Ke Pangkuan-Mu, Ilahi

Bismillah

 

Beberapa hari lepas, ada satu peristiwa yang agak meruntun hati.

Saat itu, saya berada dalam tahiyat awal, iaitu duduk semasa rakaat kedua solat Asar.  Aleeya yang berusia 10 bulan lebih merangkak menuju ke arah saya dan merebahkan kepalanya di atas riba.  Dia diam sahaja.  Hati seorang ibu mana yang tidak tersentuh dengan aksi manja bayi kecilnya begitu.  Dalam keheningan menunaikan solat pula.

Ya Allah… bersyukurnya padaMu atas kurniaan perasaan yang indah ini.  Perasaan kasih sayang itu menyapa lembut di hati kepada bayi yang pernah dikandung lebih 9 bulan.  Dan perasaan kasih itu begitu mendalam.  Ia lebih hebat dari rasa kasih pada mana-mana insan di dunia ini.

Habis membaca tahiyat, saya menunggu seketika.  Saya teringatkan Rasulullah s.a.w yang hanya bangun seusai cucunya beredar dari belakangnya.  Untuk mengetahui lebih lanjut, boleh rujuk video dalam entry ‘Komunikasi dengan Kanak-kanak Cara Rasulullah s.a.w’.  Rasulullah s.a.w membiarkan cucunya bermain puas-puas dahulu di atas belakangnya sedangkan waktu itu baginda sedang sujud.

Itu pun kerana saya baru menyalin lampin Aleeya sebelum memulakan solat.  Jadi saya kira dia masih dalam keadaan bersih dari najis.  Kalau lampin dia sudah kotor, biasanya saya akan angkat dan letak dia di sisi.

Seketika kemudian, melihat dia bangun sedikit, saya tidak berlengah lagi untuk menyambung qiyam (berdiri) bagi rakaat ketiga.

Subhanallah!  Alhamdulillah!   Peristiwa Aleeya datang baring di atas ribaan saya itu hakikatnya jawapan Allah s.w.t secara halus mengenai kerisauan saya sejak akhir-akhir ini.

Biar penat sedikit di dunia asalkan dapat berehat sepenuhnya di akhirat kelak

Dalam meniti perjalanan hidup dunia menuju akhirat, saya melalui fasa-fasa kehidupan sebagaimana ramai insan di luar sana. Ada masa pasang surut sama ada pada amalan dan juga keimanan.  Sudah ditakdirkan saya bersama anda semua berada di zaman iman dan taqwa yang susah untuk meningkat naik.  Kalau dapat konsisten, itu dikira sudah cukup baik.  Insya Allah.

Kadang-kadang saya merasa cemburu dengan para sahabat dan ummah di zaman Rasulullah s.a.w.  Mereka dapat bertemu Rasulullah s.a.w secara langsung dan hidup di zaman keimanan setiap mukmin sering meningkat lewat ujian yang dihadapi.  Namun bila difikirkan secara lebih mendalam, saya percaya saya tidak mampu menjadi seperti mereka andai hidup di zaman mereka.  Ini  disebabkan saya mempercayai kalam Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat  286,

“ Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

Saya risau akan dosa-dosa yang sentiasa dilakukan setiap hari.  Kadang-kadang hati lembut dan mudah tersentuh dengan ingatan-ingatan.  Kadang-kadang yang lain, hati terasa keras kematu- susah tersentuh.  Lalu saya beristighfar dan cuba muhasabah diri, amalan mana yang perlu diperbaiki lagi.  Terutama hubungan dengan suami dan hubungan dengan anak-anak kerana sebahagian besar masa saya adalah bersama mereka di rumah.

Tatkala berusaha memperbaiki diri, saya berfikir adakah Allah masih sudi memberi perhatianNya pada saya yang sering tidak konsisten dalam memelihara taat dan ikhlas?  Namun dalam masa yang sama,  sentiasa mahu kembali kepadaNya.  Dalam kebingungan itulah, Allah takdirkan peristiwa yang tercatat di atas serta memberi ilham bahawa jika hubungan saya sebagai ibu dengan anak kandung sudah melahirkan rasa kasih sedemikian rupa, apalah sangat jika hendak dibandingkan rahmatNya yang melaut luas dan berganda-ganda lagi dari kasih sayang saya pada anak sendiri?

