Gema ‘Kepimpinan Ulama’ di Malam ‘Countdown’

Islam Deenul Fitrah

Alhamdulillah, buat julung-julung kalinya sejak tahun 1990, Kerajaan Islam Kelantan menganjurkan sambutan tahun baru Masihi yang datang serentak dengan tahun baru Hijrah. Tujuan Kerajaan adalah memberi alternatif kaedah sambutan/ pesta yang dibenarkan syarak. Setelah sekian lama rakyat Malaysia dihidangkan pesta-pesta yang berkiblatkan barat, maka inilah satu model pesta yang akan mengundang rahmat dan reda Allah.

Sama ada Kerajaan Kelantan mahu menjadikannya acara tetap tahunan atau tidak bergantung pada situasi.

Fitrah manusia suka berpesta. Fitrah manusia mahu berkumpul berkongsi gembira dan duka. Namun manusia itu dijadikan lemah dan suka menurut nafsu syahwat yang jahat. Sebagai agama yang menepati fitrah, Islam memberi garis panduan bagaimana fitrah itu harus disalurkan. Islam tidak pernah menyekat fitrah manusia secara mutlak.

Apabila Islam menutup satu pintu kepada sesuatu perbuatan seperti haram berzina, maka secara automatik Islam membuka pintu halal kepada seks yang dinamakan nikah. Begitulah seterusnya.

Islam itu mudah dan mampu dilaksanakan oleh manusia. Allah menyebut,

وَجَاهِدُوْا فِىْ اللّٰهِ حَقَّ جِهَادِهٖ هُوَ اجْتَبٰٮكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِىْ الدِّيْنِ مِنْ حَرَجٍ‌ؕ مِلَّةَ اَبِيْكُمْ اِبْرٰهِيْمَ‌ؕ هُوَ سَمّٰٮكُمُ الْمُسْلِمِيْنَ ۙ مِنْ قَبْلُ وَفِىْ هٰذَا لِيَكُوْنَ الرَّسُوْلُ شَهِيْدًا عَلَيْكُمْ وَتَكُوْنُوْا شُهَدَآءَ عَلَى النَّاسِ‌‌ۖۚ
Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu yang berat dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu: Orang-orang Islam semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Al-Hajj 22: 78

Sambutan di Stadium

Tanggal 31 Disember 2008 bersamaan 3 Muharram 1430H, saya menemani 3 orang anak yang mahu melihat konsert nasyid di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. Syukran ya zauji yang sudi menjaga si kecil Aqil yang berusia 1 tahun 4 bulan sekarang dan Aesya yang sudah mengantuk di dalam kereta.

Kami pergi agak lewat iaitu kira-kira jam 10 malam. Sudah banyak acara terlepas. Saya sengaja pergi lewat supaya anak-anak tidak cepat jemu. Mereka mahu menunggu ‘countdown’ detik 12 malam. Sempatlah juga mereka menonton nasyid.

Malam itu hujan lebat. Saya memanjat tangga stadium kerana mahu mencari Abang Aji, anak sahabat saya (saya panggil dia Ummi) yang akan balik bersama saya nanti. Sampai di atas, baru saya sedar ia kawasan VIP. Saya hanya rakyat biasa. Nasib baik saya kenal beberapa orang VIP yang ada di situ. Antaranya Senator Mumtaz Nawi, senior saya di MMP dulu. Juga sahabat satu usrah di MMP. Nik Amalina, anak MB Kelantan duduk di sebelah Kak Mumtaz. Dia junior saya di MMP. Juga pernah sama-sama mengikuti program tarbiyah sejak di MMP. Ummi Abang Aji ada di situ. Kebetulan ada kerusi kosong, saya terus duduk di situ bersama anak-anak. Inilah bagusnya pemimpin Islam, berpangkat atau tidak dilayan sama rata. Alhamdulillah.

Bahagian depan tempat duduk, ada wakil kaum India, Siam dan Cina. Mereka duduk sebaris dengan pemimpin kerajaan Kelantan yang lain. Tema ‘Kita Bersaudara’ ditonjolkan malam itu. Objektifnya agar mereka yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama merasakan bahawa kita dari keturunan yang sama yakni Adam dan Hawa.

