Dari Perompak Menjadi Ulama

Lokasi kegemarannya ialah antara Abyurd dan Sarkhas.  Dia melaksanakan tugasannya merompak harta orang ramai yang melintasi jalan itu.  Di sebalik kerjayanya sebagai perompak, si lelaki menyintai seorang gadis.

Pada suatu hari, si perompak ini memanjat dinding rumah si gadis untuk menemuinya.  Tiba-tiba dia terdengar suara membaca ayat al-Quran yang berbunyi,

57:16

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka.”

Al-Hadid : 16

Tatkala mendengarnya beliau berkata, “Benar ya Rabb, inilah saatnya.” Lalu dia kembali dan mencari tempat untuk menginap di celah runtuhan bangunan.  Semasa berada di sana, dia mendapati serombongan orang melewati jalan itu. Sebahagian dari mereka berkata, “Mari terus berjalan.” Sebahagian yang lain pula berkata, “Tunggulah hingga pagi kerana Fudhail berada di sekitar sini dan dia akan merompak kita.”

Si perompak itu berkata, “Maka aku pun berfikir dan berkata, ‘Aku menghabiskan malam dengan berbuat maksiat sehingga ada sekelompok kaum muslimin di sini takut kepadaku.  Aku berfikir bahawa tidaklah Allah membawaku ke sini kecuali untuk mengambil pelajaran (agar menghentikan perbuatan tersebut). Ya Allah, sungguh aku telah bertaubat kepada-Mu. Dan menjadikan taubatku dengan berdiam (tinggal) di Baitul Haram (Makkah).”

Si Perompak yang bertaubat itu akhirnya menjadi ulama salafus soleh terkemuka di zamannya.  Dialah Imam Fudhail bin ‘Iyadh.

Petikan kisah Fudhail dari kitab;

Sumber: khayla.net/

[Nota:  Hatta seseorang yang pernah terlibat merompak harta negara@rakyat sekalipun atau membunuh 100 orang, pintu taubat masih terbuka luas asalkan masih meyakini kalimah syahadah sebagai anutannya.]

Kisah Fudhail mengingatkan saya kepada seorang pendakwah yang pada masa mudanya menjadi pemuzik.  Setelah mengubah haluan hidup 180º, dia menjadi ulama buruan ramai orang sekarang.  Di mana sahaja dia berceramah, ‘minta maaf’ kalau mahu disebut seribu yang hadir.  Angka itu tidak layak baginya  sekurang-kurangnya untuk tempoh sekarang.  ‘Main point’ saya bukanlah pada jumlah pendengar, bahkan pada keperibadian yang diusahakan.

Sesiapa sahaja mampu menjadi sepertinya asalkan ada kehendak disertai usaha yang ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Tonton bola makan kuaci

Makan kuaci di atas kerusi

Dari Youtube ke pentas realiti

Ustaz Azhar Idrus nama diberi

Lebih awal dari kisah Fudhail serta lebih dahsyat lagi, ialah insan yang pernah menyembah berhala.  Bukan itu sahaja, dia juga pernah membunuh anak perempuannya hidup-hidup.  Yang mana satu kehidupan lampau yang paling teruk (sejarah hidup paling hitam)?  Dengan al-Quran, insan tersebut berubah 180º menjadi hamba kesayangan Tuhan.  Dia menjadi salah seorang 10 sahabat Rasulullah s.a.w yang dijamin syurga.  Bahkan makamnya adalah yang kedua berjiran dengan makam Rasulullah s.a.w selepas makam Abu Bakar r.a di Madinah sekarang.

Dengan Islam – berwahyukan al-Quran dan berteladankan sunnah, seseorang yang paling jahat mampu menjadi ‘malaikat’.  Bila Allah swt dikenali, segala dosa bisa dihapusi asalkan syirik dijauhi.

