Ini hanyalah catatan santai saya. Bila berada jauh dirantau orang, banyaklah perkara baru dipelajari. Sementelah pula persekitarannya yang agak jauh berbeza dari kampung halaman kita. Walaupun pernah tinggal di Jordan hampir 5 tahun dan Sydney 3 bulan, namun inilah kali pertama berada di negara mat saleh dalam tempoh yang lebih lama.
Perkara ketara yang saya perlu biasakan diri ialah memasak setiap hari kerana di sini kedai makanan@restoran halal sukar didapati. Kalau pun ada, harganya pula mahal. Alhamdulillah, sumber bahan mentah yang halal mudah didapati seperti daging, ayam dan makanan laut.
Sejak berkahwin, suami tidak memberati saya untuk memasak setiap hari. Dia jenis mudah berkira dan tidak cerewet pasal makan. Ada masa kami keluar makan di kedai atau dia membeli lauk yang sudah siap dimasak. Selepas bernikah, saya menyambung pelajaran di peringkat sarjana, berniaga ‘part time’ dan mula menulis. Kami juga tidak pernah putus memiliki anak-anak kecil. Jadi sikap suami itu banyak meringankan beban saya sebagai suri hidupnya. Alhamdulillah.
Cerita Ayam Belanda @ Turkey.
Masa kecil-kecil dulu, sering juga melihat ayam belanda peliharaan jiran. Vokalnya yang unik itu agak menakutkan bila kita melintasinya. Iya lah… sambil berbunyi dikejarnya kita. Saya tidak tahu kenapa jiran saya suka memeliharanya. Apakah kerana suka dagingnya atau untuk menjualnya.
Apa yang saya tahu, saya tidak pernah merasainya. Lembutkah atau keras seperti ayam kampung dagingnya.
Minggu lepas, semasa ke kedai ayam bersama jiran, kami terlihat iklan tempahan ayam belanda (turkey) sempena Krismas. Harganya AUD7/kg. Lebih kurang harga ikan yang biasa kami beli. Saya teringat suami yang pernah menyebut mahu makan turkey panggang.
“Siapa yang mahu habiskan… turkey kan besar…,” itulah respon saya. Keluarga kami hanya ada dua dewasa dan 5 anak-anak di bawah usia 12 tahun.
“Muat tak oven kita…?” Satu lagi persoalan yang harus diselesaikan.
Namun semasa melihat iklan di kedai ayam bersama Rozi, terlintas untuk bertanya, “Rozi mahu turkey tak? Kalau mahu, kita kongsi beli…,” Iya…idea berkongsi adalah idea yang bagus untuk membeli sesuatu yang banyak.
Ayah Rozi yang ada bersama kelihatan berminat dengan turkey. Selepas ‘survey’ dengan tuan kedai, rupa-rupanya pembeli boleh menempah mengikut berat timbangan turkey.
Berat minimum sekitar 4kg. Jadi kami ambil yang paling kecil. 4kg itu masih banyak sebenarnya untuk 2 buah keluarga. Keluarga Rozi ada 4 dewasa kerana ibubapanya datang bercuti di Melbourne. Dua orang lagi anaknya baru berusia 3 dan hampir setahun. Kami membayar deposit AUD10. Kami meminta agar turkey itu dipotong untuk BBQ namun tuan kedai tidak menyediakan perkhidmatan tersebut. Dia hanya mengambil tempahan untuk seekor penuh.
Selepas seminggu iaitu tanggal 23 December, suami pergi mengambil turkey tersebut. Beratnya ialah 3.8kg.
Pada 23 December dan 24 December , saya terlibat dengan Kem Ibadah 2010 untuk anak-anak warga Melayu. Pada 25 December, dua orang rakan suami bersama famili masing-masing dari Sydney akan mengunjungi kami.
Usia kandungan yang mencecah 30 minggu menyebabkan saya mudah penat. Tambahan pula saya mengalami anemia. Ia situasi biasa dialami semasa hamil. Ada masa hb cukup. Ada masa hb berkurangan. Semuanya bergantung pada cara pemakanan dan pengambilan vitamin yang mencukupi untuk wanita mengandung.
Selepas selesai Kem Ibadah petang 24 December, saya bercadang melihat turkey bagi membersih dan memerapnya kerana teringat pesanan Kak Sal, sebaik-baiknya perap ‘over night’. Namun dek kepenatan, turkey itu masih tersimpan dalam peti sejuk. Pagi 25 December, baru saya berkesempatan mencuci dan memerapnya. Saya memilih kaedah memerap yang dirasakan paling mudah. Sebelumnya, sudah di’survey’ dalam internet beberapa resepi. Juga bertanya kawan yang pernah memanggang ayam. Tidak kurang juga saya meminta tip daripada Kak Sal yang baru dikenali di sini. Kak Sal biasa sangat membuat ‘turkey roast’ kerana bersuamikan mat saleh Australian. Daripada Kak Sal, baru saya tahu dimana mahu cari turkey yang sudah siap dipotong.
Tidak mengapa kerana saya teruja juga mahu memanggang turkey . Ayam biasa pun saya tidak pernah panggang seekor penuh… inikan pula ayam belanda.

Oleh kerana sudah ‘miss’ waktu malam untuk memerapnya, alternatif kedua ialah memerap sekurang-kurangnya 3 jam agar semua bahan perapan mesra dengan ayam bersaiz besar itu. Alhamdulillah, saya sempat memerapnya selama lebih 4 jam. Bagi mempercepatkan serapan, saya cucuk isi ayam di bawah kulit dengan garfu.
Tetamu akan datang selepas asar. Nasib baik sekarang musim panas. Jadi siangnya panjang. Pukul 5.15pm, baru masuk waktu Asar. Jam 8.46pm baru maghrib.

