Archive | September 2011

Apa kata orang Seremban mengenai Kelantan

Syawal 1432H  menemukan saya dengan 5 ahli keluarga baru.  Setahun meninggalkan Malaysia menyirat kisah suka dan duka.   Ada yang telah pergi menemui Ilahi dan ada yang baru menjengah dunia.  Dua orang anak saudara yang dilahirkan penghujung tahun 2010, seorang kakak ipar baru dan dua orang adik ipar lelaki, alhamdulillah.   Dua orang adik perempuan menamatkan zaman dara pada Mac 2011.  Majlis walimah mereka dilangsungkan serentak.  Si Bongsu sudah bernikah pada Disember 2010 dan si kakaknya bernikah sehari sebelum kenduri.

 

Akhirnya pecah juga tradisi Ma dan Abah yang mahu bermenantukan orang Kelantan sahaja.  Kakak ipar baru orang Seremban dan seorang adik ipar lelaki merupakan orang Johor.  Rasional mahu bermenantukan orang tempatan sahaja ialah dari segi adat budaya tidak jauh berbeza.  Juga jika sakit demam, senang mahu ziarah.

 

Borak-borak Hal Semasa

 

Kakak ipar baru merupakan isteri kedua abang.  Saya tidak sempat menemuinya tahun lepas kerana datang ke Melbourne.  Namun sempat berbual melalui telefon semasa berada di KLIA menunggu saat bertolak ke sini.

 

Suatu ketika, saya, Abah, Era (kakak ipar yang usianya lebih muda dari saya), suami dan beberapa lagi ahli keluarga berada di anjung rumah.  Kami akan keluar beraya ketika itu.

 

Melihatkan kakak ipar yang baru ini peramah orangnya, saya memecah suasana  dengan soalan,

“Era, pernah datang Kelantan tak sebelum nikah dengan Abang?”

“Tak pernah”

“Ooh… jadi kali pertama Era datang Kelantan selepas nikah dengan Abang lah ye…”

“Ha..a..”

“Macam mana suasana raya di sini?  Meriah tak?”

“Meriah… sungguh meriah… Jalan jem di mana-mana…  Di Seremban pun tak macam ni…”

“Macam mana Era tengok  Kelantan di bawah 20 tahun pemerintahan Tok Guru Nik Aziz dibandingkan dengan apa yang dipaparkan media?”

“Berbeza… memang berbeza… Saya tidak sangka Kelantan begini maju”

“Sangat berbeza, kan?”

“Iye… sangat berbeza…”

“Bukan sekadar sangat berbeza… contrast lagi… betul tak?”

“Iye.. betul tu…”

“Mula-mula sampai dulu, saya terkejut kerana melihat Kota Bharu lebih kurang Seremban sahaja…bahkan pembangunannya lebih pesat.   Ia harus dibanggakan kerana Kelantan membangun secara berdikari dibandingkan Negeri Sembilan”, Era memberikan pandangannya dengan ghairah sekali.

“Kasihankan… Orang-orang luar yang percaya pada media kerajaan itu diperbodohkan”

“Betul… siapa yang percaya media kerajaan memang diperbodohkan” ujar kakak ipar  yang baru menamatkan PhDnya Jun lepas.

“Ibu ayah asal kampung mana?”

“Ayah asal orang Kuala Pilah.  Itulah, bandar-bandar kecil di Kelantan juga maju.  Saya rasa Kuala Pilah itu pun mundur 20 tahun kebelakang dibandingkan dengan beberapa bandar kecil di Kelantan ini” tambah pensyarah kejuruteraan itu lagi.

“Bolehlah bawa mak ayah datang ziarah Kelantan.  Buat rombongan orang kampung lagi bagus”

“Hmmm… mak ayah ni jenis tak suka berjalan… saya yang tinggal kat Johor tu pun malas dijenguknya”

“Ha… cepatlah pergi… cameraman dah tunggu lama tu…”  Ma menyampuk.