Tatkala hidayah mengetuk pintu hati,

Bersegera menyahut seruan Ilahi,

Bersihkan diri, solat didiri,

Ulama dicari ilmu dititipi,

Memilih sahabat berciri ukhrawi,

Agar diri tidak hanyut lagi,

Al Quran setia menemani,

Kandungannya menjadi akhlak diri,

Sunnah Rasul tanpa jemu diteladani,

Sehingga tercapai hasrat tertinggi,

Melihat wajah Allah, Rabbul Izzati.

************

57:16

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka.”

Al-Hadid : 16

Ya Rabb… Irhamna waghfirlana.

Ummu Abbas

9.00pm

3 Rejab 1433H

Melbourne.

Advertisements

Islam Tidak Menyukai Keganasan

Kehangatan serangan Zionis di perairan antarabangsa begitu mudah dipeti sejukkan dengan isu Jemaah Islamiyyah (JI)…..Yahudi Israel sedang hebat dikutuk oleh masyarakat antarabangsa, alih-alih timbul isu JI pula. Sasarannya mudah ditelah yakni para ulama dan pemimpin Islam.  Sejarah penipuan, manipulasi, putar belit Yahudi ini akan berulang dan berulang sehingga Nabi Isa a.s dikembalikan ke dunia.

Benarkah setiap yang berkait dengan nama I S L A M itu ganas dan dipenuhi dengan keganasan terhadap manusia? Mari kita lihat sejarah keganasan untuk mengetahui siapa pengganas.

I S L A M   Membenci K E G A N A S A N

Penulis: Ibn Idris dan Ummu Abbas

 

P E N G E N A L A N

 

Dewasa ini Islam sering dikaitkan dengan pengganas dan keganasan. Apabila satu malapetaka berlaku maka ia dikaitkan secara langsung dengan Islam atau kaum muslimin. Samada malapetaka yang berlaku secara fitrah semulajadi seperti keruntuhan jambatan atau yang dilakukan oleh manusia seperti pengeboman, maka Islam sentiasa diletakkan berada di kandang orang salah sehingga dibuktikan sebaliknya (until proven otherwise).

Sumber: cache.boston.com/

Bermula dengan peristiwa 11 September 2001 (dikenali sebagai 9/11), Amerika Syarikat mengisytiharkan Perang Melawan Pengganas.   Walaupun pada realitinya, Amerika melawan ‘pengganas’ sejak sebelum peristiwa 9/11.    Bukankah Amerika menganggap dirinya polis dunia?   ‘Pengganas’ pada pandangan Amerika ialah mereka yang berusaha menegakkan cara hidup Islam serta meniupkan ruh jihad di kalangan penganut Islam.

Pada 11 September 2001 beberapa tempat di Amerika Syarikat telah dirempuh oleh kapal terbang penumpang. Sebanyak empat buah kapal terbang penumpang telah digunakan untuk memusnahkan Twin Tower World Trade Centre di New York, Pentagon dan Washington D.C. Lebih tiga ribu kematian didakwa dalam serangan tersebut. Ia diikuti dengan peristiwa pengeboman stesen keretapi di London dan pengeboman hotel di Bali dan Jakarta. Peristiwa serangan ke atas Amerika Syarikat menjadi titik tolak kepada tuduhan pejuang Islam terlibat dengan keganasan.

Umumnya tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam kejadian keganasan tersebut.   Namun dalam sesetengah keadaan, ada pula kumpulan yang mengaku pejuang Islam mendakwa bertanggung jawab melakukan kekacauan tersebut.  Samada mereka benar-benar bertanggungjawab atau hanya mendakwa untuk mendapat publisiti sahaja tidak dapat dipastikan.  Atau mungkin juga dakwaan mereka mengaku demikian juga adalah satu manipulasi berita.  Sebahagian yang lain pula mendakwa tindakan tersebut adalah jihad dalam Islam.  Bagi mereka yang memahami Islam dan syariatnya yang sempurna, serangan ke atas orang awam mustahil dilakukan kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Kemudian media massa yang rata-rata dikuasai oleh golongan anti-Islam membawa berita tersebut ke seluruh dunia. Islam digambarkan sebagai agama yang sukakan keganasan. Bahkan ada sebahagian dari pemimpin agama lain turut mendakwa bahawa Islam sukakan permusuhan dan keganasan. Perkataan seperti ini disebut oleh Pope Benedict XVI semasa ceramahnya di University of Rogensburg, German pada 12 September 2006.

