Posted in Islamika

Istighfar: Tip Mudah Menggamit Rezeki

Bismillahirrahmaanirrahiim.

 

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

 

Alhamdulillah, setelah lebih 2 bulan – rasanya jarak paling lama tidak update blog – hari ini bagai seperti mendapat nafas baru untuk kembali di sini.  Itu pun belum tahu kekerapannya bagaimana.

 

Saya biasa-biasa sahaja di sini.  Meneruskan rutin sebagai isteri, ibu dan da’ieyah ilallah (pendakwah di jalan Allah), insyaa Allah.  Segan juga mahu menggelarkan diri sebagai da’ieyah namun hakikatnya tetap da’ieyah kerana sekurang-kurang menyeru kepada diri sendiri dilakukan setiap hari menurut kemampuan dan dengan izin Allah jua.

 

Bukankah Allah berkata di dalam surah al-Tahrim ayat 6,

 

66:6

Maksudnya,

” Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu; neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Dalam ayat di atas, penegasan diberikan kepada diri sendiri dahulu dalam usaha menjauhi azab Allah swt.

*****

Saya mohon maaf kepada semua pengunjung yang soalannya belum sempat direspon.  Saya mendoakan mereka mendapat jawapan daripada orang lain andai ianya penting bagi penanya.

Untuk makluman, saya mendapat soalan-soalan di akaun Facebook peribadi, Page, email dan Whats App.  Saya dahulukan merespon yang difikirkan penting dan wajar didahulukan.  Contoh soalan yang melibatkan toharah bagi wanita kerana berkait dengan ibadah Fardu Ain iaitu solat.

Sekali lagi saya mohon maaf atas kekurangan dan kelemahan ini.

*****

Klik foto untuk sumber gambar.

Ada satu kisah menarik hati beberapa hari lepas yang ingin dikongsikan di sini.  Ia menyentuh hati saya untuk kesekian kalinya iaitu berkaitan dengan amalan istighfar.  Bila Allah kasihkan hambaNya, diberi taufiq kepada amalan yang sesuai dengan hamba tersebut.  Taufiq untuk lebih memberatkan beristighfar sepanjang masa sesuai buat diri saya yang banyak dosa ini.

KISAH IMAM AHMAD dan SI PEMBUAT ROTI

Suatu malam, Imam Ahmad bin Hanbal mahu menghabiskan malamnya di masjid, akan tetapi beliau dihalang oleh pengawal masjid. Sudah puas beliau mencuba namun tetap tidak berjaya.

Imam Ahmad pun berkata, “Saya akan tidur di tempat saya berdiri ini.”  Beliau benar-benar melakukan seperti yang dikatakannya. Namun, pengawal itu tetap berusaha menarik beliau menjauhi masjid. 

Kelihatan Imam Ahmad tenang dan tampak pada raut wajahnya ciri-ciri seorang insan yang mulia. Dalam situasi itu, seorang pembuat roti telah melihatnya. Lantas dia membawa Imam keluar dari kawasan masjid itu dan menawarkan kepadanya tempat untuk bermalam.

Maka Imam Ahmad pun beredar bersama pembuat roti itu dan beliau telah dilayan dengan layanan yang baik. Kemudian si pembuat roti itu pun meninggalkan Imam berehat dan dia pergi menguli tepung.  Imam Ahmad mendengar pembuat roti itu beristighfar tanpa henti sepanjang malam.  Ini membuatkan Imam Ahmad berasa kagum terhadapnya.

Apabila menjelang pagi, Imam Ahmad bertanya kepada pembuat roti itu tentang istighfarnya malam tadi: “Apakah kamu dapat hasil dari istighfarmu itu? Imam Ahmad sengaja bertanyakan soalan ini sedangkan beliau sudah mengetahui kelebihan dan faedah istighfar.

Pembuat roti menjawab: “Ya, demi Allah aku tidak berdoa dengan satu doa pun kecuali ia akan dikabulkan Allah. Cuma ada satu doa lagi yang masih belum diperkenankan.”

