Apa yang Ibu harus kata ketika marahkan anak?

 

Pagi semalam, seperti biasa setiap Sabtu dua minggu sekali, halaqah ilmu kaum ibu Kg Vic North berlangsung di rumah saya.  Kaum ibu di sini ada yang belajar PhD dan ada yang mengikut suami menyambung PhD seperti saya.

 

Tema dan fokus kami ialah pendidikan anak-anak menurut sunnah.  Setelah ilmu dibentangkan, kami kongsi pengalaman dan ilmu masing-masing.  Satu ketika, dalam membicarakan pentingnya ibu memelihara kata-katanya kepada anak-anak, seorang dari kami berkongsi kisah seorang Ibu yang solehah.

 

~ Seorang anak kecil sedang bermain-main dengan tanah.  Si ibu pula sedang menyediakan hidangan untuk tetamu si ayah.  Juadah selesai dihidangkan menunggu tetamu yang akan tiba.  Tiba-tiba si kecil itu menabur debu tanah ke atas hidangan yang tersedia.  Lalu si ibu berkata, “ Pergi kamu!  Semoga Allah jadikan kamu imam kepada al-Haramayn”.  Anak yang dimarahi ibunya itu sekarang sudah membesar menjadi Imam al-Haramayn iaitu Imam al-Sudaisi yang terkenal itu.~

 

Subhanallah!  Kagum kami mendengar kisah tersebut.  Begitu makbulnya ungkapan seorang ibu kepada anaknya walaupun dalam keadaan marah begitu.   Lalu antara kami berkata, “Kalau begitu, kita sebut sahaja, ‘Wahai Menteri Besar!’.

Yang lain pula berkata, ‘Atau Wahai Tan Sri!’.  Kami sama-sama tergelak.   Iya, antara kita memang tahu ibu perlu mengawal kata-katanya kepada anak-anak dari perkataan yang tidak elok, namun kisah ini memberi iktibar bahawa ungkapan khusus atau spesifik begitu pun dimakbulkan Allah swt.

 

Lalu saya teringat tip ibu mertua.  Mak (panggilan saya kepada mertua) bercerita, “Mak kalau marah macam mana pun dengan anak-anak, Mak bersungguh-sungguh sebut dalam hati, ‘Berjuruhnya anak aku.  Berjuruhnya anak aku’.  Itu sahaja yang Mak ulang-ulang.”

  • Berjuruh dialek Kelantan bermaksud ‘Baik akhlaknya’.

Benar, saya lihat semua anak-anak Mak menjadi anak yang  baik dan berjaya pula dalam kehidupan masing-masing.  Anak-anak dimudahkan urusan agama dan dunianya.

 

Satu ujian besar buat para ibu untuk menuturkan kalimah berharga atau bernilai tinggi kepada anak-anak tatkala marah.  Ia tidak mudah jika tidak disertai ilmu dan keimanan yang tinggi kepada Allah swt.

 

Selepas habis halaqah ilmu itu, petangnya terjadi sesuatu dengan anak kelima yang berusia 6 tahun.  Lalu saya menyebut, ‘Ya Soleh!” Maksudnya “Wahai Anak Soleh!.”   Namanya Aqil.  Hari ini saya terasa pelik bila melihat Aqil begitu mudah membantu walaupun tidak disuruh.  Tidak sebagaimana biasa, kalau saya minta tolong, dia akan ikut ‘mood’.  Jika mahu, Aqil akan menolong.  Jika tidak mahu, Aqil akan diam atau beritahu dia letih dan  meneruskan permainannya.  Kemudian baru teringat apa yang saya seru dia semalam.  Mungkin berkat ‘doa’ tersebut.  Mengenangkan hal tersebut, hari ini saya ulangi lagi menyebut, “Aqil anak soleh”, sebaik melihat dia membantu bermacam-macam hal.

 

Jabir r.a. melaporkan bahawa Rasullullah SAW berkata,(maksud hadis), “
Janganlah kamu mendoakan yang tidak baik untuk diri kamu, anak-anak kamu dan harta kamu kerana boleh jadi doa kamu itu bertepatan dengan waktu yang mana waktu itu doa dikabulkan sehingga apa yang kamu mohonkan juga dikabulkan.  

Hadis direkod oleh Imam Muslim.

 

 

 

Ummu Abbas

 15 Sya’ban 1434H

 

Melbourne.

 

 

Advertisements

Bidadari dari TIMUR

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمـٰنِ الرَّحِيمِ

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

وَنَفْسٍ وَّمَا سَوَّاٮهَا
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);

فَاَلْهَمَهَا فُجُوْرَهَا وَتَقْوٰٮهَا
Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa;

Surah al-Syams: 7 & 8

************

Setelah Allah melengkapkan kejadian manusia dengan pelbagai anggota badan, Allah mencipta dua lorong kehidupan buat mereka. Lorong-lorong yang dipenuhi maksiat dan dosa serta lorong-lorong yang dipenuhi taat dan pahala.

Potensi manusia untuk berlaku taat dan derhaka sama tahap. Di antara dua tahap kemampuan manusia itu, Allah menyebut naluri manusia yang cenderung melakukan perkara jahat sebelum memilih amalan baik.

Namun bagi menegah manusia menurut nafsu yang cenderung kepada kejahatan, Allah memintas dengan motivasi melalui ayat 9 surah al-Syams,

قَدْ اَفْلَحَ مَنْ زَكّٰٮهَا

Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan dirinya yang sedia bersih (dengan iman dan amal kebajikan)

Fitrah manusia suka berjaya dan berjaya dalam setiap perkara yang dilakukan. Justeru Allah menyebut balasan kejayaan itu adalah bagi mereka yang berusaha menyucikan dirinya. Menyucikan diri manusia mestilah bermula dari membersihkan hati dari mazmumah serta mengisinya dengan mahmudah. Apabila hati bersih dan terpandu dengan hidayah Allah, barulah ia menggerakkan anggota badan untuk beramal soleh.