Katanya,

‘Show me just what Muhammad brought that was new and there you will find things only evil and inhuman, such as his command to spread by the sword the faith he preached’.

Maksudnya:  Ini menunjukkan kepada saya bahawa Muhammad membawa suatu yang baru dan di sana kamu dapati hanya kejahatan dan perasaan tidak berperikemanusiaan, contohnya ajaran beliau untuk menyebarkan agama dengan pedang.

 

Adakah kenyataan ini satu yang benar? Bahkan sekiranya ada orang mahu kembali kepada Islam, mereka dilihat seolah-olah sukakan pembunuhan, hukuman yang keras dan tidak bertolak ansur. Kumpulan Islam dianggap kumpulan pengganas.  Parti Islam adalah parti yang sukakan keganasan.  Ulama dan pemimpin Islam yang mukmin dilabelkan penganjur perbuatan ganas.  Anak-anak dan belia Islam seolah-olah telah mempunyai genetik untuk menjadi pengganas. Kalau dahulu istilah pengganas khusus untuk komunis namun sekarang istilah ini digunakan juga untuk orang yang cintakan agama yang penuh kedamaian ini.

Tulisan kecil ini sedikit sebanyak cuba menjawab persoalan tersebut. Kita akan bincangkan siapakah pengganas, sifat-sifat Islam yang anti kepada keganasan dan akhirnya kita akan lihat kenapa Islam dikaitkan dengan keganasan.

KEGANASAN DAN PERMULAANNYA

 

1.  Definisi Keganasan

Keganasan yang kita bincangkan dalam buku ini dimaksudkan dengan perlakuan ganas, pembunuhan diluar dari batas kemanusiaan, pembunuhan orang awam yang tidak berdosa, pemusnahan tempat-tempat awam atau individu dengan tujuan menakutkan orang ramai dan penindasan kaum atau bangsa lain atau orang yang berfahaman berbeza yang dianggap sebagai kaum yang terkebawah atau warganegara kelas kedua. Di dalam Bahasa Inggeris, ianya biasa disebut sebagai terrorism atau violence atau destructive force.  Wikipedia, ensaiklopedia bebas, memberikan ciri-ciri keganasan seperti berikut; perlakuan ganas yang memusnahkan, memberi kesan psikologi dan ketakutan dalam masyarakat, matlamat menghalalkan cara, pembunuhan orang awam tidak berdosa dan gerakkerja tidak mengikut saluran undang-undang biasa.

Harun Yahya pula menekankan dua sifat utama keganasan iaitu mensasarkan orang awam dan memusnahkan keamanan.  Al-Quran memberi definisi kepada pengganas sebagai al-Mufsidiin –  ‘orang-orang yang membuat kerosakan (di atas muka bumi)’.  Perkataan  al-Mufsidiin –  antaranya disebut dalam surah al-Baqarah ayat 60,  surah Ali Imran ayat 63, surah al-Maidah ayat 64, surah al-A’raf ayat 74, 86, 103 dan 142, surah Yunus ayat 40, 81 dan 91, surah Hud,ayat 85 dan lain-lain.

 

2.  Sejarah Keganasan

Keganasan dan pembunuhan adalah sifat haiwan.  Apabila Allah menjadikan manusia, malaikat sangkakan ia seumpama haiwan.  Allah menceritakan hal ini di dalam surah al-Baqarah, ayat 30,

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُواْ أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاء وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُونَ

Maksudnya:

 

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berkata kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah (pemimpin) di bumi”Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berkata, “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

 

Hamka dalam tafsir al-Azhar menyatakan bahawa ilmu Allah mengatasi ilmu para malaikat.  Allah menciptakan manusia berlainan daripada binatang.  Penciptaan manusia juga berbeza daripada malaikat. Haiwan hanya menuruti naluri dan nafsu sahaja manakala malaikat sentiasa menuruti perintah Allah tanpa sebarang soalan. Sedangkan manusia mempunyai naluri dan nafsu serta pada masa yang sama dibekalkan akal fikiran.

