Konvensyen Surah al Nur -Dari Wanita untuk Wanita

Bismillah

 

Dengan ini, sukacita dimaklumkan berkenaan program sebagaimana berikut;-

🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟
🔹Ingin memahami keistimewaan di sebalik Surah Al-Nur sehingga Rasulullah SAW sendiri menyuruh mengajarkannya pada para wanita?
🔹Sertai kami di —>

KONVENSYEN SURAH AL-NUR 2015!

” {Ajarkan kepada para lelaki kalian Surah Al-Maidah, dan ajarkan para WANITA kalian Surah Al-Nur} ”
-Hadith Riwayat Baihaqi-

🔹5  SEBAB KENAPA ANDA PERLU HADIRI KONVENSYEN INI :-

1⃣ Dibarisi PANELIS PROFESIONALIS MUSLIMAH yang cukup KOMPETEN & ahli dalam ilmunya!

🔸(1) Ustazah Nafisah Tahir
(Penulis buku tafsir Surah Al Nur I & II)

🔸(2) Dr. Siti Zubaidah
(Jabatan Syariah & Undang- Undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya)
Tajuk: Wanita & Pendidikan Hudud dari Kacamata Surah Al-Nur

🔸(3) Dr. Nadzirah Mohd
(Jabatan Qur’an Sunnah, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM)
Tajuk: Surah al-Nur Model Keanggunan Peribadi Muslimah

🔸(4) Dr. Najah Nadiah Amran
(Pensyarah Pusat CITRA, UKM)
Tajuk: Surah Al-Nur Model Pengurusan Konflik Rumahtangga

🔸(5) Dr. Zuraidah Zan
(Jabatan Komputer & Kejuruteraan Sistem Komunikasi, UPM)
Tajuk: Fenomena Keajaiban Alam Melalui Teropong Surah Al-Nur

2⃣ Yuran SERENDAH RM50 dan DISKAUN untuk berkumpulan, pelajar dan early birds!

3⃣ Membariskan TAJUK-TAJUK yang SANGAT MENARIK dan SESUAI DENGAN REALITI SEMASA

4⃣ RUANG konvensyen yang EKSKLUSIF & KONDUSIF

5⃣ Paling ISTIMEWA, ditawarkan KHUSUS hanya untuk PESERTA MUSLIMAH dengan SLOT PERSEMBAHAN, AJK dll juga di kalangan MUSLIMAH

🔹Butiran lanjut konvensyen seperti berikut:

📅 31 Oktober 2015 / 14 Muharram 1437 (Sabtu)

🏫 Dewan Auditorium Utama, UIAM Kampus Gombak

⏰ 8.30 pagi – 5.30 petang

❗Daftar segera di www.tinyurl.com/konvensyensurahalnur2015
❗Tarikh tutup penyertaan pada 25 Oktober 2015
❗Maklumat lanjut boleh Like fb.com/konvensyensurahalnur @ fb.com/smsaisyah

#konvensyensurahalnur
#smsaisyah

Sebarkan pada rakan-rakan Muslimah anda ! Terima kasih. Jumpa anda di sana.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟

poster konvensyen final 13oct

Travelog Fiqh Perubatan di Jordan & Mesir

Bismillah

Alhamdulillah, hari ini hari ke 4 berada di tanah air selepas pulang dari Kaherah pada 15 November lepas.   Masih demam-demam dek perubahan cuaca agaknya.  Apa pun alhamdulillah ‘ala kullihaal.  Itu tanda Allah swt beri perhatian pada kita.  Sakit sedikit memberi peluang mengasah sifat sabar.  Sihat pula menguji sifat syukur kepada Allah swt.

Catatan 1

Alhamdulillah, pihak HEWI MPMMJ di  julung-julung kalinya telah mengadakan konvensyen untuk kaum wanita Melayu di Jordan.  Saya sendiri mengetahuinya pada saat-saat akhir melalui PAPISMA (Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia) yang disertai suami.