Imam bertanya: “Apakah doa itu?”

Pembuat roti pun berkata: “Aku mahu melihat Imam Ahmad bin Hanbal.”

Lantas Imam Ahmad berkata: “Akulah Ahmad bin Hanbal! Demi Allah, sesungguhnya aku telah dibawa oleh Allah kepadamu!”

KREDIT KEPADA FB

Fattabiouni Malaysia

*****

Rain Falling Background

Allah menyebut impak dari istighfar atau sentiasa memohon ampun dan maaf darinya dalam Surah Nuh ayat 10 – 12,

71:10

“Sehingga aku berkata (kepada mereka), `Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

 

71:11

“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

 

71:12

Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

 

*****

Apa perasaan kita bila seseorang yang bersalah memohon maaf kerana menyakiti kita seperti berbohong, mengumpat, mencela dan sebagainya, kemudian dia mengulangi lagi perbuatan tersebut dengan sengaja dan acuh tidak acuh?  Pasti kita marah dan terasa dipermainkan.

Begitu jua Allah swt, tatkala kita mahu beramal dengan beristighfar, pastikan ia benar-benar lahir dari rasa bersalah, merasai banyak dosa, berazam meninggalkan segala laranganNya serta diiringi amal soleh.

Istighfar yang berkesan perlu diiringi mujahadah dalam menunaikan kewajiban dan menjauhi maksiat.

 

 

Ummu Abbas

1.05 am

24 Syawwal 1434H/31 Ogos 2013

Melbourne.

Advertisements
Posted in Islamika

Saya tidak suka Malaysia

 

“Berapa suhu di Malaysia sekarang?”

“30 darjah celcius”

“Oh… panasnya… saya tidak suka cuaca panas seperti di Malaysia.  Saya suka tempat sejuk macam Norway”, jelas nurse yang bertugas.

Suami baru pulang dari Malaysia dua hari lepas.  Semalam kami membawa Aleeya ke Maternal and Child Health Centre berhampiran rumah. 

Alhamdulillah, berat badan Aleeya yang menghadapi masalah di minggu awal kelahirannya menunjukkan peningkatan yang baik.  Kesihatannya juga baik setakat ini. 

Pulang ke rumah, kata-kata nurse berkulit putih itu terngiang-ngiang di telinga, 

“Saya tidak suka cuaca panas.  Saya suka tempat sejuk”

[5 Mei 2011-p]

Kata-kata itu lumrahnya merupakan fitrah manusia secara umum; Tidak suka panas-panas.  Kalau tidak, tidak lakulah peralatan elektrik seperti kipas dan penyaman udara bagi semua negara beriklim panas. 

Tanyalah mana-mana manusia pun, rasanya tiada siapa yang sanggup meletakkan jarinya di atas asap api yang marak, apatah lagi memasukkan tangannya ke dalam api tersebut.  Itu baru jari dan tangan. 

Hawa panas yang menyentuh mana-mana bahagian badan kita mudah terasa, menyebabkan tindakan refleks berlaku.  Otak yang memberitahu kepanasan sesuatu benda sehingga kita tahu meletakkan sempadannya.

Namun adakah manusia mempunyai tindakan refleks yang sama tatkala tersentuh cebisan azab neraka?  Setiap dosa-dosa merupakan kepanasan neraka yang berganda-ganda dari kepanasan api dunia.

Kebanyakan manusia bukan sekadar tersentuh kepanasan azab Allah, bahkan sengaja menerjunkan diri ke lembah yang pedih itu. 

Para ulama yang menyelewengkan ilmunya dan mengampu kerajaan yang zalim.

Para penguasa yang menindas dan memeras ugut rakyatnya.

Para korporat yang mengamalkan riba dan rasuah.

Para pembuat fitnah terhadap saudara seagamanya sendiri.

Para penjudi dan peminum arak.

Para penzina dan pembunuh anak-anak yang dia lahirkan sendiri.

Para wanita yang mendedahkan aurat (aib) kepada lelaki ajnabi.

