Tip Cerdas Minda Cara Islam

Assalamualaikum k,nur..

Saya ada masalah la k,nur tentang pembelajaran,saya tidak tahu macam mane hendak dicakapkan,saya memang lemah dalam pembelajaran,tiap2 kali saya hendak belajar memang selalu je xjadi,pada mulanya niat memang ada nak study sendiri,tp tak tahu tibe2 je tak jadi nak stdy sendiri,bila exam saje,saya selalu gagal,xpnh pun lulus,memang saya jelas tengok kawan2 yang lulus dalam setiap kali exam,tak tahu k,nur,,nape selalu jadi macam ni kat saya,,,,tolong saya k,nur,beri saya tunjuk ajar dan pendapat,saya memang dh runsing sangat k,nur,,,,,

Bezita

************************
istock_brain

Wa’alaikum salam warahmatullah Bezita,

Semoga Allah memberi kekuatan kepada Bezita dan membantu Bezita keluar dari permasalahan ini.

Kak Nur bukanlah orang terbaik untuk berbicara hal ini namun Kak Nur akan cuba membantu setakat yang mampu.

Berdasarkan pengalaman Kak Nur, ada beberapa alternatif yang boleh difikirkan oleh Bezita;

Mengenai masalah lemah tumpuan itu mungkin berkait dengan IQ (kecerdasan) seseorang. Jika ia berpunca dari kecerdasan diri yang agak lemah, beberapa saranan berikut mungkin sesuai diaplikasikan:-

– Memilih jenis makanan atau pil yang dapat membantu meningkatkan daya fikir dan tumpuan. Contoh kismis, ikan, bayam, brocolli, pil Examo dan lain-lain. Buat sedikit penyelidikan mengenainya dan mulai mengamalkan pemakanan yang baik untuk otak dan minda.
– Dalam masa yang sama elakkan atau kurangkan mengambil makanan yang dapat melemahkan otak terutama jenis makanan segera atau makanan yang diproses seperti burger, ais krim dan lain-lain.

Islam sangat menitik beratkan memilih dan mengambil makanan yang bukan saja halal bahkan bermutu untuk menjaga kesihatan badan. Kesan pemakanan yang baik bukan sahaja untuk tubuh badan, bahkan untuk membentuk hati yang baik serta mencerdaskan minda.

kismis-2

PUASA

– Cuba koreksi amalan pemakanan selama ini, jika terdapat tabiat pemakanan yang kurang baik, maka cubalah ubah tabiat tersebut. Berpuasa adalah mekanisme terbaik untuk membersihkan perut dan badan dari sisa-sisa pemakanan yang tidak baik sebelum ini. Kita baru sahaja selesai menjalani puasa sebulan Ramadan. Diharapkan kita dapat meneruskan disiplin tersebut buat selama-lamanya. Kita masih boleh mengamalkan puasa sunat.

Bezita mungkin masih ingat pada Nik Nur Madihah, Pelajar Cemerlang SPM 2008. Beliau mengamalkan puasa sunat sejak darjah 6 kerana ia sunnah. Kajian saintifik pernah dibuat terhadap amalan puasa di kalangan orang Islam. Hasilnya salah satu kebaikan puasa ialah untuk mencerdaskan otak. Ini bererti Nur Madihah mendapat faedah yang besar dari amalan puasa sunatnya itu.

Dalam usia yang semakin meningkat ini, Kak Nur dapat rasakan daya berfikir dan tahap tumpuan yang semakin lemah dibandingkan semasa usia remaja dahulu. Jadi Kak Nur sendiri sekarang sedang melatih diri untuk rajin berpuasa sunat. Kak Nur seorang yang menyintai ilmu pengetahuan dan suka berfikir. Jadi sebolehnya, Kak Nur mahu mengekalkan tahap kecerdasan minda untuk satu tempoh yang lebih lama, insya Allah.

Setiap amalan dalam Islam sebenarnya untuk kebaikan fizikal, spiritual dan minda ummatnya. Oleh sebab itu, jika penganut Islam lemah, mereka harus memuhasabah diri sendiri sejauh mana mereka mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya.

HAFAZ AL-QURAN

Selain puasa,menghafaz al-Quran juga dapat meningkatkan tahap tumpuan seseorang kepada ilmu pengetahuan. Namun Kak Nur tidaklah berharap Bezita menghafaz seluruh al-Quran. Memadai jika dapat melazimi membaca al-Quran secara tartil dan menghafaz beberapa surah serta memahaminya. Jika berhasrat menghafaz seluruhnya, itu lebih baik.