Info ringkas dari web MPMMJ berbunyi,

“Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ) dengan kerjasama erat Education Malaysia Jordan (EMJ) dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dengan sukacitanya membawakan kepada anda, Konvensyen HEWI MPMMJ 2014 (I-KON 2014)!

I-KON 2014 adalah acara sulung gilang gemilang yang bakal menghimpunkan mahasiswi Malaysia seluruh universiti di Jordan yang bertujuan untuk mengeratkan tali silaturrahim sesama mahasiswi dan para wanita Malaysia di Jordan. Konvensyen ini juga mengetengahkan serta mendedahkan hal ehwal wanita dan isu semasa wanita dari pelbagai dimensi dan sudut. Selain itu, Konvensyen HEWI bakal menampilkan figura wanita dari Malaysia yang terkenal dengan perkongsian kisah-kisah serikandi Islam.

Berikut maklumat ringkas Konvensyen HEWI MPMMJ 2014 :
Tempat : Dewan Al-Kindi, Universiti Yarmouk,Jordan
Tarikh : 7 & 8 November 2014 “

Semasa dihubungi Cikpuan Pengarah program, saya merasa kagum dengan penganjuran program ilmiah seperti ini oleh pihak HEWI.  Ia benar-benar satu usaha yang baik dan sesuai bagi para pelajar kampus.  Juga merupakan program ilmiah pertama diadakan oleh pihak HEWI di Jordan kepada pelajar umum selepas kira-kira 26 tahun pelajar Malaysia mula menerokai dunia akademik di bumi anbiya’ (para nabi) itu.  Di zaman saya belajar dahulu, telah wujud suasana keilmuan seperti ini namun dibuat secara kecil-kecilan seperti para pelajar ada membuat diskusi ilmiah, pembentangan kertas kerja dan diskusi buku.  Maksud kecil-kecilan di sini disebabkan waktu itu belum ada persatuan pelajar Malaysia secara rasmi di Jordan dek pelajarnya masih sedikit dan kedutaan pun belum ada.  Kami mengusahakan atas kehendak sendiri mahu membudayakan ilmu dan latihan ‘public speaking’ di kalangan pelajar selain menghadiri kelas-kelas di universiti.   Faedahnya adalah sebagai bekal ilmu dan kemahiran berinteraksi dengan masyarakat umum sekembalinya ke tanah air yang berbeza bangsa, budaya dan bahasa dari masyarakat di Jordan.

 

Saya sendiri mula diasah membuat kertas kerja sendiri ketika belajar di Universiti of Jordan kira-kira 18 tahun yang lalu.  Pada waktu itu belum pun habis belajar di peringkat ijazah pertama.  Saya sendiri bentangkan kertas kerja tersebut.  Ia satu latihan ‘public speaking’ yang praktikal.  Latihan demi latihan membuatkan kita bertambah yakin untuk bercakap di hadapan ramai, mengikis rasa gemuruh dan apabila emosi dapat dikawal, idea lebih mudah datang untuk syarahan.

Alhamdulillah, semuanya aturan Allah swt, rasa rindu membuak kepada Bumi Jordan yang telah ditinggalkan 17 tahun yang lampau telah mendorong saya menerima jemputan memberi ceramah Fikah Perubatan yang diselitkan sebagai salah satu slot di konvensyen tersebut.  Syukur kepada Allah swt atas perancanganNya memberi amanah kepada saya, mantan pelajar muslimah University of Jordan menjadi salah seorang ‘speaker’ di majlis untuk siswi yang julung kali diadakan ini.

Jazakumullahu khoyraljaza’ kepada pihak PAPISMA dan juga HEWI MPMMJ yang telah memberi peluang yang baik ini sehingga dapat saya melepaskan rindu ke kampung halaman permusafiran ilmu di peringkat ijazah pertama dahulu.

10669228_978744965475064_1493102018160212958_o 10703912_978881068794787_4016343422145837587_o

*** Warna tema konvensyen menarik perhatian saya sebab itu warna kegemaran :).

Ummu Abbas

26 Muharram 1435H

19 November 2014

Negeri Cik Siti Wan Kembang

14.17pm

Bertasbih dengan Membakar

Bismillah.