Ibubapa yang mengabaikan pendidikan agama anak-anak.

Anak-anak yang menderhaka kepada ibubapa.

Dan seribu serba satu maksiat lagi…

Manusia sering alpa, struktur kejadian mereka terdiri dari 2 unsur utama yang harus dipelihara dari kepanasan api yakni jasmani dan ruh. 

Memelihara jasad lahir dari kepanasan api adalah mudah kerana kita sensitif dengan rasa panas, namun berapa ramai manusia hari ini yang berada di dalam bilik berhawa dingin atau di tempat beriklim sejuk realitinya sedang membakar keseluruhan tubuh-tubuh mereka dengan api yang 70 kali ganda panasnya dari api dunia?

Pasangan yang menempah hotel lima bintang dengan bilik berhawa dingin untuk berzina tidak akan berzina jika hati mereka sensitif dengan dosa.  Berbaloikah menempah bilik berhawa dingin untuk melakukan sesuatu yang akan membakar diri kelak? 

 Kenapa kita tidak mudah terasa ‘panas’ tatkala melakukan dosa walhal kita sebenarnya berupaya mengesannya?  Mari kita susuli sabda Rasulullah s.a.w yang dilaporkan oleh Ibnu Abbas,

لَا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَسْرِقُ السَّارِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ

Tidaklah berzina seseorang penzina saat dia berzina dalam keadaan dia beriman, dan tidaklah mencuri seseorang pencuri saat dia mencuri dalam keadaan beriman”

 

6400 Sahih Bukhari

 

Iya, mekanisme mengesan ‘kepanasan dosa’hanyalah dengan hati yang percaya serta yakin terhadap pembalasan Allah di hari akhirat.  Seseorang yang melihat api yang marak membakar sebuah rumah agam tidak akan memasuki rumah tersebut meskipun di dalamnya terdapat emas bertan-tan. 

Mengingatkan nurse itu yang belum memeluk Islam, saya merasa kasihan.  Saya berfikir bagaimana cara terbaik memasarkan Islam kepadanya.

Kepanasan di dunia hanya sementara namun mati dalam keadaan kufur kepada Allah menjanjikan panas yang berganda serta kekal di dalamnya.

وَلِلكَافِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“ dan bagi orang-orang kafir itu ialah azab yang tidak terperi sakitnya.”

Al-Baqarah: 104

Malaysia yang Panas

 

Signifikannya kata-kata nurse mengenai suhu Malaysia, saya teringat bahawa Malaysia sekarang bukan sahaja panas pada iklim khatulistiwanya, bahkan panas pada iklim politik, ekonomi dan sosial.

Fitnah menjadi halal demi kepentingan pihak tertentu.  Rakyat semakin ditindas dan ditindas berterusan baik pada sumber ekonomi mereka, hak bersuara dan lain-lain.  Banyak hukum Islam dipermainkan oleh golongan yang jahil seperti Sumpah Mubahalah dan berjabat tangan antara lelaki dan wanita ajnabi.  Spesis ‘kaum Nabi Lut’ sudah hilang segannya untuk mewar-warkan kegiatan mereka.  Kerajaan sendiri menggunakan media umum untuk menyebarkan cerita lucah yang dibuat-buat.  Jika mahu dikira, saya kira segala jenis maksiat begitu subur di bumi Malaysia; bermula dari sebesar-besar dosa yakni murtad hinggalah kepada maksiat yang kecil-kecil.

Ingatlah, bahawa maksiat yang bertambah banyak tanpa cegahan akan mengundang murka Allah dan bala akan ditimpakan kepada manusia tanpa memilih bulu. 

وَٱتَّقُواْ فِتْنَةً لاَّ تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمْ خَآصَّةً وَٱعْلَمُوۤاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.

