Posted in Famili, Gadisku, Islamika, Koleksi Tip

Semua kawan Aesya tidak pakai tudung…

“Ummi, sekolah Aesya tak pe tak pakai tudung…”, beritahu Aesya suatu hari di minggu-minggu pertama persekolahannya.

“Kawan-kawan sekelas Aesya semua tidak pakai tudung…”, ujarnya lagi.

“Kawan yang lain tidak beragama Islam maka mereka tidak memakai tudung”, saya memberitahu.

“Tapi Ummi… orang Melayu pun ada kat kelas Aesya… mereka pun tidak pakai tudung”

“Oh ye ke… Pelajar Melayu pun ada kat kelas Aesya ye…?”  Saya bertanya.

“Ha a Ummi… kawan Arab pun tak pakai tudung juga… Aesya pun tak mau pakai tudung jugalah bila pergi sekolah…”

Saya faham perasaan Aesya apabila hanya dia seorang yang memakai tudung di dalam kelasnya.  Aesya berada di kelas persediaan (prep) kerana akan masuk usia 6 tahun bulan Februari 2011. 

Aesya ke Pusat Asuhan Tunas Islam berhampiran rumah semasa berusia 4 tahun.  Ia adalah kehendaknya sendiri setelah diminta menemani abangnya, Aziz yang berusia 6 tahun waktu itu.   Dia berada sekelas dengan abangnya dan merasa seronok dapat belajar.  Kemudian dia meminta untuk ke sekolah.  Jadi kami daftarkan Aesya dan belikan pakaian seragam PASTI, baju kurung hijau pucuk pisang dan tudung putih.  Kebetulan PASTI berhampiran rumah menerima pelajar berusia 4 tahun, ia memudahkan urusan kami, alhamdulillah.

Awal tahun ini (2010), kami daftarkan Aesya di Tadikan IMAN, Telipot.  Sekolah berhampiran SRI Aman di mana 2 orang abangnya bersekolah.  Selain kerana mahu peningkatan silibus, ia juga memudahkan kami menghantar dan mengambil Aesya serentak dengan abangnya.  Pakaian seragam baru dibelikan, sehelai gaun berlengan panjang oren dipadankan dengan seluar panjang biru dan tudung biru. 

Kedua-dua sekolah subur dengan suasana Islam dan pendidikan Islam.  Tiada kawan yang tidak memakai tudung ke sekolah. 

Aesya juga sudah mula rasa malu bila mahu keluar rumah dengan tidak memakai tudung terutama jika mahu berjalan-jalan.  

Fitrah yang suci sudah mula terbentuk dan kelihatan dalam dirinya.  Ia juga pemangkin kepada pembinaan taqwa dalam diri anak-anak.

Bukankah Nabi s.a.w pernah berkata, ” Jika kamu tidak malu, lakukan apa yang kamu suka“.  Ia menunjukkan bahawa malu menjadi asas untuk membataskan tindakan seseorang.

“Tak pelah Aesya… Aesya kecil lagi… tak payah pakai tudung hari ini…”  kadang-kadang kami pernah bertembung dengan situasi mahu segera ke mana-mana, kemudian didapati Aesya tidak membawa tudungnya sekali semasa sudah berada di atas kereta.  Aesya marah dan pernah menangis mahu diambilkan tudungnya juga.  Saya tidak memberati dalam hal memakai tudung untuk anak di bawah usia 5 tahun.  Cukup dengan niat melatihnya.  Saya juga masih belikan gaun labuh melepasi lutut untuknya.

Jika bertembung keadaan yang tidak mengizinkan, saya biarkan sahaja.    Kadang-kadang Aesya juga tidak mahu memakai tudung.  Biar dia dapat merasakan kebebasan zaman kanak-kanaknya.

Apabila baligh, Islam memang tegas dalam bab hijab terhadap para muslimah mukminah.  

Saya berusaha menurut acuan Islam dalam membentuk anak-anak, di mana ada kelonggaran, kita beri kelonggaran.  Di mana perlu ketegasan, maka kita perlu bertegas agar kita tidak melampaui hududullah.  Itu pun saya rasa banyak juga tergelincir dalam mendidik anak-anak dek kurangnya pengalaman dan ‘parenting skill’.

Saya belajar sedikit demi sedikit ilmu keibubapaan dan berusaha memperbaiki diri di samping mendidik anak-anak.   

Mohon Allah ampunkan pada perkara yang saya tidak tahu dan tidak disengajakan.  Ameen. 

“Aesya… kawan-kawan Aesya yang Melayu tu sudah lama berada di sini, jadi mereka tidak pernah masuk tadika Islam macam Aesya.  Begitu juga kawan Arab, mereka tidak masuk sekolah Islam macam Aesya,” saya berusaha memberi penjelasan agar dia faham.

