Archive | Disember 2010

Memanggang Ayam Belanda

 

Ini hanyalah catatan santai saya.  Bila berada jauh dirantau orang, banyaklah perkara baru dipelajari.  Sementelah pula persekitarannya yang agak jauh berbeza dari kampung halaman kita.  Walaupun pernah tinggal di Jordan hampir 5 tahun dan Sydney 3 bulan, namun inilah kali pertama berada di negara mat saleh dalam tempoh yang lebih lama. 

Perkara ketara yang saya perlu biasakan diri ialah memasak setiap hari kerana di sini kedai makanan@restoran halal sukar didapati.  Kalau pun ada, harganya pula mahal.  Alhamdulillah, sumber bahan mentah yang halal mudah didapati seperti daging, ayam dan makanan laut.

Sejak berkahwin, suami tidak memberati saya untuk memasak setiap hari.  Dia jenis mudah berkira dan tidak cerewet pasal makan.  Ada masa kami keluar makan di kedai  atau dia membeli lauk yang sudah siap dimasak.  Selepas bernikah,  saya menyambung pelajaran di peringkat sarjana, berniaga ‘part time’ dan mula menulis.  Kami juga tidak pernah putus memiliki anak-anak kecil.  Jadi sikap suami itu banyak meringankan beban saya sebagai suri hidupnya.  Alhamdulillah.

Cerita Ayam Belanda @ Turkey.

Masa kecil-kecil dulu, sering juga melihat ayam belanda peliharaan jiran.  Vokalnya yang unik itu agak menakutkan bila kita melintasinya.  Iya lah… sambil berbunyi dikejarnya kita.  Saya tidak tahu kenapa jiran saya suka memeliharanya.  Apakah kerana suka dagingnya atau untuk menjualnya. 

Apa yang saya tahu, saya tidak pernah  merasainya.  Lembutkah atau keras seperti ayam kampung dagingnya.

Minggu lepas, semasa ke kedai ayam bersama jiran, kami terlihat iklan tempahan ayam belanda (turkey) sempena Krismas.  Harganya AUD7/kg.  Lebih kurang harga ikan yang biasa kami beli.  Saya teringat suami yang pernah menyebut mahu makan  turkey panggang.

“Siapa yang mahu habiskan… turkey kan besar…,” itulah respon saya.  Keluarga kami hanya ada dua dewasa dan 5 anak-anak di bawah usia 12 tahun. 

“Muat tak oven kita…?” Satu lagi persoalan yang harus diselesaikan.

Namun semasa melihat iklan di kedai ayam bersama Rozi, terlintas untuk bertanya, “Rozi mahu turkey tak?  Kalau mahu, kita kongsi beli…,” Iya…idea berkongsi adalah idea yang bagus untuk membeli sesuatu yang banyak.

Ayah Rozi yang ada bersama kelihatan berminat dengan turkey.  Selepas ‘survey’ dengan tuan kedai, rupa-rupanya pembeli boleh menempah mengikut berat timbangan turkey.

Berat minimum sekitar 4kg.  Jadi kami ambil yang paling kecil.  4kg itu masih banyak sebenarnya untuk 2 buah keluarga.  Keluarga Rozi ada 4 dewasa kerana ibubapanya datang bercuti di Melbourne.  Dua  orang lagi anaknya baru berusia 3 dan hampir setahun.  Kami  membayar deposit AUD10.  Kami meminta agar turkey itu dipotong untuk BBQ namun tuan kedai tidak menyediakan perkhidmatan tersebut.  Dia hanya mengambil tempahan untuk seekor  penuh.

Selepas seminggu iaitu tanggal 23 December, suami pergi mengambil turkey tersebut.  Beratnya ialah 3.8kg.

Pada 23 December dan 24 December , saya terlibat dengan Kem Ibadah 2010 untuk anak-anak warga Melayu.  Pada 25 December, dua orang rakan suami bersama famili masing-masing dari Sydney akan mengunjungi kami. 

Usia kandungan yang mencecah 30 minggu menyebabkan saya mudah penat.  Tambahan pula saya mengalami anemia.  Ia situasi biasa dialami semasa hamil.  Ada masa hb cukup.  Ada masa hb berkurangan.  Semuanya bergantung pada cara pemakanan dan pengambilan vitamin yang mencukupi untuk wanita mengandung. 

