Mat Rock Ajak Dating (Edited)

SkuaCouple

Suatu hari saya menziarahi seorang kawan baik di Kota Bharu dengan ditemani Aini, seorang saudara saya. Saya rapat dengan Aini waktu itu kerana dia juga tinggal berjiran. Apatah lagi usianya hanya tua setahun dari saya.

Hari itu saya memakai jubah berwarna hitam berbunga batik di bahagian kaki dan bertudung hijau. Tudung itu labuh melepasi dada tetapi tidaklah labuh seperti tudung sekolah.  Di bahagian lengan, paras tudung di atas dari siku.  Pakaian seperti itu pada waktu itu digelar ‘Hantu Kum Kum’. Jarang remaja seperti saya (berusia 13 tahun) yang mahu mengenakan pakaian seperti itu imma pada masa itu atau di zaman sekarang. Nampak seperti orang tua kata sesetengah orang. Bagi saya, saya pakai apa yang saya selesa dan Allah reda. Cukup.

Sedang kami duduk-duduk di dalam bas untuk pulang ke rumah, tiba-tiba dinding bas di sebelah tempat saya duduk diketuk seseorang. Lazimnya bas-bas SKMK di stesen Kota Bharu itu lambat bergerak kerana menunggu penumpang ramai dahulu atau menunggu masa yang ditetapkan. Saya yang duduk di tepi tingkap bas menjenguk ke bawah.

Seorang pemuda berseluar ketat dan berambut panjang ada di bawah bersama beberapa rakannya. Dia mendongak ke arah saya sambil berkata, “Saya nak jumpa awak, boleh?”

Saya agak terperanjat mendengar pelawaan terbuka seperti itu. Di belakang pemuda itu, ramai orang awam di stesen bas itu.

“Tak boleh. Tak baik… nanti Allah marah,” saya berterus terang sahaja.

“Saya nak juga jumpa awak, tolonglah… beritahu bila dan di mana, ikut suka awak,” pemuda itu merayu lagi.

Hai… jawapan seperti itu pun dia tidak boleh terima.

“Tak boleh. Saya tak biasa jumpa (dating) dengan mana-mana lelaki”

“Bolehlah awak….”

Oleh kerana pemuda itu terus berkeras mahu jumpa saya sambil mengetuk dinding bas semakin kuat bertalu-talu, saya menjawab, “Macam nilah… kalau saya datang dengan Abah saya macam mana? Boleh tak”

Saya menyatakan demikian dengan sangkaan dia akan merasa takut dan pergi dari situ namun pemuda itu terus sahaja setuju.

“Boleh. Datanglah dengan Abah awak pun.. tak mengapa asalkan boleh jumpa awak”

Alamak! Saya bukan mahu jumpa dia pun dan belum tentu Abah akan setuju saya jumpa dia. Saya menggelabah lalu berkata,

‘Tak boleh. Macam nilah.. awak jumpa je kawan saya kat sebelah saya ni. Lagi pun dia lebih cantik dari saya” saya memberi cadangan ‘desperate’ sambil menuding jari ke arah Aini yang duduk di sebelah saya. Aini memang gadis cantik pada mata saya. Saya sendiri biasa-biasa sahaja. Itu jawapan mahu melepas diri sahaja dan tiada niat di hati saya agar Aini berdating dengan pemuda itu.

Aini mencuit bahu saya, “Isy.. apa ni Nur. Dia nak jumpa Nur lah, bukan saya..”

“Tak nak. Saya nak jumpa awak juga…” pemuda itu tetap dengan pendiriannya. Saya bertambah kaget. Lelaki apa ini, dipelawa perempuan secantik Aini pun ditolaknya.

Aduh… biar betul mata pemuda ini. Saya tiada idea lagi untuk menghentikan lamaran pemuda itu. Saya malu juga sebab dia bercakap dengan saya sambil mengetuk-ngetuk dinding bas dengan kuat kerana saya menolak pelawaannya. Banyak mata memandang kami.

Ada ke patut… zaman itu zaman Rock dan al-Arqam. Zaman Amy Search dan Awie Wings. Antara rockers dengan imejnya berseluar ketat berambut panjang dan pemuda-pemuda Arqam dengan imej berjubah dan berserban, hati tertarik dengan jubah dan serban. Alih-alih Mat Rock pula datang mengorat. Namun bukanlah saya berminat dengan Arqam dan pemuda-pemudanya. Saya minat pakaian sunnah itu sahaja.