 

Lapangan terbang Hobart, Tasmania.
Lapangan terbang Hobart, Tasmania.
20130123_132344
Pemandangan Hobart dari atas Gunung Wellington

Alhamdulillah, hujung Januari 2013, kami sefamili berkunjung ke Pulau Tasmania di selatan Australia.  Jarak perjalanan Melbourne- Hobart menaiki kapalterbang ialah 1 jam lebih.  Hobart merupakan bandar paling selatan di Australia.  Ia mengadap Laut Tasman.  Selepas Laut Tasman adalah sebahagian Wilayah Antartik Australia. Semoga Allah merahmati Tuan Suami dan memberkati rezeki yang dikurniakan untuknya atas sifat pemurahnya yang sentiasa membawa kami melihat kebesaran Tuhan.

 

 

Dari cerita-cerita mulut, Hobart dikatakan mempunyai pemandangan yang cantik. Teruja juga untuk melihatnya sendiri. Perjalanan dari lapangan terbang Hobart ke bandar Hobart kira-kira 20 minit itu tidak menjanjikan kelainan dari apa yang pernah saya lihat di bandar-bandar lain di Australia seperti Sydney, Brisbane, Adelaide dan Melbourne.  Namun apabila tiba di bandar Hobart itu sendiri, mulut tidak berhenti mengucapkan, “Subhanallah! Wah! Cantiknya”.  Iya, benar, Hobart sungguh indah.  Ia berada di lembah muara sungai di kelilingi kawasan perbukitan dan banyak teluk.

 

 

Normalnya manusia akan merasa tenang tatkala melihat keindahan alam saujana.  Dalam al-Zukhruf, ayat 28, Allah menyatakan, “Bukankah dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang”.  Dalam Al-Isra’ ayat 44, diceritakan alam bertasbih dengan bahasa yang tidak difahami manusia.  Inilah puncanya manusia mudah merasai ketenangan tatkala melihat alam,”Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah. Tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak memahami akan tasbih mereka.  Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.”  Ayat ini sentiasa terngiang-ngiang di hati ketika melihat alam yang menenangkan jiwa.

 

 

Nun  jauh di bawah sana adalah bandar Hobart.
Nun jauh di bawah sana adalah bandar Hobart.

Dari atas Gunung Wellington, kelihatan wajah Hobart yang sedikit kedesaan kerana tidak banyak bangunan pencakar langit menghiasinya.  Wajah kedesaan Hobart begitu menawan hati persis tertawannya saya kepada wajah kedesaan Kota Bharu, Kelantan. Landskap semulajadi di puncak gunung itu juga sungguh cantik.   Saya berkata kepada suami tatkala akan meninggalkan Hobart, “ Nur suka Hobart kekal dalam keadaan begini.  Ia lain dari yang lain.  Ini identiti Hobart yang asli ”.  Pemandangan sekitarnya begitu terjaga kerana terhadnya bangunan-bangunan tinggi yang ada.  Jangan terperanjat jika dikatakan Lapangan Terbang Kota Bharu lebih canggih dari Lapangan Terbang Hobart.

 

 

Seperti biasa, apabila bermusafir, kami akan cuba menghubungi muslim tempatan untuk menziarahi sambil berkenalan.  Jika ada kenalan dari Malaysia, kami cari mereka dahulu.  Ada yang dikenali melalui Facebook sahaja.  Jadi peluang berjalan ke tempat mereka ini dimanfaatkan untuk bertemu secara ‘offline’.  Rasulullah s.a.w berkata, “Sesiapa yang ingin rezekinya diperluaskan dan umurnya panjang maka hendaklah ia menyambung silaturrahim”.  Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari.  Rezeki yang paling mudah nampak hasil menyambung silaturrahim ketika bermusafir ialah adanya jemputan-jemputan ke rumah untuk menjamu selera.  Selain itu mudah mendapat panduan berjalan dan juga bertanya hal ehwal tempatan.