Selepas selesai Kem Ibadah petang 24 December, saya bercadang melihat turkey bagi membersih dan memerapnya kerana teringat pesanan Kak Sal, sebaik-baiknya perap ‘over night’.   Namun  dek kepenatan, turkey itu masih tersimpan dalam peti sejuk.  Pagi 25 December, baru saya berkesempatan mencuci dan memerapnya.  Saya memilih kaedah memerap yang dirasakan paling mudah.  Sebelumnya, sudah di’survey’ dalam internet beberapa resepi.  Juga bertanya kawan yang pernah memanggang ayam.  Tidak kurang juga saya meminta tip daripada Kak Sal yang baru dikenali di sini.  Kak Sal biasa sangat membuat ‘turkey roast’ kerana bersuamikan mat saleh Australian.   Daripada Kak Sal, baru saya tahu dimana mahu cari turkey yang sudah siap dipotong. 

Tidak mengapa kerana saya teruja juga mahu memanggang turkey .  Ayam biasa pun saya tidak pernah panggang seekor penuh… inikan pula ayam belanda. 

Ayam Belanda yang siap dibersihkan. Lihat tu... penuh satu talam besar...

Oleh kerana sudah ‘miss’ waktu malam untuk memerapnya, alternatif kedua ialah memerap sekurang-kurangnya 3 jam agar semua bahan perapan mesra dengan ayam bersaiz besar itu.  Alhamdulillah, saya sempat memerapnya selama lebih 4 jam.  Bagi mempercepatkan serapan, saya cucuk isi ayam di bawah kulit dengan garfu. 

Tetamu akan datang selepas asar.  Nasib baik sekarang musim panas.  Jadi siangnya panjang.  Pukul 5.15pm, baru masuk waktu Asar.  Jam 8.46pm baru maghrib. 

Ayam Belanda yang baru siap disapu bahan perapan. Masih terkangkang sebab belum diikat...

Nasib baik juga, ayam itu muat dengan oven kami.  Alhamdulillah.  Saya mula memanggangnya jam 5pm dan selesai jam 7pm.  Tetamu juga baru sampai waktu itu.  Yang mana sampai dulu membantu saya di dapur.  Selain ‘turkey roast’,  kami menyediakan sotong 4kg, drummette 4kg, ikan ‘yellow tail’ lebih 1kg dan sedikit sosej (baki stok dalam peti ais) untuk BBQ.   Petang 25 December itu agak meriah di rumah kami.   Selain itu, saya sediakan kentang goreng.  Rozi  pula menolong menyediakan mihun goreng dan humus.

Ayam Belanda siap dipanggang dalam masa 2 jam. Lihat dawai yang diikat agar nampak kemas. Kalau tengok dalam youtube, minah saleh ikat dengan benang...saya pakai je apa yang ada.

Terlintas juga, kami seolah-olah merayakan Krismas namun niat itu harus diperbetulkan.  Sebagai muslim kita ditegah menyambut perayaan agama lain.  Ia hanya kebetulan sahaja.   Dua rakan suami dari Sydney sudah hampir seminggu berada di Victoria.  Cuma pada 25 December itu baru mereka tiba di bandar Melbourne bagi menziarahi kami.

Bila kali pertama memasak sesuatu dan mahu pula dihidangkan kepada tetamu, sudah tentu saya agak berdebar-debar untuk mengetahui hasilnya. 

“Cantik dah ni kak…,” kata Rozi selepas ayam masak.

“Rupa je cantik… rasanya belum tahu lagi…,” sahut saya.

“Insya Allah kak…”

Masa untuk memotong Ayam Belanda. Jiran, saudara Nashrul yang tolong potong. Anak-anak siap sedia menunggu untuk merasa...

Alhamdulillah, selepas dihidangkan, ‘turkey roast’ pertama saya laku dijamu tetamu yang hadir. 

Bagi saya, tidaklah penting sangat pujian sedap atau tidak masakan kita.  Yang penting ialah orang suka makan apa yang kita masak.  Bila orang suka makan, makanan itu akan disapu licin.  Jadi pembaziran boleh dielakkan.  Bukankah membazir itu sahabat syaitan.    

Seperkara lagi, setiap perbuatan baik seperti menjamu tetamu menjadi ibadah di sisi Allah swt namun niat perlu sentiasa diperbaharui agar ikhlas hanya keranaNya semata. Kalau kita lakukan kerana mengharapkan pujian manusia, maka amalan kita hanya terhenti setakat pujian sahaja dan tidak boleh dibawa sebagai bekalan akhirat. Akhirnya, kita hanya mendapat penat dan belanja yang terbuang begitu sahaja. Sedangkan Allah tidak memandang dan tidak menilai ia satu yang amat bermakna di sisiNya.

Ok… itu sahaja. Peringatan untuk diri saya juga.

Sesiapa mahu resepi Ayam Belanda@ Ayam Piru panggang yang ringkas cara saya tetapi sedap, sila tinggal komen. 