Lebih kurang jam 10.30 malam, Tok Guru Nik Abdul Aziz tiba. Tempat duduk Tok Guru dan isteri (yang mesra dipanggil Cik Yah) berada selang dua baris di hadapan saya.

Sinopsis sebelum program diadakan boleh dilihat di http://mynisa.multiply.com/journal/item/683/JOM_COUNTDOWN_TAHUN_2009_BERSAMA_TOK_GURU_DI_KELANTAN-31_DIS_2008. Acara dan perjalanan program boleh dilawat di http://keluargakusayang.blogspot.com/.

Pertandingan Bunga Api Antarabangsa di Putra Jaya
Pertandingan Bunga Api Antarabangsa di Putra Jaya

Laungan ‘Kepimpinan Ulama’ Bergema

Seusai Tok Guru dan isteri mengambil tempat, wakil kaum Tionghua yakni Hu Pang Chow memberi ucapan. Kemudian wakil kaum India pula berucap. Apa yang menarik, wakil kaum India menyebut bahawa mereka menyokong kepimpinan ulama. Dia berucap penuh semangat. Sahutan dari kaum India yang hadir bergemuruh di stadium. Mula-mula dia berucap dalam Bahasa Malaysia. Kemudian berucap dalam loghat Tamil. Tatkala dia berucap dalam bahasa Tamil, bergemuruh lagi sahutan dari para penyokong. Sudah tentu mereka yang menyahut berbangsa India. Kami yang Melayu, Cina dan Siam ini manalah faham apa yang mereka ucapkan.

Mengakhiri ucapannya, wakil kaum India berharap agar Kepimpinan Ulama akan menguasai bumi Malaysia. Amin. Amin. Ia menakjubkan! Non muslim menyebut tentang kepimpinan ulama dan menyokongnya sepenuh hati.

Ya Allah, Engkaulah yang menjinakkan hati-hati mereka terhadap Islam dan para ulama muttaqin. Kagum betul saya menyaksikan suasana tersebut. Lebih separuh abad Islam tulen diperjuangkan di Malaysia, berhadapan tohmahan, fitnah dan mehnah tanpa putus.. hari ini… berkat keringat, air mata dan darah para pejuang; kami dapat saksikan detik penuh indah ini. Alhamdulillah.

Saya teringatkan perjuangan Rasulullah berhadapan tohmahan demi tohmahan. Sampai ke tahap mereka katakan Muhammad itu seorang yang gila. Namun onak dan duri tetap diharungi sampai ke satu tahap Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan. Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan atas satu aqidah. Akan tiba masanya, pelbagai kaum di Malaysia ini lembut hati untuk kembali ke agama moyang mereka Adam dan Hawa yakni Islam. Islam yang indah. Islam yang damai. Islam yang tenang. Islam yang qudus.

Sekali-kali tiada paksaan untuk mereka kembali ke agama fitrah. Justeru Allah melarang kita memaksa mereka. Bahkan mereka akan menerimanya dengan dada terbuka, akal yang faham, hati yang tulus dan jiwa yang bersih.

Ya Allah! Satukanlah kami di bawah panji suciMu, Islam. Satukanlah kami di Jannatunna’im.

Amin. Ya Rabbal aalamin.

Puas hati

Saya tidak sempat menemani anak untuk countdown. Dua kali panggilan dari suami memberitahu si kecil menangis mahu tidur. Saya bawa pulang Aziz dan Azzam yang sudah mengantuk. Abbas saya tinggalkan pada Ummi. Kami keluar dari stadium dan berjalan dalam hujan lebat menuju ke kereta. Saya seronok. Saya puas hati dapat menyaksikan detik-detik indah ‘kita bersaudara’ di stadium. Abbas juga seronok kerana dapat lihat percikan bunga api. Terima kasih suamiku kerana mengizinkan daku berada di sana.