Perkara sebaliknya akan berlaku apabila manusia mengotorkan hatinya. Binasa, kecewa, hampa dan putus asa dalam hidup adalah ganjaran yang sepatutnya bagi jiwa yang tidak bersih. Meskipun pada zahirnya ia dikurniakan pelbagai nikmat hidup duniawi seperti kaya, cantik/kacak dan berpangkat tinggi.

Allah menegaskan dalam ayat seterusnya dari surah al-Syams, ayat 10,

وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسّٰٮهَاؕ

Dan sesungguhnya binasalah orang yang mengotorkan dirinya yang sedia bersih itu (dengan maksiat).

Allah memberi manusia membuat pilihan secara bebas menentukan arah hidup mereka. Syurga atau neraka. Tiada tempat berkecuali atau tiada pilihan ketiga, keempat dan seterusnya.

Allah juga hanya akan mengubah halatuju dan taraf hidup kita setelah kita sendiri mahu mengubah dan berusaha mengubahnya. Allah menyebut dalam surah al-Ra’du, ayat 11,

إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri

**********

Saya salah seorang dari manusia yang Allah sebutkan di atas. Tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan surirumah bukanlah kecil dan remeh. Berapa ramai isteri mendorong suami menjadi tokoh pejuang di muka bumi.. berapa ramai pula ibu-ibu melahir serta membentuk para ulama’, intelektual Islam dan saintis Islam.

Benarlah kata pepatah, “Tangan yang menghayun buaian itu bakal menggoncangkan dunia”

Para-para ibu terkemuka telah menggoncang dunia melalui Khalifah Umar Abdul Aziz, Sultan Solahuddin al-Ayyubi, Sultan al-Fateh, Tok Guru Nik Abdul Aziz dan lain-lain. Para isteri meneruskan kesinambungan tugas seorang ibu dengan kelembutan sikap dan kehalusan kasih sayang nan tulus buat suaminya.

Apabila saya kagum dengan mana-mana tokoh, saya cuba menelusuri tulang belakang mereka. Saya percaya dan yakin, kehebatan dan ketokohan mereka dihasilkan dari kelembutan seorang wanita. Disebalik kelembutan dan kasih sayang wanita itulah menyerlah kehebatan kasih sayang dan Maha Lemah Lembutnya Allah. Kita nampakkah semua itu?

Begitulah cara Allah mendidik kita. Penuh lemah-lembut dan kasih sayang. Namun, dalam meniti hari sebagai seorang isteri, ibu dan surirumah…saya merasa sungguh lemah dan jahil dalam banyak perkara. Saya sering melakukan kesilapan kerana saya punya nafsu yang cenderung bertuhankan keinginan sendiri. Namun Allah menegur dan sering mengingatkan saya agar berusaha membersihkan diri serta menambah ilmu.

Saya berusaha menambah ilmu mendidik anak-anak melalui buku-buku, suami, ibu kandung, ibu mertua, kawan-kawan yang senior dan usrah. Saya baru belajar Khalifah Method secara borong dalam Usrah Mothers.

Saya ingin jadi ibu yang baik dan diredai Allah. Antara perkara yang mampu mendorong saya untuk memperbaiki diri ialah membaca pengalaman orang lain. Antara buku terbaru yang saya beli di PBAKL09 ialah buku Bidadari dari Timur. Saya habiskan sehari untuk membaca buku ini, alhamdulillah.

bidadari-dari-timur

Teknik bercerita yang dipersembahkan memudahkan saya membacanya dengan cepat.

Saya kagum dengan seorang isteri dan ibu seperti Cik Yah (panggilan mesra di kalangan kami) yang tiada pendidikan formal namun mampu menjadi sayap kiri Tok Guru Nik Aziz, tokoh ulama dan pemimpin terbilang saat ini. Bacalah kisah hati dan jiwanya yang penuh tawaduk. Walaupun ia tidak ditulis secara sorohah (terus terang), namun saya dapat mengesannya lewat dirinya yang mudah menerima ilmu dari suaminya sendiri. Beliau juga seorang isteri yang qanaah dengan rezeki suaminya.

Pembacaan saya jadi lebih menarik kerana saya terbayang-bayangkan wajah Cik Yah yang murah dengan senyuman ikhlas. Cik Yah dan 5 orang anak perempuannya pernah bermalam di rumah saya di Sweileh, Amman, Jordan. Mereka transit di Jordan dalam perjalanan pulang dari Saudi.

Pada masa itu, mereka mengikuti rombongan Tok Guru ke Cordova, Sepanyol.

Saya mahu meneladani Ummahatul Mukminin, isteri para ulama dan ibu-ibu orang beriman, insyaAllah. Namun satu perkara yang harus kita awasi, ialah IKHLASkan hati kerana Allah semata.

Siapa pun suami dan anak-anak kita, yang penting mereka mampu menjadi manusia berjiwa hamba kepada Allah.

Iya, insan berjiwa hamba itulah status tertinggi di sisi Allah.

Mampukah kita menjadi BIDADARI dunia buat suami dan anak-anak kita?

La hawla wala quwwataillah billah.

Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan izinNya jua.

Ummu Abbas
10.49am
11 Jamadil Awwal 1430H