Al-Anfaal:25

Dalam satu kuliah Tuan Guru Nik Aziz, beliau berkata bahawa bala Allah sentiasa mahu turun menimpa manusia yang membuat kerosakan di bumiNya ini.  Hanya dengan usaha amar makruf nahi munkar berserta doa yang mampu menolak bala tersebut dari mengenai  kita.  Kerosakan yang dimaksudkan ialah kerosakan yang menyentuh aspek ekslusif bagi manusia yakni sesuatu yang merosakkan keimanan mereka kepada Allah, merosakkan akal, keturunan, maruah dan harta.

Marilah kita sama-sama menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemunkaran di sekeliling kita dan bukannya sama-sama memarakkan api maksiat yang sedia menjulang di Malaysia sekarang.

Kebobrokan pemerintah yang tidak mempedulikan halal haram bahkan yang terbaru mempromosikan filem porno percuma kepada rakyatnya seolah-olah mereka lebih kafir dari yang sedia kafir.  Walhal mereka mengaku diri mereka Islam.

Islam itu bermaksud selamat dan aman.   Seseorang yang mengaku Islam akan bersikap mengamankan saudara muslimnya yang lain serta memelihara maruah mereka. 

Saya yang berada di Australia ini pun tidak terdedah dengan filem porno yang sengaja dikaitkan dengan ahli politik tertentu demi sebuah kuasa yang ingin dipertahankan.  Sedangkan Australia dikenali sebagai negara sekular yang dipimpin oleh golongan yang tidak Islam.

Saya kasihankan diri saya, anak-anak, keluarga, sahabat dan semua umat Islam serta non muslim di Malaysia dari ditimpa azab di dunia sebagaimana azab ditimpakan kepada kaum terdahulu.  

Kepada para penguasa di Malaysia, marilah kita beriman sejenak kepada Allah dan hari akhirat.  Ayuh bersama duduk seketika merenung diri dan bekalan yang akan dibawa mengadap Allah swt.  Belum terlambat untuk bertaubat kerana Allah itu maha pengampun.  Namun usah bertangguh dengannya kerana mati tidak mengenal usia dan waktu.

Kepada orang awam pula, sama-sama kita mencegah kemunkaran pemerintah.  Cenderung sahaja kepada golongan yang zalim, sudah layak mendapat tiket masuk ke lembah azab.  Apatah lagi jika menolong melakukan kezaliman secara langsung.

وَلاَ تَرْكَنُوۤاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُمْ مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنْ أَوْلِيَآءَ ثُمَّ لاَ تُنصَرُونَ

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”

Hud:113

 

Jika pemerintah sekarang mampu berbuat zalim kerana satu undi yang pernah diberikan,maka mencegah kemunkaran pemerintah yang paling minimum ialah dengan menukar pemerintah kepada mereka yang adil dengan kuasa undi yang ada pada rakyat. 

Sama-samalah kita beristighfar dan bertaubat atas segala dosa-dosa kita, memperbaiki amalan kita dengan meninggalkan maksiat menuju taat.  Hanya ini sahaja usaha yang ada pada kita untuk menolak segala bala kerana Rasulullah s.a.w sudah tidak bersama kita.

وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنتَ فِيهِمْ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

 

Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).

Al-Anfaal: 33

 


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Ummu Abbas

13 Jumadal Al-Akhirah 1432/16 Mei 2011

2.40pm

Posted in Gadisku, Koleksi Tip, Kongsi Masalah

Tip Menyisih Cinta Tidak Diundang

Cinta antarabangsa
Cinta antarabangsa

Seringkali juga saya dikemukakan persoalan cinta di tengah jalan dakwah. Sudah beberapa generasi adik-adik yang berusrah dengan saya bertanyakan soal hati. Lazimnya mereka ini menjaga batas pergaulan seberapa yang boleh.

Namun, semasa tempoh berurusan itulah, tiba-tiba hati berdetup-detap pada seseorang. Hati itu sensitif pada individu tertentu sahaja dan bukan pada semua orang yang berurusan dengannya. Kalau dengan semua orang atau lebih seorang, hati mahu dup-dap…dup-dap… ini kes tidak normal pula. Harus jumpa doktor kalau begitu. Lelaki tidak mengapalah sebab dia ada kuota sampai empat.

