Nota: Siapa Gadis Intelek?

Pada tahun 2004, saya pernah hasilkan satu pamphlet berkenaan hijab wanita.  Saya namakan ia Risalah Ringkas Hijab Wanita.  Pamphlet itu dicetak di atas kertas bersaiz A4 dan boleh dilipat tiga.  Saya cetak di atas kertas pelbagai warna. 

 

Contoh risalah yang dicetak atas kertas berlatar bunga.
Contoh risalah yang dicetak atas kertas berlatar bunga.

Pamphlet ini adalah satu usaha dari nurani yang kasihkan wanita.  Ia turut disebarkan oleh adik-adik yang prihatin dan dianugerahkan kasih sayang murni terhadap ummah. 

 

Hari ini, saya mahu kongsikan dengan pembaca blog saya.  Saya mempelawa individu atau organisasi yang berminat untuk menyebarkannya di kalangan para wanita Islam agar mencetaknya sendiri.

 

Pamphlet ini boleh dibahagi kepada adik-beradik perempuan, saudara mara, kawan-kawan, rakan sepejabat, isteri dan orang awam.  Jika kita mahu hadiahkan pada seseorang, baik juga jika dimasukkan ke dalam sampul surat yang cantik.  Saya cadangkan ditulis di atas sampul, “Warkah Kasih buat Muslimah yang Bijak”.

 

Selepas menulis risalah ini, saya cuba survey dengan anak saudara yang bersekolah menengah.  Saya mahu tahu reaksi remaja perempuan yang membaca risalah ini.   Saya cetak 10 salinan dan minta Cik Tim (anak saudara yang sekarang belajar di UIAM) bahagi kepada 3 kumpulan responden.   Responden yang sedia baik, responden pertengahan dan responden yang ‘hu ha hu ha’ (yang lincah dan kurang beragama).   Pandangan yang diperlukan ialah pada uslub penyampaian isi risalah.  Maklum balas yang saya terima ialah bahasa yang digunakan kurang sesuai untuk remaja ‘hu ha hu ha’.  Oleh sebab itu, saya mempelawa sesiapa yang pakar dalam berbahasa dengan remaja untuk mengolah semula risalah ini agar sesuai dengan jiwa remaja.

 Para pembaca yang ingin memberi komen tentang isi dan kandungan risalah  dipelawa meninggalkan pandangan mereka di sini.  Semoga mutu risalah ini dapat dipertingkatkan.

Halaman 2 risalah yang dicetak di atas kertas warna.
Halaman 2 risalah yang dicetak di atas kertas warna.

Semoga usaha ini diberkati Allah.

 

Sesiapa sahaja yang berminat mendapatkan risalah ini dalam formatnya yang asal, harap dapat hubungi saya melalui email.  Insya Allah, saya akan berikan softcopy  melalui email.

Usaha saudara/saudari hanyalah mencetaknya sendiri.  Niatkan perbelanjaan itu derma fisabilillah.  Insya Allah ia akan memugar tuannya dari azab neraka.

 

Teks penuh risalah ini saya sertakan dalam entry di bawah dengan tajuknya, “Siapa Gadis Intelek?”

 

 Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mendedikasikan siaran risalah ini buat Dr Marwah el-Sharbini yang mati dibunuh di mahkamah Jerman semata-mata kerana hijabnya.  Semoga bertambah ramai srikandi muslimah yang sanggup lakukan apa sahaja bagi mempertahankan hijab mereka.  Allahuakbar!

Dr Marwah telah menemui Ilahi bersama anak dalam kandungan dengan sebaik-baik khatimah yakni syahid.  Ya Allah, tempatkanlah kami bersama orang-orang yang beriman dan mendapat redaMu.

 

Sama-sama kita menjadi warga Islam yang pro-aktif.  Jika si kafir itu menghina kita kerana Islamnya kita, maka marilah kita pertingkatkan amalan dan sumbangan kita untuk deen tercinta ini.  Hanya muslim yang mukmin diberi bantuan dan kemenangan oleh Allah swt sebagaimana Allah pernah memenangkan jundu (tentera) Muhammad s.a.w.

Amin, ya Rabbal ‘alamin.

 

Ummu Abbas

14 Syaaban 1430H

11.18pm