SOLAT

Disiplin dalam solat yang menuntut individu fokus pada solat dapat membantu mereka menumpukan perhatian pada perkara lain di luar solat. Oleh sebab itu, semak semula tahap solat kita bermula membersihkan diri, berwuduk dan solat itu sendiri. Insya Allah, jika perbaiki solat kita, Allah akan perbaiki urusan dunia kita.

Seorang kawan Kak Nur menyedari dirinya lemah dalam belajar. Suatu hari, ibunya memanggil anaknya dan menyuruhnya segera ke sekolah. Dia tidak keluar dari biliknya. Ibu segera menyelidiki. Di dapati anaknya sedang solat. Ibu bertanya solat apa?. Dia menjawab dia tidak pandai, jadi dia selalu solat hajat minta bantuan Allah agar memudahkan urusan dia belajar atau menuntut ilmu. Sekarang kawan Kak Nur itu sudah memiliki ijazah PhD dan bergelar Doktor falsafah.

Kawan itu bukan sahaja pandai belajar dan meraih ijazah yang tinggi, bahkan berakhlak mulia berkat dijaganya hubungan dengan Allah swt.

Solat tiang kejayaan!
Solat tiang kejayaan!

DISIPLIN DIRI & MEMILIH KAWAN

Jika diteliti amalan Nik Nur Madihah, disamping kecerdasan otak, dia mempunyai faktor ransangan untuk mengubah nasib keluarga. Justeru itu, dia mendisiplinkan diri belajar apabila waktu belajar. Bezita harus memujuk diri agar beri tumpuan semasa belajar dan ingatlah di samping kesusahan ada kesenangan yang menanti.

Adalah baik jika Bezita dapat berkawan dengan mereka yang rajin belajar. Ia akan mendorong Bezita turut rajin belajar.

BELAJAR DARI PENGALAMAN ORANG LAIN

Bezita boleh berbincang dengan kawan-kawan yang cemerlang dalam pelajaran, membaca buku-buku motivasi belajar dan lain-lain.

Sebelum Kak Nur mengundur diri, sukalah Kak Nur ingatkan pada diri sendiri bahawa iblis juga memainkan peranan apabila kita ingin belajar. Dia akan menghasut kita agar malas belajar dan sangat suka kita menjadi jahil. Orang yang jahil mudah ditipu syaitan. Jadi mohonlah perlindungan dari Allah setiap kali ingin belajar.

Apa yang Bezita lalui sekarang adalah satu petunjuk dari Allah agar mendekatkan diri padaNya. Mohonlah pertolongan dari Allah, nescaya Dia perkenankan. Selalu mohon ampun dan jauhi maksiat kerana maksiat itu menggelapkan hati. Bila hati gelap, ia susah menerima ilmu. Ilmu itu cahaya dan cahaya hanya menerangi hati yang bersih.

Apa yang baik datangnya dari Allah, apa yang kurang dari kelemahan diri sebagai hamba.

Wassalam.

Ummu Abbas
11.38am
16 Syawal 1430H

Advertisements

Tok Sami Pun Sujud!

Baru mahu tutup laptop, terpegun pada satu tajuk di pemudabesut.blogspot “Tok Sami Solat-albanjari.”

Inilah fotonya.

YB Nga Kor Ming baca ayat Quran kena repot polis.  Tok Sami solat pakai oren begini, ada sesiapa mahu repot?
YB Nga Kor Ming baca ayat Quran kena repot polis. Tok Sami solat pakai oren begini, ada sesiapa mahu repot?

Foto disalin dari http://politikbanjar.blogspot.com/

Mereka dilaporkan telah memeluk Islam.

La... sujud tidak pakai baju Melayu?  Ada sesiapa mahu saman?
La... sujud tidak pakai baju Melayu? Ada sesiapa mahu saman?

Subhanallah!

Astaghfirullah!

Persoalan yang timbul di kepala saya ialah, “Apakah nanti sikap sami-sami yang bersolat menggunakan pakaian rasmi Tok Sami Budha ini akan mempengaruhi lebih ramai penganut Budha untuk memeluk Islam?”

Mungkin penganut Budha akan terfikir, “Ini sembahyang cara baru maa..?”

Atau

“Tok Sami dapat wahyu baru kaa…?”

Apa pun, jika ia mampu memberi kesan kepada para pengikut mereka, ia satu langkah tanpa disengajakan untuk hidayah Allah sampai kepada yang lain.

Menurut syariat, Nabi s.a.w menegah dari menurut syiar kaum/penganut agama lain.

Dalam kes ini, kita bersangka baik bahawa mereka baru memeluk Islam di masjid tersebut dan terus mahu sama-sama bersujud bersama saudara muslim yang lain. Tentunya mereka tidak sabar-sabar lagi menzahirkan ubudiyyah mereka kepada Allah yang baru diesakan.