 

Itulah sembang santai saya bersama kakak ipar baru semasa menyambut Eidul Fitri baru-baru ini.

 

Pagi raya kedua itu, kami sudah buat temujanji untuk bergambar satu famili.  Oleh kerana studio hanya muat 40 orang sahaja, maka cameraman ditugaskan datang ke lokasi kami untuk mengambil foto famili seramai 52 orang.  Sekurang-kurangnya, dari jumlah itu, sudah  hampir separuh layak mengundi untuk PRU 13.

 

Insya Allah, daripada Abah dan Ma berdua sahaja yang mengundi PAS sebelum ini, menjadi 52 orang yang akan mengundi Pakatan Rakyat!  Amin ya Rabb!

 

Ya Allah! Menangkanlah Islam dan para mujahidin di jalanMu.

 

 

Ummu Abbas

10.56pm

15 Syawal 1432H

Ramadan: Antara Malaysia, Jordan, Mekah dan Melbourne

Kiranya belum terlewat untuk saya mencatat kenangan Ramadan 1432H di Melbourne.  Pejam celik pejam celik, sudah setahun kami bermastautin di sini.  Alhamdulillah.

Ramadan di Malaysia

Senarai kuih-muih berbuka di Malaysia:

Ondeh-ondeh

Cendol

Puding telur

Agar-agar

Tepung pelita

Karipap

Bubur

Seri Muka

Sagu gumpal

Dan banyak lagi…

Senarai Nasi dan makanan berat yang lain:

Nasi Ayam

Nasi Kerabu

Nasi Biryani

Nasi berlauk

Nasi Arab

Nasi goreng

Mi goreng kerang

Mi goreng basah

Mi hailam

Mi tomyam

Mi bandung

Mihun sup

Mihun tomyam

Mihun goreng

Dan lain-lain.

Senarai lauk pauk:

Keli tiga rasa

Siakap stim

Pari bakar

Daging bakar

Sup Ekor

Sup gear box

Sup tulang

Ayam masak merah

Ayam percik

Ayam paprik

Ikan percik

Ikan bakar asam

Ikan goreng celup tepung

Dan bermacam-macam lagi.

Senarai Minuman:

Kopi Radix

Sirap bandung

Nescafe ais

Teh Ais

Jus Epal

Jus Mangga

Jus Oren

Jus Tembikai

Air Kelapa Muda

Dan pelbagai lagi.

Juadah-juadah di atas adalah perkara biasa yang dilihat di majlis-majlis iftar dan juga di Bazar Ramadan di Malaysia.  Saya membesar bersama pelbagai juadah sejak menyambut Ramadan dari kecil.  Bertambah bilangan adik-beradik, bertambah jugalah jenis juadahnya.  Yang ini suka sirap, yang itu suka tuak, yang sana suka Teh ‘O’ panas dan lagi, dan lagi.

Ramadan di Jordan

Semasa menyambut Ramadan di Jordan, suasana juadahnya lebih ringkas.  Al-Maklum, bukannya rajin sangat menyediakan banyak juadah.  Ia juga selari buat para penuntut ilmu… makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.

Ramadan di Mekah

Paling ‘simple’ yang saya ingat ialah menyambut Ramadan di Mekah pada tahun 1996.  Bersahur dengan air Zamzam sahaja tapi badan terasa kuat mengerjakan ibadah sepanjang hari.  Alhamdulillah.  Berada di Mekah menyebabkan hati sentiasa ditarik untuk berada di hadapan Kaabah seawal mungkin.  Jadi, di waktu dinihari sejam atau dua jam sebelum Subuh, kami sudah ‘cop’ tempat di hadapan Kaabah selari dengan Multazam.  Kerana berebut tempat istimewa itu, pasal sahur- kami ber’ala kadar’ sahaja.  Hampir Subuh, kami menekan tong air Zamzam yang disediakan di setiap saf solat ke dalam gelas plastik dan bersahur dengannya.  Sambil tidak lupa berniat dan berdoa, “Ya Allah, berilah keberkatan pada air Zamzam ini sehingga kami mampu beribadah kepadaMu dalam keadaan berpuasa”.