 

Ibrah 1 Dari Bumi Terbakar

 

Bumi terbakar di Primrose Sands
Bumi terbakar di Primrose Sands

Hari kedua di Tasmania, kami bergerak ke Primrose Sands yang jaraknya kira-kira 49 km dari Hobart.  Hampir tiba di sana, kami dikejutkan dengan pemandangan yang tidak pernah dilihat iaitu kawasan hutan dan padang rumput yang hangus terbakar.  Kami mengetahui adanya bencana alam ‘bushfire’ di Tasmania Januari lepas namun tidak mengetahui secara tepat lokasinya.  Rupa-rupanya, Primrose Sands inilah kawasan kebakaran tersebut.  Sepanjang jalan menuju penginapan, saya tidak henti-henti menyebut nama Allah yang mentakdirkan semua itu berlaku.  Rasa gerun dan takut melihat balak-balak dan rumput yang kehitaman. Cuba membayangkan keadaan bumi yang terbakar dengan api yang marak dan merebak namun tidak terdaya.  Melihat sendiri tidak sama dengan imaginasi.

 

 

Ia mengingatkan saya pokok-pokok yang kehitaman semasa ke Lake Mountain untuk bermain salji pada tahun 2011.  Bezanya pokok-pokok itu sedang mengalami pertukaran kulit kerana kebakaran berlaku pada tahun 2009.  Semasa heboh peristiwa kebakaran di Tasmania, cuaca di Melbourne juga panas kering dan berlaku ‘bushfire’ kecil.  Baru sedar Australia ini terdedah kepada bencana alam dalam bentuk kebakaran hutan dan padang rumput.  Apabila berlaku beberapa hari berturut-turut suhu yang panasnya 38 darjah celcius ke atas, pihak berwajib akan sentiasa memantau dan mengeluarkan amaran jika berlaku kebakaran.

 

 

Kredit to whatsappmssg.blogspot.com
Kredit to whatsappmssg.blogspot.com

Setiap kali melihat hutan luas yang terbakar di sini, teringat kepada perumpamaan, “ Sebatang pokok boleh menghasilkan beribu batang mancis tetapi hanya sebatang mancis diperlukan untuk membakar beribu pokok.”  Perumpamaan lain berkaitan,‎” Semasa burung hidup, ia makan semut tetapi bila burung mati, semut pula makan ia.” Subhanallah! Ibrah menarik dari kejadian alam.  Ia mengingatkan kita untuk sentiasa sedar keadaan diri dan sekeliling yang boleh berubah bila-bila masa.  Oleh sebab itu, elakkan dari memandang rendah orang lain.  Hari ini mungkin kita berada di atas atau kaya, tidak mustahil suatu hari nanti kita akan berada di bawah serta ditimpa kemiskinan.  Bila-bila masa Allah yang maha berkuasa mampu menukarkan keadaan kita seumpama Allah menukarkan keadaan hutan yang subur menghijau kepada ‘lukisan hitam yang kelam’ dengan sekelip mata. Banyak lagi kejadian alam dijadikan perumpamaan menarik untuk mengetuk hati-hati manusia.
Ibrah 2 Dari Bumi Terbakar

 

Rasanya tiada siapa pun yang bercucuk tanam mahu hasilnya rosak binasa sebelum sempat menikmati kelazatannya.  Justeru itu Allah membuat perumpamaan antara sedekah yang ikhlas  dan tidak ikhlas seperti sebuah kebun.   Sedekah yang ikhlas umpama kebun yang subur.  Manakala sedekah yang tidak ikhlas umpama ladang yang terbakar.

 

Ayat 266 dari surah al-Baqarah menceritakan, “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah serta meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda.  Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.”

 

 

Ayat 267 al-Baqarah pula menceritakan, “Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia ? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).