“Sedangkan Aesya sudah hampir 2 tahun belajar di sekolah Islam, jadi Aesya sudah biasa pakai tudung dan lihat kawan-kawan pakai tudung.  Seeloknya Aesya terus pakai tudung.  Biar kawan-kawan Aesya yang ikut Aesya pula dan bukannya Aesya yang ikut kawan-kawan,”   saya berhati-hati memberi penerangan agar sesuai dengan tahap usianya.

Saya nampak Aesya boleh memahami. 

“Tapi Ummi… semua kawan Aesya tak pakai tudung…Aesya seorang sahaja yang pakai dalam kelas Aesya… sekolah Aesya memang tak pe tak pakai tudung.”  Menjadi lumrah bagi anak-anak kecil suka mengulangi apa yang telah diperkatakan. 

Kefahaman Aesya harus diperbetulkan.  Nampaknya Aesya menganggap dia memakai tudung ke sekolah sebelum ini kerana disiplin sekolah demikian.  Saya memandang situasi ini sebagai satu petunjuk dari Allah agar memperkukuhkan kefahaman anak-anak terhadap konsep tanggungjawab melakukan sesuatu adalah keranaNya semata, dan bukannya kerana manusia atau disiplin sesiapa.

“Aesya sendiri kan sudah rasa malu bila tidak pakai tudung semasa mahu keluar rumah… jadi biarlah Aesya terus pakai tudung ye…  biar kawan-kawan pula ikut Aesya…,” saya mengulangi ayat sebelum ini agar dia ingat semula. 

Saya ‘highlight’kan perkataan malu dan cuba memahamkan Aesya agar menjadi dirinya sendiri tanpa perlu terikut-ikut dengan orang lain.  Ia juga adalah ciri-ciri istimewa Aisyah r.a, isteri Rasulullah s.a.w yang terkenal dengan imannya yang mantap dan tinggi ketaqwaannya kepada ALlah.  Sehingga banyak wahyu diturunkan semasa Nabi s.a.w bersama Aisyah r.a.  Namun seringkali bila disebut Aisyah r.a, para lelaki suka ‘highlight’kan usia muda dan kecantikan Aisyah r.a sebagai salah satu faktor dia dikasihi Rasulullah s.a.w.   Walhal usia dan rupa tiada nilai walau sebesar zarah di sisi Allah swt untuk dijadikan penyebab Allah swt memilih Aisyah r.a sebagai peneman Rasulullah s.a.w saat wahyu diturunkan.  

Keimanan dan ketaqwaan sering berkait rapat dengan rasa malu.  Keutamaan rasa malu ialah malu kepada Allah. 

Apabila malu kepada Allah begitu memuncak, seseorang akan tetap taat beribadah dan meninggalkan maksiat walaupun tiada manusia yang melihatnya.

Alhamdulillah, dari dialog yang ringkas begitu, sekurang-kurangnya saya dapat mendorong Aesya untuk istiqamah memakai tudung ke sekolah.  Aesya akhirnya dapat terus memakai tudung apabila ke sekolah tanpa merasa terpaksa.  Aesya juga tidak pernah merungut lagi mengenai kawan-kawan seusianya yang tidak memakai tudung.

Di masa-masa lain, saya masih memberi kelonggaran kepadanya bergantung kepada keadaan.

“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. 

Al-Furqan 25:74 

Ummu Abbas

12.03pm

11 Muharram 1431H/17 Dec 2010

Melbourne.

Advertisements

Pengarang:

Seorang isteri, ibu, permaisuri rumah, anak kepada Ma dan Abah yang masih hidup, penulis dan da'ie, insya Allah. Menyintai ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah.

4 thoughts on “Semua kawan Aesya tidak pakai tudung…

  1. Assalmmuaalaikum Ummuabbas, seronok membaca pengalaman Ummuabbas dan anak2 di negara orang. Memang susah mendidik anak-anak untuk menentang arus masyarakat sekeliling. Ummuafiq doakan Aesya dapat terus memakai tudung dan mungkin jadi ikutan kawan-kawan pula nanti, insyaallah.

    Wa’alaikum salam wbh.

    Ummu Afiq yang dikasihi Allah,

    Terima kasih atas doanya.

    Semoga Allah berikan kita kekuatan dan kesabaran dalam mendidik anak-anak.

    Ameen.


  2. dia masih budak lagi baru umur 6 tahum kenapa paksa dia pakai tudung…..
    sakit hati betul bila tengok kanak-kanak kena pakai tudung rasa seperti zaman
    kanak-kanak tersebut dirampas…… adakah wajib kanak2 berumur 6 perlu pakai tudung….
    teruk betul la…

    Saya tidak memaksanya, sekadar memberi galakan pada fitrah malu yang sudah kelihatan pada dirinya. Cuba baca semula entry dan Ariana akan dapati ada masanya, Aesya yang mahu pakai tudung tetapi kami pula yang ignore. Memberi galakan tidak salah dalam konsep mendidik anak-anak.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s