Nur Madihah dalam Akhbar Jordan

Wartawan Jordan, Abdullah al-Sawalihah telah menemubual Nik Nur Madihah melalui email mengenai hasratnya menyambung pelajaran di Jordan University of Science and Technology (JUST- http://www.just.edu.jo/index/default.aspx )

Berita mengenainya disiarkan akhbar Fact International (Lihat http://www.factjo.com/fullnews.aspx?id=8181) pada 30 April 2009.

Wartawan tersebut telah menemubual 4 orang siswazah dari universiti-universiti Jordan yang sudah berkerja di tanah air mengenai pengalaman mereka belajar di sana. Nur Madihah pula merupakan individu kelima ditanya kenapa beliau memilih Jordan.

Madihah menjelaskan bahawa dia mendapat khabar positif mengenai suasana belajar di Jordan. Bapanya dan beberapa orang guru turut menasihati agar beliau menyambung pelajaran di Jordan memandangkan suasana masyarakat di sana lebih terkawal.

Madihah menambah lagi, dia mendapat banyak tawaran untuk menyambung pelajaran di negara-negara di Eropah namun dia menolaknya. Rasional yang diberikan ialah Jordan lebih baik dari aspek masyarakatnya yang muslim dan Arab yang mana dia boleh mendalami lagi Bahasa Arab dan menguasainya. Madihah turut menyatakan, “Apa yang pernah saya belajar di Malaysia belum memadai untuk menjadikan saya seorang gadis muslimah mukminah sebagaimana yang dituntut.”

Madihah menerima biasiswa daripada Bank Negara Malaysia bagi menyambung pelajarannya selama 4 tahun dalam bidang Fizik di Jordan University of Science and Technology.

Ummu Abbas
3.59pm
8 Jamadil Awwal 1430H

Suami Teladan

Seorang suami mengadap makan tengahari seperti biasa. Ditemani isteri tercinta.

Isteri yang baik itu tertunggu-tunggu reaksi suaminya. Hari itu, semasa sedang memasak, baru si isteri sedar bahawa garam sudah habis.

Suaminya terus menyuap makanan tanpa apa-apa respon. Diam sahaja.

Selesai makan, suami tersebut keluar untuk membeli garam. Dia tidak marahkan isterinya apa lagi merungut-rungut masakan tidak sedap.

Sebenarnya, menjadi kebiasaan keluarga ini, suami yang akan membeli keperluan rumah.

Cerita ini saya dapat dari isteri itu tadi. Mengetahui hal itu, saya teringat kembali buku karangan yang ditulis oleh suami yang baik itu berjudul, ‘Tuntunan Jiwa’. Memang sesuai sangat penulisnya dengan apa yang ditulisnya.

Ummu Abbas
10.56am
27 Safar 1430H/ 23 Februari 2009M

Jam… Masa!

Semasa saya tingkatan 2, ada seorang ustaz yang disayangi ramai murid. Fizikalnya tidaklah hebat namun sentiasa tersenyum, menyimpan janggut, sentiasa berserban, warak dan lucu.

Pelajar-pelajar yang nakal pun ‘respek’ kat ustaz ni. Lemah lembut percakapannya dan empati sifatnya.

Suatu hari dia masuk ke kelas kami. Dia mengajar subjek Akhlak (sesuai dengan orangnya). Antara perkara yang dia pernah ajar kami ialah dia mencadangkan agar memakai jam di tangan kanan.

Kebanyakan orang pada masa itu memakai jam di tangan kiri. Sekarang pun mungkin macam tu kot ye… Saya dah lama tak pakai jam. Guna jam handphone sahaja.

Alasan dia ialah Islam menggalakkan membuat perkara baik menggunakan tangan kanan seperti mengambil makanan dan sebagainya. Jam adalah penunjuk kepada masa. Masa pula adalah emas bagi orang mukmin untuk memenuhkannya dengan amal soleh. Jadi eloklah dipakai di tangan kanan.

Ketika sedang mengajar, dia melihat jam di tangan kanannya, tiba-tiba dia berkata,

“Inna lillahi wainna ilaihi raaji’uun”

“Kenapa Ustaz… ada sesiapa yang mati ke?” Tanya seorang rakan kelas kami.

Kami yang lain pun teruja mahu tahu. Mungkin ada saudara mara Ustaz terdekat sedang sakit tenat dan sedang nazak sebelum Ustaz masuk ke kelas kami tadi.

“Jam ana ni yang mati”, jelas Ustaz selamba.

Kami tergelak. Suspen dibuatnya. Baru kami perasan, Ustaz seorang yang menepati masa. Jadi dia selalu cek jam sebelum habis waktu kelas dia. Dia bimbang terambil waktu guru-guru lain.

Ummu Abbas
23 Safar 1430/19 Februari 2009
9.25am

Artikel Import: Biasiswa Post-Grad

Jam 2.30 petang hari ini, kekasih saya (suami) akan hadir temuduga untuk biasiswa PhD. Artikel ini sudah lama saya simpan untuk kegunaan sendiri suatu hari nanti. Hari ini saya paparkan di sini sebagai sokongan kepada kekasih dan juga pembaca am yang memerlukan.

