Resepi Mendapatkan Semula Kereta Yang Dicuri

Minggu lepas di suatu pagi, saya bersarapan dengan Nasi Kerabu kegemaran. Sambil makan, ada sesuatu yang menarik perhatian di helaian akhbar pembungkus Nasi Kerabu. Saya membaca satu berita tentang Wan Zaleha Radzi, mantan pembaca berita TV3.

Melihat tajuknya, suspen juga… cerita cerai berai lagi ke? Ohh… rupa-rupanya kereta dia kena rompak. Kasihan dia. Tarikh kereta Wan Zaleha dicuri bersamaan dengan kereta abang saya yang sulung dicuri.

Menjelang Subuh

Tradisi orang-orang soleh yang merasa dirinya hamba, menjelang subuh adalah waktu yang tenang untuk berkhalwat bersama Tuhan. Tahajjud didirikan, doa dirafakkan dan keampunan dipohon sambil tersedu sedan menangis kesal.

Sebahagian insan pula, enak diselimuti gebar sehingga solat subuh pun terlajak siang. Tidur diiringi muzik dengkur, sehingga orang masuk bilik pun sudah tidak sedar.

Golongan ketiga pula, masa inilah, “Waktu kerja aku yang paling berkualiti! Yeahh…”

Dinihari 4 Januari itu, Kelisa Abang Zul dicuri oleh golongan ketiga tadi. Dia hanya sedar semasa mahu keluar bekerja pagi itu. Sliding door daripada kayu di ruang tamu terkuak lebar. Ruang tamu rumahnya agak terpisah dari ruang-ruang lain. Bilik anak-anak berada di atas. Bilik utama dipisahkan oleh ruang keluarga di bahagian tengah. Justeru sebarang kesan bunyi yang perlahan tidak mungkin kedengaran dari ruang tamu ke ruang tidur.

Nampaknya, pencuri itu berpuas hati dengan barangan yang ada di ruang tamu. Ruang-ruang lain tidak terusik. Sebuah laptop, wang RM100 dan kunci kereta Kelisa diambil lalu dibawa pergi.

Jiran sebelah mendengar bunyi kereta keluar dari garaj, namun tidak terfikir pula ia dicuri. Cuma rasa hairan, ke mana tuan rumah mahu pergi pagi-pagi buta begini.

Abang Zul tenang sahaja menghadapi musibah tersebut. Syukur alhamdulillah. Dia bersikap sesuai dengan tuntunan al-Quran,

مَاۤ اَصَابَ مِنْ مُّصِيْبَةٍ فِىْ الْاَرْضِ وَلَا فِىْۤ اَنْفُسِكُمْ اِلَّا فِىْ كِتٰبٍ مِّنْ قَبْلِ اَنْ نَّبْرَاَهَاؕ اِنَّ ذٰلِكَ عَلَى اللّٰهِ يَسِيْرٌۚ ؕ لِّـكَيْلَا تَاْسَوْا عَلٰى مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوْا بِمَاۤ اٰتٰكُمْ‌ؕ وَاللّٰهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُوْرٍۙ‏

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya. Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Mudah-mudahan kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. [Al-Hadid, 22-23]

Laporan kepada polis

Hari itu, Abang Zul tidak dapat pergi kerja. Urusan laporan polis agak memakan masa. Kereta yang masih ada satu lagi terpaksa bekerja keras sepanjang hari. Ma (ibu kandung saya) menghubungi semua anak-anak memaklumkan hal tersebut termasuk saya. Tatkala mendengarnya, terluncur kata-kata,

اِنَّا لِلّٰهِ وَاِنَّـآ اِلَيْهِ رٰجِعُوْنَ

Petunjuk al-Quran ketika menghadapi musibah berbunyi,

وَلَـنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَىْءٍ مِّنَ الْخَـوْفِ وَالْجُـوْعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْاَمْوَالِ وَالْاَنْفُسِ وَالثَّمَرٰتِؕ وَبَشِّرِ الصّٰبِرِيْنَۙ‏

الَّذِيْنَ اِذَآ اَصَابَتْهُمْ مُّصِيْبَةٌ ۙ قَالُوْٓا اِنَّا لِلّٰهِ وَاِنَّـآ اِلَيْهِ رٰجِعُوْنَ

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit rasa takut (kepada musuh), kelaparan dan berkurangnya harta benda, jiwa serta hasil tanaman. Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami pulang. [Al-Baqarah, 155-156]

Kami 9 adik beradik. 2 bekerja di Johor, seorang mengajar di Dabong (Hulu Kelantan), seorang masih belajar di UPM dan si bongsu di UIA. Bakinya menetap di sekitar Kota Bharu, Kelantan.

