Semasa saya tingkatan 2, ada seorang ustaz yang disayangi ramai murid. Fizikalnya tidaklah hebat namun sentiasa tersenyum, menyimpan janggut, sentiasa berserban, warak dan lucu.
Pelajar-pelajar yang nakal pun ‘respek’ kat ustaz ni. Lemah lembut percakapannya dan empati sifatnya.
Suatu hari dia masuk ke kelas kami. Dia mengajar subjek Akhlak (sesuai dengan orangnya). Antara perkara yang dia pernah ajar kami ialah dia mencadangkan agar memakai jam di tangan kanan.
Kebanyakan orang pada masa itu memakai jam di tangan kiri. Sekarang pun mungkin macam tu kot ye… Saya dah lama tak pakai jam. Guna jam handphone sahaja.
Alasan dia ialah Islam menggalakkan membuat perkara baik menggunakan tangan kanan seperti mengambil makanan dan sebagainya. Jam adalah penunjuk kepada masa. Masa pula adalah emas bagi orang mukmin untuk memenuhkannya dengan amal soleh. Jadi eloklah dipakai di tangan kanan.
Ketika sedang mengajar, dia melihat jam di tangan kanannya, tiba-tiba dia berkata,
“Inna lillahi wainna ilaihi raaji’uun”
“Kenapa Ustaz… ada sesiapa yang mati ke?” Tanya seorang rakan kelas kami.
Kami yang lain pun teruja mahu tahu. Mungkin ada saudara mara Ustaz terdekat sedang sakit tenat dan sedang nazak sebelum Ustaz masuk ke kelas kami tadi.
“Jam ana ni yang mati”, jelas Ustaz selamba.
Kami tergelak. Suspen dibuatnya. Baru kami perasan, Ustaz seorang yang menepati masa. Jadi dia selalu cek jam sebelum habis waktu kelas dia. Dia bimbang terambil waktu guru-guru lain.
Ummu Abbas
23 Safar 1430/19 Februari 2009
9.25am
🙂 sapa ustaz ni ya? tak boleh nak ingat balik la
Ustaz Mokhtar, anak-anak dia; Kak Maznah, Mukrimah dan Mahiyana. Dah ingat kan? 🙂