Malangnya sebahagian manusia menuruti hawa nafsu dan naluri kebinatangan sehingga sanggup melakukan keganasan dan kerosakan di atas muka bumi. Lalu diutuskan para rasul untuk mengajar mereka.  Allah menjelaskan dalam surah al-Baqarah, ayat 213,

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلاَّ الَّذِينَ أُوتُوهُ مِن بَعْدِ مَا جَاءتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ لِمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللّهُ يَهْدِي مَن يَشَاء إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Maksudnya:

 

Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan nabi-nabi sebagai penyampai khabar gembira dan pemberi amaran; serta Allah menurunkan bersama nabi-nabi itu Kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjukNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).

 

                        Allah menjelaskan lagi dalam surah Yunus, ayat 19,

وَمَا كَانَ النَّاسُ إِلاَّ أُمَّةً وَاحِدَةً فَاخْتَلَفُواْ وَلَوْلاَ كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ فِيمَا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

Maksudnya:

      

Dan (ketahuilah bahawa) manusia pada mulanya tidak menganut melainkan agama yang satu (agama Allah), kemudian (dengan sebab menurut hawa nafsu dan Syaitan) mereka berselisihan. dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga hari kiamat), tentulah telah diputuskan hukuman di antara mereka (dengan segeranya di dunia) mengenai apa yang mereka perselisihkan itu.

 

Oleh itu kalau kita lihat sejarah Eropah sendiri, sangat jelas menunjukkan manusia hidup umpama binatang sekitar kedatangan Nabi Isa.  Pada waktu tersebut, perlawanan antara manusia yang dipanggil gladiator dengan haiwan ganas adalah satu perkara biasa. Sebahagian mereka berlawan sesama sendiri dengan pedang atau panah.  Pihak yang menang akan membunuh pihak yang tewas di atas pentas dipanggil arenas.  Perlawanan ini yang dipenuhi segala unsur keganasan menjadi tontonan dan hiburan kepada ribuan manusia dalam Empayar Rome pada satu-satu masa. Bahkan boleh dikatakan setiap bandar mempunyai arenas pertandingan dan pembunuhan manusia ini.  Inilah hasil daripada penyelewengan ajaran agama yang menyebabkan manusia menjadi seperti haiwan.

……bersambung…

Ummu Abbas

11.32pm

11 Rejab 1431H

Apabila Ulama Cintakan Dunia

Akan datang kepada manusia suatu masa ketika kemanisan hati berubah menjadi masin. Sehingga pada hari itu, orang yang berilmu dan mempelajari ilmu tidak dapat mengambil manfaat daripada ilmunya.

Maka hati orang-orang berilmu seumpama tanah kosong yang bergaram yang turun ke atasnya hujan dari langit maka tidak juga menjadi tawar.

Apabila condong hati orang berilmu kepada cinta dunia dan melebihkan atas cinta akhirat, maka pada saat itu dicabutlah oleh Allah sumber-sumber hikmah dan dipadamkan lampu petunjuk dari hati mereka.

Maka, akan berceritalah orang yang berilmu di antara mereka itu, ketika ia menjumpai mereka bahawa ia takut kepada Allah dengan lisannya, sementara kezaliman jelas kelihatan pada amal perbuatannya.

Alangkah suburnya lidah mereka dan tanduslah hati mereka ketika itu! Tidaklah terjadi demikian selain para guru mengajar bukan kerana Allah dan para pelajar belajar bukan kerana Allah.”

