Travelog Tasmania

Bismillah.
Alhamdulillah, baru semalam pulang dari Pulau Tasmania bersama famili.  Hari ini masih bersisa rasa letih dan perlu pula mengemaskan pakaian dan barangan lain.

 

Lapangan terbang Hobart yang menyambut ketibaan kami pada 22 Januari lepas.  Alhamdulillah perjalanan Melbourne-Hobart memakan masa kira-kira sejam.
Lapangan terbang Hobart yang menyambut ketibaan kami pada 22 Januari lepas. Alhamdulillah perjalanan Melbourne-Hobart memakan masa kira-kira sejam.

Masa berlalu tanpa dapat diundur kembali… hampir sebulan tidak berkesempatan up-date khabar dan entry di sini.

Untuk masa yang ringkas, banyak kesempatan digunakan untuk up date status di Page Facebook.  Status di Facebook boleh dicatat ringkas dan santai.  Berbeza di blog, lebih terpanggil untuk bercerita berselang sedikit rasional dari dalil naqli atau ‘aqli.

 

Foto-foto pula lebih mudah di up-load ke FB daripada Android.  

 

Sejak memanfaatkan WhatsApp untuk berusrah dan meeting, masa menjadi bertambah sempit.  Itu antara sebab lambat men’download’ WhatsApp walaupun seorang sahabat telah lama ‘merekemenkan’.  Bila banyak grup, banyak pula yang perlu di ‘follow up’.

Kemudahan teknologi memang banyak meringankan beban.  Dalam masa yang sama menambah beban pun ya…

Sehinggalah dua hari lepas, ketika berada di ‘cabin’ yang di sewa di Hadspen, Launceston, Tasmania, suami berkata, “Tiada ‘line’ lah di sini” setelah memeriksa talian handphone dan internet.

“Yeay… dapat berehat dari internet”, saya bersorak kecil dengan nada gembira.

Mana tidaknya, dalam percutian pun ‘terpaksa’ bermesej-mesej urusan kerja dan sebagainya.  Bila mesej masuk, mahu tidak mahu, perlu cek bimbang ada hal penting.

 

Sama seperti kita sentiasa perlu ‘bermesej’ dengan Tuhan… sekurang-kurangnya 5 kali sehari.  Mahu tidak mahu, terpaksa buat sebab ia memang penting untuk kita.  Tiada ruang untuk ‘bercuti’ dari ‘bermesej’ dengan Dia sebab ‘mesej-mesej’ dari Ilahi itulah ‘pendorong utama’ untuk hidup tenang dan sukses.

 

‘Cuti’ untuk wanita haid dan nifas itu bagaimana pula ya? ‘Cuti’ tersebut hanya dari ibadah formal bernama solat.  Mereka masih boleh ‘berhubungan’ melalui zikir, istighfar, tasbih dan lain-lain.  Tanyalah kepada mana-mana wanita yang menunaikan solat fardu 5 waktu, saat-saat ber’cuti’ itu mereka akan berusaha melakukan sesuatu yang dapat menenangkan jiwa bagi menggantikan solat.   Zikrullah adalah penawarnya.

 

Setakat itu dulu coretan kali ini bagi ‘membasah’kan semula blog yang lama kemarau ini.  Di Melbourne sekarang ‘summer’ namun hujan tetaplah hujan.  “Summer” di blog ini tidak berawan mendung, apa lagi mahu hujan.

 

Mohon maaf dari semua komen dan soalan yang belum berjawab.

 

Semoga segala persoalan itu sudah dapat dirungkaikan oleh insan lain yang lebih faqih dan lebih banyak makan garam dari empunya blog ini.

 

Wassalam.

 

Ummu Abbas

16 Rabi’ul Awwal 1434H/ 12.18am

Melbourne.

 

 

 

Disambut Dingin Bayu Musim Luruh

Bismillah.

 

Di bawah adalah sebahagian catatan buku Travelog Muslimah yang dalam proses pembikinan dengan sedikit penambahan.   Penambahan adalah khusus untuk perkongsian bersama pembaca blog.  Moga bermanfaat kepada sesiapa yang memerlukan.

