Melihat Alam Dari Kacamata Hamba

*  Tajuk artikel ini diambil sempena tema jaulah Sambutan Pelajar Baru Auckland awal tahun ini yang mana saya diminta menyampaikan tazkirah ringkas mengenainya.

 

~~~~~~~~~~~~~~~~

Melihat Alam Dari Kacamata Hamba

New Zealand terkenal dengan landskap semulajadinya yang indah.  Jika Australia sudah cukup indah dipandang, saya kira New Zealand lebih indah. Kehijauan pergunungannya serta ladang-ladangnya menyegarkan pandangan mata.

Tinggal di rumah ladang di Warkworth menggamit kenangan pada kisah Heidi yang pernah dibaca semasa kecil.  Antara faktor saya menyukai kisah Heidi ialah latar lokasi yang menceritakan tentang pergunungan yang menghijau, segar dan berudara bersih.  Hari ini terasa kebesaran Allah yang mengizinkan saya melihat suasana itu walaupun tidak pernah memasang niat untuk berada di tempat begini suatu hari nanti.

Subhanallah!

3:191

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”

 

Ali ‘Imran 3: 191

Selaku hamba, tatkala melihat keindahan alam dan keunikannya, doa di dalam ayat di ataslah yang paling layak diucapkan kepada Pencipta Keindahan.

Hamilton Gardens

 

 

Hamilton Gardens memang indah.  Terletak kira-kira 131 km dari Auckland.  Di dalamnya dibina pula taman-taman indah bertema.    Terdapat 6 taman bertema negara tertentu iaitu Chinese Scholars Garden,   English Flower Garden, Japanese Garden of Contemplation,  American Modernist Garden, Italian Renaissance Garden dan Indian Char Bagh Garden.  Selain pepohon menghijau dan subur, bunga-bungaan baki dari musim bunga, terdapat tasik dan Sungai Waikato yang mengalir tenang.

Seperti biasa, di samping melihat pemandangan, saya juga tertarik dengan manusia yang ada di sekitarnya.  Saya memerhatikan reaksi pengunjung yang melawat.  Kebanyakan mereka non muslim.  Muslim yang ada pun adalah kami, anggota rombongan yang terdiri dari pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Auckland dan beberapa kerat pengunjung.

Mereka kelihatan mengagumi keindahan taman-taman serta begitu asyik bergambar.  Saya terfikir, “Alangkah bagusnya jika mereka melihat yang tersurat dari yang tersirat… taman-taman indah ini merupakan gambaran taman-taman syurga Allah yang jauh lebih indah di akhirat kelak.  Al Quran banyak menceritakan tentang syurga dengan sungai-sungai yang mengalir di dalamnya.  Ia disediakan untuk hamba-hamba yang beriman.”
Hari ini kita diberi nikmat menghuni taman dunia yang indah.  Adakah kita layak mendiami syurga Allah yang luas? Apabila terfikir hal begini, terasa ia satu gamitan dari Allah supaya sentiasa berusaha menjadi hambaNya yang baik.  Adakah solat saya sudah sempurna?  Adakah saya berusaha menunaikan perintah yang wajib dan menjauhi yang haram?  Terasa begitu rugi sekali, andai peluang yang ada untuk memburu syurgaNya di dunia ini tidak dimanfaatkan sebaik mungkin.

Jika di sini ada taman-taman bertema, syurga juga mempunyai tema tersendiri yang menunjukkan status yang berbeza.  Benar… benar sekali.  Fitrah manusia yang sukakan taman-taman itu tetap dapat direalisasikan selepas mati.  Yang pentingnya kunci syurga diperolehi dahulu iaitulah kalimah syahadah, “La Ilaha Illallah, Muhammadar Rasulullah”.  Merasa amat kasihan melihat para non muslim yang ramai itu.  Saya hanya mampu mendoakan mereka agar Allah berikan hidayah sama seperti Allah berikan hidayah kepada saya.

Menyebut tentang nikmat melihat keindahan alam, pagi tadi saya mendengar ucapan saudara seislam secara langsung dari Medan Ilmu, Kota Bharu.  Ukht ‘Alaa yang berasal dari Gaza berkata (Pada minit ke 1.14 dalam rakaman), “Gaza buminya lebih kecil dari Malaysia tetapi mempunyai pemandangan yang indah juga.  Apabila saya berdiri di tepi pantai untuk mencari ketenangan, apa yang saya nampak adalah penderitaan saudara-saudara saya.”