Dari sudut fiqh, pakaian mereka sudah memenuhi syarat sah solat yakni bersih dan menutup aurat. Warna apa pun tidak mengapa.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[1] Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah);

[2] Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai;

[3] Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya. Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Surah al-Nasr.

Mari sama-sama bertasbih dan beristighfar. Inilah adab yang dipusakakan melalui Nabi Muhammad s.a.w.

Subhanallah!

Alhamdulillah!

Astaghfirullahal ‘azhim!

Ummu Abbas
20 Rabiul Akhir 1430H
12.03am

Hukum Pakai Cincin Semasa Solat

Assalamualaikum..

Kak, apa hukum pakai cincin waktu solat?
Sebab cincin itu kan halang jari kita sentuh sejadah masa sujud..

Syukran

Sakinah

cin

Jawapan

Hukumnya harus dan sah solat berdasarkan amalan Nabi Muhammad s.a.w sendiri yang memakai cincin.

Anas bin Malik memberitahu, “Rasulullah S.A.W memakai cincin perak di tangan kanannya dan batunya dari Habsyah. Beliau meletakkan mata cincinnya bertentangan dengan tapak tangannya.”

Hadis direkod oleh Imam Muslim.

Selain hadis yang menyebut Nabi Muhammad s.a.w memakai cincin, tiada pula hadis-hadis yang melarang memakai cincin semasa solat. Jika ianya ditegah, sudah tentu Rasulullah s.a.w akan melarangnya sebagaimana beliau melarang memakai cincin di jari tengah dan jari telunjuk.

Ali r.a telah berkata, “Rasulullah s.a.w melarangku memakai cincin di jariku yang ini atau yang ini” sambil dia menunjuk ke jari hantu dan jari telunjuk.

Hadis direkod oleh Imam Muslim.

Sekiranya para pembaca menemui pendapat yang bertentangan dengan apa yang dinyatakan di sini, harap dapat beritahu saya.

Wallahua’lam.

Ummu Abbas
28 Rabiul Awwal 1430H
1.03pm

Petua Tuan Guru Nik Aziz Untuk Bangun Tahajjud

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمـٰنِ الرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡمُزَّمِّلُ
Wahai orang yang berselimut!.

قُمِ ٱلَّيۡلَ إِلَّا قَلِيلاً۬
Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),

نِّصۡفَهُ ۥۤ أَوِ ٱنقُصۡ مِنۡهُ قَلِيلاً
Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu,

أَوۡ زِدۡ عَلَيۡهِ وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلاً
Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.

إِنَّا سَنُلۡقِى عَلَيۡكَ قَوۡلاً۬ ثَقِيلاً
(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).

إِنَّ نَاشِئَةَ ٱلَّيۡلِ هِىَ أَشَدُّ وَطۡـًٔ۬ا وَأَقۡوَمُ قِيلاً
Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya.

Al-Muzammil:1-6

tgna1

Saya kira masih ramai antara kita yang tahu mengenai kelebihan solat Tahajjud tapi masih ‘bercinta’ dengan gebar selesa di dini hari yang sepi. Susah betul mahu bangun pagi-pagi buta itu, bukan? Tahu dan mahu tapi belum mampu berpisah dengan tilam dan selimut. Apatah lagi saat orang lain lena dibuai mimpi. Sayang betul mahu korbankan waktu tidur itu, iya tak?

Alangkah Subuh ditangguh-tangguh, inikan pula mahu bangun Tahajjud!

Saya ingin berkongsi secangkir nasihat dari tokoh ulama bertaraf wali, Tuan Guru Nik Abdul Aziz (lebih mesra dipanggil Tok Guru) mengenai solat Tahajjud.

Dalam satu kuliah Jumaatnya seperti biasa. Dalam Dewan Zulkifli itu saya menadah hati untuk dicurahkan permata hikmah. Waktu itu saya masih di sekolah menengah.

Tok Guru berkata, “Kalau kita terjaga di tengah-tengah malam itu, ia sebenarnya satu anugerah dari Allah. Allah kirimkan malaikatNya mengejutkan kita supaya kita bangun beribadah kepada Allah. Sebagai tanda terima kasih kerana mengejutkan kita, paling malas pun, mintalah apa-apa (berdoa) walau sedikit (meskipun kita masih di tempat tidur) kepada Allah. Kemudian tidurlah.