 

Saat bayi itu datang merangkak perlahan menuju ibunya, naluri kasih seorang ibu tidak akan lari, sebaliknya ibu itu akan segera menyambut kedatangan bayinya… yang serba lemah itu.

Saat bayi itu menyentuh kepalanya di atas paha ibunya, naluri sayang seorang ibu membuatkan ibu itu tersenyum melihat kelakuan anaknya yang mendambakan dirinya.

Perlakuan bayi yang mahu dimanja biasa disambut mesra oleh si ibu.

Tidak sesekali ibu itu merasa marah apatah  lagi mahu menjauhkan diri dari bayi kecilnya.

Bahkan si ibu akan bergerak lebih cepat menuju bayinya tatkala bayi menangis mencari dirinya.

 

Ya Allah… hebat dan agungnya nilai sebuah kasih sayang.

 

Kasih sayang yang ada pada seorang ibu memadamkan segala penat lelah menguruskan si bayi- makan minum, tawa tangis dan membersihkan bayi setiap hari, berkali-kali.

 

Itu baru kasih sayang ibu pada anaknya, kasih sayang Allah mengatasi segala kasih makhluknya kepada hambaNya.

 

Jika dahulu tatkala saya menukilkan perumpamaan,

Sekasih ibu pada anaknya,

Sayang lagi Nabi pada umatnya.

Sesayang Nabi pada umatnya,

Cinta lagi Allah pada hambanya.

 

Dulu saya menukilkan ungkapan di atas tanpa merasai sendiri perasaan kasih seorang ibu… cukup dengan memerhati naluri keibuan orang lain.  Namun hari ini, Allah beri saya merasainya sendiri.  Ya Allah… ia cukup hebat.  Ungkapan di atas adalah untuk menzahirkan kasih sayang Allah yang tidak bertepi pada setiap hambaNya dan peluang yang terbuka luas untuk setiap insan mendekatkan diri padaNya.

 

 Abu Hurairah r.a melaporkan daripada Rasulullah s.a.w, katanya,

Allah Azza wa jalla berkata dalam Hadis Qudsi,  “Aku adalah menurut sangkaan
hambaKu dan Aku akan selalu bersamanya selama ia berdoa padaKu.”

“Demi Allah,  nescayalah Allah itu lebih gembira kepada taubatnya seseorang
hambaNya daripada seseorang di antara kamu semua yang menemukan sesuatu bendanya
yang telah hilang di padang yang luas.”

“Apabila seseorang mendekatiKu dalam jarak sejengkal, maka Aku mendekatinya dalam jarak sehasta.  Sesiapa mendekatiKu dalam jarak sehasta,  maka Aku mendekatinya dalam jarak sedepa. Jikalau hambaKu itu mendatangi Aku dengan berjalan, maka Aku mendatanginya dengan berlari.”

Hadis-hadis direkodkan oleh Imam Muslim.

Mutiara Untuk Pembaca

Sebenarnya setiap orang akan ada saat-saat yang menyentuh hatinya serta menimbulkan keinsafan… sama ada melalui perantaraan manusia atau peristiwa lain yang dihadapi setiap hari.  Ia merupakan nasihat-nasihat secara langsung dari Allah untuk kita.  Itu petanda Allah sentiasa memberi perhatian dan mahu menarik perhatian kita kepadaNya.  Jika kita sedar dan faham iaitu memandang dengan hati terbuka untuk menerima hidayahNya, kita akan merasa seronok dan bahagia dengan perhatian-perhatian tersebut.  Namun jika kita menutup pintu hati, maka kita akan memandang dengan rasa jengkel serta mahu lari dari kasih sayang Allah itu.   Na’uzubillah.

Carilah perhatian dan petunjuk-petunjuk Ilahi dari setiap peristiwa, nescaya engkau akan menemui cintaNya yang abadi.

Wassalam.

Ummu Abbas

2 Rabie’ Awwal 1433H

7.47pm

Melbourne

Menentukan Destinasi Hati

Siapakah yang menjadikan alam nan indah ini?
Siapakah yang menjadikan alam nan indah ini?

Azie.

Assalamualaikum.