Saya kira menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk merasa kebersamaan dengan saudara-saudara seaqidah di sana.  Apatah lagi Masjid al-Aqsa yang menjadi kiblat pertama umat Islam adalah milik semua umat Islam tanpa mengira di mana mereka berada.  Jika saya mampu merasa nikmat-nikmat duniawi tanpa gangguan dari mana-mana pihak, saya juga mahu saudara-saudara Islam di Palestin menikmati hal yang sama.

Keindahan alam ini lebih mampu dinikmati apabila saudara-saudara Islam di merata pelusuk dunia berada dalam keadaan aman seperti kita.  Mengambil berat urusan orang Islam yang lain salah satu ciri muslim yang beriman kepada Allah dan RasulNya.  Rasulullah s.a.w berkata,

“Sesiapa yang tidak mengambil berat akan urusan kaum muslimin maka dia bukanlah termasuk dalam kalangan mereka”. 

Hadis  direkodkan oleh Imam Baihaqi. 

Derita umat Islam Palestin derita kita juga.  Keperitan berdepan dengan kekejaman Basyar Asad di Syria keperitan kita juga.  Kezaliman yang dilakukan ke atas umat Islam di Rohingya merupakan penganiayaan kepada saudara kita.  Dalam melihat alam, saya sedar alam ini bersatu di semua sudut.  Antara benua dan lautan, antara langit dan bumi, antara cakerawala, bintang-bintang, bulan dan matahari. Ummat Islam di seluruh dunia juga perlu begitu. Mereka saling melengkapi bagi memakmurkan dunia ini dengan satu pemerintahan yang adil, menentang kezaliman dan memelihara kebajikan semua rakyat tanpa mengira bangsa, budaya dan agama.

Hati orang-orang beriman saling bertaut – jika mereka bahagia, kita turut bahagia.  Andai tidak dapat bersama mengharungi derita mereka, sekurang-kurangnya kita menghulurkan pertolongan dengan derma dan doa berpanjangan.

Ummu Abbas

7 Muharram 1434H

Melbourne

Advertisements

Dalam Taman Berbunga Hidayah

Bismillah.

Rabu malam Khamis, 4 Dzul Qi’dah 1433H

 

“Ok, malam ini kita baca kisah yang ke 29 bertajuk Bayi Bercakap.  Siapa tahu nabi apa?”

“Nabi Isa”, salah seorang anak menjawab.

“Iya, benar.  Dia bercakap semasa baru dilahirkan, bukan macam ini… kalau macam ini, sudah besar sedikit”, jelas saya lagi sambil menunjuk kepada anak paling kecil, Aleeya yang berusia setahun setengah.

Lalu kisah ditata berselang seli ‘ibrah untuk santapan minda anak-anak.  Insya Allah, saya kongsikan ‘ibrah itu dalam entry akan datang.

 

Sabtu, 6 Dzul Qi’dah 1433H.
“Azzam bawa stroller. Abi bawa Aleeya”, kata Tuan Suami.

“Bas sudah sampai. Cepat… cepat… Iya, Azzam tolong bawa stroller, Abi dokong Aleeya dan biar Ummi yang kemas alas solat ini. Abbas, Aziz dan Aesya pergi beratur dahulu,” saya membahagi tugas sambil menunjukkan arah perhentian yang berhampiran.

Bas kecil (coaster) untuk bersiar-siar di sekitar National Rhododendron Gardens kelihatan tiba seusai kami solat berjemaah tengahari tadi.

Alhamdulillah. Bagusnya Tuan Suami buat keputusan solat dulu sambil menunggu bas tiba. Hati lebih tenang dan perjalanan terasa lebih berkat. Sedangkan anak sulung mahu kami bersiar-siar dahulu dek bimbangkan bas tiba lebih awal.

Tuan Suami dan semua anak-anak sudah mula menaiki bas.  Ditemani bunga-bunga Daffodil, saya melipat kain pelikat lama dan alas  yang dijadikan sejadah.

Baru sahaja mahu menaiki tangga menuju ke arah perhentian bas, seorang pemuda yang memerhati kami solat dari tadi menyapa, “Adakah kamu sembahyang tadi?”

“Iya.”

Pemuda itu berada bersama kawan-kawan mat salehnya di bahagian belakang semasa kami solat.

“Kamu sembah apa? Tuhan Bapa?”

Tersenyum di sebalik purdah dengan tenang menjawab, “Allah”.

