Dilarang Masuk ke Istana

 

Istana-Jahar
Istana Jahar. Salah satu istana lama di Kelantan. Kredit foto ke livingnomads.com

Kecoh …

 

Media sosial maya sentiasa kecoh dan ‘hot’ dengan isu-isu tertentu.  Sehari dua ini, timbul kicauan dan balas membalas mesej berkenaan larangan pihak Istana Kelantan kepada dua individu daripada memasuki mana-mana istana milik keluarga diraja Kelantan.

 

Panduan Ayat 27 – 29 Surah Al Nur

 

Menerima atau menolak mana-mana tetamu merupakan ‘hak istimewa’ yang diberikan Allah SWT kepada tuan rumah.  Tidak kira status rumah itu layak dipanggil istana, villa, banglo, teres, semi D, kondo, apartment dan pondok di tengah hutan sekalipun.  Termasuk dalam hal ini ialah ibubapa boleh memberi lampu hijau kepada rakan-rakan anak-anak yang mereka reda akhlaknya atau melarang anak-anak daripada membawa pulang sesiapa sahaja yang tidak direstui.  Begitu juga seorang suami boleh berpesan kepada isteri siapa yang boleh diterima sebagai tetamu dan siapa yang tidak boleh sepanjang ketiadaannya di rumah.  Ayat 27 hingga 29 dari Surah al Nur telah lebih 1400 tahun memberi panduan hal- ehwal menziarahi atau mengunjungi rumah orang lain.

 

Ayat 27 memberi hak kepada tuan rumah dan adab meminta izin kepada tetamu berbunyi,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّىٰ تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَىٰ أَهْلِهَا ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu). 

Surah al Nur: 27

Melalui ayat 28, Allah SWT menitahkan supaya berundur bila diminta pulang oleh tuan rumah dengan menyatakan tujuan daripada aturan ini ialah untuk membersihkan hati masing-masing.  Justeru itu tidak perlu ditimbulkan bahawa tuan rumah sombong atau angkuh dan lain-lain perasaan yang negatif terhadap tuan rumah seperti rasa sakit hati dan berburuk sangka.  Allah jua Yang Mengetahui maslahah untuk hamba-hambaNya.

​  ​فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا فِيهَا أَحَدًا فَلَا تَدْخُلُوهَا حَتَّىٰ يُؤْذَنَ لَكُمْ ۖ وَإِنْ قِيلَ لَكُمُ ارْجِعُوا فَارْجِعُوا ۖ هُوَ أَزْكَىٰ لَكُمْ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu “baliklah”, maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.

Surah al Nur: Ayat 28

pile-dwelling-142317_1280
Hak tuan punya pondok terhadap pondoknya sama seperti hak Sultan ke atas istananya. Allah Maha Adil dalam mengagih hak sesama hambaNya.

Cara Fikir Mukmin Yang Berwawasan Akhirat

 

Kisah ini berlaku kepada seorang pemuda yang sangat dikenali sebagai seorang yang berilmu dan berakhlak mulia di kalangan para pelajar seangkatan dengannya.  Pemuda berstatus mahasiswa ini dalam proses melamar seorang gadis berhasrat menemui serta berkenalan lanjut dengan ibu kepada si gadis.  Suatu hari, setelah mendapat tahu ibu si gadis bakal singgah di permukiman kawasan dia belajar, pemuda ini lantas menyusun langkah penuh adab cuba menyambut ibu si gadis.  Namun takdir mendahului segalanya.  Situasi tidak dijangka telah berlaku yang mana si ibu terus sahaja memarahi si pemuda di hadapan ramai lagi pelajar lain yang turut berada di situ.  Dikatanya si pemuda tidak layak menjadi pasangan hidup anaknya.

 

Si pemuda dengan hati penuh gementar dan menahan getar tubuhnya kerana malu hanya memejamkan mata.  Saat itu, fikirannya terus melayang ke suasana akhirat yang bakal dihadapi.  Jika keadaan di dunia hari ini, dimarahi sedemikian rupa di hadapan orang ramai, terasa bagai luruh cebisan-cebisan daging di wajah tanpa dapat di tahan-tahan, apatah lagi mahu berdepan dengan para malaikat yang bertugas menyoal, menghisab, mengherdik dan menjalankan hukuman azab di mahsyar kelak.  Pemuda tersebut melihat secara positif dari takdir Ilahi yang mahu membawa dirinya membuat persediaan lebih baik sebagai bekal kehidupan selepas mati kelak.

 

Dengan wawasan jauh ke akhirat seperti itu, pemuda itu mendapat kekuatan untuk membalas tindakan si ibu dengan senyuman.  Sekali-kali dia tidak menyalahkan si ibu yang realitinya kurang berakhlak dengan akhlak Islami.  Daripada kelemahan sikap si ibu, pemuda tersebut mempelajari sesuatu yang lebih besar untuk akhiratnya.