Jika individu yang dilamun ‘jatuh hati’ ini berlatar belakang pendidikan agama dan keluarga juga menitik beratkan amalan agama. Dia ada ‘imunisasi’ jugalah sedikit sebanyak. Dilawannya ‘cinta’ itu dengan istighfar dan zikrullah. Namun… aduh… teringat-ingat juga pada si dia. Susahnya mahu dilawan perasaan halus yang datang.

Tidaklah salah jika kita meminati seseorang kerana agamanya. Ini untuk gadis yang belum kahwin. Dalam masa yang sama kita punya hasrat serius mahu menikahinya. Bagi kes ini; solat hajat, solat istikharah dan bincang dengan ibubapa adalah ikhtiarnya.

Biasanya, perasaan yang benar itu tidaklah pula membuatkan empunya diri angau dan lagha dari Allah. Suka, suka juga namun rasional masih ada.

Cinta itu pula tidaklah boleh ditafsir sesuka hati berdasarkan amalan orang awam. Cinta itu sudah disebut oleh Allah dalam al-Quran dengan segala konsep dan amalannya yang indah dan murni.

Tip yang dilakarkan di bawah ini adalah untuk kes ‘lamunan hati’, ‘jatuh hati’ dan ‘cinta’ buatan iblis. Cinta karya iblis inilah yang dinamakan ‘cinta itu buta’. Buta dari melihat reda dan murka Allah. Buta dari melihat panduan-panduan Islam sebagai pedoman. Sasaran utama virus ‘cinta buta’ ialah remaja yang tidak faham Islam, individu yang membelakangkan Quran dan Sunnah walau dia faham Islam. Justeru timbullah kisah jijik dan sampah antara isteri A dengan suami B, lelaki dan lelaki, cinta dengan ipar dan pelbagai spesis lagi.

Mereka yang sedar sedang dihinggapi virus ‘cinta buta’ ini bolehlah cuba-cuba vaksin berikut:

Tip menyisih cinta yang tidak diundang.

1. Yakin pada Allah Yang Maha Memahami.

Kasihan adikku yang sedar akan gangguan hati yang datang. Ketahuilah adikku… Allah memahami perasaanmu. Allah Yang Maha Mendengar tahu engkau bersungguh-sungguh datang kepadaNya… mengabdikan dirimu padaNya seluruh jiwa raga… namun apakan daya… engkau hanya insan lemah.

2. Tipu daya syaitan sangat lemah sebenarnya.

Allah memberitahu kita bahawa syaitan dan tipudayanya itu lebih lemah selagi engkau berterusan menyeru namaNya. Allah berkata dalam surah al-Nisa’, ayat 76,

اِنَّ كَيْدَ الشَّيْطٰنِ كَانَ ضَعِيْفًا
Sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah.

Justeru jangan berhenti dari mujahadah. Meskipun engkau sering keletihan melawan perasaan.

3. Menjauhkan diri dari si dia yang menjadi wasilah iblis untuk melalaikan hatimu.

Jauhkan diri dari bertemu si dia selagi boleh. Kalau terpaksa bertemu kerana ada urusan, maka berusahalah meringkas- padatkan perbualan pada perkara-perkara penting sahaja. Usah dituruti nafsu remajamu yang sedang mekar dipermainkan nafsu dan iblis. Niatkan kerana Allah, Allah pasti membantu.

Allah menukilkan ejekan syaitan kepada manusia dalam surah Ibrahim, ayat 22,

Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.

Apa yang kita fikirkan setelah meneliti ayat ini? Syaitan menyatakan bahawa kuasanya hanya dapat mengajak kita sahaja. Dia langsung tiada kuasa memaksa kita melakukan menurut kehendaknya. Kita sendirilah yang berkuasa menentukan apa yang kita mahu.

Jika kita memilih ‘mahu’ menurut kehendak dan reda Allah, maka mohonlah kekuatan kepadaNya.
Sempitkan jalan nafsu dengan berpuasa sunat. Sibukkan diri dengan kerja-kerja kita yang lebih banyak dari waktu yang ada. Insya Allah, apabila kita fokus pada sesuatu perkara, kita akan dapat melupakan perkara lain. Insya Allah.