Hari kedua, Ma bangun sebelum subuh membaca Yasin Fadilat. Abang Zul solat hajat pada waktu Dhuha. Saya sendiri menjelang Zohor baru terasa mahu doakan untuk Abang Zul agar dikembalikan hartanya selagi ia masih rezekinya. Itu pun setelah bermuhasabah dan saya sedar Abang Zul seorang yang tidak berkira dalam soal wang terhadap adik-adiknya. Begitu juga dengan Ma dan Abah. Abang Zul banyak menolong kami sepanjang kami masih belajar. Abang Zul juga tidak berkira menghantar semua anak-anaknya ke sekolah rendah Islam dan sekolah menengah Islam walau yurannya agak mahal daripada sekolah kerajaan. Itu semua dilakukan demi memastikan anak-anak mendapat didikan Islam yang baik. Dengan gajinya dan isteri sebagai guru, tanggungan agak berat dalam perbelanjaan mendidik anak-anaknya seramai 10 orang. Nilaian Kelisa itu sekitar lebih RM20,000.

Saya percaya Allah senantiasa membantu hambaNya selagi hambaNya menolong sesama sendiri. Saya insaf dan terasa mahu terus berharap pada pertolongan Allah. Ikut lojik, hari kedua itu sudah berapa jauh pencuri tersebut boleh melarikan kereta.

Abah berjumpa dengan seorang hamba Allah yang warak untuk meminta nasihat. Adik-beradik yang lain turut mendoakan. Kami pasrah pada kehendak Allah. Tidak dapat di dunia, di akhirat diganti jua dengan rezeki yang jauh lebih baik.

Kereta ditemui

Malam tersebut, Ma telefon dan beritahu Kelisa Abang Zul berjaya ditemui semula. Ia ditemui selepas Asar. Alhamdulillah. Airmata berlinangan. Janji Allah pasti benar. Sepanjang saya berdoa siang tadi … kalamullah berikut terusan bergema di dalam hati,

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُوْنِىْۤ اَسْتَجِبْ لَكُمْ
Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. [Ghafir: 60]

وَاِذَا سَاَلَـكَ عِبَادِىْ عَنِّىْ فَاِنِّىْ قَرِيْبٌؕ اُجِيْبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ اِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيْبُوْا لِىْ وَلْيُؤْمِنُوْا بِىْ لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُوْنَ‏

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. [Al- Baqarah: 186]

kelisa

Apa yang menakjubkan kami ialah lokasi kereta itu ditemui kira-kira 1 km sahaja dari rumah Abang Zul. Penduduk berhampiran telah melaporkan keadaan kereta yang mencurigakan itu kepada polis. Ia disembunyikan di dalam semak berhampiran rumah yang tidak berpenghuni. Ada kad pengenalan wanita dan pakaian di dalamnya. Saya tidak pasti wanita itu geng pencuri atau mangsa pencuri. Kunci kereta tiada. Jadi polis angkat ke dalam lori untuk di bawa ke balai.

Doa ibubapa mudah dimakbulkan

Saya percaya doa ibu kami serta adik beradik membantu menguatkan usaha diperkenankan Allah. Saya yakin pada doa ibu kandung untuk anaknya. Tiada kasih manusia di dunia ini yang dapat menyamai kasih ibu pada anak kandungnya. Saya ibu kepada 5 anak dan saya dapat rasakan betapa besar kasih seorang ibu.

ثلاث دعوات مستجابات لا شك فيهن دعوة الوالد ودعوة المسافر ودعوة المظلوم.

Maksud hadis;
3 doa mustajab yang tidak syak lagi yakni doa ibubapa, doa orang yang sedang bermusafir dan doa orang yang dianiaya.
Hadis direkodkan oleh Sunan Abu Dawud

Ibrah

Setiap takdir Allah adalah untuk direnung dan dicari unsur-unsur yang boleh menambah iman dan taqwa di dada. Ujian untuk orang lain juga ujian untuk kita. Namun menurut tahap dan aspek yang sesuai dengan individu yang sedang menghadapinya.

Secara ringkasnya, daripada pengalaman kami ini dapat saya adunkan beberapa resepi bagi mendapat semula barang yang dicuri;

1. Tenang dan reda sebaik mengetahui musibah yang menimpa. Perbanyakkan istighfar dan mohon petunjuk Allah bagaimana cara mengatasinya.

2. Yakin pada rezeki yang telah ditentukan oleh Allah. Jika ia memang milik kita, Allah tetap akan kembalikan semula pada kita. Allah hanya mahu menguji usaha dan tawakkal kita kepadaNya.