Saya ada sedikit pertanyaan tentang hati dan keikhlasan. Macamana nak membentuk hati supaya menjadi lembut, penyabar, penyayang dan istiqamah ?

Bercakap tentang keikhlasan, hanya individu itu sendiri yg mengetahui tentang keikhlasan hatinya, org lain tdk blh mengukur sejauh mana keikhlasan seseorang itu. Yg menjadi persoalannya ialah, saya tdk tahu dimana tahap nilai keikhlasan saya. Saya melakukan sesuatu bukan kerana seseorang, tetapi tdk juga ikhlas kerana ALLAh. Malah saya rasa kosong seperti tiada apa2 makna.

Saya harap sangat agar ummu dpt membantu saya di dalam membentuk jiwa dan hati saya supaya menjadi seorang yang lebih dekat kepada Yang maha Pencipta. WaSsalam.

***************

Pastikan sumber makanan yang halal dan berkhasiat bagi membentuk hati yang sihat.
Pastikan sumber makanan yang halal dan berkhasiat bagi membentuk hati yang sihat.

Wa’alaykum salam wbh,

Azie yang dikasihi Allah,

Persoalan Azie di atas sebenarnya boleh dijawab secara lebih ringkas dan ber’point’. Namun Kak Nur lebih suka mengajak Azie dan para pembaca bertafakkur sebelum menemui jawapannya. Bukankah Allah menyuruh kita bertafakkur dalam banyak firmanNya?

Tafakkur kerana mahu mencari dan mengenal Allah itu sendiri merupakan salah satu mekanisme melembutkan hati.

Cuba renung sejenak… bilakah masanya Azie pernah merasa tenteram dan lembut hati? Lembut hati yang dilimpahi kasih sayang. Kalau Azie pernah merasa dikasihi oleh ibubapa atau mungkin insan yang bernama lelaki, Kak Nur percaya pada masa itu Azie dapat rasakan hati Azie lembut dan penuh kasih sayang.

Azie yang dimuliakan,

Tatkala kita mengingati insan yang mengasihi dan menyayangi kita pun hati kita sudah menjadi lembut dan mendamaikan, apatah lagi bila kita mengingati Allah yang mengurniakan kasih sayang kepada para ibubapa dan juga kekasih.

Allah menyatakan sifat orang beriman dalam Surah al-Ra’du ayat 28,

ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَٮِٕنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِ‌ۗ أَلَا بِذِڪۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَٮِٕنُّ ٱلۡقُلُوبُ

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang hati mereka dengan “zikrullah”. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, tenteramlah hati manusia.”

Azie tidur di atas tilam jenis apa? Kalau Azie tidur di atas tilam ‘dreamland’ contohnya, Azie akan dapat menikmati tidur yang aman tenteram kerana tilam yang lembut dan selesa.

Begitulah jua dengan hati kita, Azie. Hati lembut dek zikrullah akan membuatkan kita merasa tenang dan selesa.

Azie, mari kita merenung lagi…

Allah yang menciptakan dirimu dengan penuh kasih sayang dan belas kasihan.

Allah jua yang memelihara dirimu hingga kau dewasa kini.

Allah yang memberi akal untukmu berfikir.

Allah jua yang meletakkan kornea di matamu sehingga terungkap keindahan alam.

Allah yang menjadikan gegendang telinga sehingga dapat kau hayati merdunya bunyi.

Allah yang mencipta hati sebagai raja diri manusia.

Baik raja, tenteramlah rakyat.

Jahat raja, binasalah rakyat.

Di samping hati, Allah ciptakan nafsu yang cenderung kepada perbuatan maksiat.

Sifat nafsu itu malas, keras, ego dan sebagainya lagi.

Tiada siapa yang mampu menundukkan nafsu manusia kecuali Allah.

Maka ingatilah Dia adikku… sebanyak-banyaknya.

Secara fisiologi, nafsu itu perlu dipugar dengan menjaga perut. Berpuasa sunat, makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang, makan makanan halal dan jauhi syubhah. Sekiranya kita tidak menitik beratkan hal ini, ia akan menyukarkan hati berzikir kepada Allah.

Allah jua jadikan musuh bagi manusia yakni iblis.

Iblis meniup rasa benci di hati insan.

Iblis tidak suka pada sifat pengasih dan penyayang.