Nasib baik juga, ayam itu muat dengan oven kami. Alhamdulillah. Saya mula memanggangnya jam 5pm dan selesai jam 7pm. Tetamu juga baru sampai waktu itu. Yang mana sampai dulu membantu saya di dapur. Selain ‘turkey roast’, kami menyediakan sotong 4kg, drummette 4kg, ikan ‘yellow tail’ lebih 1kg dan sedikit sosej (baki stok dalam peti ais) untuk BBQ. Petang 25 December itu agak meriah di rumah kami. Selain itu, saya sediakan kentang goreng. Rozi pula menolong menyediakan mihun goreng dan humus.

Terlintas juga, kami seolah-olah merayakan Krismas namun niat itu harus diperbetulkan. Sebagai muslim kita ditegah menyambut perayaan agama lain. Ia hanya kebetulan sahaja. Dua rakan suami dari Sydney sudah hampir seminggu berada di Victoria. Cuma pada 25 December itu baru mereka tiba di bandar Melbourne bagi menziarahi kami.
Bila kali pertama memasak sesuatu dan mahu pula dihidangkan kepada tetamu, sudah tentu saya agak berdebar-debar untuk mengetahui hasilnya.
“Cantik dah ni kak…,” kata Rozi selepas ayam masak.
“Rupa je cantik… rasanya belum tahu lagi…,” sahut saya.
“Insya Allah kak…”

Alhamdulillah, selepas dihidangkan, ‘turkey roast’ pertama saya laku dijamu tetamu yang hadir.
Bagi saya, tidaklah penting sangat pujian sedap atau tidak masakan kita. Yang penting ialah orang suka makan apa yang kita masak. Bila orang suka makan, makanan itu akan disapu licin. Jadi pembaziran boleh dielakkan. Bukankah membazir itu sahabat syaitan.
Seperkara lagi, setiap perbuatan baik seperti menjamu tetamu menjadi ibadah di sisi Allah swt namun niat perlu sentiasa diperbaharui agar ikhlas hanya keranaNya semata. Kalau kita lakukan kerana mengharapkan pujian manusia, maka amalan kita hanya terhenti setakat pujian sahaja dan tidak boleh dibawa sebagai bekalan akhirat. Akhirnya, kita hanya mendapat penat dan belanja yang terbuang begitu sahaja. Sedangkan Allah tidak memandang dan tidak menilai ia satu yang amat bermakna di sisiNya.
Ok… itu sahaja. Peringatan untuk diri saya juga.
Sesiapa mahu resepi Ayam Belanda@ Ayam Piru panggang yang ringkas cara saya tetapi sedap, sila tinggal komen.
Ummu Abbas
12.58pm
Melbourne, Vic.
23 Muharram 1432H
29 December 2010
aduh… terliurnya tengok ayam belanda panggang tu. chik belum makan tengahari ni, perut pun dok ‘menyanyi’ ni.
Assalamualaikum, Saya Laila from Shah Alam. tgh cari resepi roasted turkey ni terbaca plak citer you ni. Case mcm sama je…husband nak mkn roasted turkey. Dah beli dah ada kat dlm peti sejuk. tgh nak thaw. tapi belum perap. kalau boleh nak resepi you la…mcm sedap je…sebenarnyer kitorang selalu buat BBQ tapi tak penah buat turkey..slalu lamb and chicken je…rasa lebih kurang cam sama tapi nak try resepi lain plak.
Thanks
Laila
salam semua… ayam belanda ni sedap rasanya… saya penah makan gulai kari ayam belanda… pergh!! lagi best daripada ayam daging… lagi plak, kalo ayam tu bela free range, lagi kaw, cam ayam kampung… jangan takut makan, ayam belanda ni lebih berkhasiat daripada ayam daging, dia memang besar tapi tak perlu suntik cam ayam daging. kalau nak beli, beli dengan penternak tempatan, boleh dapat murah dan dijamin halal. kat pasaraya, belum tentu halal. terutama waktu krismas. banyak dah penternak tempatan. cari di mudah.my banyak iklannya. kat penang, memang pusat ternakan la. senang je nak jumpa. lawat blog saya untuk maklumat penternakan ayam belanda.
Sumber maklumat penternakan ayam belanda anda
Assalamualaikum,
Saya mula mencuba memasak turkey 6 tahun dahulu ketika di USA. Di Malaysia saya beli turkey yang diimport samada dari US atau pun Australia. Kebelakangan ini turkey halal diimport dari Australia. Senang nak tahu masaknya apabila thermometer yand dicucuk di bahagian yang paling tebal pop out.
Cara saya memerap adalah menggunakan lada hitam, bawang putih, halia, kicap manis, madu dan garam. Suami saya amat perihatin dengan bau yang tidak enak. Selalunya saya bersihkan dengan merendam seketika dengan air yang dicampur cuka. Pada cavity turkey saya masukkan sebiji lemon (whole tanpa berbuat apa-apa) dan juga bawang besar. Cara ini dapat menghindar bau bagi mereka yang peka dengan bau tidak enak. Saya ada juga sediakan sos untuknya di mana resepi asalnya adalah asas masak merah yang dicampur dengan susu dan ditambah kismis dan biji gajus. Saya masih teringin nak belajar roast turkey with stuffing and cranberry sauce.
Slmt mlm nak tanya mcm mana nak order ayam belanda pangang?
Mohon maaf, saya tidak tahu pasaran ayam belanda di Malaysia dan di mana ia dijual.