 

Apa pun kehendak manusia, namun kehendak Allah SWT mengatasi, tidak beberapa lama selepas itu, jodoh pemuda itu sudah tercatat dengan gadis tersebut juga.  Moralnya, usah mudah menilai seseorang sedangkan kita tidak mengenali hati budinya secara mendalam.  Kelak kita merasa malu sendiri akibat tindakan melulu menurut hawa nafsu.

 

Ini hanyalah cebisan kisah yang berlaku dalam masyarakat kita.  Lebih banyak  ibrah yang menarik serta menyentuh hati dari kisah orang-orang beriman menghadapi mehnah di dunia.  Apa yang penting, destinasi hidup kita akan memandu kita membuat persediaan ke arahnya.

 

Orang beriman sentiasa beramal dengan hadith berikut:

عجبًا لأمرِ المؤمنِ . إن أمرَه كلَّه خيرٌ . وليس ذاك لأحدٍ إلا للمؤمنِ . إن أصابته سراءُ شكرَ . فكان خيرًا له . وإن أصابته ضراءُ صبر . فكان خيرًا له

Alangkah mengagumkan keadaan orang yang beriman, kerana semua situasi yang dihadapinya (membawa) kebaikan (untuk dirinya), dan ini hanya ada pada seorang mukmin; jika dia mendapatkan kesenangan dia akan bersyukur, maka itu adalah baik baginya, dan jika dia ditimpa kesusahan dia akan bersabar, maka itu adalah baik baginya”.

Hadith direkod oleh Imam Muslim

 

Contoh lain: Ketika sedang memasak, tangan seorang ibu terkena wap panas air yang sedang menggelegak.  Ibu yang beriman akan berkata, “Alhamdulillah ‘ala kulli haal”  [Segala puji bagi Allah atas semua perkara].  Di samping itu, dia berkata, “Ya Allah, ini baru sahaja terkena wap panas di dunia, aku sudah kesakitan dan tidak tahan menanggungnya, maka bagaimanalah aku akan menghadapi azab siksa nerakaMu yang berganda-ganda dari kepanasan api dunia”.  Fikiran begini akan membawa si ibu untuk sentiasa berhati-hati dalam tindakannya yang lain seperti memelihara ibadah fardu sebaik mungkin dan meninggalkan segala yang diharamkan.  Hanya secebis ibrah dari kehidupan seharian akan membawa seseorang hamba menjadi lebih baik dalam banyak perkara.

 

Berapa banyak kejadian di dunia yang Allah timpakan supaya kita mengambil ibrah bagi membuat persediaan terbaik untuk kembali kepadaNya.  Secara umumnya, Allah SWT menyebut sifat Ulul Albab (Yang berakal cerdas) itu ialah yang dapat mengenali Allah SWT lebih dekat hasil memerhati kejadian alam dan segala peristiwa yang berlaku di dalamnya.

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, serta pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

Surah Ali-‘Imran: Ayat 190

 

Begitu jualah hal larangan memasuki istana ini, siapa yang dilarang dan siapa yang melarang bukanlah topik utama bagi rakyat membahaskannya.  Ia adalah hak individu tersebut (Dalam konteks ini ialah Sultan sebagai tuan rumah) yang termasuk dalam kategori tiada kaitan dengan kita.  Andaikata nama kita sendiri termasuk larangan memasuki istana tanpa sebab sekalipun, maka kita tetap perlu menghormati privasi tuan rumah.  Begitu juga siapa yang dilarang juga tiada berkenaan dengan kita kecuali kita diberi maklum oleh pihak istana akan rasionalnya, maka memadai mengambil iktibar dari rasional tersebut –  jika ia menepati akhlak Islam – maka kita cuba hindari tanpa menghina mana-mana individu yang dilarang.

 

Orang Islam yang baik meninggalkan perkara yang tiada kaitan dengannya

 

Orang mukmin sentiasa menyahut pesanan Nabi SAW yang berbunyi,

 

مِنْ حُسْنِ إسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ

Di antara keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tiada kaitan dengannya.

Hadith Hasan direkod oleh Tirmizhi dan yang lainnya.

 

Salah satu tanda kebaikan orang beriman ialah meninggalkan perkara yang tiada kena-mengena dengannya.

 

Hal ini tidak terhad kepada isu larangan memasuki istana sahaja, tetapi juga larangan menziarahi kubur al Marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz (aTGNA) dalam tempoh tertentu oleh keluarga beliau dan larangan pihak keluarga kepada Ustaz Nik Omar dari menjadi imam di masjid seliaan keluarga itu sendiri.  Ia bukan masjid mukim yang berada di luar bidang kuasa keluarga aTGNA.