Allah berkata dalam surah Al Ahzaab, ayat 4,

Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya.

Maksudnya kita tidak mampu menumpukan dua perkara dalam satu masa. Bila hati sedang khusyuk ingat Allah, mustahil hati boleh pula ingat perkara-perkara lain.

Lidah yang berzikir belum tentu hatinya turut berzikir. Tapi hati yang berzikir akan membuatkan lidahnya turut berzikir. Jadi beri tumpuan pada hati.

4. Maafkan diri sendiri atas perkara yang tidak disengajakan. Sedangkan Allah tidak mengambil kira perbuatan yang tersalah.

وَ لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيْمَاۤ اَخْطَاْتُمْ بِهٖۙ وَلٰكِنْ مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوْبُكُمْ‌ؕ وَكَانَ اللّٰهُ غَفُوْرًا رَّحِيْمًا‏
Kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Al-Ahzaab, 5

5. Usah jemu bermujahadah.

Ingatlah adikku, setiap mujahadahmu diberi perhatian oleh Allah. Ganjaran pahala sedia menanti. Justeru untuk apa engkau merasa jemu?

Allah berkata dalam surah Al-Naazi’aat, ayat 40 dan 41,
Sesiapa yang takut akan kedudukan Tuhannya dan menahan diri dari menuruti hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempatnya.

Iya adikku, kalau kita lakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu kerana takutkan Allah maka Allah menjanjikan syurga buat kita. Menangislah syaitan dan iblis apabila kita terus bersemangat bermujahadah agar mendapat jiwa yang tenang.

6. Bertaubat dari kesalahan yang kita sendiri usahakan dengan sengaja.

Jika terdapat unsur-unsur derhaka kepada Allah sehingga kita ditimpa ‘bala perasaan’ itu seperti tidak menjaga batas pergaulan, maka pahitnya mujahadah itu adalah sebagai kaffarah dosa-dosamu. Teruslah menuju Tuhanmu. Jangan berputus asa. Allah Maha Mendengar rayuan dan keluhanmu.

Tatkala dosamu diampunkan Tuhan, insya Allah, Allah lapangkan dadamu dan melepaskan dirimu dari belenggu perasaan yang menyiksa.

7. Beri tempoh untuk diri sendiri.

Berilah juga masa untuk perasaan itu hilang dari dirimu. Usah dilayan dan juga usah dipaksa pergi.

Perasaan adalah suatu hal yang sungguh halus dan bergantunglah kejap-kejap pada Yang Maha Memahami. Allah pasti membantu.

Ingatlah janji Allah yang dinukilkan dalam Surah Al-Ankabut, ayat 69,

وَالَّذِيْنَ جَاهَدُوْا فِيْنَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ‌ؕ وَاِنَّ اللّٰهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِيْنَ

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, pasti Kami akan pimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

Sebenarnya masih banyak konsep atau prinsip asas dalam Islam yang boleh membantu kita bermujahadah. Memadailah saya menggariskan perkara-perkara yang paling penting sebagai panduan beramal.

Beginikah cinta?
Beginikah cinta?

Buat gadisku, simpanlah ‘mawaddah dan rahmah’ itu hanya untuk suamimu yang sah. Indahnya ‘mawaddah dan rahmah’ itu sudah pun kunikmati bersama suami yang Allah ciptakan dan janjikan untukku. Kusimpan ia sejak usiaku mengenal baligh. Indahnya ajaran Islam. Usah diraikan Valentine Day. Ia bukan budaya Islam. Tahniah buat anda yang punya pengalaman seperti saya. Segala puji hanya untukMu Tuhan yang memilih kami meniti jalanMu.

