“Pasangan kamu cium kamu?”

Bismillah.

Kisah dalam Kelas BI (Isu Pasangan)

Mrs Aneta, “Bagaimana kamu bertemu pasangan kamu? Adakah kamu diuruskan oleh orang lain atau cari sendiri?”

Salah seorang dari kami menjawab,”Bergantung pada seseorang. Ada yang diuruskan oleh orang tengah dan ada yang mencari sendiri.”

Mrs Aneta menganggukkan kepalanya sambil berkata, “Bagaimana kamu boleh bernikah sedangkan kamu belum mengenali antara satu sama lain?”

“Kami bercinta selepas kahwin”, kami tersenyum-senyum sambil tergelak kecil.

Saya teringat persoalan ini sering juga berlegar-legar di kalangan umat Islam yang kurang yakin cara mencari pasangan secara Islam. Tidak yakin dengan cara Islam sama seperti tidak menaruh sepenuh kepercayaan kepada Allah swt yang berkuasa menentukan jodoh seseorang.  Justeru itu ramai yang memilih cara sendiri dengan ber’couple’ dan berkenalan dengan seorang demi seorang, keluar ‘dating’ dan pelbagai lagi kaedah-kaedah yang membahayakan iman dan taqwa.

Mrs Aneta kemudiannya bertanya kami seorang demi seorang, “Kamu bernikah macam mana? Diuruskan orang tengah atau suami yang melamar kamu?”

Hend, “Jodoh saya diuruskan”

Mrs Aneta bertanya yang kedua,”Kamu?”

Sarah, “Juga diuruskan”

“Kamu?”

Saya, “Dia yang melamar”. Tersenyum.

“Oh… Kamu pula?”, sambil memandang ke arah kawan berbangsa Bangladesh.

Rumana, “Diuruskan”

[Antara kami berempat, saya seorang sahaja yang memakai purdah.]

“Saya fikir semua kamu diuruskan orang tengah sebab saya pernah dengar begitu. Bila kamu dikira dengan seseorang, adakah kamu dipaksa menerima pasangan kamu?”

“Tidak. Orang tengah atau ibubapa akan bertanya sama ada kami setuju atau tidak. Jika kami setuju, baru kami dinikahkan”.

“Oh begitu. Pasangan kamu cium kamu?”

“Iya.” Kami tersenyum-senyum dan tergelak. Tidak terfikir isu tersebut menjadi persoalan bagi individu seperti Mrs Aneta. Terasa lucu sekali… iyalah, kalau tidak, mana mungkin kami memperolehi anak.

“Saya rasa hairan bagaimana kamu boleh bercium dengan seseorang yang kamu tidak pernah berkenalan”.

Kami tergelak lagi. Saya seolah-olah dapat memahami kawan-kawan muslimah yang lain saling memahami namun tidak terungkap dibibir untuk menjelaskan lebih lanjut.

Soal naluri mudah ditanggapi. Ia sudah sedia ada dalam setiap insan normal. Untuk menerangkan isu fiqh, memerlukan keimanan kepada Allah terlebih dahulu. Tanpa iman, sesuatu yang bersifat syariat tidak mudah dihadam. Oleh sebab itulah perjuangan awal Rasulullah s.a.w ialah membersihkan kekufuran dalam cara berfikir dan iktikad hati. Selepas isu aqidah dilepasi, barulah syariat diturunkan sedikit demi sedikit.

Mrs Aneta, “Saya punya ramai teman lelaki sebelum ini. Salah seorangnya berbangsa Turky tetapi dia tidak berpegang teguh pada agamanya.”

Hmm, sedikit sebanyak info yang Mrs Aneta berikan membuatkan saya memahami bagaimana dia masih samar dalam banyak perkara mengenai Islam. Dia bercinta dengan lelaki muslim yang tidak komited dan mendengar cerita-cerita negatif mengenai pernikahan di dalam Islam.

SABAR, SABAr, SABar, SAbar, Sabar.
Mereka yang memahami cara mencari pasangan menurut Islam kemudian mengamalkannya adalah mereka yang sabar dalam menunggu ketentuan Allah swt untuknya.  Menahan diri dari berhubungan secara tidak halal menjadi pilihan insan yang mengharapkan reda Allah swt untuknya.   Dalam penantian itu, dengan mengekang hawa nafsu dan memelihara sifat malu yang dituntut, insan-insan yang mengutamakan pandangan Allah swt ini memperolehi nikmat yang lebih besar dari nikmat berpasangan itu sendiri, itulah nikmat kemanisan iman dan taqwa.
Adakah sesiapa mengira dia dapat mendiami syurga Allah tanpa mengorbankan kepentingan hawa nafsu sendiri?
Allah berkata di dalam surah Al-Naazi’aat, ayat 40 dan 41,
79:40
79:41
[40]Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, –
[41]Maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.”

 

Islam agama yang indah dan penuh kedamaian. Sekiranya semua umat Islam komited dengan ajaran Islam, saya yakin ia lebih mudah tersebar ke seluruh pelusuk dunia kerana kecantikan/ketampanan Islam dapat dilihat secara nyata dan jelas.

Ummu Abbas
19 Dzul Qi’dah 1433H/ 5 Okt 12
10.05am
Melbourne

Gadisku, dunia fisiologi dan psikologi dirimu…

Gadisku,

Percayakah kita bahawa kita sebenarnya belum memahami erti cinta, kasih dan sayang selagi kita belum mengenal Allah swt. Mari sayangku, kita menjelajah lagi di alam rahim bonda. Siapakah gerangan diri kita sebenarnya…

Sebelum ini, ku bicara tentang bagaimana diri kita tercipta sebagai zigot (ovum yang telah dipersenyawakan oleh sperma) sebelum ia berkembang menjadi janin dalam ‘qarar’ (rahim) yang hebat itu.

'qarar' atau rahim-tempat tinggal pertama manusia. Subhanallah!

Sekarang, mari kita menyusur galurkan bagaimana sikap dan sifat kewanitaan kita terbentuk dari aspek fisiologi dan psikologi. Continue reading “Gadisku, dunia fisiologi dan psikologi dirimu…”