Namun kalau pemuda berjubah dan berserban datang mengorat, pasti saya menolak juga sebab bukanlah gaya serban dan jubah mengorat gadis di jalanan.  Pakaian merupakan salah satu syiar Islam… akhlak di sebalik pakaian itulah yang lebih bernilai dari segala-galanya.

Pernah seorang lelaki berkopiah memberi salam… ‘terkejut kucing’ juga saya dibuatnya.  Bau salamnya salam mengorat… bukan salam ikhlas.  Untuk lebih selamat di akhirat kelak, saya jawab sahaja di dalam hati.

Saya tidak rasa saya perempuan menarik. Jadi saya rasa pelik bila ada pemuda yang terang-terangan ajak dating secara terbuka begitu.  Dah tu… saya pelawa saudara saya pun dia tidak mahu. Entahlah…agaknya pemuda itu pekena ‘benda’ itu… tidak tahulah saya. Hanya lelaki yang lebih tahu sikap lelaki. Macam dalam drama dan filem pula, yang mana heronya melaung dengan kuat, I Love You kepada kekasihnya di hadapan public. Kononnya untuk membuktikan tulus dan benarnya cinta dia.

Seorang makcik ‘tok peraih’ yang duduk di hadapan kami waktu itu akhirnya menoleh kepada saya,
“Dahlah tu dik. Tak payah layan lagi. Budak tu gila agaknya.”

Saya terus mendiamkan diri dan tidak lagi menoleh ke arah pemuda itu. Saya agak pemuda itu turut mendengar apa yang dikatakan makcik peraih beras itu. Pemuda itu berang nampaknya dan sebelum pergi dia sempat menumbuk dinding bas itu lagi (atau bas yang bergerak meninggalkan pemuda itu. Saya lupa yang ini). Kecut perut saya dibuatnya.

Saya ketakutan juga sebab saya akan berulang lagi ke sekolah setiap hari menaiki bas di stesen bas itu. Bimbang jumpa lagi dengan pemuda itu.

Memang ya… saya perasan pemuda itu pernah melintas di hadapan saya semasa saya melintasi pinggiran Pasar Buluh Kubu. Pasar Buluh Kubu (sekarang Pasar Siti Khadijah) itu menjadi laluan wajib pelajar MMP yang berulang menaiki bas SKMK. Agaknya dia bekerja di pasar itu. Namun alhamdulillah, dia tidak berani mendekati saya lagi. Dia hanya memandang dari jauh dan kelihatan seperti melarikan diri bila terserempak dengan saya. Agaknya dia malu dengan peristiwa yang berlaku.

Peristiwa itu tidak ada kena mengena dengan sebab-sebab saya memakai purdah. Saya tahu ramai wanita berpurdah menjadikan alasan diminati ramai lelaki untuk memakainya. Dengan hanya satu kes begini tidak mendorong saya memakai purdah atau kerana hanya beberapa orang yang pernah mengirim salam. Saya sudah jelaskan kenapa saya memakai purdah dalam entri sebelum ini.


Banyak ikitbar dari pengalaman tersebut:-

1. Elakkan diri dari mudah perasan agar tidak mudah ditimpa perasaan. Bila sudah ditimpa perasaanlah, ramai perempuan lupa diri dan lupa Allah. Akhirnya menyerah diri. Nauzubillah. Perasan itu sifat mazmumah. Jadi memang patut siapa-siapa yang perasan terhijab hatinya dari melihat realiti. Ramai lelaki ‘usha’ perempuan untuk menguji mereka sahaja. Adakah perempuan itu tahu menjaga diri atau tidak.

2. Ikut sahaja ajaran agama agar diri selamat dunia akhirat.

– Jangan berdating dengan mana-mana lelaki ajnabi. Barulah kita akan dapat suami yang tidak pernah berdating dengan mana-mana perempuan. Sabar adalah perlu untuk meninggalkan larangan Allah. Jangan terburu nafsu, nanti diri yang lesu.

– Kalau hari ini, lelaki mudah berdating dengan kita yang belum sah sebagai pasangannya, peratus untuk dia berdating pula dengan perempuan lain yang tidak halal selepas berkahwin dengan kita adalah tinggi.

– Perasaan terhadap pasangan sebelum kahwin dan perasaan terhadap suami sangat berbeza macam langit dan bumi. Jangan ambil mudah. Cemburu kepada suami tidak sama cemburu kepada pasangan yang belum halal.