Kalau kita sedar, kemudian kita terus sambung tidur tanpa ucapkan apa-apa (contoh beristighfar, bertahmid dan sebagainya). Kemudian malam kedua dan malam ketiga pun begitu juga. Kita bimbang malaikat tidak akan datang lagi mengejutkan kita.”

Selepas saya mengetahui hal itu, saya berusaha mengamalkan apa yang Tok Guru pesan. Rasa malu pada Allah bila terjaga pagi-pagi buta, Allah sedang tunggu permintaan kita untuk dikabulkan tapi kita menyombongkan diri dengan memejam rapat mata kita.

Begitulah saya lakukan bertahun-tahun sepanjang sekolah menengah itu. Jarang-jarang sekali, saya bangun untuk solat. Maklumlah, ruang bilik air di rumah orang tua saya ialah telaga yang beratapkan langit. Walaupun berdinding simen dan bersambung dengan dapur, saya jenis penakut. Kalau terdesak pun, saya akan kejutkan sesiapa untuk temankan. Nasib baik adik beradik ramai.

Macam-macam jugalah yang saya minta tapi pendek-pendek sahaja. Paling kurang, saya mohon ampun dan minta Allah sedarkan lagi saya malam berikutnya. Saya bimbang kehilangan anugerah agung itu. Anugerah yang Allah kurniakan kepada Nabi Muhammad sebelum terfardunya solat 5 waktu.

Suweileh, Amman, Jordan

Tahun pertama di Jordan, saya masih liat bangun Tahajjud walaupun bab solat fardu, saya segera menunaikannya sebaik masuk waktu kecuali ada rukhsah syar’ie. Pesanan Hassan al-Banna itu dapat pula saya lunasi, alhamdulillah. Saya istiqamah dengan nasihat Tok Guru sebelum ini. Doa sahaja dalam selimut. Apalah pandangan Allah pada saya…!

Takdir Allah, seorang teman serumah yang baru saya kenali dan tinggal sebilik pula suka bangun Tahajjud. Bukan sekali sekala, tetapi setiap malam kecuali datang bulan. Saya tahulah dia bangun Tahajjud setiap malam sebab saya pun terjaga setiap malam juga, alhamdulillah. Masa-masa tertentu ada juga yang tidak sedar. Teman saya itulah yang kejutkan saya agar bangun Tahajjud.

Dalam diam saya kagumi dia tapi opss… teman saya itu sedar hanya dia yang bangun malam. 3 orang lagi rakan serumah membuta sahaja kerjanya. Jarang-jarang gagahkan diri untuk Tahajjud. Dia paling muda di antara kami berempat. Suatu hari, dia membebel pada kami menyebut tentang kepentingan Tahajjud.

Hmm…patutlah dia kelihatan biasa sahaja dengan Tahajjud, rupa-rupanya ahli keluarganya dilatih sejak kecil untuk bertahajjud. Bapanya salah seorang ulama di Perak (sekarang Allahyarham). Banyak didikan yang baik dari keluarganya dikongsikan dengan kami.

Sejak kena bebel itulah, saya mula rajin bangun malam. Itu pun banyak juga ’last minute’- menunggu saat azan Subuh dikumandangkan. Apa pun, syukur kepada Allah yang mengurniakan teman yang baik dan ikhlas. Khasiat Tahajjud ini memang besar.

Kita sambung lain kali pula ya berkenaan khasiat Tahajjud. Buku-buku pun ada yang cerita tentang Tahajjud dan kelebihannya. Bolehlah baca.

Akhir kata, memang benar apa yang Tok Guru pesan sebelum ini. Hargailah waktu sedar di tengah malam dengan memohon kepada Allah walau sedikit. Insya Allah, lama kelamaan, kita akan ada kekuatan untuk menunaikan Tahajjud.

Ummu Abbas
12.51am
5 Rabiul Awwal 1430H/ 3 Mac 2009

Belajar Qiyamullail

Malam kelmarin, malam Jumaat.

Abbas kena tidur di sekolah. Semua tahun 4 diarahkan berpuasa sunat hari Khamis 23 Safar 1430H/ 19 Februari 2009. Waktu sekolah habis jam 2.15pm. Pukul 5.30pm, berkumpul semula di sekolah menanti iftar jama’ie.

Malamnya, ada qiyamullail.

Program ini dinamakan Katibah.

Saya gembira menghantar Abbas ke sekolah semula petang itu. Mana tidaknya… saya sudah lama merancang… bila anak-anak masuk usia 10 tahun, saya mahu latih mereka bangun malam untuk Solat Tahajjud.

Saya menimba pengalaman mengajar di Tahfiz Darul Furqan sebelum ini. Pelajar di situ semuanya diwajibkan bangun solat Tahajjud. Usia pelajar paling muda ialah 9 tahun. Itu pun ibubapa yang beriya-iya mahu hantar anak yang masih kecil belajar di situ.