Astaghfirullah.  Hakikatnya, api yang membakar bumi itu juga merupakan sebahagian makhluk Allah yang bertasbih.  Bertasbih dengan laras bahasa mereka yang tersendiri.

 

Ummu Abbas

16 Dzul Hijjah 1435H

10 Oktober 2014

Negeri Cik Siti Wan Kembang

Jihad Wanita Tanpa Menumpahkan Darah

NOTA:  Artikel ini merupakan kesinambungan artikel ‘Mimpi Tawaf Menaiki Bas‘.

Jihad Wanita

 

Suatu hari Aisyah r.a berkata,“Ya Rasulullah!  Kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut berjihad?”

Benar, wanita yang baik dan teguh imannya punya impian yang sama seperti kaum lelaki.  Mereka mahu berlumba-lumba dalam mengumpulkan ganjaran atau pahala di bank akhirat.  Juga memperolehi taqwa kelas pertama di sisi Allah swt.

“Bagi kamu semua (kaum wanita),  jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur”.  Pantas sekali Rasulullah s.a.w menjelaskan tanda memahami keinginan mereka.  Hadis ini direkodkan Imam Bukhari.

hajj-guide

Seringkali Rasulullah s.a.w melayani segala pertanyaan dengan baik dari kaum wanita sama ada ia perkara yang tampak kecil atau besar.  Sedangkan waktu itu, umat Arab Quraisy sangat menghina kaum wanita.  Tidaklah sama kita memahami sesuatu perkara secara teori dengan pengalaman merasainya sendiri.  Semasa mengetahui hadis ini buat kali pertama,  terfikir, “Begitu mudah amalan kaum wanita untuk mendapatkan pahala jihad.  Tidak perlu bersusah payah menggalas senjata dan tidak perlu berdepan dengan risiko kematian.”

 

Alhamdulillah, penulis menerima jemputan haji seusai belajar bab haji berdasarkan 4 mazhab.  Jadi ada panduan yang jelas yang masih ‘fresh’ semasa menunaikannya.  Ilmu yang baru dipelajari lebih  mudah diingati bila terus diamalkan.  Ini salah satu kemudahan dan rahmat Allah yang wajib disyukuri.  Ia berlaku tanpa dirancang.  Saya tidak tahu akan mendapat rezeki menunaikan haji selepas mengambil subjek Fiqh Ibadah 2 itu.  Setiap amalan yang dibuat berdasarkan ilmu menambah keyakinan diri.  Antara keyakinan yang diperolehi ialah menunaikan haji tanpa mahram lelaki.

 

Syarat ditemani mahram lelaki bagi wanita adalah perkara biasa yang diketahui umum bagi menunaikan haji.   Ia memang benar berdasarkan pendapat 4 mazhab.  Namun terdapat pendapat dalam mazhab Syafie yang mengharuskan wanita bermusafir haji sesama wanita yang thiqah (boleh dipercayai) dan amanah (adil).  Jadi inilah pegangan kami yang tidak mempunyai mahram waktu itu.  Tiada syarat yang mengharuskan ‘menumpang mahram orang lain’ seperti menumpang kawan yang akan pergi bersama suaminya atau kawan yang ada mahram lain seperti adik-beradik lelaki, bapa saudara, bapa dan lain-lain. Jadi dua orang muslimah yang sudah berkahwin yang bersama anggota rombongan waktu itu bertindak selaku ‘orang tua’ sahaja kepada kami dalam memelihara kebajikan dan keperluan kami.  Ia juga salah satu mekanisme memelihara pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi.  Selepas taklimat umum diberikan kepada semua,  apa-apa hal yang berbangkit, penganjur akan berhubung dengan muslimah berstatus isteri-isteri itu untuk disampaikan kepada kami.

