Apakah tabiat buruk diwarisi dari keluarga?

Assalamualaikum…

Saya ada soalan utk ditanya…
adakah seseorg itu brperangai buruk skiranya trdapat ahli kluarganya yg brperangai buruk???sy menanyakan soalan ini krana sy tlah mghadiri byk ceramah dan pnceramah rata-rata mgatakan skiranya kita hndak mgetahui bgaimana sikap seseorg itu hndaklah kita mlihat kpd kluarganya…bgaimana sikap kluarganya,bgitulah sikapnya…benarkah pernyataan trsebut???

sy mohon mklum bls…
syukran…
assalamualaikum…

 ***********************************************

Wa’alaikum salam warahmatullahi wabarakaatuh.

Terima kasih Nur kerana bertanya soalan ini.

Rasulullah s.a.w pernah berkata yang  bermaksud,

“Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Hadis direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

Hadis tersebut memberi maksud seperti pepatah Melayu lama ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’.

Berdasarkan hadis di atas, apa yang saya fahami dari maksud penceramah itu ialah tabiat semulajadi seseorang sedikit sebanyak akan diwarisi dari ahli keluarganya.  Tabiat itu merangkumi tabiat yang baik dan tabiat yang kurang baik.  Bukan tabiat buruk sahaja yang akan diwarisi dari keluarga. 

Sebagai contoh, lazimnya ibubapa yang peramah akan mewariskan sikap peramah itu kepada anak-anaknya.  Sikap peramah itu secara umumnya dipandang positif namun jika peramah tidak bertempat maka akan memberi kesan negatif.  Begitu juga jika ibubapa mempunyai tabiat yang garang dan kasar, ia akan diwariskan kepada anak-anaknya.  Pepatah Melayu ada menyatakan, “Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”.  Sebab itulah ibubapa dan anak-anak akan mempunyai persamaan sikap yang positif dan negatif.  Bukan itu sahaja, sekiranya diperhatikan, kesan dari tabiat ibubapa, umumnya adik-beradik turut berkongsi sifat atau perangai yang sama seperti lemah lembut, tegas, keras, penyayang, mudah mengalah dan lain-lain.

Walau apa pun, semua sikap tersebut masih boleh dibentuk ke arah yang lebih baik atas usaha individu itu sendiri setelah dia membesar dan dewasa.  Sikap positif warisan keluarga perlu dikekalkan dan ditambah baik lagi dan sikap yang negatif boleh dikurangkan dengan latihan demi latihan yang berterusan.  Sikap-sikap itu juga masih boleh dibentuk dengan memilih rakan yang baik dan ikhlas memberi teguran.  Atau dengan perkataan lain memilih ‘biah solehah’ – yakni persekitaran yang baik.  Sebaik-baik asuhan dan cara membentuk diri ke arah yang lebih baik ialah mendekatkan diri kepada Allah dan teman-teman yang juga ingin mendekatkan diri kepada Allah.

Perumpamaan berkawan dengan orang yang baik dan orang yang jahat, adalah seperti pembawa minyak wangi dan peniup dapur tukang besi.  Pembawa minyak wangi, mungkin dia akan memberikannya kepadamu atau kamu akan membeli daripadanya, atau mungkin kamu akan mendapati aroma harum daripadanya.  Adapun peniup dapur, mungkin dia akan membakar pakaianmu, atau mungkin kamu akan mendapat bau busuk daripadanya.

Hadis direkodkan oleh  Sahih Bukhari dan Muslim     

 

 

Ramai juga ibubapa yang menyedari kekurangan diri dalam mendidik anak-anak berusaha menghantar anak-anak ke pusat asuhan atau sekolah yang baik.  Jadi dalam hal begini, anak-anak perlulah memahami bahawa tabiat negatif yang ada pada ibubapa bukanlah disengajakan sehingga anak-anak perlu menurut semua perkara yang ada pada mereka.  Umumnya ibubapa suka jika anak-anak memilih yang baik untuk diikuti dan perkara yang buruk dijauhi.  Bak kata pepatah, “Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan”.

Antara langkah mendekatkan diri kepada Allah ialah menambah ilmu bermula dari aqidah, ibadah dan akhlak.  Setelah berilmu, ilmu itu hendaklah diamalkan seupaya yang boleh.  Hanya dengan ilmu, kita mampu membezakan antara yang hak dan yang batil, antara yang baik dan yang buruk menurut pandangan Allah swt. 

Sejarah telah membuktikan bagaimana Umar al-Khattab yang terkenal garang dan kasar itu akhirnya menjadi antara 10 sahabat Rasulullah s.a.w yang dijamin syurga.  Umar al-Khattab semasa kafirnya membunuh anak perempuannya hidup-hidup namun menjadi insan pengasih dan penyayang selepas memeluk Islam serta mendapat tarbiyah langsung dari Rasulullah s.a.w.    Walaubagaimanapun, dia masih terkenal dengan sikap kerasnya namun sikap kerasnya itu banyak dipositifkan untuk membela Islam.    Ia berbeza dengan Abu Bakar r.a yang terkenal lemah lembut kerana sejak kecilnya dia memang bersahabat rapat dengan Muhammad bin Abdullah. 

Ketegasan Umar al-Khattab r.a juga banyak menjadi asbab turunnya wahyu yang memutuskan hukum bagi sesuatu perkara.  Antaranya ialah mengenai hijab wanita.  Setiap sahabat Rasulullah s.a.w dengan tabiatnya masing-masing menjadi penyumbang kepada perjuangan Islam.  Hamzah dengan semangat juangnya dan berani.  Abu Ubaidah dengan sikap pemurahnya dan lain-lain lagi.  Semua sikap semulajadi yang sukar diubah itu dipositifkan dan disepadukan untuk meninggikan kalimah Allah swt.  Oleh sebab itu, kita perlu meraikan setiap kelebihan dan kekurangan yang ada pada setiap individu.  Asalkan kekurangan tidak dijadikan alasan untuk melakukan maksiat kepada Allah swt dengan sengaja.


Rumusannya, apa yang diperkatakan oleh penceramah itu benar.  Cuma perlu ditambah yakni perlu juga dilihat siapa rakan-rakan rapat seseorang itu dan persekitaran ia dibesarkan.

Sekian.  Wassalam.

Ummu Abbas

11.13pm

26 Dzul Qi’dah 1431H

Glenroy, Melbourne.