Rasa Bersalah Merupakan Nikmat Dari Allah

Saya pernah membuat kesilapan besar dalam hidup saya..saya rasa sangat menyesal…rasa bersalah selalu menghantui hidup saya …kini saya menjadi seorang yg pendiam dan xda semangat nak teruskan hidup

Rashela

Jawapan:

Assalamu’alaykum wbh adik Rashela,

Seseorang yang melakukan kesalahan kemudian merasa dirinya bersalah lebih baik dari mereka yang beramal soleh kemudian merasa dirinya suci bersih.

Yang terbaik di antara keduanya ialah mereka yang beramal soleh, kemudian merasa dirinya lemah tidak berdaya kecuali dengan pertolongan dan kekuatan dari Allah semata. Mereka juga sentiasa beristighfar dari dosa yang disedari mahupun tidak disedari.

Adik Rashela yang dikasihi Allah,

Tatkala terdetik rasa bersalah dan menyesal dalam diri yang telah melakukan dosa, di sana Allah sedang memandangmu dengan penuh kasihan belas dan kasih sayang.

Rasa menyesal itu merupakan taufik dari Allah agar dirimu tidak meninggalkanNya jauh dan semakin jauh.

Rasa bersalah yang menghantui itu pula merupakan dorongan dari Allah agar segera bertaubat kepadaNya.

Syaitan amat takut pada setiap hamba yang menyedari kesalahannya. Iblis tidak mahu manusia bertaubat dari perbuatan salah yang pernah dilakukan. Iblis tahu bahawa Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang pada setiap dosa-dosa kecuali dosa syirik.

Adik Rashela yang disayangi Allah,

Daripada benih ‘menyesal’ dan ‘rasa bersalah’ itu, Allah mahukan pohon taubat dari kita.

img_2416

Mari sama-sama kita hayati pesanan dan bujukan dari Allah ini pada kita, makhlukNya. Dengan lemah lembut Allah berkata,
يا ابن آدم إنك ما دعوتني ورجوتني غفرت لك على ما كان فيك ولا أبالي، يا ابن آدم لو بلغت ذنوبك عنان السماء ثم استغفرتني غفرت لك ولا أبالي، يا ابن آدم إنك لو أتيتني بقراب الأرض خطايا ثم لقيتني لا تشرك بي شيئا لأتيتك بقرابها مغفرة .
Maksudnya:

Wahai Anak Adam!

Selagimana engkau merayu padaku dan mengharapkan daku, Aku ampunkan segala kesalahanmu dan Aku tidak pedulikannya lagi.

Wahai Anak Adam!

Sekiranya dosa-dosamu memenuhi langit, kemudian engkau memohon maaf kepadaKu, nescaya Aku maafkan dirimu serta Aku tidak pedulikannya lagi.

Wahai Anak Adam!

Sekiranya engkau datang kepadaKu dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian engkau menemuiKu dalam keadaan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh isi bumi pula.

Hadis direkodkan oleh Imam al-Tirmizi. Dia mengatakan hadis ini Hasan Sahih.

Syarat-syarat Taubat Diterima di Sisi Allah

1. Menyesal bersungguh-sungguh terhadap dosa yang pernah dilakukan dan berazam untuk tidak kembali lagi melakukan dosa tersebut.

2. Memohon ampun walau sebesar mana dosa yang pernah dilakukan dengan penuh harapan agar Allah memaafkan.

Allah berjanji mengampunkan dosa-dosa melalui ayat 110 Surah al-Nisa’,

وَ مَنْ يَّعْمَلْ سُوْٓءًا اَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهٗ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللّٰهَ يَجِدِ اللّٰهَ غَفُوْرًا رَّحِيْمًا‏

Maksudnya:

Sesiapa yang melakukan perkara buruk atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan dapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah berjanji mengabulkan doa melalui ayat 60, Surah Ghafir,
وقال ربكم ادعوني أستجب لكم إن الذين يستكبرون عن عبادتي سيدخلون جهنم داخرين

Maksudnya:

Allah telah berkata; Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku perkenankan doamu.

Syarat doa diperkenankan ialah dengan berdoa sepenuh hati.

ادعوا الله وأنتم موقنون بالإجابة، واعلموا أن الله لا يستجيب دعاء من قلب غافل لاه

Maksudnya:

Berdoalah kepada Allah dalam keadaan
kamu yakin Allah akan memperkenankannya. Sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan tidak bersungguh.

Hadis direkodkan oleh Imam al-Tirmizi.

