“Surah Al-Mulk (Kerajaan): 5 Minit Yang Menyelamatkan”

Kadang-kadang, dalam sibuknya menjalani urusan harian, kita mungkin tidak tahu atau terlupa bahawa ada satu amalan kecil… sangat kecil… namun mampu memberi kesan yang luar biasa pada hidup selepas kita meninggalkan dunia ini. Amalan itu bukan berat, bukan panjang, tidak pun memerlukan tenaga — cuma beberapa minit sebelum tidur.

Surah Al-Mulk.


Surah yang Nabi ﷺ sendiri sebut kelebihannya dengan begitu jelas. Dalam sebuah hadis, Baginda bersabda bahawa ada satu surah dalam Al-Quran, 30 ayat, yang akan memberi syafaat kepada pembacanya sehingga diampunkan dosanya. Itulah Surah Al-Mulk — surah yang menjadi penyelamat.

Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

(Al-Mulk 67:19)

Nabi SAW bersabda:

إِنَّ سُورَةً فِي الْقُرْآنِ ثَلاَثُونَ آيَةً شَفَعَتْ لِصَاحِبِهَا حَتَّى غُفِرَ لَهُ : تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ

MaksudnyaSesungguhnya surah dalam al-Quran padanya 30 ayat, dapat memberi syafaat kepada seorang lelaki sehingga diampunkan. Ia adalah surah al-Mulk.

Riwayat Ibn Majah (3786)

Hadis lain menyebut Nabi SAW bersabda,

سورةٌ تشفعُ لقائلِها ، وهي ثلاثونَ آيةً ألا وهي تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ

“Ada suatu surah dari Al-Quran yang terdiri dari tiga puluh ayat dan ia dapat memberi syafaat bagi yang membacanya, sehingga dia diampuni, iaitu; “Tabãrakallazhì bi yadihil mulk” .

                                                                                                   (Riwayat Abu Daud: 1400)

Bayangkan…
Saat kita sudah tidak punya suara untuk membela diri.
Saat tiada lagi keluarga, kenalan, harta, pangkat dan status boleh menolong.
Saat kita benar-benar sendirian.

Tiba-tiba datang satu surah…
yang kita baca setiap malam dahulu
bangkit membela, menutup kekurangan kita, mempertahankan kita di hadapan Allah sambil mengatakan;

“Ya Allah, aku tidak akan tinggalkan dia… maka Engkau jangan tinggalkan dia.”

Masya-Allah. Inilah Surah Al-Mulk — pembela setia pada hari yang semua manusia mencari perlindungan.

Lebih indah lagi?
‘Peguam’ ini free of charge.
Tidak seperti peguam di dunia yang memerlukan wang untuk berbicara bagi pihak kita, Surah Al-Mulk tidak meminta bayaran satu sen pun.
Ia cuma meminta… 5 hingga 10 minit sehari.

Tidak perlu modal.
Tidak perlu meeting.
Tidak perlu appointment.
Cuma bacaan yang sederhana — tetapi ganjarannya luar biasa.

Jika hari ini kita boleh luangkan masa 10 minit untuk menatal media sosial sebelum tidur, maka pasti kita mampu luangkan masa yang sama untuk Surah Al-Mulk — surah yang kelak akan menjaga kita ketika semua manusia bertebaran mencari pertolongan.

Mulakan malam ini.
Buka mushaf.
Selak ke Surah Al-Mulk.
Baca perlahan-lahan.
Hadirkan hati.
Dan biarkan surah itu menjadi teman setia dunia dan akhirat.

Kerana satu hari nanti… ketika semua yang kita sayang tidak lagi mampu menemani… Surah Al-Mulk akan datang dan berkata:
“Aku pernah menemani dia setiap malam. Hari ini, biarlah aku menjadi pembelanya.”

Al-Quran senantiasa mengajak kita memerhati kejadian alam dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Daripada Ibn Abbas r.a, beliau berkata, beberapa orang sahabat Nabi menggali tanah tanpa menyangka itu adalah kubur. Maka didapati padanya seorang lelaki yang membaca Surah al-Mulk hingga tamat. Lantas beliau menemui Nabi SAW lalu berkata:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : هِيَ الْمَانِعَةُ ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.

MaksudnyaYa Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki membaca surah al-Mulk sehingga khatam. Maka jawab Baginda SAW, surah tersebut adalah penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur.

Riwayat al-Tirmizi (2890)

Semoga Allah menjadikan kita antara hamba yang dicintai dan dilindungi oleh kalam-Nya.


Amin.

Ummu Abbas
11 REJAB 1447H/ 1.01. 2026

Negeri Tadahan Wahyu

Tinggalkan komen

Saya Ummu Abbas

Selamat datang ke blog saya :) Tempat saya berkongsi secebis ilmu dan pengalaman. Semoga bermanfaat.

Let’s connect