Namun, saya mahu berpegang kepada hadis Nabi berikut sebagai permulaan melatih anak-anak bertahajjud.

solatlah-anak1

Puasa sunat dan solat Tahajjud adalah elemen penting dalam membina jiwa yang teguh. Ia amalan para nabi dan ulama.

Dalam memo sekolah yang dikirimkan kepada ibubapa pelajar tertulis;

Semoga katibah ini dapat meningkatkan bekalan ruhiyyah pada semua anak-anak tahun 4 dan juga guru-guru yang terlibat.”

‘Moga Allah menetapkan hatimu di atas IMAN dan TAQWA wahai guru-guru yang sabar dan tabah mentarbiyah anak-anak kami.’

Abbas Seronok Qiyam

Setelah Abbas balik ke rumah pagi Jumaat tersebut, saya terus bertanya,

“Suka tak tidur dan qiyam di sekolah?”

“Suka”. Kemudian dia terus bercerita apa yang berlaku.

Alhamdulillah.

Ummu Abbas
2.10pm
25 Safar 1430H/ 21 Februari 2009

Tip Khusyuk Dalam Solat

Ummat Islam solat di sekeliling Kaabah
Ummat Islam solat di sekeliling Kaabah

Ini adalah sebahagian tulisan saya untuk buku kedua, ” Dari Lubuk Hati Ibu”. Moga beroleh manfaat.

 Memahami tujuan solat iaitu satu bentuk komunikasi formal dengan Allah. Justeru wajarlah kita menghadirkan hati dan fikiran semasa sedang berkomunikasi dengan Allah.
 Contoh: Kita menghadiri satu temuduga memohon pekerjaan. Lazimnya kita akan berpakaian kemas kerana mahu menjaga imej dan penampilan yang meyakinkan penemuduga. Kemudian kita akan jaga tata tertib masuk ke bilik temuduga, berdiri dan duduk. Seterusnya kita akan mendengar dengan teliti apa yang dikata dan ditanya. Kita juga akan menjawab dengan berhati-hati dan penuh mengharap. Pendekata, kita memusatkan seluruh perhatian kita pada proses temuduga tanpa berfikir lagi tentang perkara-perkara lain. Kalau sesama manusia pun begitu sekali kita berusaha agar memperolehi sesuatu, bagaimana dengan Allah yang kita harapkan hidayah, pertolongan dan perlindungan dariNya? Iya, kita harus menjaga tatatertib solat menurut sunnah Nabi Muhammad S.A.W.
 Bagi menambah penghayatan solat, kita perlu memahami makna bacaan solat serta memahami makna perbuatan (rukun dan wajib) solat.

 Selain menjaga tertib solat yang kita istilahkan dengan fikah ibadah, perkara lain yang mesti dijaga bagi mendapatkan solat yang khusyuk ialah meminimumkan dosa antara waktu-waktu solat. Segera beristighfar setiap kali tersalah atau terlupa melakukan perkara dilarang seperti memandang dan mendengar perkara yang diharamkan. Termasuk jugalah memohon maaf dari manusia yang berkecil hati dengan kita selagi kita menyedarinya. Dosa-dosa akan menghijab hati dari merasa kehadiran Allah di dalam solat.

Antara perkara yang sering dicuaikan oleh muslim yang mahu mendirikan solat ialah mengambil wuduk dengan air yang berlebihan. Sedangkan membazir itu sahabat syaitan.
Ayat 27 surah al-Isra’ memberitahu,
“ Sesungguhnya orang-orang yang suka membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

 Mengelakkan dari makan terlalu kenyang. Nabi Muhammad S.A.W berpesan,

ما ملأ آدمي وعاء شرا من بطن بحسب بن آدم أكلات يقمن صلبه فإن كان لا محالة فثلث لطعامه وثلث لشرابه وثلث لنفسه
Maksudnya;

Tiada satu bekas dipenuhi anak Adam lebih buruk dari perutnya. Memadai bagi anak Adam beberapa suapan sekadar menyambung hidupnya. Jika ia tidak mencukupi, maka hendaklah sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk pernafasannya.

Hadis direkod oleh Sunan al-Tirmizhi

 Sebagai alternatif meninggalkan perbuatan-perbuatan haram itu tadi, kita digalakkan membanyakkan zikrullah, bertasbih dan bertahmid. Apabila di luar solat, kita sudah melazimi mengingati Allah, maka lebih mudahlah bagi kita untuk khusyuk di dalam solat.

Ummu Abbas 2008