3. Tauhid yang benar. Maksudnya akidah kita betul dengan mengesakan Allah sebagai Tuhan yang layak disembah.

Adik Rashela yang dikasihi Allah,

Bagaimana Rashela rasa setiap kali selepas mandi? Apatah lagi jika Rashela mandi menggunakan sabun dan syampu yang aromanya semerbak wanginya?

Badan terasa segar dan cergas kembali, bukankah begitu?

Begitulah hidup kita adikku, dosa-dosa ialah kotoran yang menggelapkan hati menyebabkan hidup terasa tidak ceria dan bersemangat.

Basuhlah dosa-dosa dengan solat dan taubat.

Hargailah nikmat ‘menyesal’ dan ‘rasa bersalah’ yang Allah campakkan dalam diri Rashela. Sambutlah lambaian Allah tersebut dengan kembali kepadaNya dengan sebenar-benar kembali.

Taubat yang bersungguh dan doa yang penuh mengharap itu akan menyegarkan jiwamu semula.

Pedulikan apa kata orang padamu. Apa yang penting Allah sangat luas rahmat dan keampunanNya.

Ingatilah, saat sakaratulmaut menjemput kita, Allah satu-satunya zat yang dapat menyelamatkan kita.

Walau sejuta pujian atau sejuta kejian manusia terhadap kita sedikit pun tidak dapat membantu kita saat penuh debaran itu.

Pandanglah hari ini dan hari yang akan datang kerana Allah sudi mengampunkan dosa-dosamu.

Selaklah lembaran ‘Surat Cinta Ilahi’ yakni al-Quran setiap hari.
Di sana, akan kau temui siraman demi siraman kasih Allah padamu yang tidak bertepi.

Akhir kata, Allah yang Maha Mengetahui tahu bahawa akan ada saat-saat manusia dihambat rasa putus asa dan lemah semangat. Justeru awal-awal lagi Allah rakamkan dalam al-Quran ayat 53 hingga ayat 54 Surah al-Zumar,

قُلْ يٰعِبَادِىَ الَّذِيْنَ اَسْرَفُوْا عَلٰٓى اَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوْا مِنْ رَّحْمَةِ اللّٰهِ‌ؕ اِنَّ اللّٰهَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ جَمِيْعًا‌ؕ اِنَّهٗ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ‏

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Ayat 53

وَاَنِيْبُوْۤا اِلٰى رَبِّكُمْ وَاَسْلِمُوْا لَهٗ مِنْ قَبْلِ اَنْ يَّاْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنْصَرُوْنَ‏
Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah sepenuh hati kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan lagi. Ayat 54

وَاتَّبِعُوْۤا اَحْسَنَ مَاۤ اُنْزِلَ اِلَيْكُمْ مِّنْ رَّبِّكُمْ مِّنْ قَبْلِ اَنْ يَّاْتِيَكُمُ الْعَذَابُ بَغْتَةً وَّاَنْتُمْ لَا تَشْعُرُوْنَۙ‏
Serta turutilah sebaik-baik apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhanmu (yakni al-Quran sebagai panduan hidup), sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedangkan kamu tidak menyedarinya.
Ayat 55

Saya mencadangkan Rashela baca penerangan Hadis 42 dalam buku Syarah Hadis 40 Imam Nawawi. Pengarangnya ialah Dr Mustafa al-Bugho dan Muhyiddin Misto.
Terdapat syarahan panjang lebar berkenaan taubat dan keluasan rahmat Allah.

Insya Allah, dengan ilmu mengenal Allah, kita akan lebih dekat denganNya dan semakin berwaspada dengan bisikan-bisikan iblis. Iblis hanya mahu menambah kawan di neraka sedangkan Allah mahu kita menikmati ketenangan hidup di dunia dan bahagia di akhirat.

Apa yang baik milik Allah jua.

Ummu Abbas
6.08pm
1 Rabiul Akhir 1430H

Tak Kenal Maka Tak Cinta!

Cinta itu putih suci...
Cinta itu putih suci...

Adik-adikku yang sedang meningkat dewasa,

Baik adik-adikku yang teruna mahu pun yang gadis sudah tentu sedang menikmati usia manis ini. Cuba kenang kembali detik kita mula rasa malu dengan kaum berlawanan jenis. Berapa usia kita masa itu? 8 tahun? 9 tahun? 12 tahun? Kemudian cuba ingat pula berapa usia kita, tatkala kita mula menaruh perasaan pada kaum berlawanan jenis; 10 tahun? 11 tahun? Masa kecil, tentu kita pernah lalui: rakan atau adik-beradik menggelarkan kita dengan seseorang. “Mimi nak Adam. Mimi nak Adam.” Bila sudah kena gelar, muka merah padam kerana malu. Iya tak?