Ummu Abbas

12.58pm

Melbourne, Vic.

23 Muharram 1432H

29 December 2010

Semua kawan Aesya tidak pakai tudung…

“Ummi, sekolah Aesya tak pe tak pakai tudung…”, beritahu Aesya suatu hari di minggu-minggu pertama persekolahannya.

“Kawan-kawan sekelas Aesya semua tidak pakai tudung…”, ujarnya lagi.

“Kawan yang lain tidak beragama Islam maka mereka tidak memakai tudung”, saya memberitahu.

“Tapi Ummi… orang Melayu pun ada kat kelas Aesya… mereka pun tidak pakai tudung”

“Oh ye ke… Pelajar Melayu pun ada kat kelas Aesya ye…?”  Saya bertanya.

“Ha a Ummi… kawan Arab pun tak pakai tudung juga… Aesya pun tak mau pakai tudung jugalah bila pergi sekolah…”

Saya faham perasaan Aesya apabila hanya dia seorang yang memakai tudung di dalam kelasnya.  Aesya berada di kelas persediaan (prep) kerana akan masuk usia 6 tahun bulan Februari 2011. 

Aesya ke Pusat Asuhan Tunas Islam berhampiran rumah semasa berusia 4 tahun.  Ia adalah kehendaknya sendiri setelah diminta menemani abangnya, Aziz yang berusia 6 tahun waktu itu.   Dia berada sekelas dengan abangnya dan merasa seronok dapat belajar.  Kemudian dia meminta untuk ke sekolah.  Jadi kami daftarkan Aesya dan belikan pakaian seragam PASTI, baju kurung hijau pucuk pisang dan tudung putih.  Kebetulan PASTI berhampiran rumah menerima pelajar berusia 4 tahun, ia memudahkan urusan kami, alhamdulillah.

Awal tahun ini (2010), kami daftarkan Aesya di Tadikan IMAN, Telipot.  Sekolah berhampiran SRI Aman di mana 2 orang abangnya bersekolah.  Selain kerana mahu peningkatan silibus, ia juga memudahkan kami menghantar dan mengambil Aesya serentak dengan abangnya.  Pakaian seragam baru dibelikan, sehelai gaun berlengan panjang oren dipadankan dengan seluar panjang biru dan tudung biru. 

Kedua-dua sekolah subur dengan suasana Islam dan pendidikan Islam.  Tiada kawan yang tidak memakai tudung ke sekolah. 

Aesya juga sudah mula rasa malu bila mahu keluar rumah dengan tidak memakai tudung terutama jika mahu berjalan-jalan.  

Fitrah yang suci sudah mula terbentuk dan kelihatan dalam dirinya.  Ia juga pemangkin kepada pembinaan taqwa dalam diri anak-anak.

Bukankah Nabi s.a.w pernah berkata, ” Jika kamu tidak malu, lakukan apa yang kamu suka“.  Ia menunjukkan bahawa malu menjadi asas untuk membataskan tindakan seseorang.

“Tak pelah Aesya… Aesya kecil lagi… tak payah pakai tudung hari ini…”  kadang-kadang kami pernah bertembung dengan situasi mahu segera ke mana-mana, kemudian didapati Aesya tidak membawa tudungnya sekali semasa sudah berada di atas kereta.  Aesya marah dan pernah menangis mahu diambilkan tudungnya juga.  Saya tidak memberati dalam hal memakai tudung untuk anak di bawah usia 5 tahun.  Cukup dengan niat melatihnya.  Saya juga masih belikan gaun labuh melepasi lutut untuknya.

Jika bertembung keadaan yang tidak mengizinkan, saya biarkan sahaja.    Kadang-kadang Aesya juga tidak mahu memakai tudung.  Biar dia dapat merasakan kebebasan zaman kanak-kanaknya.

Apabila baligh, Islam memang tegas dalam bab hijab terhadap para muslimah mukminah.  

Saya berusaha menurut acuan Islam dalam membentuk anak-anak, di mana ada kelonggaran, kita beri kelonggaran.  Di mana perlu ketegasan, maka kita perlu bertegas agar kita tidak melampaui hududullah.  Itu pun saya rasa banyak juga tergelincir dalam mendidik anak-anak dek kurangnya pengalaman dan ‘parenting skill’.

Saya belajar sedikit demi sedikit ilmu keibubapaan dan berusaha memperbaiki diri di samping mendidik anak-anak.   

Mohon Allah ampunkan pada perkara yang saya tidak tahu dan tidak disengajakan.  Ameen. 