3. Jika bercita-cita mendapat suami soleh, usahakan diri sendiri menjadi solehah dahulu.

– Jika kita tinggalkan sesuatu kerana takutkan Allah, Allah gantikan dengan yang lebih baik. Alhamdulillah, Allah kurniakan saya suami yang baik.

4. Cara mendiamkan lelaki yang mengorat atau mengusik kita ialah diam. Pada masa peristiwa di atas berlaku, saya masih sangat muda dan baru masuk ke usia baligh. Saya tidak tahu dan tidak kenal sikap lelaki. Saya banyak belajar dari abang-abang kandung saya bagaimana seharusnya kita berakhlak bila bermuamalah dengan lelaki ajnabi.

      Iya…
      Diamlah bila ada lelaki yang menelefon sedangkan tiada perkara penting yang hendak dicakapkan.
      Diamlah bila ada lelaki sms pada perkara yang tidak perlu.
      Diamlah bila ada lelaki jalanan memberi salam mengorat di tepi-tepi jalan.
      Diam sahaja.
      Tidak perlu marah atau mencela mereka… silap haribulan kita sama berdosa dengan mereka.
      Jika saudari marah-marah, ia hanya memberi modal tambahan untuk mereka mengusik kita.
      Jadi diam sahaja. Mereka akan kehilangan modal dan idea serta merasa boring kerana bercakap seorang diri.
      Buat kerja kita dan pedulikan mereka.

Jika kita memelihara diri kita, insya Allah pasangan yang Allah telah tentukan untuk kita juga akan memelihara dirinya dengan inayah Allah. Pokoknya, yakin dengan jodoh ketentuan Allah. Cari yang halal dengan cara yang halal. Insya Allah diberkatiNya.

5. Buat lelaki yang baik, ajarlah anak-anak perempuan atau adik-beradik perempuan mengenai lelaki. Abang saya bercerita kepada saya mengenai pandangan lelaki terhadap perempuan, jadi saya lebih tahu menjaga diri agar menjadi gadis bermaruah. Alhamdulillah. Kalaulah abang-abang saya tidak memberi tunjuk ajar, sudah tentu saya mudah terpedaya seperti ramai gadis-gadis lain.

Carilah reda Allah, nescaya bahagia…

Ummu Abbas
12.26am
25 Syawal 1430H

Kak, Saya dibenci kawan!

Fira

Submitted on 2009/03/27 at 10:56am

assalamualaikum.

saya suka bergaul dan saya sudah kerap dibenci oleh orang…saya sendiri tak tahu masalhnyer,,,,saya cuba berubah tapi mereka pula yg kurang ajar dengan saya,caci maki saya…kutuk dari belakang…saya sabar …..saya juga jenis yang rendah diri la sampai ader org sangka saya miskin…tapi kekadang saya dpt rasakan bahawa rendah diri sayala yg membuatkan kwn2 saya benci saya.tolong saya kak….
************

Wa’alaykum salam Fira,

3 prinsip umum dalam Islam yang perlu kita cek setiap masa sebelum mahu melakukan sesuatu ialah:

1) Akidah yang betul- yakni percaya hanya Allah tuhan yang satu serta menerima sepenuh hati syariatNya dalam apa jua bidang kehidupan seperti politik, ekonomi, pergaulan, rumahtangga, kehakiman dan lain-lain.

2) Menepati sunnah Rasulullah s.a.w (atau kita sebut juga syariat Allah) – contoh solat 5 waktu sehari semalam, bercinta selepas kahwin, menjaga lisan dari berkata keji, menghormati orang lain dan lain-lain.

3) Niat semata-mata kerana Allah.

Kaitannya dengan masalah yang sedang Fira hadapi ialah;

1. Dari sudut akidah, Kak Nur percaya Fira tiada masalah dalam hal ini. Tentunya Fira percaya sepenuh hati bahawa apa-apa yang diturunkan oleh Allah, baik berupa suruhan atau larangan adalah untuk kebaikan kita sebagai hambaNya.

2. Setelah memantapkan akidah dan pergantungan kita kepada Allah, kita berusaha semaksimum mungkin untuk beramal dengan syariatNya.

Kita lakukan dahulu menurut apa yang kita tahu dan tahap kemampuan kita.

Dalam hal pergaulan dengan kawan-kawan, Islam telah menggariskan adab berkomunikasi dan berinteraksi yang cukup sempurna sesama manusia. Fira boleh mendalami lagi hal ini dengan membaca buku-buku berkenaan.