Semasa iftar pula, masih dalam ‘mood’ mahu berada dalam saf terbaik di Masjidil Haram, kami sudah bersila di hadapan juadah berbuka yang di hidang di kawasan lapang di luar masjid.  Juadahnya ‘simple’ sahaja.  Air Zamzam dan kurma.  Itu yang saya ingat.  Selepas solat Maghrib, baru kami mengatur langkah ke kedai makan berhampiran dan makan seadanya.  Pernah sekali mendapat jemputan berbuka dari kenalan Pattani, Ukht Sa’diyyah (Semoga Allah sentiasa merahmati beliau dan memberi perlindungan kepadanya).  Sa’diyyah dilahirkan di Mekah dan membesar bersama keluarganya di pinggir bukit di Syib ‘Ali.  Familinya merupakan Tuan Rumah semasa kami mengerjakan Haji tahun 1995.  Kami yang datang ‘last minute’ hanya menumpang di rumah keluarganya kerana semua hotel sudah penuh.  Dia menjadi rakan baik saya, alhamdulillah.   Saya menziarahinya semasa mengunjungi Mekah pada Ramadan 1996.  Lalu Sa’diyyah menjemput saya berbuka di rumahnya.  Seingat saya, hidangannya banyak dan sedap-sedap pula.

Ramadan di Melbourne

Pengalaman memandu saya untuk memilih yang terbaik buat diri sendiri dan ahli keluarga.  Namun agak sukar mempraktikkannya jika berada dalam suasana Malaysia.  Anak-anak (dan mungkin juga diri sendiri..hehe..) menjadi rambang mata bila ke Bazar Ramadan.  Kesudahannya, ada sahaja makanan yang terbazir begitu sahaja.  Ada masa kita bertegas.  Banyak masa juga, kita menurut sahaja kerana mahu meraikan ‘puasa’ anak-anak.  Mereka baru belajar berpuasa, jadi biarlah ada sesuatu yang menyebabkan mereka merasa seronok menyambutnya.  Salah satunya ialah membiarkan mereka memilih makanan kegemaran asalkan halal serta tidak memudaratkan kesihatan.  Mahu menepati konsep “halalan toyyiba”, insya Allah.

Berada di Melbourne tahun ini, baru terasa luar biasa menyambut Ramadan bersama famili.  Semasa kami tiba di sini Ramadan tahun lepas, suami belum sibuk kerana belum mendaftar dengan universiti.  Tahun ini, suami sentiasa pulang selepas waktu iftar.  Ini kerana waktu berbuka kira-kira jam 5 pm-5.30pm.  Suami sampai ke rumah jam 6pm ke atas.  Ketiadaan suami semasa iftar menyebabkan saya dapat meminimumkan hidangan berbuka.  Suami akan makan apa sahaja yang ada selepas pulang.  Anak-anak pula tidak begitu cerewet mahu banyak juadah.  Asalkan ada sejenis makanan kegemaran mereka, sudah cukup.  Alhamdulillah.

Kadang-kadang saya ingatkan diri sendiri dan anak-anak akan nasib umat Islam di tempat lain seperti di Somalia dan lain-lain.

Biasanya, saya hanya perlu sediakan nasi, sejenis lauk dan sejenis sayur-sayuran sahaja.  Juadah ringkas yang pernah dihidangkan pula ialah Nasi Goreng Pattaya atau Nasi Maqlubah.  Kuih muih dan juga minuman juga sejenis sahaja.  Kadang-kadang tiada langsung.  Dapatlah saya mengamalkan sunnah dengan hanya berbuka dengan kurma  tanpa kuih muih yang lain.  Inilah kesan positif hidup di tempat yang tiada Bazar Ramadan.