Ummu Abbas 2009
4.28pm
8 Muharram 1430H/ 5 Januari 2009

Advertisements

15 Tip Pemimpin Disukai Ramai

Bagi umat Islam, role-model terbaik ialah Nabi Muhammad SAW.  Dia contoh pemimpin yang baik dalam segenap aspek.  Memimpin diri sendiri.  Memimpin keluarga, para sahabat dan masyarakat.  Seterusnya memimpin kuasa rakyat.  Mandat yang diperolehi Rasulullah SAW di Madinah merupakan manifestasi kepimpinan (dakwah dan tarbiyah) fasa Mekah selama 13 tahun.                                         

Jika kepimpinan fasa Mekah menonjolkan Nabi Muhammad sebagai seorang suami, bapa, sahabat, pendakwah dan guru mursyid.  Maka kepimpinan fasa Madinah memperlihatkan kebijaksanaan beliau dalam politik, ekonomi, ketenteraan dan penyatuan kaum.   Kepimpinan Nabi Muhammad adalah untuk direalisasikan oleh tiap ummatnya yang memimpin.  Bukannya sekadar menjadi bahan yang dilagukan setiap kali menjelang sambutan Maulidur Rasul.  15 tip di bawah merupakan aplikasi daripada ciri-ciri asas kepimpinan Rasulullah SAW itu sendiri.  Selamat menghayati. 

< Ikhlas

Pemimpin yang ikhlas dekat di hati rakyat.  Keikhlasan pasti diuji Allah.   Hanya pemimpin yang diredai Allah sahaja yang akan berjaya melepasi ujian.  Buah keikhlasan yang tercerna seperti tidak mengharapkan pujian, mengabaikan kejian, tidak berdendam dan lain-lain lambat laun tetap dinilai oleh rakyat. 

< Berkata benar.

Pemimpin yang tetap berkata benar walau dalam apa jua keadaan merupakan seorang yang jujur.  Orang yang jujur disukai kawan dan lawan.     

Pepatah Melayu mengatakan,

‘Siakap senohong, Gelama ikan duri,

Bercakap bohong, Lama-lama mencuri.’     

Realiti ini disedari sejak dahulu.  Justeru terungkaplah pepatah seperti di atas.  Mutakhir ini, banyak sudah dibuktikan pemimpin yang suka berbohong dengan rakyat akhirnya mencuri dan merompak harta rakyat secara profesional.  Pemimpin yang suka berbohong walau sekali tidak boleh dipercayai untuk menjaga kebajikan rakyat.   

< Amanah & Bertanggungjawab

Ciri-ciri ini menyebabkan hak-hak rakyat ditunaikan dengan baik.  Rakyat yang dapat merasai ‘air tangan’ pemimpin mereka akan mengasihi pemimpin tersebut. 

< Cintakan Ilmu

Umar al-Khattab pernah berkata, ‘Berilmulah kamu sebelum kamu memimpin’.  Ilmu pengetahuan merupakan tonggak kepimpinan khususnya dalam bidang yang dipimpin.  Zaman kontemporari ini mengiktiraf ijazah sebagai pengukur keilmuan seseorang.  Namun yang lebih penting ialah buah kepada ilmu yang dipelajari dalam bentuk amalan dan pengalaman.  Ia juga dapat menjamin rakyat daripada teraniaya oleh sikap-sikap berlandaskan kejahilan. 

< Mahir berkomunikasi

Buku ‘Bakat Dan Kemahiran Memimpin’ tulisan Ainon Mohd & Abdullah Hassan, halaman 20 mendefinisikan kemahiran berkomunikasi ialah kemahiran menggunakan bahasa untuk menimbulkan kesan positif ke atas hubungan sesama manusia.  Khususnya antara pemimpin dan individu yang dipimpinnya.   

Kemahiran berkomunikasi memainkan peranan yang sangat penting dalam hubungan antara pemimpin dan rakyat.  Bahasa komunikasi yang tampan akan menyebabkan seseorang pemimpin dipandang menarik walaupun fizikalnya kurang menarik.   

