnya,
Sekasih Muhammad pada ummatnya,
Cinta lagi Allah pada hambaNya!

Cinta nafsu menyemarak api neraka!
Cinta Allah membawa ke syurga!

Cinta tanpa mengenal Allah adalah palsu

Allah memberi tip cinta melalui kekasihnya Muhammad SAW di dalam surah Ali Imran ayat 31, “ Katakanlah (wahai Muhammad); Jika benar kamu menyintai Allah maka ikutilah daku, pasti Allah menyintai dirimu sekaligus mengampunkan kesalahanmu. Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihi.”

Ummu Abbas © Islam Itu Indah 2008
2.00pm
22 Dzul Qi’dah 1429H/ 21 November 2008