Tiada siapa yang mampu melemahkan iblis kecuali Allah.

Maka ingatilah Dia adikku.

Hanya Allah yang bisa melembutkan hatimu.

Hanya Allah empunya kasih sayang yang dapat mengurniakan hati yang pengasih dan penyayang buatmu.

Adikku mahu jadi penyabar?

Tiada siapa yang sanggup bersabar kecuali diizinkan Allah.

Allah berkata dalam Surah Al-Nahl ayat 127,

وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِ‌ۚ

“Dan bersabarlah dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah.”

Maka ingatilah Dia adikku.

Adikku mahu istiqamah?

Hanya Allah jua yang dapat membantu.

Lakukan sesuatu kerana mahu reda Allah, nescaya engkau tidak sanggup meninggalkanNya lagi…

Kelak perhatian Allah beralih dari dirimu…

Azie yang dikasihi Allah,

Tahukah Azie apakah perkara terbaik di dunia ini?

Hati yang mengingati Allah.

Azie,

Suatu hari Azie mahu berpergian…

Apa yang Azie buat terlebih dahulu?

Menetapkan arah tujuan seperti ke Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bharu.

Tetapan itu tidak terhenti setakat itu… ada yang lebih khusus; hadir seminar,ziarah keluarga yang sakit dan sebagainya.

Bolehkan Azie keluar dengan mengatakan tidak tahu hendak ke mana?

Azie akan berjalan mengikut langkah kaki sahaja?

Menaiki bas tanpa mengambil tahu apa destinasi bas tersebut?

Sebagai insan normal, mustahil ia berlaku pada Azie.

Azie sendiri yang dapat memastikan semula apa tujuan perjalanan Azie dalam hidup ini.

Di akhirat sana hanya ada dua tempat pilihan: Syurga atau neraka. Tiada tempat berkecuali selain keduanya.

Azie yang dikasihi Allah,

Azie perlu menetapkan hati untuk mendapat reda Allah dalam setiap tindakan, barulah jiwa dan hidup Azie akan terisi. Inilah yang dikatakan IKHLAS.

Apabila kita melakukan perkara kerana Allah semata, hati kita kalis dengan pujian maupun kejian makhluk.

Hati juga kalis sama ada orang tahu atau tidak tahu kebaikan yang dilakukan.

Kita juga tidak mengharapkan apa-apa balasan dari makhluk.

Kita tidak peduli lagi apakah manusia menghargainya atau tidak usaha-usaha kita itu.

Kita akan ‘ignore’ semua itu. Cukuplah Allah sebagai saksi bagi amal hati kita.

Jika Allah reda, tenanglah jiwa meskipun dirimu dicaci di pelusuk dunia, hartamu susut, engkau tidak dikenali dan wajahmu tidak sudi dipandang manusia.

Jika Allah murka, gelisah dan sempitlah dada meskipun hartamu bertimbun, pujian menggunung, pengaruhmu mencengkam jutaan manusia dan wajahmu jelita bagai bintang kejora.

Tatkala engkau merasa sedih, kau jadikan Allah hanya tempat mengadu dan meluahkan rasa.

Bagai aduan Ya’akub a.s dalam ayat 86 Surah Yusuf yang berbunyi,

إِنَّمَآ أَشۡكُواْ بَثِّى وَحُزۡنِىٓ إِلَى ٱللَّهِ

“Sesungguhnya aku adukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah”

Semua perbuatan di atas memberi maksud praktikal dari kalimah syahadah yang dilafazkan saban waktu di dalam solat.

La ilaha illallah, Muhammad Rasulullah”- Tiada tuhan melainkan Allah, Muhammad utusan Allah.

Azie,

Setakat ini dulu nukilan Kak Nur buat kali ini. Azie juga boleh menelusur entry-entry yang lain kerana Kak Nur banyak berbicara tentang hati- tempat jatuhnya pandangan Allah. Moga Azie mendapat pencerahan dalam perjalanan menuju Allah.

Maafkan Kak Nur andai jawapan tidak memuaskan hati.

Apa yang baik itu datangnya dari Allah

Apa yang kurang itu datangnya dari kelemahan Kak Nur sebagai hamba.

Wallahu’alam.

Ummu Abbas
6.47pm
29 Jamadil Awwal 1430H