Satu tip dari sahabat saya yang pernah hadir temuduga untuk dapatkan biasiswa ialah;

Hadir dengan rasa rendah diri kepada Allah. Kita sememangnya punya kelebihan, justeru kita layak dipanggil temuduga. Namun pergantungan hendaklah sepenuhnya kepada Allah Yang Maha Memberi Rezeki. Usaha-usaha kita hanyalah sebagai memenuhi sunnatullah yang mengadakan sebab musabbab.

Ya Allah, lapangkanlah dada suamiku, lancarkanlah lidahnya, murahkanlah rezeki kami dan permudahkanlah urusannya. Amin… Ya Rabbal Alamin.
Salam dan selawat buat kekasihMu Muhammad, ahli keluarga, sahabat-sahabat semuanya.
Ok…selamat membaca.

Sumber: http://ridzwan-bakar.blogspot.com/

Monday, November 17, 2008

Biasiswa Post-Grad

Pembaca budiman,
Alhamdulilah kelmarin saya dijemput untuk menjadi ahli panel temuduga untuk calon PHD dan Sarjana bagi sebuah Yayasan milik GLC. Kegembiraan tersemat di hati dengan jemputan dan pengiktirafan sebegini. Inilah satu lagi ruang untuk saya membantu membina generasi muda.

Rata-rata calon yang hadir memiliki CGPA yang cemerlang. Yayasan ini juga menetapkan CGPA minimum 3.6 untuk pengajian Masters dengan pengalaman kerja 5 tahun. Persaingan untuk merebut 3 tempat untuk tajaan universiti ternama di luar negara ini agak sengit jika diukur dari sudut akademik. Cuma 3 calon sahaja yang akan dipilih dari senarai seramai 18 orang yang telah menetapi kriteria.

Penilaian untuk mendapat biasiswa ini bukan berdasarkan kepada academic excellence semata-mata. Kebanyakkan calon silap perhitungan. Bagi saya, sudah tentu panel akan melihat dari sudut kepimpinan, emosi dan spiritual. Ada calon yang memberi isyarat badan seolah-olah mereka kecewa kerana gagal menjawab soalan teknikal dan ketidak mampuan mengolah kedudukan ekonomi dunia dan ekonomi Malaysia. Ada juga calon yang suka sangat ketawa di sepanjang sessi temuduga, ada juga yang ’kaki goreng’, ada juga yang cuba mengajar penemuduga dan ada juga yang tidak pandai mengambil hati penemuduga. Bagi calon PHD pula kebanyakkannya tidak bersedia bahkan gagal memahami apa itu ’research methodology’.

Sekiranya anda atau anak-anak anda bakal melalui proses permohonan biasiswa, tips berikut boleh membantu.

1. Ucapkan assalamualaikum dan hulurkan tangan untuk bersalam dengan ahli panel.
2. Senyum
3. Perkenalkan diri, latar belakang keluarga dan tahap akademik
4. ’Market’ diri sebaik mungkin dengan berhati-hati.
5. Jujur dan berterus terang. Bila di tanya soalan ’research methodology’, tidak perlulah goreng penemuduga seolah-olah penemuduga tidak tahu. Jika tidak pasti, katakan ”saya belum menguasai ilmu ini tuan”.

6. Buat homework dan tunjukkan minat dan kesungguhan kenapa saya layak mendapat biasiswa ini. Ada calon masters yang datang tidak bersedia, contohnya bila penemuduga bertanya ”Apakah pilihan universiti anda?” atau ”Berapa skor IELTS, GMAT / TOEFL yang anda sudah perolehi?” . Elakkan bertanya kembali kepada penemuduga seperti ”Oh… kena cari universiti dulu ke?” atau ”Kena ambil TOELF ke?” Atau ”apa itu IELTS/GMAT?”

7. Bagi calon PHD, hadirlah dengan persiapan ’research proposal’ anda. Tidak perlulah penemuduga tercari-cari apa sebenarnya yang anda ingin lakukan. Juga tunjukkan keseriusan anda dengan menerangkan ’literature review’ yang anda telah menelaahnya.

8. Elakkan meletakkan kepentingan diri dari kepentingan masyarakat atau organisasi/majikan. Jangan jadikan biasiswa sebagai batu loncatan untuk kepentingan diri. Contohnya: “Selepas tamat PHD, saya hendak jadi pensyarah di Universiti”. Penemuduga tidak berminat dengan jawapan sebegini. Mungkin untuk jawatan pensyarah universiti, jawapan sebegini sesuai. Penemuduga bagi maksud Yayasan GLC ini mengharapkan bakal Dr ini akan menjadi bakal pemimpin, bakal CEO atau memimpin team konsultansi. Ini adalah biasiswa Top 20 University dunia bagi membina barisan pelapis untuk menerajui korporat Malaysia.

9. Berdoa dan mohon kepada Allah. Kepandaian kita bukanlah faktor utama untuk kita memiliki biasiswa atau sesuatu perkara, kerana pemilikan abadi dan mutlak adalah kepunyaan Allah.

Kesimpulannya, terlalu banyak kelemahan yang dilakukan oleh anak-anak muda kita walaupun CGPA mereka melebihi 3.6. Jika mereka tidak menunjukkan kesungguhan dan minat, bagaimana mungkin penemuduga berminat dengan mereka? Ini adalah sessi sembang biasiswa top 20 universiti dunia, bukan sembang kopitiam.

ridz