Kredit:  talkandroid.com
Kredit: talkandroid.com

Musim haji tahun 1995  jatuh semasa kami dalam fasa menghadapi peperiksaan akhir untuk semesta kedua.  Berlakulah sesuatu yang menarik di lapangan terbang tatkala kastam memeriksa barang-barang kami.  Kami tergelak melihat kastam yang kehairanan melihat beg-beg kumpulan kami yang setiap kali diselongkar, apa yang keluar ialah pakaian, buku dan nota-nota. Sedangkan beg-beg anggota rombongan lain yang terdiri dari pakcik makcik dipenuhi pakaian dan barangan makanan kering.  Semua barangan diperiksa teliti sebab itu ia memakan masa yang lama.  Setelah melalui fasa pemeriksaan yang memenatkan, baru kami bertolak ke Mekkah menaiki bas.

 

Kami tiba pada 8 Zulhijjah, justeru itu hanya sempat menunaikan sekali umrah, kemudian terus berniat haji.  Haji ini dinamakan Haji Tamattuk kerana menunaikan umrah semasa musim haji dengan niat berasingan untuk umrah dan haji.  Ia dikenakan denda membayar dam seekor kambing. 2 orang daripada kami menunaikan Haji Ifrad iaitu berniat haji sahaja.  Menurut mazhab Syafie, Haji Ifrad lebih utama kerana berada di dalam ihram lebih lama.  Manakala mazhab Hanafi berpendapat Haji Tamattuk lebih utama disebabkan membayar dam itu, ia membantu orang miskin.

wukuf

Perjalanan haji bermula.  Orang memang terlalu ramai.  Semua jalan penuh sesak tatkala jemaah mula bergerak ke Padang ‘Arafah untuk berwukuf.  Dikatakan mereka yang berjalan kaki dari Mekah lebih dahulu sampai dari mereka yang berkenderaan.  Bas memang bergerak lambat.  Tiada ruang dan peluang untuk bergerak laju.  Semua orang tertumpu pada tempat yang sama.  “Pernah berlaku jemaah haji Malaysia yang berwukuf di luar sempadan Arafah kerana memilih tempat yang selesa.  Jadi kita perlu berhati-hati supaya haji kita sah.  Paling penting sentiasa menurut arahan ketua rombongan,” jelas ustaz yang membimbing rombongan kami.

 

Rombongan memilih tempat berwukuf yang hampir dengan kemudahan bilik air.  Pada masa itu, pokok-pokok yang ditanam tingginya lebih kurang 1 meter – 2 meter sahaja.  Dedaunnya juga tidak lebat.  Kami tiada khemah sebagaimana jemaah haji Malaysia yang lain.  Sedikit atap dibuat dari selimut yang diikat pada dahan-dahan pokok bagi meredakan kehangatan mentari.  Disekeliling kami, ada jemaah yang tidur di bawah bas, tidak beratap langsung dan pelbagai gaya lagi.  Hanya zikrullah yang dapat menyabarkan hati-hati kami untuk bertahan di situ.  Kalau berjemur, berkumpul dan berasak-asak dengan orang ramai di dunia ini sudah perit rasanya, apa lagilah di Padang Mahsyar di akhirat kelak.

 

Pada masa wukuf ini jugalah, terfikir, “Cukuplah sekali menunaikan haji seumur hidup.  Tidak sanggup mengulanginya lagi”.  Rombongan memilih berada di sana pada waktu yang afdal.  Tengah malamnya, baru kami bertolak ke Muzdalifah.  Semua pergerakan haji seterusnya seperti melontar di jamrah, bermalam di Mina, tawaf dan sa’ie dilakukan dalam keadaan berasak-asak dengan orang ramai.  Situasi ini membuatkan kita memerlukan lebih tenaga untuk menunaikan semua amalan tersebut dengan baik.  Orang-orang tua atau perempuan hamil yang uzur diharuskan mewakilkan orang lain untuk melontar.  “Kita akan membuat Nafar Thani kerana ia afdal dan juga orang sudah mula berkurangan bagi menunaikan ibadah seterusnya di Mekah nanti,” begitulah antara pesanan ketua rombongan kami.  Alhamdulillah, dipandu oleh para ustaz yang faqih dan berpengalaman, rombongan kami sentiasa memilih melakukan ibadah yang paling afdal walaupun ia mungkin memakan masa yang lebih lama untuk menyelesaikannya.