 

Ummu Abbas

2 Jumada 1 1433H

6.57pm

Melbourne

~~~~~~~~~~~~~~~~~~

 

Disambut Dingin Bayu Musim Luruh

 

Terasa sepoi-sepoi bahasa kedinginan bayu musim luruh menyapa wajah di sebalik purdah sebaik menjejakkan kaki di Amman. Nasib baik pakai purdah, kedinginan kurang menyengat kulit wajah.  Ini kali pertama menjejakkan kaki ke sebuah benua para rasul dan nabi.  Ketibaan di Amman disambut oleh kakak-kakak senior.  Semuanya berjubah dan bertudung labuh.  Alhamdulillah, sejuk mata memandangnya.

 

Pelajar baru perempuan diraikan kakak-kakak.  Manakala pelajar baru lelaki disambut abang-abang.  Suasana pergaulan terkawal.  Batas ikhtilat antara lelaki dan wanita dapat dijaga.  Hati kami juga menjadi tenang.  Ketenangan akan terlimpah di sanubari jika sempadan-sempadan Allah dapat dijaga.  Sempadan atau hudud Allah ialah perkara yang diharamkanNya.

 

Perjalanan dengan bas dari Lapangan Terbang Queen Alia ke penempatan pelajar di bandar Amman kira-kira 45 minit.  Pemandangan di sepanjang jalan nyata jauh berbeza dari Malaysia.  Jika di Malaysia, suasana menghijau menguasai suasana.  Di sini, padang pasir nan tandus menjadi santapan mata.  Secara zahirnya ia agak menjemukan.  Namun saya percaya sejuta hikmah tersembunyi di sebaliknya.

 

Taklimat ringkas kepada pelajar baru diberikan di dalam bas.  Satu ketika, seorang pelajar baru lelaki diminta berucap.  Saya masih ingat antara ungkapan indah pelajar tersebut, “Antara perkara menarik buat saya di sini ialah jika dulu, kita hanya membaca mengenai buah Tin dan Zaitun di dalam al-Quran.  Maka hari ini, saya berasa gembira kerana berpeluang melihat buah yang disebut al-Quran itu di depan mata”.

 

Subhanallah dan alhamdulillah.  Segala syukur hanya untukNya yang memberi rezeki kami memijakkan kaki di Bumi Anbiya’.  Sebelumnya, kami hanya belajar sejarah para nabi dan rasul di sekolah atau menatapnya lewat tulisan yang digarapkan di dalam buku-buku.  Sekarang kami berpeluang merasai suasana geografi dakwah para rasul dan nabi ribuan tahun yang lampau.  Bentuk muka buminya sahaja tampak ada unsur mendidik jiwa serta melatih jasmani menjadi tahan lasak.

 

Kelihatan pintu rumah ke Bait Mubarak. Bait Mubarak terletak di atas kedai. Dulu tiada kedai di bawahnya. Foto ihsan YB Ustaz Ahmad Baihaki.

Hampir memasuki Amman, baru kelihatan rumah-rumah pejal berbentuk kotak.  Semua bangunan dibina daripada batu-batu konkrit.  Tiada rumah kayu seperti yang masih banyak terdapat di kampung. Pelajar baru ditempatkan sementara di rumah senior.  Saya bersyukur kerana ditempatkan di rumah senior satu sekolah dahulu, Kak Nik Farhan namanya.  Sekarang Kak An menjadi pensyarah di Universiti Putra Malaysia.

 

Kedinginan beransur menghilang tatkala menyantap hidangan panas dan lazat masakan kakak-kakak.  Rumah pertama yang menyambut saya ialah Bait Mubarak yang terletak di Sweileh.

 

Bait Mubarak bermaksud ‘Rumah yang diberkati’ merupakan nama rumah tersebut.  Menjadi kebiasaan pelajar Malaysia di sana memberi nama rumah agar mudah dikenali.  Kampung ”Sweileh’ pula merupakan isim tasghir dari perkataan ‘soleh’.  Maksudnya Kampung ‘Orang-orang Baik’.