3. Solat hajat dan berdoa penuh harapan serta bersangka baik dengan Allah. Doa mangsa kes jenayah ialah doa orang yang dianiaya. Juga termasuk doa mustajab.

4. Membaca Yasin Fadilat dengan kaedah-kaedah yang telah ditentukan.
– Seorang muslimah di kampung saya mengamalkan Yasin Fadilat untuk mendapatkan semula handphone yang dicuri. Muslimah itu rasa terkilan kerana handphone itu diberikan untuk memudahkan urusannya yang menyelia hal-ehwal wanita kampung tersebut. Dia sendiri bukan orang senang. Ibu tunggal yang mengajar di PASTI sahaja. Selepas seminggu handphone dicuri, berkat membaca Yasin Fadilat, handphone ditemui di tempat ianya diambil. Seolah-olah ada orang yang menghantarnya kembali. Alhamdulillah. Kepada Allah jua dikembalikan segala pujian dan kebaikan.

5. Boleh juga dapatkan doa-doa lain dari mereka yang mengetahuinya.

6. Di samping empunya diri yang ditimpa musibah berdoa, mintalah doa dari mereka yang paling hampir dengan anda. Selain ibu dan adik-beradik, mintalah doa dari pasangan atau anak-anak atau mereka yang hampir dengan Allah SWT. Pasangan di sini ialah pasangan yang sah sahaja. Bukannya pasangan kekasih yang bercinta di luar batas syariat Allah.

Ummu Abbas© Islam Itu Indah 2009
12.12am
Tarikh artikel ditulis 20 Januari 2009/ 23 Muharram 1430H
Tarikh diperbaharui 27 Januari 2009.

Advertisements

Travelog Iman di Bumi Kangaroo

Nota: Catatan di bawah merupakan perancangan saya untuk menjadikannya sebuah buku, moga diizinkan Allah. Saya paparkan di sini catatan-catatan yang sudah lama dibuat namun belum siap di blog ini sementara saya sedang sibuk sekarang. Moga mendapat manfaat. Amin.

Dengan Nama Allah Yang Maha Penyayang Lagi Maha Mengasihani

Trademark Sydney, Opera House
Trademark Sydney, Opera House

Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.
Al-Hajj (22):46

Ayat ini menjadi pemangkin dalam setiap langkah saya berkelana di mana jua bumi Allah ini. Sama ada dalam negeri maupun di luar negara.

Catatan pada jam 3.30pm, 9 Sept 07

Tanggal 10 Mei 2007, berangkatlah saya sekeluarga ke Bumi Kangaroo. Sebenarnya di saat akhir sebelum tiba tarikh tersebut, saya semakin ‘malas’ ikut suami ke sana. Kos perjalanan, tempat tinggal, sara hidup di sana yang membebankan menimbun simpati pada suami. Anak-anak kami juga mencecah ke lima orang pada masa itu. Kandungan saya masuk minggu ke 25. Alahan pula masih mengiringi kehamilan. Anak-anak berusia 8,7,4 dan 2 tahun pula sudah cukup memenatkan saya untuk mengurusi mereka walau berada di rumah. Inikan pula mahu bermusafir nun jauh ke selatan dalam keadaan hamil pula. Perjalanan udara memakan masa 8 jam ke Sydney merisaukan suami bagaimana mahu ‘handle’ 3 hero dan 1 perempuan yang sedang lasak dalam ‘flight’ nanti.

Pengalaman musafir sebelum ini ke negara non-muslim tidak banyak. Hanya pernah ke Bangkok selama 1 minggu. Cukup sekadar pusing-pusing bandar Bangkok sahaja. Namun kali ini, suami akan bermastautin selama 12 minggu. Satu tempoh melebihi had kalau sekadar mahu lihat dan kenal negara orang. Lagi pula, saya tidak pernah berenggang dengan suami selama itu. Paling lama 3 minggu. Dalam keadaan kandungan semakin sarat. Saya pula tiada pembantu di rumah. Sukar juga mahu meneruskan kehidupan sendirian di rumah. Dilema saya dibuatnya.

Mendengar nama Australia saja kurang menarik minat saya untuk menjelajahinya. Manakan tidak, pengalaman menjelajah Bumi Anbiya’ (negara muslim) sebelum ini, membuatkan saya membanding-bandingkan antara negara tersebut. Bumi Anbiya’ banyak kesan sejarah Islam yang boleh diterokai dan diambil iktibar peninggalan para nabi dan kaum mereka. Habitat Beruang Koala ini menjanjikan apa buat saya? Sementelah Islamofobia sedang melanda hebat benua Amerika, Eropah dan negara-negara yang sewaktu dengannya rentetan tragedi 11 September 1998 di USA. Kuasa-kuasa besar tersebut sedang mengadakan kawalan ketat di pintu masuk ke negara mereka. Kawalan ketat terhadap setiap insan bergelar muslim yang dituduh sebagai ‘terrorist’. Melalui nama ‘Islamic’ saja boleh membuatkan seseorang itu di tahan dan disuruh pulang begitu sahaja ke negara asal mereka. Walhal mereka mungkin telah melalui perjalanan 24 jam untuk sampai ke destinasi. Nama anak-anak pula ada yang bermula dengan Ahmad dan Abdullah.