“Aesya… kawan-kawan Aesya yang Melayu tu sudah lama berada di sini, jadi mereka tidak pernah masuk tadika Islam macam Aesya.  Begitu juga kawan Arab, mereka tidak masuk sekolah Islam macam Aesya,” saya berusaha memberi penjelasan agar dia faham.

“Sedangkan Aesya sudah hampir 2 tahun belajar di sekolah Islam, jadi Aesya sudah biasa pakai tudung dan lihat kawan-kawan pakai tudung.  Seeloknya Aesya terus pakai tudung.  Biar kawan-kawan Aesya yang ikut Aesya pula dan bukannya Aesya yang ikut kawan-kawan,”   saya berhati-hati memberi penerangan agar sesuai dengan tahap usianya.

Saya nampak Aesya boleh memahami. 

“Tapi Ummi… semua kawan Aesya tak pakai tudung…Aesya seorang sahaja yang pakai dalam kelas Aesya… sekolah Aesya memang tak pe tak pakai tudung.”  Menjadi lumrah bagi anak-anak kecil suka mengulangi apa yang telah diperkatakan. 

Kefahaman Aesya harus diperbetulkan.  Nampaknya Aesya menganggap dia memakai tudung ke sekolah sebelum ini kerana disiplin sekolah demikian.  Saya memandang situasi ini sebagai satu petunjuk dari Allah agar memperkukuhkan kefahaman anak-anak terhadap konsep tanggungjawab melakukan sesuatu adalah keranaNya semata, dan bukannya kerana manusia atau disiplin sesiapa.

“Aesya sendiri kan sudah rasa malu bila tidak pakai tudung semasa mahu keluar rumah… jadi biarlah Aesya terus pakai tudung ye…  biar kawan-kawan pula ikut Aesya…,” saya mengulangi ayat sebelum ini agar dia ingat semula. 

Saya ‘highlight’kan perkataan malu dan cuba memahamkan Aesya agar menjadi dirinya sendiri tanpa perlu terikut-ikut dengan orang lain.  Ia juga adalah ciri-ciri istimewa Aisyah r.a, isteri Rasulullah s.a.w yang terkenal dengan imannya yang mantap dan tinggi ketaqwaannya kepada ALlah.  Sehingga banyak wahyu diturunkan semasa Nabi s.a.w bersama Aisyah r.a.  Namun seringkali bila disebut Aisyah r.a, para lelaki suka ‘highlight’kan usia muda dan kecantikan Aisyah r.a sebagai salah satu faktor dia dikasihi Rasulullah s.a.w.   Walhal usia dan rupa tiada nilai walau sebesar zarah di sisi Allah swt untuk dijadikan penyebab Allah swt memilih Aisyah r.a sebagai peneman Rasulullah s.a.w saat wahyu diturunkan.  

Keimanan dan ketaqwaan sering berkait rapat dengan rasa malu.  Keutamaan rasa malu ialah malu kepada Allah. 

Apabila malu kepada Allah begitu memuncak, seseorang akan tetap taat beribadah dan meninggalkan maksiat walaupun tiada manusia yang melihatnya.

Alhamdulillah, dari dialog yang ringkas begitu, sekurang-kurangnya saya dapat mendorong Aesya untuk istiqamah memakai tudung ke sekolah.  Aesya akhirnya dapat terus memakai tudung apabila ke sekolah tanpa merasa terpaksa.  Aesya juga tidak pernah merungut lagi mengenai kawan-kawan seusianya yang tidak memakai tudung.

Di masa-masa lain, saya masih memberi kelonggaran kepadanya bergantung kepada keadaan.

“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. 

Al-Furqan 25:74 

Ummu Abbas

12.03pm

11 Muharram 1431H/17 Dec 2010

Melbourne.

Eidul Adha di Melbourne- Korban

Hasil korban diambil dari pusat penyembelihan menggunakan van yang disewa.

Assalamu’alaikum warahmatullah buat semua pengunjung.

Apa khabar kesihatan kita hari ini? Dan apa khabar IMAN kita hari ini? Adakah IMAN kita bertambah baik atau sebaliknya. Kesihatan IMAN adalah yang terpenting untuk kita pelihara setiap detik dan hari dibandingkan perkara lain.

Ambil berat perkara lain seperti kesihatan badan, soal kerjaya dan lain-lain juga kerana mahu menjaga IMAN.

Hari Raya Korban tidak lengkap tanpa dilakukan ibadah korban semasa menyambutnya. Falsafah pengorbanan yang terkandung di sebalik mengorbankan haiwan ternakan amat besar sekali yakni mengorbankan kepentingan nafsu dalam meraih cinta dan reda Allah swt. Itulah realiti yang berlaku semasa Nabi Ibrahim a.s meletakkan pisau di leher satu-satu anaknya, Ismail a.s. Nabi Ibrahim a.s cintakan Allah swt melebihi dunia dan segala isinya.