< Menepati Janji

Lazim bagi pemimpin di era demokrasi berpilihanraya mengemukakan pelbagai janji.  Sesetengah pemimpin tidak suka berjanji namun melaksanakan apa jua projek yang menguntungkan rakyat.  Sesetengahnya pula suka berjanji.  Justeru bagi pemimpin yang sudah melontarkan janji, adalah penting mereka menepati janji-janji yang dibuat.  Pemimpin yang menepati janji dipercayai ramai seterusnya disukai oleh rakyat.  Rakyat tidak akan ragu-ragu untuk terus memberi mandat kepada pemimpin begini. 

Sikap menepati janji juga menyebabkan seseorang akan berfikir dahulu apakah dia mampu menunaikan janji yang akan dibuat.  Sekiranya tidak, mereka tidak akan menabur janji-janji kosong sehingga akhirnya rakyat merasa kecewa dan integriti pemimpin juga merudum. 

< Tetap pendirian

Tetap pendirian yang dimaksudkan ialah pada perkara kebenaran sahaja.  Kebenaran yang datangnya dari Allah dan bukannya menurut kemahuan manusia semata-mata.   

< Memahami waqi’ dan fleksibiliti

Waqi’ ialah persekitaran semasa yang senantiasa berubah.  Ia merangkumi suasana politik, ekonomi dan aspirasi majoriti rakyat.  Kemampuan memahami keadaan dan menyesuaikan diri dengan keperluan rakyat menjadikan pemimpin begini diterima ramai. 

< Berwawasan jauh

Pemimpin yang berwawasan jauh sama ada untuk duniawi, lebih-lebih lagi ukhrawi akan senantiasa terpimpin keputusan dan tindakannya.  Ia juga sentiasa mengambil kira keuntungan jangka panjang bagi rakyatnya sama ada di dunia mahupun akhirat.  Justeru maslahah umum menjadi keutamaan. 

< Berhati-hati

Berhati-hati dalam membuat keputusan atau bercakap menjadikan seseorang pemimpin dihormati.  Dia juga selalunya bertindak berdasarkan hujjah atau rasional yang jelas sahaja serta menjauhi perkara yang meragukan.  Sikap ini disukai ramai kerana ia menunjukkan pemimpin tersebut tidak mudah dimanipulasikan oleh mereka yang berkepentingan.   

< Mengutamakan hak rakyat lebih dari kepentingan diri

Justeru rakyat akan merasa hak-hak mereka terbela dan tenang melayari kehidupan seharian.  Sudah tentu bertambah kasih mereka kepada pemimpin yang mengambil berat hal ehwal mereka melebihi diri sendiri.  

< Zuhud 

Zuhud mampu memagari seseorang pemimpin dari mengambil atau mengguna hak rakyat tanpa kebenaran walau satu sen.  Justeru harta dan aset kepunyaan ramai akan dipelihara dengan baik.  Rakyat juga akan menyayangi pemimpin yang zuhud bahkan mengagumi mereka.     

< Sabar

Berhadapan pelbagai ragam orang ramai menuntut kesabaran yang tinggi.  Pemimpin yang penyabar mampu menangani setiap permasalahan rakyat dengan rasional.   

< Merendah diri

Merendah diri atau tawaduk dicintai Allah, disukai manusia.  Allah mengangkat darjat hamba yang tawaduk serta membayar ‘cash’ hamba yang sombong lagi bongkak.  Allah menyatakan melalui hadis Qudsi bahawa kesombongan dan takabbur merupakan pakaian zatNya.  Maka pasti dibalas sesiapa jua yang mengambil sifat khusus untuk Allah tersebut. 

< Banyak mengingati mati

Semua agama percaya pada kehidupan selepas mati.  Justeru pemimpin yang banyak mengingati mati dan takutkan Tuhan akan terkawal tingkahlakunya, produktif dalam memberi khidmat dan tidak berkira dengan rakyatnya.  Sentiasa ingat mati juga membantu pemimpin konsisten dengan kebajikan dan menjauhi perkara yang merugikan rakyat. 

Ummu Abbas©Kerana Cinta’s Weblog 2008

8 Rabiul Awwal 1429H/ 16 Mac 2008

9.45am