Ada juga warga Melayu yang mengusahakan Bazar Ramadan di hujung-hujung minggu.  Satunya di rumah yang dipilih.  Satu lagi di Malaysian Hall.  Namun tarikan untuk ke sana tidak kuat buat kami.  Selain kedudukan Malaysian Hall yang jauh dari rumah,  tukaran wang AUD ke RM juga adalah tinggi menyebabkan kami terpaksa berjimat cermat berbelanja.   Sementelah kami akan pulang ke Malaysia 5 hari sebelum raya dan menyambut Eidul Fitri di Malaysia.  Jadi saya memujuk anak-anak agar bersabar dahulu.  Hanya sekali kami sempat mengunjungi Bazar Ramadan di Malaysian Hall.

Semasa sahur juga, jarang sekali kami makan nasi atau minum minuman manis.  Tambahan anak-anak sering diingatkan akan bahaya mengambil gula terlalu banyak.  Saya sendiri cukup dengan susu segar yang diminum bersama minyak habbatus sauda’.

Suami pula lebih suka banyak makan buah-buahan segar dibandingkan kuih muih.  Bertambah ringan kerja saya :).

Bagi saya, hampir sebulan menyambut Ramadan di Melbourne tahun ini memaknakan Ramadan yang luar biasa buat famili.  Luar biasa kerana dapat lari dari kebiasaan bermewah-mewahan dengan pelbagai juadah di Malaysia.  Luar biasa kerana lebih dapat menghayati Ramadan sebagai bulan merawat perut dan bukannya bulan memenuhkan perut selepas berpuasa pada siangnya.  Luar biasa kerana taqwa dalam memilih, menyedia dan menghadapi makanan dapat ditingkatkan, bukan sahaja untuk diri sendiri, bahkan untuk ahli keluarga juga, insya Allah.

وكُلُواْ وَٱشْرَبُواْ وَلاَ تُسْرِفُوۤاْ إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ ٱلْمُسْرِفِينَ

Makan dan minumlah serta jangan membazir.  Sesungguhnya Dia tidak suka kepada orang-orang yang membazir.

Surah al-A’raaf:31

Moga ijazah taqwa buat kami tahun ini mendapat ‘excellent’ di sisiNya.  Ameen.

Ummu Abbas

10 Syawal 1432H

1.03pm

Coretan Hidup: Kembali ke Melbourne

8.50am waktu Australia:  Alhamdulillah, selamat tiba di Melbourne setelah bercuti kira-kira 10 hari di Negeri Serambi Mekah.  Kami pulang ke Kota Bharu pada 25 Ogos, bertepatan hari ulangtahun Aqil- anak ke lima.

 

Laptop dibawa pulang kononnya mahu mengisi masa terluang untuk menulis dan sebagainya, namun takdir menyaksikan tugasan wajib lebih banyak dari masa yang ada.  Saya terpaksa bercuti dari internet, Facebook dan blog.  Mohon maaf bebanyak kepada yang meninggalkan soalan dalam tempoh tersebut.

 

Rumah kami diberi sewa.  Jadi kami ‘terpaksa’ bergilir-gilir tidur di rumah orang tua.  Jarak antara rumah saya dan rumah mertua kira-kira 25 minit perjalanan.  Sebenarnya, saya tidak rasa terpaksa pun sebab sejak menetap di Kelantan tahun 2000, kami tidak lagi pulang bermalam di rumah orang tua kecuali jika suami ke luar negara.  Itu pun jarang sekali.  Kami hanya pulang menjengah melihat keadaan ibubapa dan pulang tidur di rumah sendiri.   Eidul Fitri tahun ini merupakan peluang untuk kami bersama kedua orang tua sebanyak masa yang ada… mana yang termampulah.  Sekurang-kurangnya, itulah ‘mind set’ yang saya bina sebelum pulang beraya di kampung.