Ilmu itu bukanlah satu kemahiran bercerita tetapi ilmu itu (menimbulkan) taqwa kepada Allah.

***********

Permata hikmah di atas saya salin dari diari saya ‘Perancangan Eksekutif Islam 2009/1430’. Kali pertama saya membacanya, saya banyak termenung kerana menyuluh diri. Saya sangat-sangat bimbang tulisan-tulisan saya diblog ini seperti ‘habaa an manthuura’ [Al-Furqan; 23]. Dua tiga kali rasa mahu sahaja tutup blog ini. Namun bila mengingatkan niat dan tujuan asal membuka blog, maka saya gagahkan diri untuk terus menulis.

Lebih-lebih lagi bila teringatkan anak-anak yang masih kecil. Takdir Allah, saya menemuiNya dahulu sebelum anak-anak meningkat remaja, sekurang-kurangnya hasil tulisan saya ini ada untuk dipusakakan kepada mereka.

Simpang siur bisikan halus syaitan dan iblis harus ditepis dengan istighfar dan zikrullah. Dunia blog ada kilauan dunianya yang tersendiri. Bilangan pengunjung dan komen-komen terutama yang memuji adakah akan menyingkirkan rasa kehambaan kepada Allah? Atau pujian dan kejian itu terasa sama saja di hati? Ini yang harus dibimbangkan dan dijadikan neraca mengukur niat menulis. Justeru itu sama ada kita meninggalkan komentar atau dikomen, biarlah semuanya kerana Allah. Niat yang ikhlas itulah yang akan menyelamatkan hati kita juga hati orang lain.

Apakah kita mencari pengaruh peribadi atau semata-mata mengajak manusia mengenal dan menuju Allah? Teringat-ingat pula pada satu bait lagu Sweet Charity, ‘Aku menulis bukan kerana nama’.

Bukan Kerana Nama [Lirik]

Jangan kau pandang bibir yang manis
Kerana dia bisa menghancurkan
Jangan kau pandang wajah yang indah
Kerana dia bisa meracunmu

(chorus)
Dengarlah hai teman
Dengarkan bersama
Aku menulis bukan kerna nama
Kerna sifat kasih
Pada sesama insan
Dan menyatakan kasih sayangmu
Kita sama semuanya sama
Apa yang ada hanyalah kehidupan

Jangan kau dengar puisi dusta
Kerana dia bisa merosakkan jiwamu
Dengarkanlah puisi di pusaka
Yang telah turun temurun hari ini

Jangan kau alas hatimu itu
Dengan secebis warna kehitaman
Dialah seperti anai-anai
Lambat laun hancurlah dirimu.

Lagu Sweet Charity

Evergreen juga lagu ini ya. Sampai sekarang mesejnya yang jelas itu dikumandangkan di radio. Bila hati tergelincir dari merasa diri hamba, pautlah kembali pada kedudukannya yang asal. Hanya Allah yang layak menerima pujian dan pengaruh ke atas hamba-hambaNya.

Ayat 23 al-Furqan yang disebut di atas menyebut,

وَقَدِمۡنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُواْ مِنۡ عَمَلٍ۬ فَجَعَلۡنَـٰهُ هَبَآءً۬ مَّنثُورًا
Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan [habaa an manthura].”

Meskipun pada asalnya, ingatan ini Allah tujukan kepada mereka yang kufur. Namun sebagai orang Islam, kita belum tentu selamat dari syirik kecil yakni riyak dalam amalan. Amalan riyak juga termasuk dalam kategori ‘habaa an manthura’ – yakni bagai debu berterbangan.

Banyak lagi perkara yang saya perlu dan wajib belajar tentang dunia penulisan ini.