Jamarat-Jamaraat-Hajj

Setelah melalui pengalaman melontar yang sungguh mencabar dan bermalam di Mina, kami pulang ke Mekah.  Sebaik sahaja tiba di Mekah, baru terasa keindahan menunaikan haji.  Perasaan ‘cukuplah sekali’ semasa wukuf bertukar kepada, “Ya Allah, aku ingin datang lagi”.  Benarlah sabda Nabi s.a.w… benarlah semua kata-kata Baginda s.a.w bahawa jihad bagi wanita ialah haji.  Amalan-amalan haji sahaja sudah cukup mencabar kudrat lemah seorang wanita.  Apatah lagi realiti jihad dalam peperangan fisabilillah.  Penulis amat bersyukur kepada Allah dengan nikmat menunaikan haji di usia muda ini.  Kefahaman terhadap maksud hadis bahawa jihad wanita adalah haji dapat dihayati sepenuhnya.

 

Allah yang bersifat maha pengasih dan maha penyayang begitu ber’murah hati’ mengurniakan ganjaran jihad buat kaum wanita dengan ibadah haji.  Semua itu adalah selari dengan keupayaan kaum wanita yang secara fitrah, fizikalnya lebih lemah dari lelaki.

 

Ummu Abbas

21 Rejab 1435H/ 20 Mei 2014.

Tanah Serendah Sekebun Bunga


 

Mohon maaf, lama menyepi…

 

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

 

Para pengunjung yang dikasihi Allah,

Saya baru kembali menjenguk ‘rumah maya’ ini setelah sekian lama ber’uzlah’  disebabkan beberapa faktor yang besar:

 

1.  Alhamdulillah kami telah kembali ke tanah air pada 27 November 2013.  Sekurang-kurangnya dua bulan sebelumnya, saya benar-benar sibuk dengan urusan berpindah rumah, shipping, travel ke Christchurch, kembali ke tanah air, membersih dan mengemas rumah yang sudah lama ditinggalkan.  Sehingga ke hari ini, hampir 2 bulan kembali ke Bumi Serambi Mekah, masih lagi dalam fasa membersih dan mengemas  rumah.  Keadaan diri yang berselang seli antara sihat dan tidak sedikit sebanyak melambatkan proses memulihkan keadaan rumah seperti sedia kala.

 

Terasa sangat perbezaan memasuki rumah baru dengan memasuki rumah yang sedia didiami tetapi lama ditinggalkan.  Situasi kedua lebih berat dari situasi pertama.

 

2.  Sebaik pulang, laptop yang sedia uzur baru dihantar ke ‘hospital’ untuk dirawat.  Al maklum kos penyelenggaraan yang lebih tinggi di Melbourne menyebabkan saya ‘bersabar’ dengan keadaan laptop yang uzur dan meneruskan penulisan setakat yang mampu  waktu itu.  Sudah agak lama menggunakan monitor berasingan.  Hampir 2 bulan berada di ‘wad’, alhamdulillah hari ini baru dapat melihat kembali laptop hadiah suami pada 2010 ini dengan sedikit ‘make up’ baru.

 

Jadinya ada banyak juga persoalan yang ditinggalkan yang belum sempat dijengah.  Mohon maaf kepada para pembaca yang meninggalkan komen atau pesan.

 

Insyaa Allah, saya berusaha respon mana yang termampu dan berdasarkan kepentingan terlebih dahulu.  Mana-mana persoalan yang sudah biasa dijawab dalam website-website dan blog-blog lain, mungkin saya tangguhkan dari memberi respon.

 

Mohon doa ikhlas dari ikhwah dan akhawat semua supaya Allah permudahkan urusan saya di sini, bolehlah saya meluangkan lebih banyak masa di sini ya…

 

Sekian.

 

Wassalam.

 

Sehingga berjumpa lagi.

 

Ummu Abbas

Kelantan Darul Na’im