Bermalam bergilir tempat ini sebenarnya agak meletihkan semasa anak-anak baru seorang dua.  Keletihan berganda bila anak-anak sudah mencecah 6 orang begini.   Urusan yang paling banyak perlu diberi perhatian ialah menguruskan pakaian.  Memang susah membasuh di sebuah rumah, kemudian bermalam di rumah lain kecuali kain baju yang basah itu diangkut dan dijemur di tempat kita akan bermalam.  Banyak lagilah yang perlu diuruskan.  Selain kepenatan menguruskan pakaian, dari segi masa, bergilir rumah juga kurang efektif.  Masa yang banyak diluangkan untuk menguruskan kain baju dan mengangkutnya ke sana ke mari itu boleh diluangkan untuk perkara lain jika kita menetap di suatu tempat sahaja.  Oh Tuhan…  betapa dapat dirasakan beban kehidupan Sang Badwi di padang pasir yang berpindah randah.  Itu baru sahaja mengangkut kain baju, bukan lagi periuk belanga, khemah dan bekalan makan minum.

Selain itu,  tinggal di rumah orang tua yang ada ipar duai ini menghadkan kebebasan muslimah seperti saya membuka tudung dan memakai pakaian yang seksi-seksi…hehe.   Umur yang kian meningkat tidak ‘menyurut’ fitrah suka ber’jangok’ (kata orang Kelantan. Maksud ‘jangok’ ialah ‘hias’).   Namun fitrah itu hanya ekslusif untuk suami tercinta.  Tidak boleh kongsi dengan sebarang lelaki yang tidak pernah membayar ‘mas kahwin’ untuk kita… hehe… Semasa raya baru-baru ini, saya teramatlah kehairanan melihat ramai lagi para anak dara dan isteri yang suka berhias untuk lelaki ajnabi yang lain… walhal Allah beri nikmat lelaki yang halal buat mereka.  Entahlah ye…  Apalah yang ‘best’ ber’jangok’ untuk lelaki yang tidak halal… Selain mengaut dosa percuma.  Tidak perlu bayar mahar dan tidak perlu akad nikah pun, free-free je dapat jamu mata memandang kita… eeei… malulah I!  Si suami pula terkulat-kulat sahaja menyaksikan kecantikan dan keghairahan isteri dijamu lelaki lain.  Buat penat sahaja bayar mahar dan akad nikah.

Tinggal bersama ipar duai juga menyebabkan selepas mandi, kita perlu memerap dalam bilik dahulu untuk mengeringkan rambut.  Biasanya, tidak sempat kering rambut, sudah perlu keluar dari bilik untuk ke dapur dan uruskan anak-anak.  Alternatif saya semasa balik baru-baru ini ialah bangun mandi pukul 4 pagi.  Jadi selepas solat Subuh, sekurang-kurangnya rambut sudah hampir kering.  Tahu sendirilah bila pakai tudung dalam keadaan rambut basah… rambut mudah rosak.

‘Ala kullihaal… dalam kelemahan yang ada bila bergilir rumah dan tinggal bersama ipar duai ini, kami merasa gembira melihat kedua ibubapa sihat dan gembira dengan kunjungan kami bersama  cucu-cucu mereka.  Lebih istimewa lagi, ini kali pertama Aleeya yang dilahirkan 1 Mac 2011 di Melbourne berkunjung ke kampung datuk nenek mereka.

Untuk 10 hari menjadi ‘Badwi’, bolehlah tahan lagi.  Namun untuk lebih dari itu, mahu pengsan saya dibuatnya.  Apatah lagi, saya punya bayi berusia 6 bulan yang menyusu penuh.  Stamina tidak sama dengan ibu-ibu yang tidak punya anak kecil.

Semoga Allah ampuni dosa-dosa saya.

Astaghfirullah.

Wassalam.

Ummu Abbas

12.22pm

8 Syawal 1432H