Ummu Abbas
5.36pm
9 Rabiul Awwal 1430H/ 6 Mac 2009

Gema ‘Kepimpinan Ulama’ di Malam ‘Countdown’

Islam Deenul Fitrah

Alhamdulillah, buat julung-julung kalinya sejak tahun 1990, Kerajaan Islam Kelantan menganjurkan sambutan tahun baru Masihi yang datang serentak dengan tahun baru Hijrah. Tujuan Kerajaan adalah memberi alternatif kaedah sambutan/ pesta yang dibenarkan syarak. Setelah sekian lama rakyat Malaysia dihidangkan pesta-pesta yang berkiblatkan barat, maka inilah satu model pesta yang akan mengundang rahmat dan reda Allah.

Sama ada Kerajaan Kelantan mahu menjadikannya acara tetap tahunan atau tidak bergantung pada situasi.

Fitrah manusia suka berpesta. Fitrah manusia mahu berkumpul berkongsi gembira dan duka. Namun manusia itu dijadikan lemah dan suka menurut nafsu syahwat yang jahat. Sebagai agama yang menepati fitrah, Islam memberi garis panduan bagaimana fitrah itu harus disalurkan. Islam tidak pernah menyekat fitrah manusia secara mutlak.

Apabila Islam menutup satu pintu kepada sesuatu perbuatan seperti haram berzina, maka secara automatik Islam membuka pintu halal kepada seks yang dinamakan nikah. Begitulah seterusnya.

Islam itu mudah dan mampu dilaksanakan oleh manusia. Allah menyebut,

وَجَاهِدُوْا فِىْ اللّٰهِ حَقَّ جِهَادِهٖ هُوَ اجْتَبٰٮكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِىْ الدِّيْنِ مِنْ حَرَجٍ‌ؕ مِلَّةَ اَبِيْكُمْ اِبْرٰهِيْمَ‌ؕ هُوَ سَمّٰٮكُمُ الْمُسْلِمِيْنَ ۙ مِنْ قَبْلُ وَفِىْ هٰذَا لِيَكُوْنَ الرَّسُوْلُ شَهِيْدًا عَلَيْكُمْ وَتَكُوْنُوْا شُهَدَآءَ عَلَى النَّاسِ‌‌ۖۚ
Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu yang berat dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu: Orang-orang Islam semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Al-Hajj 22: 78

Sambutan di Stadium

Tanggal 31 Disember 2008 bersamaan 3 Muharram 1430H, saya menemani 3 orang anak yang mahu melihat konsert nasyid di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. Syukran ya zauji yang sudi menjaga si kecil Aqil yang berusia 1 tahun 4 bulan sekarang dan Aesya yang sudah mengantuk di dalam kereta.

Kami pergi agak lewat iaitu kira-kira jam 10 malam. Sudah banyak acara terlepas. Saya sengaja pergi lewat supaya anak-anak tidak cepat jemu. Mereka mahu menunggu ‘countdown’ detik 12 malam. Sempatlah juga mereka menonton nasyid.

Malam itu hujan lebat. Saya memanjat tangga stadium kerana mahu mencari Abang Aji, anak sahabat saya (saya panggil dia Ummi) yang akan balik bersama saya nanti. Sampai di atas, baru saya sedar ia kawasan VIP. Saya hanya rakyat biasa. Nasib baik saya kenal beberapa orang VIP yang ada di situ. Antaranya Senator Mumtaz Nawi, senior saya di MMP dulu. Juga sahabat satu usrah di MMP. Nik Amalina, anak MB Kelantan duduk di sebelah Kak Mumtaz. Dia junior saya di MMP. Juga pernah sama-sama mengikuti program tarbiyah sejak di MMP. Ummi Abang Aji ada di situ. Kebetulan ada kerusi kosong, saya terus duduk di situ bersama anak-anak. Inilah bagusnya pemimpin Islam, berpangkat atau tidak dilayan sama rata. Alhamdulillah.

Bahagian depan tempat duduk, ada wakil kaum India, Siam dan Cina. Mereka duduk sebaris dengan pemimpin kerajaan Kelantan yang lain. Tema ‘Kita Bersaudara’ ditonjolkan malam itu. Objektifnya agar mereka yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama merasakan bahawa kita dari keturunan yang sama yakni Adam dan Hawa.

