Bismillah.


Alhamdulillah, hujung Januari 2013, kami sefamili berkunjung ke Pulau Tasmania di selatan Australia. Jarak perjalanan Melbourne- Hobart menaiki kapalterbang ialah 1 jam lebih. Hobart merupakan bandar paling selatan di Australia. Ia mengadap Laut Tasman. Selepas Laut Tasman adalah sebahagian Wilayah Antartik Australia. Semoga Allah merahmati Tuan Suami dan memberkati rezeki yang dikurniakan untuknya atas sifat pemurahnya yang sentiasa membawa kami melihat kebesaran Tuhan.
Dari cerita-cerita mulut, Hobart dikatakan mempunyai pemandangan yang cantik. Teruja juga untuk melihatnya sendiri. Perjalanan dari lapangan terbang Hobart ke bandar Hobart kira-kira 20 minit itu tidak menjanjikan kelainan dari apa yang pernah saya lihat di bandar-bandar lain di Australia seperti Sydney, Brisbane, Adelaide dan Melbourne. Namun apabila tiba di bandar Hobart itu sendiri, mulut tidak berhenti mengucapkan, “Subhanallah! Wah! Cantiknya”. Iya, benar, Hobart sungguh indah. Ia berada di lembah muara sungai di kelilingi kawasan perbukitan dan banyak teluk.
Normalnya manusia akan merasa tenang tatkala melihat keindahan alam saujana. Dalam al-Zukhruf, ayat 28, Allah menyatakan, “Bukankah dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang”. Dalam Al-Isra’ ayat 44, diceritakan alam bertasbih dengan bahasa yang tidak difahami manusia. Inilah puncanya manusia mudah merasai ketenangan tatkala melihat alam,”Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah. Tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak memahami akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” Ayat ini sentiasa terngiang-ngiang di hati ketika melihat alam yang menenangkan jiwa.

Dari atas Gunung Wellington, kelihatan wajah Hobart yang sedikit kedesaan kerana tidak banyak bangunan pencakar langit menghiasinya. Wajah kedesaan Hobart begitu menawan hati persis tertawannya saya kepada wajah kedesaan Kota Bharu, Kelantan. Landskap semulajadi di puncak gunung itu juga sungguh cantik. Saya berkata kepada suami tatkala akan meninggalkan Hobart, “ Nur suka Hobart kekal dalam keadaan begini. Ia lain dari yang lain. Ini identiti Hobart yang asli ”. Pemandangan sekitarnya begitu terjaga kerana terhadnya bangunan-bangunan tinggi yang ada. Jangan terperanjat jika dikatakan Lapangan Terbang Kota Bharu lebih canggih dari Lapangan Terbang Hobart.
Seperti biasa, apabila bermusafir, kami akan cuba menghubungi muslim tempatan untuk menziarahi sambil berkenalan. Jika ada kenalan dari Malaysia, kami cari mereka dahulu. Ada yang dikenali melalui Facebook sahaja. Jadi peluang berjalan ke tempat mereka ini dimanfaatkan untuk bertemu secara ‘offline’. Rasulullah s.a.w berkata, “Sesiapa yang ingin rezekinya diperluaskan dan umurnya panjang maka hendaklah ia menyambung silaturrahim”. Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari. Rezeki yang paling mudah nampak hasil menyambung silaturrahim ketika bermusafir ialah adanya jemputan-jemputan ke rumah untuk menjamu selera. Selain itu mudah mendapat panduan berjalan dan juga bertanya hal ehwal tempatan.
Ibrah 1 Dari Bumi Terbakar

Hari kedua di Tasmania, kami bergerak ke Primrose Sands yang jaraknya kira-kira 49 km dari Hobart. Hampir tiba di sana, kami dikejutkan dengan pemandangan yang tidak pernah dilihat iaitu kawasan hutan dan padang rumput yang hangus terbakar. Kami mengetahui adanya bencana alam ‘bushfire’ di Tasmania Januari lepas namun tidak mengetahui secara tepat lokasinya. Rupa-rupanya, Primrose Sands inilah kawasan kebakaran tersebut. Sepanjang jalan menuju penginapan, saya tidak henti-henti menyebut nama Allah yang mentakdirkan semua itu berlaku. Rasa gerun dan takut melihat balak-balak dan rumput yang kehitaman. Cuba membayangkan keadaan bumi yang terbakar dengan api yang marak dan merebak namun tidak terdaya. Melihat sendiri tidak sama dengan imaginasi.
Ia mengingatkan saya pokok-pokok yang kehitaman semasa ke Lake Mountain untuk bermain salji pada tahun 2011. Bezanya pokok-pokok itu sedang mengalami pertukaran kulit kerana kebakaran berlaku pada tahun 2009. Semasa heboh peristiwa kebakaran di Tasmania, cuaca di Melbourne juga panas kering dan berlaku ‘bushfire’ kecil. Baru sedar Australia ini terdedah kepada bencana alam dalam bentuk kebakaran hutan dan padang rumput. Apabila berlaku beberapa hari berturut-turut suhu yang panasnya 38 darjah celcius ke atas, pihak berwajib akan sentiasa memantau dan mengeluarkan amaran jika berlaku kebakaran.

Setiap kali melihat hutan luas yang terbakar di sini, teringat kepada perumpamaan, “ Sebatang pokok boleh menghasilkan beribu batang mancis tetapi hanya sebatang mancis diperlukan untuk membakar beribu pokok.” Perumpamaan lain berkaitan,” Semasa burung hidup, ia makan semut tetapi bila burung mati, semut pula makan ia.” Subhanallah! Ibrah menarik dari kejadian alam. Ia mengingatkan kita untuk sentiasa sedar keadaan diri dan sekeliling yang boleh berubah bila-bila masa. Oleh sebab itu, elakkan dari memandang rendah orang lain. Hari ini mungkin kita berada di atas atau kaya, tidak mustahil suatu hari nanti kita akan berada di bawah serta ditimpa kemiskinan. Bila-bila masa Allah yang maha berkuasa mampu menukarkan keadaan kita seumpama Allah menukarkan keadaan hutan yang subur menghijau kepada ‘lukisan hitam yang kelam’ dengan sekelip mata. Banyak lagi kejadian alam dijadikan perumpamaan menarik untuk mengetuk hati-hati manusia.
Ibrah 2 Dari Bumi Terbakar
Rasanya tiada siapa pun yang bercucuk tanam mahu hasilnya rosak binasa sebelum sempat menikmati kelazatannya. Justeru itu Allah membuat perumpamaan antara sedekah yang ikhlas dan tidak ikhlas seperti sebuah kebun. Sedekah yang ikhlas umpama kebun yang subur. Manakala sedekah yang tidak ikhlas umpama ladang yang terbakar.
Ayat 266 dari surah al-Baqarah menceritakan, “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah serta meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.”
Ayat 267 al-Baqarah pula menceritakan, “Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia ? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).
Astaghfirullah. Hakikatnya, api yang membakar bumi itu juga merupakan sebahagian makhluk Allah yang bertasbih. Bertasbih dengan laras bahasa mereka yang tersendiri.
Ummu Abbas
16 Dzul Hijjah 1435H
10 Oktober 2014
Negeri Cik Siti Wan Kembang
Tinggalkan Jawapan