Artikel Kak Nur sebelum ini berjudul Tip-tip Menjadi Sahabat Yang Baik merupakan antara syariat Allah dalam hal berkawan.

3. Menyentuh masalah khusus Fira, apa yang Fira usahakan yakni memperbaiki diri adalah sikap yang dicintai Allah. Kak Nur harap Fira istiqamah melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Fira menyebut kawan-kawan tetap memberi respon negatif terhadap Fira walaupun Fira rasa sudah berubah. Menyentuh hal ini, Fira perlu mendalami prinsip ketiga yakni niatkan kita berubah untuk mendapat reda Allah. Bukannya reda kawan-kawan.

Contoh monolog untuk mendapat reda Allah ialah;

“ Ya Allah, sebelum ini aku suka bercakap perkara yang menyakitkan hati kawan, sekarang aku sudah meninggalkan kata-kata yang tidak baik itu keranaMu, Ya Allah!

Ya Allah, aku lakukan ini semua kerana mengharapkan belas kasihan dan redaMu.

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku selama ini. Lembutkanlah hati kawan-kawanku agar mereka dapat menerimaku.

Wahai Tuhan yang memiliki hati-hati manusia dan berkuasa membolak-balikkan hati-hati manusia, tetapkanlah hatiku dan kawan-kawanku di atas agamaMu dan mentaatiMu.

Wahai Tuhan yang Maha Mendengar rayuan hamba-hambaNya, Engkaulah yang Maha Memahami diriku dan usaha-usahaku selama ini untuk memperbaiki diri.

Sekiranya perkara yang menyakiti hati dari kawan-kawanku itu boleh mengkaffarah dosa-dosaku, maka aku reda Ya Allah dengan apa jua ketentuanMu.

Ya Allah, adakah Engkau reda dengan apa yang kulakukan?

Sekiranya Engkau memandangku dengan reda dan penuh kasih sayang serta sudi mengampunkan dosa-dosaku yang lalu, maka cukuplah Engkau bagiku.

Ya Allah, sekiranya Engkau tidak murka atasku atas perbuatan mereka yang menyakitiku, maka aku tidak peduli lagi apa sahaja tindakan mereka.

Ya Allah, cukuplah Engkau sebagai sebaik-baik temanku.”

Iya Fira, serahkan segala hasil usaha kita kepada Allah. Allah akan memberi ganjaran setimpal dengan usaha-usaha kita Bila kita ikhlas, hanya orang-orang yang ikhlas juga akan menerima kita.

Percayalah, Allah sedang menguji keikhlasan Fira berubah.

Mohonlah juga kepada Allah agar mengurniakan sahabat yang baik dan ikhlas.

Fira yang dikasihi Allah,

3 prinsip umum yang digariskan di atas apabila benar-benar diamalkan akan memberi impak positif pada diri Fira. Antara ciri positif yang akan diperolehi ialah;

1. Yakin pada diri sendiri.
2. Sabar menghadapi cabaran.
3. Memandang kecil terhadap perkara yang menyakiti peribadi kita sebaliknya rasa tercabar bila Islam diperlekehkan.
4. Tetap dan teguh berpegang pada prinsip.
5. Menjadikan diri lebih menarik, berwibawa serta dihormati.

Akhir kata, berdasarkan pengalaman, bila kita mengasihi Allah dan dikasihiNya, Allah akan dekatkan hati-hati orang beriman kepada kita dan menjauhkan hati-hati yang busuk dari kita. Bukankah ini satu keuntungan yang besar buat kita apabila yang baik mengelilingi kita dan yang buruk menjauhkan diri dari kita?

Kak Nur percaya, kalau kawan-kawan Fira itu terdiri dari kalangan orang yang memahami etika pergaulan Islam dan ikhlas berkawan dengan Fira, mereka akan bersangka baik dan memandang perkara yang positif yang ada pada Fira. Justeru berlapang dadalah dengan mereka. Doakan mereka mendapat petunjuk dan teruslah memohon sahabat yang baik dari Allah.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui hati-hati manusia.

Apa yang baik datangnya dari Allah, apa yang buruk datang dari kelemahan Kak Nur sendiri.

Kak Nur mohon maaf sekiranya pandangan di atas tidak menepati persoalan Fira.

Sekiranya masih musykil, tanyalah lagi.

Ummu Abbas
16 Rabiul Akhir 1430H
1.08pm