Eidul Adha di Jordan & Cuti Raya Korban untuk Kelantan

Teringat alam belajar di Jordan.  Cuti Raya Fitrah hanyalah dua hari tetapi cuti Raya Adha adalah sepanjang hari- hari tasyriq – bermula 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah  setiap tahun.  Mereka membesarkan Eidul Adha sesuai dengan konsep Raya Korban itu sendiri yang amat besar di sisi Islam.  Eidul Adha datang mengiringi Eidul Fitr.  Setelah berhempas pulas berpuasa meningkatkan kualiti diri, maka Allah datangkan  pula ujian pengorbanan bagi menambah lagi taqwa di dada.  Apakah kita dapat rasakan peningkatan tersebut?

Eidul Adha di Jordan lebih meriah dari di Malaysia tetapi sama meriahnya di Kelantan.  Mungkin Kerajaan Kelantan boleh memberi cuti yang sama seperti di Jordan bagi meningkatkan lagi integriti Islam sebagai dasar pemerintahan.   Manfaat cuti itu boleh dimeriahkan dengan menambah jumlah lembu-lembu korban dan dibahagikan dagingnya ke seluruh pelusuk negeri.  Jika terdapat lebihan, maka ia boleh pula dieksport ke luar  negeri dan negara.

Amalan tradisi  yang meriah di kalangan warga Kelantan dalam menyambut Eidul Adha menyebabkan keluarga saya pernah menerima tetamu dari Johor yang mahu beraya di Kelantan.  Seorang sahabat saya dari Melaka juga pernah menyambut Raya Korban di Kelantan.  Dia yang belajar di sebuah sekolah YIK selama 7 tahun mengatakan menyambut Eidul Adha di Kelantan lebih meriah dan menyeronokkan walaupun berjauhan dari keluarga sendiri.  Ia menunjukkan konsep dan amalan menyambut Eidul Adha di Kelantan sesuai dengan pandangan syarak yang membesarkan perayaan ini. 

Peristiwa yang baru menimpa Tok Guru dan menantunya begitu signifikan dengan Eidul Adha yang menjelang tiba.   Tok Guru mengorbankan perkara bersifat peribadi demi kepentingan Islam dan jemaah.  Teladan telah ditunjukkan pada rakyatnya.  Apakah kita sanggup mengorbankan kepentingan peribadi demi kesinambungan pemerintahan Islam di Kelantan?   Apakah pengorbanan Tok Guru Nik Aziz terhadap menantunya sama seperti pengorbanan Nabi Ibrahim terhadap Nabi Ismail?  Apakah falsafah yang tersirat di sebalik semua kejadian tersebut?  Sama-sama kita fikirkan dan mengupasnya guna bekalan buat kehidupan kita sendiri.

Ujian bagi orang lain adalah salah satu cara Allah memberi ilmu kepada kita.  Terserah kepada kita mahu mengutip sebanyak mana hikmah yang ada.  Yang benar akan tetap teguh berdiri dan yang salah akan kecundang akhirnya.  Siapakah mereka?  Biarlah Allah yang tentukan.  Kurangkan persepsi pada perkara yang diluar  pengetahuan kita kerana Allah pasti tetap membela agamaNya melalui hamba-hambaNya yang ikhlas berkorban untukNya.  


Sempena Hari Raya Korban 1430H, saya mengambil kesempatan ini menghulurkan kad yang tidak seberapa buat pengunjung setia dan tidak setia blog ini.  Jazakumullah.  Kunjungan andalah menyebabkan saya sentiasa termotivasi untuk mencurah ilmu yang tidaklah sebanyak mana di sini.

Akhir kata, maaf zahir batin andai terkhilaf bicara tersalah kata.

Ummu Abbas

9 Zulhijjah 1430H

11.17am