Aha… masa inilah kita mula menyedari perasaan indah yang wujud dalam diri terhadap golongan lelaki. Perasaan apakah itu? Tentu adik tahu jawapannya; minat dan sayang. Setelah melintasi usia dara sunti, baru adik perasan tentang istilah cinta. Ada yang sebut ‘cinta monyet’. Lebih kurang usia 12 tahun ke atas, atau mungkin lebih awal; bergantung pada diri seseorang, kita mula rasa seronok bila ada ‘secret admirer’ .

Kasih, sayang dan cinta. 3 ungkapan digemari manusia. Baik lelaki, lebih-lebih lagi perempuan. [Cuma sesetengah lelaki ni ego nak ucapkan sayang… bila kekasih sudah melayang baru nyesal tak sudah] Tengoklah majoriti filem, telenovela dan drama; Cina, Korea, Jepun, Amerika Latin, Indonesia, Hollywood, Bollywood serta pelbagai lagi . Ia tidak sunyi dari persoalan cinta dan kasih sayang. Tanpa kisah cinta diselitkan, umpama masakan tanpa garam. Bahkan banyak cerita temanya cinta. Ia sesuai dengan fitrah insan suka berkasih sayang. Di atas fitrah cinta inilah Nabi Muhammad S.A.W diutuskan kepada kita. Allah menjelaskan dalam surah al-Anbiya’, ayat 107,

“Tidaklah kami mengutusi engkau (Muhammad) kecuali sebagai rahmat ke seluruh alam.”

Rahmat di sini memberi erti cinta, kasih sayang, simpati dan belas kasihan. Iya… adikku, Rasulullah S.A.W datang kepada kita membawa erti cinta. Menyampaikan kasih Tuhan. Membawa hadiah termahal di dunia untuk kita yakni ISLAM. Justeru, apa-apa yang dipesan Nabi S.A.W merupakan tanda kasih baginda pada kita. Nasihat-nasihatnya adalah buah cinta seorang hamba berstatus kekasih Allah pada kita.

Nabi Muhammad membawa cinta Ilahi untuk kita. Ibarat seorang ibu. Apabila dia menyuapi anak kecilnya, si ibu akan menyisih tulang-tulang bimbang melukai kita. Makanan yang baik disuapkan supaya kita sihat dan mampu menyambung hidup. Begitu pula kasih Nabi Muhammad pada kita ummatnya. Apa yang baik untuk kita, baginda galakkan dan yang merbahaya, minta kita menjauhinya.

Sekasih ibu pada anaknya,
Kasih lagi Muhammad pada ummatnya.
Sekasih Muhammad pada ummatnya,
Cinta lagi Allah pada hambaNya.

Adik-adikku,

Kakak nukilkan contoh di bawah bagi perempuan. Bagi jejaka boleh fahami sebaliknya.

Cuba bayangkan, atau adik-adik sendiri mungkin pernah mengalaminya; Seseorang minat kita dari jauh. Pada permulaannya dia segan menampakkan mukanya atau mengenalkan dirinya. Biasalah tu. Kadang-kadang peminat kita tu sentiasa kita jumpa sebenarnya. Walau begitu dia hantar clue pada kita. Dia kirim salam. Dia hantar bunga. Tapi tidak beritahu nama dia. Yang best lagi, tiap kali kita ditimpa kesusahan ada je pertolongan sampai. Kita terputus wang belanja belajar kat kampus. Tetiba je ada orang bank in duit dalam akaun kita. Aaah… banyak lagi la kebaikan yang dicurahkan pada kita secara ikhlas. Eh… macam dalam filem pula! Apa perasaan kita masa tu? Tentunya tertanya-tanya juga siapa sebenarnya si dia?

Inilah fitrah kita manusia sebenarnya. Walau pun belum tentu kita akan jatuh cinta dengan si dia, setidak-tidaknya kita ingin mengenali sekadar mengucapkan terima kasih. Iya tak? Tapi, apa kata… bila kita berpeluang menemuinya; first tengok muka dia, badan dia… wah hensemnya dia. Segak lagi. Berpakaian kemas lagi bersih. Dah le kaya (dok kirim duit tiap bulan dalam akaun kita). Bila risik-risik… anak Datok rupanya. [Tak pun, rupa-rupanya Mawi atau mana-mana jejaka pujaan hati. Mawi pun dah kahwin beb!] Wah, bertambah saham dia. Apa yang adik-adik fikir, andaikata ada lagi yang jauh lebih baik dari jejaka tadi juga meminati kita? Eh ada lagi ke? Putera raja contohnya. Dahlah tu… baik pula perangai dia; sopan, romantis, menghormati kita, suka bercakap benar. Siapaaa la tak nak! Ok la… boleh berangan-angan dulu.