Saya yang sentiasa berjilbab penuh turut menimbulkan rasa bimbang di hati suami. Bimbang ditahan imigresen. Sempat juga saya ingatkan suami bahawa semua hati manusia dipegang Allah SWT. Mudah saja Allah lembutkan hati mereka supaya memudahkan urusan dengan kita walau mereka sejahat mana sekalipun. Mengambil contoh As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin di Palestin. Beliau dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh sejahat-jahat kaum di dunia hari ini yakni Yahudi (zionist). Merengkok dalam penjaralah beliau dalam keadaan cacat. Namun akhirnya beliau menemui syahid di luar penjara yakni setelah dibebaskan dari penjara. [ Itu belum lagi melihat iktibar sedahsyat manusia mengaku tuhan yakni Firaun. Setelah habis dibunuh kanak-kanak lelaki, berdepan dengan Musa a.s, beliau tewas pada kehendak Allah SWT yang mahukan Musa a.s membesar di depan batang hidungnya sendiri. Siapa yang melembutkan hati mereka kalau bukan Allah SWT? Kehendak dan kuasa siapakah yang mendahului dan terlaksana?]

Perkara lain yang turut membantut minat saya ke negara-negara kuffar ialah cara hidup mereka: Pergaulan bebas dan pakaian mereka yang tidak bertamaddun serta cara mereka menilai Islam dan ummatnya. Kalau pun ada cita-cita menjejakkan kaki ke bumi non-muslim hanya 2 negara yang saya minat yakni Sepanyol dan China. Itu pun diasaskan sejarah Islam yang pernah bertapak di sana. Minat saya mendalami kesan sejarah Islam. Kalau atas tujuan dakwah dan islah, di tanah air sendiri kekurangan tenaga. Aula bagi saya mencurah bakti di negeri sendiri.

Penghujung Mei, Jun, Julai pula menjanjikan musim dingin di Australia. Saya yang pernah tinggal 5 tahun di negara 4 musim yakni Jordan semakin ‘malas’ untuk pergi. Ada orang suka musim sejuk tetapi saya tidak. Kalau musim bunga dan musim luruh, boleh tahan. Dilema sungguh. Saya buntu mahu ikut suami atau tidak. Walau tiket pergi balik siap dibeli. Namun masih boleh dibatalkan. Pemergian kami sekeluarga juga memaksa semua simpanan wang turut pergi bersama kami. Saya yang tidak bekerja risau juga kalau terjadi apa-apa pada suami, bagaimana harus saya teruskan hidup. Maksud saya bekalan sementara yakni jangka pendek. Sempat juga saya merujuk beberapa sahabat mohon pandangan. Satu pandangan sahabat sangat bermakna buat saya. Dia mengingatkan saya jika tujuan kita adalah iman dan taqwa, maka bertawakkallah kepada Allah. Setelah itu saya beristikharah. Hadis yang dilaporkan oleh Anas bin Malik sentiasa menjadi panduan hidup, kata Rasulullah SAW,

” ما خاب من استخار ، ولا ندم من استشار ”

Maksudnya; Tidak akan binasa sesiapa yang beristikharah dan tidak akan menyesal sesiapa yang berbincang (bermesyuarat) “

Alhamdulillah, hati tenang untuk meneruskan musafir. Kalamullah dari ayat 159, surah Ali Imran meneguhkan lagi pendirian saya,
“ Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka berserahlah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”

Pengalaman demi pengalaman berhadapan situasi gawat sebelum ini membuatkan saya ‘kalih’ dengan keadaan ini. “ Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan menunjukkan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah). Sesiapa berserah diri sepenuhnya kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” Kalamullah dari ayat 2 dan 3 surah al-Talaq itu menyirami hati yang dambakan redaNya. Iya… bukan sekali dua Allah menepati janjiNya melalui kalam tersebut… bahkan beberapa kali ia terbukti di halaman kehidupan saya. Justeru keyakinan sudah tersedia dalam diri saya untuk menuruti kehendakNya.

…bersambung…

Ummu Abbas © Islam Itu Indah 2008
12.41am.
3 Ramadan 1428H