Ramadan: Antara Malaysia, Jordan, Mekah dan Melbourne

Kiranya belum terlewat untuk saya mencatat kenangan Ramadan 1432H di Melbourne.  Pejam celik pejam celik, sudah setahun kami bermastautin di sini.  Alhamdulillah.

Ramadan di Malaysia

Senarai kuih-muih berbuka di Malaysia:

Ondeh-ondeh, cendol, puding telur, agar-agar, Tepung Pelita, karipap, bubur, kuih Seri Muka, Sagu gumpal dan banyak lagi…

Senarai Nasi dan makanan berat yang lain:

Nasi Ayam, Nasi Kerabu, Nasi Biryani, Nasi berlauk, Nasi Arab, Nasi goreng, Mi goreng kerang, Mi goreng basah, Mi hailam, Mi tomyam, Mi bandung, Mihun sup, Mihun tomyam, Mihun goreng dan lain-lain.

juada banyak

Senarai lauk pauk:

Keli tiga rasa, Siakap stim, Pari bakar, Daging bakar, Sup Ekor, Sup gear box, Sup tulang, Ayam masak merah, Ayam percik, Ayam paprik, Ikan percik, Ikan bakar asam, Ikan goreng celup tepung dan bermacam-macam lagi.

Senarai Minuman:

Kopi Radix, Sirap bandung, Nescafe ais, Teh Ais, Jus Epal, Jus Mangga, Jus Oren, Jus Tembikai, Air Kelapa Muda dan pelbagai lagi.

Juadah-juadah di atas adalah perkara biasa yang dilihat di majlis-majlis iftar dan juga di Bazar Ramadan di Malaysia.  Saya membesar bersama pelbagai juadah sejak menyambut Ramadan dari kecil.  Bertambah bilangan adik-beradik, bertambah jugalah jenis juadahnya.  Yang ini suka sirap, yang itu suka tuak, yang sana suka Teh ‘O’ panas dan lagi, dan lagi.

Ramadan di Jordan

Semasa menyambut Ramadan di Jordan, suasana juadahnya lebih ringkas.  Al-Maklum, bukannya rajin sangat menyediakan banyak juadah.  Ia juga selari buat para penuntut ilmu… makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.

Ramadan di Mekah

Paling ‘simple’ yang saya ingat ialah menyambut Ramadan di Mekah pada tahun 1996.  Bersahur dengan air Zamzam sahaja tapi badan terasa kuat mengerjakan ibadah sepanjang hari.  Alhamdulillah.  Berada di Mekah menyebabkan hati sentiasa ditarik untuk berada di hadapan Kaabah seawal mungkin.  Jadi, di waktu dinihari sejam atau dua jam sebelum Subuh, kami sudah ‘cop’ tempat di hadapan Kaabah selari dengan Multazam.  Kerana berebut tempat istimewa itu, pasal sahur- kami ber’ala kadar’ sahaja.  Hampir Subuh, kami menekan paip air Zamzam yang disediakan di dalam tong di setiap saf solat ke dalam gelas plastik dan bersahur dengannya.  Sambil tidak lupa berniat dan berdoa, “Ya Allah, berilah keberkatan pada air Zamzam ini sehingga kami mampu beribadah kepadaMu dalam keadaan berpuasa”.

Semasa iftar pula, masih dalam ‘mood’ mahu berada dalam saf terbaik di Masjidil Haram, kami sudah bersila di hadapan juadah berbuka yang di hidang di kawasan lapang di luar masjid.  Juadahnya ‘simple’ sahaja.  Air Zamzam dan kurma.  Itu yang saya ingat.  Selepas solat Maghrib, baru kami mengatur langkah ke kedai makan berhampiran dan makan seadanya.  Pernah sekali mendapat jemputan berbuka dari kenalan Pattani, Ukht Sa’diyyah (Semoga Allah sentiasa merahmati beliau dan memberi perlindungan kepadanya).  Sa’diyyah dilahirkan di Mekah dan membesar bersama keluarganya di pinggir bukit di Syib ‘Ali.  Familinya merupakan Tuan Rumah semasa kami mengerjakan Haji tahun 1995.  Kami yang datang ‘last minute’ hanya menumpang di rumah keluarganya kerana semua hotel sudah penuh.  Dia menjadi rakan baik saya, alhamdulillah.   Saya menziarahinya semasa mengunjungi Mekah pada Ramadan 1996.  Lalu Sa’diyyah menjemput saya berbuka di rumahnya.  Seingat saya, hidangannya banyak dan sedap-sedap pula.