 

Saya percaya tiada siapa yang suka orang luar masuk campur dalam hal ehwal keluarga dan rumahtangga masing-masing, justeru itu jalan terbaik ialah menghormati hak keluarga aTGNA dalam masalah mereka dan juga menghormati hak pihak istana dengan individu-individu tertentu.  Bukan perkara baru pihak istana melarang individu tertentu memasuki premis mereka.  Dua individu yang disebutkan sekadar senarai tambahan kepada banyak nama yang pernah dilarang sebelum ini atas pelbagai sebab yang tidak didedahkan kepada umum.

 

Tanggungjawab Media Masa

 

Pihak media pula bertanggungjawab menapis segala berita yang akan dipaparkan kepada orang awam bertujuan memelihara kehormatan individu dan kemuliaan institusi kekeluargaan.  Juga mengelak dari berlaku sebarang perbahasan, pertikaian dan kekecohan yang tidak perlu.

 

 

15 atau 14 hari lagi baki Ramadan…

 

Ramadan sudah tiba di pertengahan jalannya… Memburu masa dengan membaca al-Quran sebanyak-banyaknya serta mentadabbur makna dan tafsirannya beribu kali lebih baik dari melontar komen-komen, apa lagi membuat penilaian yang jelas salah pada perkara yang tiada kaitan dengan kita.

 

Benarlah kalam Allah swt tatkala bersumpah dengan masa,

 

وَالْعَصْرِ

Demi Masa!

إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian –

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Surah al-Asr: Ayat 1 – 3

 

Rumah Allah Terbuka Luas

 

Sama ada kita di pihak yang benar atau salah, hakikatnya hanya Allah yang Maha Mengetahui.  Jika kita di pihak yang benar, Allah swt menguji dengan sesuatu yang kurang disenangi maka ia bertujuan meningkatkan keimanan dan menambah pahala sebagai bekal akhirat kita.  Jika kita sedang melakukan kesalahan, maka Allah swt sedang membuka laluan taubat serta memperbaiki diri sehingga kita mampu menghadapNya dalam keadaan diampunkan segala dosa serta berusaha menampung segala amalan dengan amalan yang lebih baik.

 

Allah SWT sudah berpesan supaya manusia beramal, kemudian berserah hanya kepada Allah SWT, rasulNya dan orang-orang beriman untuk menilai pekerjaan kita dengan penegasan bahawa hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan perkara nyata.  Semua itu akan diceritakan kembali kepada pelakunya di akhirat kelak.

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata.  Maka diterangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.

At Tawbah: 105

 

 

Biarlah manusia tidak sudi menerima kita di singgahsana mereka, asalkan Allah sudi menerima kita di jannahNya di sana.  Yang kita paling bimbang ialah, Allah tidak sudi menerima kita di jannahNya disebabkan jauhnya hubungan kita dengan Allah SWT di dunia ini dan buruk pula bekalan yang sedang diusahakan.

 

Orang mukmin akan sentiasa menyuluh takdir di dunia ini dengan pandangan akhirat.  Kali pertama saya ditanya sahabat berkenaan berita larangan individu tertentu memasuki istana, itulah yang terlintas di hati sendiri, apalah nasibku di akhirat kelak andai Allah swt tidak sudi menerimaku di jannahNya?  Orang beriman senantiasa mengambil ibrah dari peristiwa yang menimpa orang lain sebagai refleksi diri.  Ada pun hal mana-mana individu berkaitan dengan pihak istana, ia tidak termasuk urusan kita.  Apa lagi hal ehwal hubungan mereka semua dengan Allah SWT… Saya kembalikan semua itu kepada Allah SWT untuk menilainya.

Masjid Nabi
Masjid Nabi di Madinah. Kredit foto almukhlisin.my

Rumah-rumah Raja Yang Maha Agong – Raja segala Raja yakni Allah SWT – Ribuan buah bertebaran di seluruh Malaysia untuk dikunjungi sekurang-kurangnya 5 kali sehari semalam.  Terbuka luas kepada sesiapa sahaja – para ulama, orang awam yang jahil, ahli ibadah atau para pendosa, lelaki dan perempuan dan semua lapisan usia – Allah SWT tidak jemu menjemput melalui ribuan bilal di semua masjid, balaisah dan surau setiap kali masuk waktu solat fardu 5 waktu siang dan malam – Maka apakah lagi yang menghalang kita menjejakkan kaki di rumah Yang Maha Agong tersebut?

 

Doa saya,

Ya Allah, berilah hidayahMu kepada kami dan serlahkanlah hikmahMu di sebalik setiap suratan takdirMu yang amat indah perjalanannya untuk kami.

Ya Allah, jadikanlah kami golongan yang reda kepada setiap ketentuanMu setelah kami berusaha serta ampunilah segala dosa-dosa kami lahir dan batin.

Terimalah kami di sisiMu di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kelak.

Redailah hidup kami dan kembalikanlah  kami kepadaMu dengan rahmatMu sebagaimana Engkau hidupkan kami dengan belas kasihanMu.

Aamiin ya Rabb.

 

Wassalam.

 

Ummu Abbas

14 Ramadan 1439H/ Mei 30 2018

11 am

Advertisements