Hmm… sudah puas berkhayal?

Kalau dengan perhatian dan kebaikan yang sedikit itu pun, sudah mampu mengetuk akal kita untuk mengetahui siapakah gerangan jejaka itu. Kalau dengan kasih yang baru berputik itu pun, cair hati kita untuk mengenalinya… apatah lagi dengan zat yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pemberi Rezeki, Maha Melindungi dan Maha Indah! Apakah tidak pernah terdetik walau sedetik untuk kita mengenali Allah? Seterusnya menyintai Allah? Kemudian menyubur rasa rindu untuk bertemu dan melihat wajahNya?

Gunakan fitrah yang sama; adik-adik akan belajar mengetahui dan mengenali satu zat yang amat menyintai kita. Dialah yang Maha Hebat menciptakan kita dengan kejadian yang unik. Apabila kita sudah mengenal pasti betapa hebatnya kejadian kita. Bagaimana kita diciptakan. Siapa yang menciptakan kita. Sekarang masanya kita menaruh rasa percaya sepenuhnya kepada Yang Maha Mencipta. Iya… kita percaya pada kewujudanNya kerana kita diciptakanNya. Kita tidak pernah mohon dihidupkan tapi dengan kasih Allah, kita dihidupkan. Kita diberi nikmat yang terlampau banyak. Allah menyebut hakikat ini dalam surah al-Nahl, ayat 18,

“Sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah kamu mampu menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Adikku,

Kita dapat melihat keindahan dunia kerana kita dipinjamkan mata dan nikmat melihat. Kita dapat mendengar merdunya irama dan lagu kerana kita dipinjamkan telinga dan nikmat mendengar. Kita dapat merasa manisnya cinta kerana kita dipinjamkan hati dan perasaan. Kita mampu menilai antara baik dan buruk kerana kita dipinjamkan akal. Bahkan akallah yang membezakan kita dengan haiwan. Serta pelbagai nikmat lagi. Semuanya nikmat yang agung yang sangat hebat. “Sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak mampu”.

Kita mampu memahami apa yang dibaca kerana kita punya akal. Bukan itu sahaja, kita juga diberi kemampuan untuk jadi baik atau jahat. Kita boleh pilih mana yang kita suka. Ayat 8 dari surah al-Syams menyatakan,

فألهمها فجورها وتقوىها
Maka diilhamkan kepada manusia itu suka kepada keburukan dan kebaikan.”

Adik-adik yang dikasihi Allah,

Pernahkah adik-adik berada dalam keadaan amat terdesak seperti lemas di laut? Atau apa sahaja keadaan genting yang mana pada masa itu tiada insan yang dapat membantu. Siapakah yang akan kita ingat dan seru? Iya, tentu sahaja kita mencari tuhan. Tuhan yang bagaimana? Apakah Budha yang dijadikan tokong/patung itu dapat membantu? Apakah Jesus/Isa yang entah berada di mana datang membantu? Tanpa disedari, kita akan berdoa dan menyeru satu zat yang tidak kelihatan pada mata lahir kita. Namun dapat dirasai hati kita.

Inilah fitrah manusia sejak azali. Kita tahu kewujudan Allah dan keesaanNya. Mana mungkin satu kapal dipandu oleh dua kapten? Pernahkah sebuah keretapi mempunyai 2 pemandu serentak? Seorang mahu ke depan. Seorang pemandu lagi mahu ke belakang. Bolehkah? Allah SWT pernah menceritakan hal di atas di dalam surah al-Anbiya’, ayat 22,

لوكان فيهمآءالهة إلاالله لفسدتا فسبحان الله رب عما يصفون

“Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain ALLAH, tentulah kedua-duanya itu telah rosak binasa, Maha Suci Allah yang memiliki Arasy daripada apa yang mereka sifatkan.”

...cinta suci membawa kepada Yang Maha Suci.  Cinta suci menarik nur Ilahi.
...cinta suci membawa kepada Yang Maha Suci. Cinta suci menarik nur Ilahi.

Adikku,

Kenalilah Tuhanmu, Tuhanku jua… kau akan dapati dunia ini terbentang luas di hadapanmu meskipun dirimu terpenjara di sebalik tembok batu.

Sebaliknya, jika kau utamakan mengenal dunia dan cinta manusia tanpa dialas cinta Allah, kau akan dapati dunia ini sempit-sesempitnya meskipun kau diami istana seluas istana Perdana Menteri di Putrajaya!

Fikir-fikirkan…

Ummu Abbas
26 Muharram 1430H/ 22 Januari 2009
1.56pm