Saya sengaja memilih perkataan ‘Allah’ dibandingkan ‘God’ kerana percaya serta yakin kalimah itu mampu menundukkan hati-hati manusia yang masih ikhlas mencari tuhan mereka yang sebenar.

Juga sengaja memilih lafaz “Allah” untuk menggerakkan pemuda itu mencari ‘Siapa Allah?’ selepas perbualan singkat itu.

” Allah?”, pelat-pelat dia mengulangi lafaz yang disebut tadi.

Saya menganggukkan kepala, “Ya. Hanya Tuhan yang satu”. Sedikit rasa gembira terulit di jiwa mendengar sebutan nama agung itu ditirunya.

“Kamu percaya kepada Jesus?”

“Iya”, tersenyum lagi.

“Dia adalah anak tuhan atau nabi?”

“Dia seorang nabi”.

Pemuda itu menganggukkan kepalanya sambil kelihatan reaksi wajahnya berfikir-fikir.

Keadaan tidak mengizinkan kami berbual panjang. Saya terus berlalu dan menaiki bas. Di atas bas, saya ceritakan semula perbualan itu kepada Tuan Suami dan anak-anak.

Ya Allah! Berilah hidayahMu kepada pemuda itu. Saya percaya dia sedang mencari sesuatu dalam hidupnya.

Kami solat berjemaah di sebelah bunga-bunga Daffodil ini. Amalan yang menyebabkan pemuda itu tertarik untuk bertanya.

Sehari selepas itu… Ahad 7 Dzul Qi’dah 1433H/23 Sept 2012.

 

Kami bertolak dari rumah untuk menyertai rombongan MECCA melawat sekitar Werribee.  Saya mengisi masa dengan membaca al-Quran di atas kereta.  Tilawah (bacaan) saya tiba pada ayat-ayat di bawah;

“Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata, “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam”. Padahal Al-Masih sendiri berkata,”Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu.  Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka pasti Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka.  Tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim”. [72]

Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata, “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir di antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [73]

Salah satu jenis bunga di Taman Rhododendron, Olinda.

Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya)? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani. [74]

Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah mendahului sebelumnya beberapa orang Rasul, serta ibunya seorang perempuan yang amat benar.  Mereka berdua memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu). [75]

Katakanlah (wahai Muhammad), “Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. [76]

*********

“Eh Bang, bacaan Nur sampai ke ayat berkenaan Nabi Isa ini… baru semalam pemuda itu bertanyakan hal ini dan baru beberapa hari lepas, Nur baca kisah ‘Isa a.s kepada anak-anak.  Menariknya!,” saya tidak dapat menyembunyikan keterujaan atas peristiwa yang berlaku.

*****

Pohon bunga yang dijual di taman.

Tiba waktu Asar, Tuan Suami berkata kepada ketua rombongan iaitu Haji Hamid (Presiden MECCA), “Kami mohon beransur dahulu ya”.

“Kita akan ke masjid Werribee sekejap lagi.  Singgahlah dulu”.

Mendengar perkataan masjid, kami terus bersetuju.  Sementelah kami mahu solat Asar dahulu sebelum pulang.  Masjid Werribee pun kami belum kenal lagi.  Sampai di hadapan pintu masuk ke kawasan masjid, ada sesuatu yang menarik perhatian [Lihat gambar].

 

“Eh Bang, bagusnya nama masjid ini.  Ini kali pertama Nur lihat nama masjid diletakkan sempena nama perempuan.  Biasanya nama lelaki sahaja.  Sesuai sangat kerana Maryam (Ibu Nabi ‘Isa a.s) pun ada mihrab sendiri”.

Subhanallah walhamdulillah!  Mengagumi apa yang Allah telah aturkan dalam kehidupan saya berkenaan kisah Nabi ‘Isa a.s ini.  Ia berlaku secara teratur dan saling berkait pada satu topik tanpa saya rancang.  Seolah-olah mahu saya menghadam kisah ini dengan mengingati dalil-dalil (fakta) yang jelas dari kalamNya sendiri.  Juga mendekati lagi perwatakan Maryam, ikon wanita suci yang mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah swt.  Insya Allah, semoga Allah mempermudahkan jalanNya untuk saya menghayati perwatakan Maryam a.s.

Dalam taman berbunga hidayah… Insya Allah.

Seru manusia kepada Islam dengan kasih sayang.

Ummu Abbas

9 Dzul Qi’dah 1433H

12.30am

Melbourne.