Lebih kurang jam 10.30 malam, Tok Guru Nik Abdul Aziz tiba. Tempat duduk Tok Guru dan isteri (yang mesra dipanggil Cik Yah) berada selang dua baris di hadapan saya.

Sinopsis sebelum program diadakan boleh dilihat di http://mynisa.multiply.com/journal/item/683/JOM_COUNTDOWN_TAHUN_2009_BERSAMA_TOK_GURU_DI_KELANTAN-31_DIS_2008. Acara dan perjalanan program boleh dilawat di http://keluargakusayang.blogspot.com/.

Pertandingan Bunga Api Antarabangsa di Putra Jaya
Pertandingan Bunga Api Antarabangsa di Putra Jaya

Laungan ‘Kepimpinan Ulama’ Bergema

Seusai Tok Guru dan isteri mengambil tempat, wakil kaum Tionghua yakni Hu Pang Chow memberi ucapan. Kemudian wakil kaum India pula berucap. Apa yang menarik, wakil kaum India menyebut bahawa mereka menyokong kepimpinan ulama. Dia berucap penuh semangat. Sahutan dari kaum India yang hadir bergemuruh di stadium. Mula-mula dia berucap dalam Bahasa Malaysia. Kemudian berucap dalam loghat Tamil. Tatkala dia berucap dalam bahasa Tamil, bergemuruh lagi sahutan dari para penyokong. Sudah tentu mereka yang menyahut berbangsa India. Kami yang Melayu, Cina dan Siam ini manalah faham apa yang mereka ucapkan.

Mengakhiri ucapannya, wakil kaum India berharap agar Kepimpinan Ulama akan menguasai bumi Malaysia. Amin. Amin. Ia menakjubkan! Non muslim menyebut tentang kepimpinan ulama dan menyokongnya sepenuh hati.

Ya Allah, Engkaulah yang menjinakkan hati-hati mereka terhadap Islam dan para ulama muttaqin. Kagum betul saya menyaksikan suasana tersebut. Lebih separuh abad Islam tulen diperjuangkan di Malaysia, berhadapan tohmahan, fitnah dan mehnah tanpa putus.. hari ini… berkat keringat, air mata dan darah para pejuang; kami dapat saksikan detik penuh indah ini. Alhamdulillah.

Saya teringatkan perjuangan Rasulullah berhadapan tohmahan demi tohmahan. Sampai ke tahap mereka katakan Muhammad itu seorang yang gila. Namun onak dan duri tetap diharungi sampai ke satu tahap Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan. Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan atas satu aqidah. Akan tiba masanya, pelbagai kaum di Malaysia ini lembut hati untuk kembali ke agama moyang mereka Adam dan Hawa yakni Islam. Islam yang indah. Islam yang damai. Islam yang tenang. Islam yang qudus.

Sekali-kali tiada paksaan untuk mereka kembali ke agama fitrah. Justeru Allah melarang kita memaksa mereka. Bahkan mereka akan menerimanya dengan dada terbuka, akal yang faham, hati yang tulus dan jiwa yang bersih.

Ya Allah! Satukanlah kami di bawah panji suciMu, Islam. Satukanlah kami di Jannatunna’im.

Amin. Ya Rabbal aalamin.

Puas hati

Saya tidak sempat menemani anak untuk countdown. Dua kali panggilan dari suami memberitahu si kecil menangis mahu tidur. Saya bawa pulang Aziz dan Azzam yang sudah mengantuk. Abbas saya tinggalkan pada Ummi. Kami keluar dari stadium dan berjalan dalam hujan lebat menuju ke kereta. Saya seronok. Saya puas hati dapat menyaksikan detik-detik indah ‘kita bersaudara’ di stadium. Abbas juga seronok kerana dapat lihat percikan bunga api. Terima kasih suamiku kerana mengizinkan daku berada di sana.

Ummu Abbas 2009
4.28pm
8 Muharram 1430H/ 5 Januari 2009