Memunggah daging korban dari van. Berat tau...

Adakah kita juga begitu? Adakah kita sanggup menundukkan sedikit pandangan semasa melayari internet semata-mata cintakan Allah swt? Adakah kita sanggup menahan sedikit keinginan nafsu mendedah aurat semata-mata kerana cintakan Allah swt? Adakah kita sanggup menegah tangan dari mengambil yang haram kerana cintakan Allah swt? Siapa Allah di hati kita, kita sendirilah yang mengetahuinya.

Berceloteh mengenai Eidul Adha di Melbourne ini, rasanya tidak lengkap jika tidak disertakan pengalaman melakukan ibadah korban di sini.

‘Lain padang, lain belalang’

Tepat sekali kata pepatah Melayu di atas. Mana mungkin sama suasana melakukan ibadah korban di antara Malaysia dengan Jordan. Lebih-lebih lagi tidak sama dengan di Australia ini. Sebagai sebuah negara penternakan, Australia mempunyai peraturan penyembelihannya sendiri. Sudah tentu banyak perkara yang perlu diambil kira agar industri penternakan negara tidak terjejas untuk jangka masa panjang. Terutama dari aspek kebersihan dan kualiti hasil sembelihan.

Ini hasil dari 57 ekor kambing.

Pada tahun ini, sebanyak 57 ekor kambing dan seekor lembu dikorbankan oleh warga Melayu Malaysia di Melbourne. Urusan korban diuruskan oleh jawatankuasa yang dilantik. Beberapa ekor kambing adalah untuk aqiqah. Harga kambing di sini lebih murah dari di Malaysia. Juga lebih murah dari harga biri-biri. Harganya kira-kira AUD100 seekor (RM300).

Berbincang untuk mengagihkan daging korban

Memandangkan semua pelajar tidak bercuti, maka pengagihan daging korban dilakukan pada cuti hujung minggu yakni Sabtu, 14 Zul Hijjah 1431H. Sembelihan dilakukan sebelumnya dan disimpan oleh ‘butcher’.

Penyembelihan wajib dilakukan di abattoir/slaughterhouse. Penyembelih pula mesti mempunyai lesen menyembelih. Terdapat warga Indonesia yang mempunyai lesen tersebut, maka pihak kami berhubungan dengannya untuk menguruskan ibadah korban ini. Kemudiannya, hasil sembelihan terus dibersihkan di situ juga.

Setelah dibersihkan, kambing-kambing ini masih berbentuk seekor kambing atau dipanggil ‘carcass’.   Peraturan AQIS ( Australian Quarantine & Inspection Service) menetapkan agar daging yang hendak dibawa keluar dari abattoir waktu siang hari, cuaca mesti dibawah 10 darjah celcius.  ‘Carcass’ ini dibawa ke butcher dari abattoir untuk dipotong kecil (curry cut/bbq chop).

Apabila ditanya sebab mesti dikeluarkan semasa suhu masih rendah, jawapan yang diperolehi ialah untuk mengelakkan keracunan.  Nampaknya, kalau di Malaysia, jenuhlah mahu menunggu suhu turun bawah 10 darjah celcius.

Daging dikeluarkan dalam keadaan bersih dan sudah siap dipotong.

Daging tetap segar walaupun selepas hari tasyrik.

Pada tahun ini, garaj rumah kami yang mampu memuatkan 4 buah kereta itu menjadi pilihan sebagai lokasi mengagihkan daging korban kepada semua empunya korban. Jadi dapatlah saya lihat prosesnya sejak dari awal dan merakamkannya di sini.

Memadai catatan saya buat kali ini.  Biarlah foto-foto di bawah mengambil tempat untuk bercerita.

Sehingga jumpa lagi di lain entry.

Ummu Abbas

4.43pm

Melbourne, Australia.

Sambil bapa-bapa buat kerja, anak-anak asyik dengan 'jumping castle'.

Oleh kerana tidak muat van, daging lembu diambil selepas itu.

Daging untuk seekor lembu. 'Best'nya di sini ialah kita dapat daging yang sudah dibersih dan siap dipotong. Ada potongan untuk BBQ.

Daging korban yang sudah siap diagihkan.

Sambil agihkan daging, buat BBQ. Kali pertama dapur BBQ digunakan selepas dibeli di 'garage sale'.

Kambing BBQ yang emmm... yummy...!

Empunya korban mengambil bahagian masing-masing.

Suasana di backyard rumah kami semasa daging diagihkan.