Ramadan di Melbourne

Pengalaman memandu saya untuk memilih yang terbaik buat diri sendiri dan ahli keluarga.  Namun agak sukar mempraktikkannya jika berada dalam suasana Malaysia.  Anak-anak (dan mungkin juga diri sendiri 🙂 …) menjadi rambang mata bila ke Bazar Ramadan.  Kesudahannya, ada sahaja makanan yang terbazir begitu sahaja.  Ada masa kita bertegas.  Banyak masa juga, kita menurut sahaja kerana mahu meraikan ‘puasa’ anak-anak.  Mereka baru belajar berpuasa, jadi biarlah ada sesuatu yang menyebabkan mereka merasa seronok menyambutnya.  Salah satunya ialah membiarkan mereka memilih makanan kegemaran asalkan halal serta tidak memudaratkan kesihatan.  Mahu menepati konsep “halalan toyyiba”, insya Allah.

Berada di Melbourne tahun ini, baru terasa luar biasa menyambut Ramadan bersama famili.  Semasa kami tiba di sini Ramadan tahun lepas, suami belum sibuk kerana belum mendaftar dengan universiti.  Tahun ini, suami sentiasa pulang selepas waktu iftar.  Ini kerana waktu berbuka kira-kira jam 5 pm-5.30pm.  Suami sampai ke rumah jam 6pm ke atas.  Ketiadaan suami semasa iftar menyebabkan saya dapat meminimumkan hidangan berbuka.  Suami akan makan apa sahaja yang ada selepas pulang.  Anak-anak pula tidak begitu cerewet mahu banyak juadah.  Asalkan ada sejenis makanan kegemaran mereka, sudah cukup.  Alhamdulillah.

Kadang-kadang saya ingatkan diri sendiri dan anak-anak akan nasib umat Islam di tempat lain seperti di Somalia dan lain-lain.

Biasanya, saya hanya perlu sediakan nasi, sejenis lauk dan sejenis sayur-sayuran sahaja.  Juadah ringkas yang pernah dihidangkan pula ialah Nasi Goreng Pattaya atau Nasi Maqlubah.  Kuih muih dan juga minuman juga sejenis sahaja.  Kadang-kadang tiada langsung.  Dapatlah saya mengamalkan sunnah dengan hanya berbuka dengan kurma  tanpa kuih muih yang lain.  Inilah kesan positif hidup di tempat yang tiada Bazar Ramadan.

Ada juga warga Melayu yang mengusahakan Bazar Ramadan di hujung-hujung minggu.  Satunya di rumah yang dipilih.  Satu lagi di Malaysian Hall.  Namun tarikan untuk ke sana tidak kuat buat kami.  Selain kedudukan Malaysian Hall yang jauh dari rumah,  tukaran wang AUD ke RM juga adalah tinggi menyebabkan kami terpaksa berjimat cermat berbelanja.   Sementelah kami akan pulang ke Malaysia 5 hari sebelum raya dan menyambut Eidul Fitri di Malaysia.  Jadi saya memujuk anak-anak agar bersabar dahulu.  Hanya sekali kami sempat mengunjungi Bazar Ramadan di Malaysian Hall.

Semasa sahur juga, jarang sekali kami makan nasi atau minum minuman manis.  Tambahan anak-anak sering diingatkan akan bahaya mengambil gula terlalu banyak.  Saya sendiri cukup dengan susu segar yang diminum bersama minyak habbatus sauda’.

Suami pula lebih suka banyak makan buah-buahan segar dibandingkan kuih muih.  Bertambah ringan kerja saya :).

Bagi saya, hampir sebulan menyambut Ramadan di Melbourne tahun ini memaknakan Ramadan yang luar biasa buat famili.  Luar biasa kerana dapat lari dari kebiasaan bermewah-mewahan dengan pelbagai juadah di Malaysia.  Luar biasa kerana lebih dapat menghayati Ramadan sebagai bulan merawat perut dan bukannya bulan memenuhkan perut selepas berpuasa pada siangnya.  Luar biasa kerana taqwa dalam memilih, menyedia dan menghadapi makanan dapat ditingkatkan, bukan sahaja untuk diri sendiri, bahkan untuk ahli keluarga juga, insya Allah.

وكُلُواْ وَٱشْرَبُواْ وَلاَ تُسْرِفُوۤاْ إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ ٱلْمُسْرِفِينَ

Makan dan minumlah serta jangan membazir.  Sesungguhnya Dia tidak suka kepada orang-orang yang membazir.

Surah al-A’raaf:31

Moga ijazah taqwa buat kami tahun ini mendapat ‘excellent’ di sisiNya.  Ameen.

Ummu Abbas

10 Syawal 1432H

1.03pm

Advertisements