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Ummu Abbas
12.52am
21 Safar 1430H/ 17 Februari 2009M

Posted in Uncategorized

Mengenal Hamba Yang Kenal Allah

Dalam perjalanan ke rumah Abah tadi, suami saya menemukan sesuatu yang menarik perhatian kami di TV3. Sebenarnya, suami memasang televisyen di dalam kereta untuk kemudahan anak-anak. Dapatlah kami memandu dengan lebih tenang apabila mereka diam dalam kereta.

Rancangan Al-Kuliyyah jam 5.30 setiap petang Jumaat itu ditamui oleh Pak Kiyai Aa Gym. Sudah lama saya tidak mendengar tazkirah darinya. Kali pertama mengenali Aa Gym ialah hari Jumaat juga yakni awal tahun 2005. Masa itu saya sedang berehat di salah sebuah hotel di Medan, Indonesia.

Petang Jumaat tersebut, saya sedang menidurkan anak kecil. Televisyen di pasang. Saya terpaku pada satu ceramah yang dihadiri ribuan orang. Ceramah itu merupakan siaran langsung. Lebih menarik ialah penceramah ditemani seorang wanita yang bertimpuh sopan di sisinya. Saya tertanya-tanya juga. Sekali-sekala wanita itu ditanya dan diusik oleh penceramah. Saya lagi teruja mahu tahu. Penceramah pun saya tidak kenal. Apatah lagi wanita itu. Setelah agak lama menonton ceramah yang sungguh menarik perhatian dan tidak pernah saya lihat seumpamanya di Malaysia, baru saya tahu penceramah tersebut dikenali sebagai Aa Gym. Manakala wanita sopan itu ialah isterinya.

Ceramah disampaikan dengan gaya santai tapi mengesankan. Maha Suci Allah yang memberikan kelebihan pada setiap hambaNya. Antara pengunjung yang menjadi tetamu istimewa pada masa itu ialah mangsa tsunami dari Banda Aceh. Aa Gym berdialog dengan mereka yang masih lagi trauma dengan kejadian tsunami. Saya kira strategi ini sangat bagus bagi memulihkan trauma, rasa sedih dan tertekan yang sedang dialami oleh mana-mana mangsa bencana alam. Jemputan khusus untuk mereka yang sedang dilanda musibah ke salah satu taman-taman syurga ini sungguh tepat pada waktunya.

Majlis ilmu diibaratkan oleh Rasulullah SAW sebagai salah satu taman-taman Syurga. Imam Ahmad merekodkan hadis tersebut di dalam kitabnya.

Alang-alang berada di Medan ketika Aceh belum pulih sepenuhnya, saya beriya-iya mahu melawat Aceh namun suami tidak mengizinkan. Suami sendiri sudah berkhidmat di Meulaboh semasa kejadian dengan menyertai rombongan WHO (World Health Organization).

Maha Suci Allah yang menjadikan awan tidak bertiang, tidak pula digantung dengan tali.  Hamba yang mencari Allah akan melihat Allah di sebalik setiap kejadianNya.
Maha Suci Allah yang menjadikan awan tidak bertiang, tidak pula digantung dengan tali. Hamba yang mencari Allah akan melihat Allah di sebalik setiap kejadianNya.

Antara perkara yang sering saya harapkan dari Allah ialah menemukan saya dengan para hamba yang dicintaiNya dalam musafir saya. Mengenali individu yang menyintai Allah dan dicintaiNya sungguh membahagiakan saya. Banyak perkara yang saya boleh belajar dari mereka khususnya ilmu mengenal Allah dan tip mendekatkan diri kepada Allah.

Hanya Allah jua yang mengetahui siapakah yang terbaik di sisiNya.

Banyakkanlah oleh mu menyebut Allah di segenap keadaan kerana tiada sesuatu amal yang lebih disukai Allah dan tidak banyak yang melepaskan hamba daripada bencana di dunia dan di akhirat daripada berzikir kepada Allah”

Hadis Direkodkan oleh al-Tirmizi

Allah memberitahu di dalam surah al-Anfal, ayat 33,

Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka sentiasa memohon ampun.

Ummu Abbas © Islam Itu Indah 2009
1.16pm
4 Safar 1430H/ 30 Januari